“Berhati-hatilah kamu
dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan
menyebabkan kehinaan di waktu siang.” Riwayat
al-Baihaqi
Hadis di atas telah menunjukkan
bahawa Rasullullah s.a.w. telah menasihatkan kita agar berhati-hati apabila
dalam berhutang. Hutang itu menyebabkan kita menjadi risau di malam hari dan
mendatangkan kehinaan pula di siang hari. Perkara ini telah disebut sejak 1,400
tahun yang lalu. Realitinya, kehidupan pada hari ini sememangnya memerlukan
hutang. Apatah lagi hutang tersebut merupakan riba’ yang berselindung dengan
nama ‘Kadar Faedah yang Rendah’, ‘zero
Pendahuluan’, dan sebagainya.
Ada yang mengatakan hutang itu
ibarat kencing manis, jika terluka sedikit habis terus merebak. Ya, memang
betul. Jika kita mula membuat hutang, kita akan terus berhutang untuk memenuhi
keperluan atau kehendak kita yang lain. Sekiranya anda masih menggali lubang,
berhentilah menggali sekarang. Jika tidak, sehingga bila-bila pun hutang tidak
akan berkurang apatah lagi untuk habis.
Hutang tetap
hutang. Hutang yang mana dahulu perlu diutamakan? Hutang yang perlu diutamakan
ialah hutang yang mempunyai kadar faedah yang tertinggi berbanding
hutang-hutang lain. Kemudian letak keutamaan untuk hutang, kedua, ketiga dan
seterusnya. Sekiranya hutang pertama telah dilangsaikan, anda boleh menumpukan
untuk menyelesaikan hutang yang kedua daripada duit lebihan hutang membayar
hutang yang pertama tadi.
Sekiranya anda
membayar hutang pada kadar minimum sahaja untuk sesuatu hutang yang mempunyai
kadar faedah yang tinggi contohnya kad kredit, sudah tentu caj yang dikenakan
akan makan ‘pokok’ yang anda bayar selama ini. Oleh itu, usaha anda untuk
menyelesaikan hutang menjadi sia-sia sahaja.
Anda pula jangan takut membayar
hutang. Ada sesetengah orang yang saya pernah temui mereka mengatakan mereka
takut untuk membayar hutang terutamanya hutang pendidikan ataupun hutang
peribadi dengan ahli keluarga. Mereka takut kerana komitmen bulanan mereka
semakin bertambah pula dengan hutang-hutang sedia ada. Masalah ini tidak
selesai sekiranya anda harus menutup sebelah mata anda. Masalah hutang tidak
akan dapat lari sekiranya anda cuba untuk mengelak. Sekiranya anda cuba untuk
mengelak, masalah akan datang jua. Oleh itu, cuba selesaikan masalah anda.
Ada juga orang yang sanggup menukar
nombor telefon mereka apabila bank memburu menghubungi mereka. Pihak bank bukannya
tidak bijak sekiranya anda cuba menukar nombor telefon atau cuba menukar alamat
anda sekiranya anda tidak membayar hutang. Mereka akan memburu sehingga ke
lubang cacing untuk mendapat bayaran balik duit mereka.
Ramai orang mengatakan bahawa
terdapat dua jenis hutang iaitu hutang yang baik dan hutang tidak baik. Hutang
yang baik ialah hutang yang membawa pulangan lebih besar sekiranya kita melabur
di tempat yang tertentu. Manakala hutang yang tidak baik adalah hutang yang
akan memiskinkan kita sekiranya kita membeli perkara-perkara yang tidak
sepatutnya.
Bagi saya, semua hutang itu
memudaratkan kita – tidak kira sama ada ia hutang yang baik ataupun hutang
tidak baik. Sekiranya hutang itu merupakan yang hutang yang baik – tidak kira
sama ada anda suka ataupun tidak, anda sebenarnya memberi keuntungan kepada pihak
bank jua apatah lagi hutang dengan hutang yang tidak baik yang akan memiskinkan
kita.
Anda bagaimana?
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment