Wednesday, May 30, 2012

Insurans itu Perlindungan dan Bukannya Pelaburan


Insurans itu perlindungan dan bukannya pelaburan. Inilah topik yang sesuai untuk saya tulis pada kali ini. Saya sebelum ini ada menyatakan bahawa syarikat-syarikat insurans mengutip laba yang besar apabila melabur wang pencarum-pencarumnya ke syarikat hartanah dan kita akan mendapat sejumlah dividen atau komisen yang kecil daripada syarikat insurans atau takaful selepas tempoh tertentu. Pandangan saya memang betul tetapi silap kerana tidak mengambil kira perlindungan yang diberikan sekiranya berlaku tragedi ke atas diri kita.

Sekiranya kita mempunyai keluarga dan menjadi orang yang memegang tanggungjawab utama untuk mencari nafkah bagi keluarga kita, maka kita adalah orang yang paling utama perlu mendapatkan takaful. Kata kunci yang penting ialah kita mempunyai tanggungan dan liabiliti kewangan. Pendapatan itu digunakan bagi menyara keluarga dan tanggungan kita. Sekiranya terjadi perkara tidak baik, mereka semua berhadapan dengan risiko kewangan kerana mereka semua bergantung kepada kita.

Oleh itu, takaful diperlukan untuk kita bagi memindahkan risiko kewangan dan liabiliti itu kepada pihak ketiga. Mungkin satu kesilapan sekiranya kita memasuki takaful bagi mendapatkan pulangan kewangan. Itu bukan matlamat bagi mempunyai polisi takaful atau insurans tetapi merupakan perlindungan kepada kita sekiranya berlaku tragedi yang tidak diingi ke atas diri kita. Adalah mustahil kita mempunyai tunai sebanyak RM100,000 sekarang apabila di dalam akaun bank kita sebagai sandaran atau bekalan apabila berlaku tragedi di atas diri kita. Namun, mungkin dengan ansuran hanya RM150 sebulan, kita memperolehi tunai RM100,000 daripada syarikat takaful sekiranya berlaku tragedi ke atas diri kita bagi meneruskan kehidupan. Tetapi janganlah kita membuat caruman takaful untuk mendoakan tragedi ke atas diri supaya mendapat wang tunai sebanyak RM100,000 dalam sekelip mata sahaja.

Jumlah takaful pula bergantung ke atas komitmen bulanan dan tahunan kita. Adalah lebih baik sekiranya kita mengambil takaful yang pelbagai kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita sama ada esok, lusa atau masa hadapan. Namun perlu diingatkan janganlah kita terlalu mengejar untuk mencarum takaful sehinggakan kita lupa mengenai perkara-perkara lain.

Saya pada mulanya mempunyai tanggapan negatif mengenai takaful sehinggalah saya terbaca mengenai pentingnya takaful kepada kita. Saya pernah menerima panggilan daripada syarikat takaful yang menawarkan perlindungan sehingga RM300,000 dengan bayaran hanya RM56 sebulan. Beliau menyatakan nombor telefon bimbit saya terpilih bagi tawaran ini. Ini mungkin kerana saya membayar bil bulanan telefon pada awal bulan sebelum saya menerima penyata bil telefon tersebut pada minggu kedua setiap bulan. Namun saya menolak tawaran tersebut. Saya berharap mereka akan menghubungi saya pada masa akan datang bagi menawarkan tawaran tersebut lagi. Mudah-mudahan.

Apakah produk perlindungan yang Allah s.w.t. tawarkan kepada kita?

Tidak lain dan tidak bukan ialah bersedekah. Ini adalah kerana salah satu fadilat bersedekah ialah dapat menolak bala. Benar bukan?

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Pakdi, 2010. Rancang Wang dari Sekarang. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Royalti dan Honorarium Hasil Penulisan


[Jika anda mempunyai manuskrip dan berminat untuk menerbitkan buku bersama CETUSAN IDEA PUBLICATIONS, sila layari http://ideapublications.blogspot.com]

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat dan walaifiat serta sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki setiap masa. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan sebaik-baik hari ialah hari kematian kita iaitu apabila malaikat maut datang menjemput kita menghadap Yang Maha Pencipta. Pada kali ini, saya ingin berkongsi bersama dengan anda semua mengenai ‘Royalti dan Honorium Penulisan’. Sebelum ini, saya puas mencari mengenai berapakah royalti atau honorium penulisan bagi seseorang penulis sehinggalah saya menjumpai perkara ini di dalam buku Menjadi Penulis Jutawan tulisan Nimoiz T Y. Menarik juga untuk kita berkongsi bersama mengenai perkara ini.

“Idea yang terlintas dalam fikiran janganlah disimpan, sebaliknya pindahkanlah ke dalam bentuk penulisan yang mungkin idea baru yang tidak terfikir oleh orang lain. Inilah langkah pertama untuk menjadi penulis.” Norizan Muslim

Apabila disebut royalti atau honorium penulisan, ia merupakan salah satu sumber pendapatan pasif di mana wang yang bekerja untuk anda. Tidak kira anda buat setiap hari, setiap bulan hatta setiap tahun sekalipun, duit tetap masuk ke dalam poket anda. Bak kata penulis terkenal iaitu Zamri Mohammad, “Buat buku sekali, dapat duit berkali-kali.” Berlainan pula dengan pendapatan aktif, anda perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Sekiranya anda tidak bekerja, wang tidak akan masuk ke dalam poket anda.

Menulis juga dapat menjana pendapatan pasif kepada kita semua selain bidang hartanah, pelaburan tetap dan sebagainya. Ia juga dapat memberi pulangan yang lumayan kepada sesiapa yang menceburinya. Setiap sesuatu pasti ada ranjaunya. Sekiranya anda gagal dalam bidang penulisan, teruskan usaha anda lagi. Orang yang berputus asa itu bukanlah disebabkan dirinya gagal dalam sesuatu perkara tetapi orang yang berputus asa itu adalah orang yang tidak mampu bangkit semula daripada kegagalannya.

Sebelum itu, ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa kita juga dibayar saguhati apabila kita menghantar surat pembaca dan ia disiarkan dalam sesebuah majalah. Contohnya, Dewan Sastera membayar RM80 untuk surat pembaca yang tersiar. Bayaran untuk Berita Bahasa dalam majalah Pelita Bahasa juga cukup lumayan, iaitu RM50 walaupun anda hanya menulis lima baris. Jika anda seorang wanita dan dan mengemukakan pertanyaan tentang dunia kecantikan kepada sesebuah majalah, anda mungkin akan dihadiahi set alat penjagaan kecantikan.

“ Bayangan kejayaan akan menjelma sekiranya penulis muda tidak mengaku kalah. Sifat mudah mengaku kalah sememangnya mudah. Yang sukarnya adalah untuk bangun semula selepas kekalahan itu. Penulis muda haruslah berpegang kepada prinsip biar kalah tetapi jangan mengalah.” Zaharuddin Abdul Rahman

Berapa royalti bagi sesebuah buku penulisan novel?

Harga sesebuah bagi buku adalah dijual sekitar RM10 hingga RM20 bagi novel sekitar 250 hingga 300 halaman. Pembayaran royalti adalah bergantung kepada perjanjian penerbitan. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 7 peratus daripada harga buku. Ada yang menawarkan 10 peratus. Ada juga yang menawarkan RM20 bagi sebuah buku. Pulangannya adalah cukup lumayan. Jika cetakan pertama novel anda ialah 25,000 unit, dan anda mendapat sebanyak RM2 untuk setiap unit. Maka, anda mendapat royalti sebanyak RM50,000 jika buku anda laku kesemuanya. Ini tidak termasuk bagi cetakan pertama, kedua dan seterusnya. Jika anda mampu menyiapkan sebuah novel setiap tahun dan cetakan dua kali, dalam masa 10 tahun, anda akan menjadi jutawan.

Berikut merupakan contoh kadar royalti bagi penerbit PTS:
i.    7% daripada harga runcit buku (1 – 5,000 naskah yang terjual).
ii.   10% daripada harga runcit buku (5,001 – 10,000 naskah yang terjual).
iii.  11% daripada harga runcit buku (10,000 naskah ke atas yang terjual).
Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan rencana?

Di Malaysia, terdapat lebih kurang 250 majalah dan akhbar yang kebanyakannya menyiarkan rencana. Dari segi bayaran, puratanya anda akan mendapat sekitar RM200 – RM250 sebuah. Sekiranya anda dapat menyiapkan rencana satu rencana seminggu dan empat rencana sebulan, anda akan mendapat pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 sebulan. Anda boleh menghantar rencana kepada majalah ternama seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera ataupun akhbar utama seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan cerpen?

Bagi penulis muda, anda akan dibayar honorarium sebanyak RM200 bagi majalah Dewan Sastera dan Pelita Bahasa. Untuk cerpen tema mudah seperti Mingguan Wanita pula, anda akan dibayar sebanyak RM60. Bagi akhbar utama pula seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, bayarannya ialah RM150 sebuah. Begitu juga dengan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu majalah URTV yang menerima RM150 bagi setiap cerpen yang disiarkan.

“When my second book “The Millionaire in Me” was released, the royalty cheques did not just double – they tripled! This is very nice, considering that I was doing what I loved – writing. So now, I have thirteen books which are all selling like pisang goreng. The royalty cheques have jumped like kangaroos on steroids. I eraned over RM750,000 from my books in 2004 and over RM1 million in 2005. These figures will only increase as the number of books increase.” Azizi Ali, Trainer Jutawan

Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan puisi?

Bayaran untuk sebuah puisi adalah antara RM20 sehingga RM150 untuk setiap buah. Misalnya, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membayar RM100 untuk sebuah sajak yang tersiar. Akhbar Berita Minggu pula membayar RM20 sebuah. Begitu juga dengan Metro Ahad dengan bayaran RM20 bagi satu puisi yang tersiar. Majalah Dewan Siswa pula pernah membayar sebanyak RM25 dan RM30 sebuah.

Setakat ini dahulu perkongsian saya pada kali ini. Pekara ini boleh menjadi panduan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi penulis ataupun ingin menjana pendapatan. Anda harus ingat bahawa sekiranya anda berkecimpung sesuatu, apabila anda mengejar kepuasan, wang akan datang dengan sendirinya. Jika anda mengejar wang, ada kemungkinan wang itu tidak akan datang kepada diri anda. Fikir-fikirkanlah.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Nimoiz T Y, 2007. Menjadi Penulis Jutawan, TrueWealth Sdn Bhd.

Sunday, May 20, 2012

Jadilah Orang Berilmu dan Jangan Hanya Menjadi Orang yang Pandai Bercakap


Perumpamaan orang yang berilmu dan tidak berilmu ialah seperti tin kosong dan tin yang berisi. Tin kosong apabila diketuk akan mengeluarkan bunyi yang lebih kuat berbanding tin yang berisi. Benar bukan? Kenapa? Ini kerana tin kosong tidak mempunyai isi dan hanya mengeluarkan bunyinya sahaja kerana tiada isi. Begitulah dengan tin yang berisi, mungkin dia tidak berbunyi atau tidak sekuat berbunyi seperti tin kosong apabila diketuk. Ini kerana ia mempunyai isi yang padat dan tidak dapat mengeluarkan bunyi yang kuat apabila diketuk seperti tin sardin.

Begitulah perumpamaan orang yang berilmu. Orang berilmu ibarat resmi padi. Semakin berisi semakin tunduk dan tidak berdentum-dentum apabila bercakap seolah-olah dia ini lebih bagus ataupun sentiasa betul daripada orang lain. Begitulah perumpaan kata Imam as-Syafie iaitu, “Semakin aku belajar, semakin terserlah kejahilanku.”

Apa yang saya ingin maksudkan di sini adalah sikap sebahagian daripada rakan sosial saya di Facebook. Memang benar, saya suka mengepos mengenai politik. Tetapi ada yang tetamu tidak diundang suka mengepos mesej saya di dinding akaun saya. Apabila berhujah mereka selalunya gagal menjawab soalan yang ditanya dan biasanya mereka menjawab, “Sila rujuk buku Tok Guru.” Saya kekadang malas melayan karenah-karenah yang dangkal ini. Kekadang saya terpaksa membuat semula post saya kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa apabila mereka ini kalah di dalam berhujah.

Ada yang menyuruh saya membaca mengenai ‘tahalluf siasi’ dan suruh bertanya apabila terdapat kekeliruan. Apabila saya membaca dan bertanya semula mereka ini gagal menjawab dan memberi jawapan, “Sila baca buku Tok Guru.” walhal mereka ini yang suruh saya membaca dan bertanya apabila tidak faham . Saya merasa sinis dengan mereka ini dan mendakwa mereka ini merupakan ahli Usrah PAS namun gagal menjawab soalan yang dilontarkan. Seolah-olah mereka sahaja yang mengikut gerakan Islam di tanah air ini. Sedarlah saudara bahawa kita ini bukannya pandai sangat cuma hanya berlagak pandai.

Saya berasa kelakar juga dengan sikap ini dengan berdentum-dentum mengutuk kerajaan di dinding (wall) Facebook contohnya kerajaan rasuah, tidak demokratik dan sebagainya. Tetapi apabila ditanya mengenai sesuatu isu mereka akan terus menjawab, “Sila rujuk buku Tok Guru.” Sebab itu, saya mengibaratkan mereka seperti tin kosong yang hanya pandai mengeluarkan bunyi yang kuat dan lunak sahaja.

Bak kata Tun Dr. Mahathir, “ Tepuk dulang paku sepih, Mengata orang awak yang lebih.”

Sekian, terima kasih.

Panduan Menyimpan Menurut Surah Yusuf

Ayat-ayat al-Quran mempunyai terjemahan dan tafsirannya tersendiri. Al-Quran hanya menyatakan prinsip-prinsip ilmu kepada umat manusia. Manakala kita sebagai manusia biasa perlu mengkaji terjemahan dan tafsiran ayat al-Quran atau mempelajarinya terus daripada orang yang telah membuat kajian mengenai ayat-ayat al-Quran. Mungkin sekiranya kita membaca sendiri terjemahan ayat-ayat al-Quran, kita tidak akan memahami ayat-ayat tersebut secara terus kerana ia mengandungi maksud tersurat dan tersirat mengenai sesuatu. Adalah lebih baik sekiranya kita membaca buku-buku yang membincangkan terus mengenai tafsiran ayat-ayat al-Quran ini mengenai bab-bab tertentu. Contohnya adalah seperti berikut:


1. Sekiranya kita ingin mengetahui mengenai kisah-kisah kaum terdahulu di dalam al-Quran, adalah lebih baik kita membaca buku Kaum-kaum yang Pupus tulisan Harun Yahya. Buku ini memperincikan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kaum-kaum terdahulu yang sudah tiada lagi di alam yang fana ini. Kaum-kaum yang diceritkan dalam buku ini ialah kaum ‘Ad, Kaum Thamud, Kaum Saba’ dan lain-lain lagi.

2. Untuk mengetahui ayat-ayat al-Quran yang menyebut mengenai riba’ secara terperinci, adalah lebih baik kita membaca buku Riba dan Isu Kewangan Semasa tulisan Zaharuddin Abd. Rahman dan Riba : Perangkap Dosa Besar dalam Urusan Kewangan tulisan Hisham Ahmad.

Baiklah, pada kali ini saya ingin berkongsi dengan saudara dan saudari sekalian mengenai panduan menyimpan menurut Surah Yusuf : 47 yang dibincangkan di dalam buku Rancang Wang dari Sekarang tulisan Pakdi. Ayat tersebut berbunyi :

Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya ; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih) ” Surah Yusuf : 47-48

Daripada ayat di atas terutama ayat 47, ada tiga isi utama yang dapat kita fahami iaitu:

1. Menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam.
2. Biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya.
3. Kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Panduan Pertama

Dari isi pertama ayat di atas, kita perlu menyimpan dahulu pendapatan yang kita perolehi dan bukannya berbelanja dahulu dan menyimpan sekiranya ada lebihan. Formula yang sebetulnya untuk menyimpan adalah seperti berikut:

Gaji – Simpanan = Perbelanjaan

Adakah anda biasa mendengar bahawa ada yang mengatakan bahawa “Duit di hadapan mata jangan harap akan disimpan.” Ini adalah kerana bahawa kita akan menggunakan duit tersebut walaupun kita telah mengasingkannya dengan akaun lain. Memang betul, saya pun mengalami perkara sebegini. Ini adalah kerana kita akan berasa ‘gatal tangan’ untuk menggunakan duit tersebut setelah sampai satu ketika. Bagaimana supaya ia ‘tidak kelihatan di hadapan mata kita’ ? Tidak lain dan tidak bukan ialah kita perlu membuat potongan gaji ke tempat duit ini tidak dapat diambil ataupun di tempat yang tidak mempunyai kad ATM supaya menyekat tangan kita dari mengambilnya. Tidak lain dan tidak bukan ialah di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Tabung Haji (TH) ataupun di Koperasi syarikat anda,. Buat sahaja potongan gaji, InsyaAllah, ia akan membentuk disiplin anda untuk menyimpan. Saya ada juga membincangkan prinsip menyimpan menggunakan Konsep Sendal Baji sebelum ini (Klik di sini).

Duit perlu disimpan walaupun sedikit. Mungkin ada antara kita yang mungkin tidak mengusik gajinya sehingga tiga bulan dan ada yang tidak mampu menyimpan sehingga RM1,000 sebulan. Sedikit atau banyak pendapatan kita, kita perlu menyimpannya jua kerana prinsip utama pengurusan kewangan adalah menyimpan.

Kita bekerja dari bulan ke bulan. Jika kita menyimpan RM500 pada bulan ini, bulan depan kita menyimpan RM500 lagi, ini menjadikan kita lebih kaya pada bulan hadapan berbanding bulan ini sebanyak RM500. Menyimpan dan terus menyimpan. Kita tidak mungkin menjadi lebih kaya dengan berbanding orang lain. Pegang sahaja prinsip rezeki orang jangan diusik, rezeki diri sendiri kita pertahankan. Anda bagaimana?

Panduan Kedua

Biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya. Ayat ini menunjukkan bahawa gandum perlu dibiarkan pada tangkainya sahaja dan disimpan. Ini adalah untuk mengekalkan khasiat gandum sebelum tujuh tahun sebelum ia digunakan sewaktu tujuh tahun zaman kesusahan.

Apa yang kita boleh tamsilkan ayat ini kepada kita? Sudah tentu ayat ini menyuruh kita agar menukarkan duit kita kepada dalam bentuk aset ataupun komoditi seperti emas, perak, hartanah dan sebagainya. Kita perlu menukar duit kita dalam bentuk aset kerana supaya duit simpanan kita itu kalis inflasi. Duit RM50 dalam poket kita pada hari ini adalah tidak sama dengan nilainya untuk tempoh  5 tahun akan datang. Sekiranya anda tidak mahu menukar dalam bentuk aset sekalipun, anda boleh menyimpannya ditempat-tempat yang memberi pulangan dividen yang lebih tinggi daripada nilai inflasi tahunan semasa.

Setiap pendapat boleh diterima dan ditolak. Saya tertarik dengan ceramah Sheikh Imran Hussein yang menyatakan bahawa Islam hanya membenarkan urus niaga secara tunai sahaja. Memang betul, sekiranya kita ingin menukarkan duit kita ke dalam bentuk komoditi seperti emas pastikan ianya dibeli secara tunai.

Panduan Ketiga

Kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Ayat menyeru kepada kita supaya berbelanja setelah kita memperuntukkan jumlah untuk disimpan. Kita perlu tahu komitmen kita setiap bulan untuk makan minum, bil-bil, sewa, hutang-hutang dan sebagainya. Adalah tidak cerdik dipandang orang apabila kita berbelanja melebihi pendapatan kita setiap bulan. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad



Thursday, May 17, 2012

Ingin Kaya? Cepat Kahwin!

Adakah anda ingin kaya khususnya kepada orang yang masih bujang? Apa lagi cara bagi orang bujang yang lain dan tidak bukan iaitu berkahwin. Ini adalah benar melalui janji Allah dalam Surah an-Nur ayat 32 yang berbunyi: 

"Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmaNya dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui." Surah an-Nur : 32

Saya selalu menyebut peristiwa-peristiwa yang ajaib yang mempunyai kaitan dengan perintah dan larangan Allah di dalam al-Quran. Ini adalah kerana ayat-ayat al-Quran ini akan terus relevan sehingga hari kiamat. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai cerita seorang senior saya suatu ketika dahulu pada tahun 2007. Ketika beliau hendak berkahwin, beliau masih tidak mempunyai sebarang kerja bahkan masih belum bergraduat. Ditakdirkan bahawa pada malam beliau akad nikah, pada keesokan harinya beliau mendapat tawaran untuk menjadi cikgu. Hebat bukan? Anda bagaimana?

Sekian, terima kasih.

Tuesday, May 8, 2012

Peringkat-peringkat Pengharaman Riba’





Larangan Allah dalam mengambil riba' dalam Surah al-Baqarah 278-279

Kita sering teruja dengan sesuatu perkara yang besar seperti Negara Islam dan sebagainya sehinggakan kita tidak nampak larangan-larangan Allah yang telah kita lakukan sepertimana yang telah termaktub di dalam al-Quran. Sedarlah wahai saudara semua bahawa riba’ merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar. Ramai yang tidak sedar mengenai perkara ini. Dosa riba’ ini tidak sepertimana dosa-dosa yang lain seperti zina, khalwat dan sebagainya kerana jika seseorang mengambil riba’, seseorang itu tidak akan ditangkap, didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Seolah-olah wujud keredhaan di dalam sesebuah masyarakat terhadap dosa ini pada hari ini. Benar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:

Akan datang satu zaman di mana tidak terkecuali seorang pun melainkan ia makan Riba’ dan jika ia tidak makan sekalipun, ia akan ditimpa debu-debunya.” Riwayat Abu Daud

Realitinya, kata-kata nabi junjungan kita pada 1,400 tahun yang lalu terbukti benar dan telah berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai peringkat-peringkat pengharaman riba’ di dalam al-Quran dengan merujuk buku ‘Riba : Perangkap Dosa Besar dalam Urusan Kewangan’ karangan Hisham Ahmad. Sebelum itu, saya ingin menyebut peristiwa-peristiwa di mana perkara mengenai riba’ disebut dan dilalui sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. :

Peristiwa Pertama : Kisah Perang Tabuk

Kisah Perang Tabuk adalah kisah ujian keimanan yang hebat untuk menyertai perang yang begitu payah lagi mencabar sehingga terdedahlah manusia hipokrit dari yang tulen keimanannnya sedangkan kemenangan diberikan Allah s.w.t. tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Sudah tentu ada hikmah dan rahsia perencanaan Allah s.w.t. seperti yang ditulis dalam al-Quran. Dalam suasana perang dan cabaran yang hebat, dalam khutbah baginda di Tabuk, Rasul kita masih mengingatkan dan memberi amaran mengenai riba’.

Peristiwa Kedua : Haji Wida’

Ibadah Haji hanya sekali dilakukan oleh Rasullah dan ia dikenali sebagai haji wida’ (haji perpisahan). Itulah kemuncak ucapan (khutbah) baginda yang disampaikan di hadapan begitu ramai umat Islam di waktu ibadah haji paling penting iaitu wukuf di Arafah. Kemudian, turun wahyu mengatakan bahawa agama Islam itu telah sempurna dan lengkap.  Dalam khutbah baginda di sini, baginda menyebut mengenai riba’ kerana riba; merupakan perkara khusus dalam isu muamalat orang Islam dan tidak boleh ditinggalkan dalam ucapan baginda.

Peristiwa Ketiga : Isra’ dan Mikraj

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan suatu kisah ghaib luar biasa yang wajib dipercayai dan diimani. Besarnya dosa dan ngerinya balasan dosanya telah dibayangkan, digambarkan, dan divisualkan kepada nabi kita di mana baginda melihat lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Mereka ialah orang yang makan riba’ sepertimana yang diberitahu Jibril kepada baginda.

Itulah ketiga-tiga peristiwa di mana Rasullullah menyebut dan lalui mengenai riba’. Seterusnya di dalam al-Quran, terdapat 5 peringkat mengenai pengharaman riba’ iaitu:

Peringkat Pertama : Surah ar-Rum ayat 39

Dan sesuatu riba’ yang kamu lakukan agar menambahkan harta manusia, maka riba’ itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan  untuk mencapai keredhaan Allah, maka orang-orang ( yang berbuat demikian itulah orang-orang yang melipat-gandakan (pahalanya).” ar-Rum 39

Huraian: Ayat ini tidaklah menyatakan larangan tetapi hanya mengemukakan bahawa riba’ itu tidaklah disukai dan tiada keberkatan padanya. Sebaliknya, zakat (sedekah) diberikan keberkatan pada harta dan diberi pahala berganda.

Peringkat Kedua : Surah an-Nisa’ ayat 160 dan 161

“Kerana kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan bagi mereka makanan yang baik-baik yang (dahulu) pernah dihalalkan; dan kerana mereka sering menghalang (orang lain) dari jalan Allah. Dan kerana mereka menjalankan riba’, padahal sungguh mereka telah dilarang darinya, dan kerana mereka makan harta orang dengan secara tidak sah (batil). Dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih.” an-Nisa’ 160-161

Huraian : Ayat ini tidak menyebut larangan riba’, tetapi hanya memberi sangkaan akan munculnya larangan riba’.

Peringkat Ketiga : Surah ali Imran ayat 130

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan riba’ dengan berlipat-ganda dan bertawakkallah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.” ali-Imran 130

Huraian : Ayat ini seperti memberi kefahaman bahawa riba’ yang haram ialah hanya yang berlipat kali ganda. Ini tidak benar. Ia hanya permulaan kepada pengharaman disusuli pengharaman secara total. Kedudukan riba’ sama ada sedikit atau banyak, hukumnya tetap haram dan berdosa besar sepertimana disebut selepas ini.

Peringkat Keempat : Surah al-Baqarah ayat 278-279

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki-baki riba’ itu, sekiranya kamu benar-benar orang yang beriman, sekiranya kamu masih enggan (tidak meninggalkan riba’) sediakan diri kamu dengan suatu peperangan dari Allah dan Rasul-Nya tetapi jika kamu bertaubat (daripada mengambil riba’) maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak dianiaya dan tidak (pula) dianiaya.” Surah al-Baqarah 278-279


Huraian : Di sini, penetapan pengharaman riba’ adalah tanpa had dan kadar. Menurut Ibnu Abbas iaitu pakar tafsir sedunia selepas Nabi Muhammad s.a.w. , ayat ini tidak bersifat majazi (perumpamaan) tetapi ia adalah bersifat hakiki iaitu kita mengisytiharkan perang terhadap Allah dan Rasul apabila mengambil riba’ (rujuk Ceramah Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman)

Peringkat Kelima : Surah al-Baqarah ayat 275

“ Orang-orang yang makan (mengambil) riba’ itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang gila yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti riba’. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba’. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba’), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba’ itu) maka mereka itulah ahli neraka,  mereka kekal di dalamnay.” Surah al-Baqarah 275

Huraian: Ayat ini Ayat ini memeteraikan dan mengesahkan larangan dan pengharaman riba’ secara menyeluruh dalam apa jua bentuk dan keadaan, sedikit atau banyak.

Daripada peringkat-peringkat pengharaman riba’ di atas, dapat kita fahami bahawa Islam mengharamkan sesuatu secara berperingkat seperti pengharaman minum arak. Semoga dengan menghayati peringkat pengharaman riba’ ini, ia dapat menambah ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. 

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad