Larangan Allah dalam mengambil riba' dalam Surah al-Baqarah 278-279 |
Kita sering teruja
dengan sesuatu perkara yang besar seperti Negara Islam dan sebagainya sehinggakan kita tidak nampak
larangan-larangan Allah yang telah kita lakukan sepertimana yang telah
termaktub di dalam al-Quran. Sedarlah wahai saudara semua bahawa riba’
merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar. Ramai yang tidak sedar mengenai
perkara ini. Dosa riba’ ini tidak sepertimana dosa-dosa yang lain seperti zina,
khalwat dan sebagainya kerana jika seseorang mengambil riba’, seseorang itu
tidak akan ditangkap, didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Seolah-olah wujud
keredhaan di dalam sesebuah masyarakat terhadap dosa ini pada hari ini. Benar
kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi:
“Akan datang satu zaman di mana tidak terkecuali seorang pun melainkan
ia makan Riba’ dan jika ia tidak makan sekalipun, ia akan ditimpa debu-debunya.”
Riwayat Abu Daud
Realitinya, kata-kata nabi junjungan
kita pada 1,400 tahun yang lalu terbukti benar dan telah berlaku dalam
masyarakat kita pada hari ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai
peringkat-peringkat pengharaman riba’ di dalam al-Quran dengan merujuk buku
‘Riba : Perangkap Dosa Besar dalam Urusan Kewangan’ karangan Hisham Ahmad.
Sebelum itu, saya ingin menyebut peristiwa-peristiwa di mana perkara mengenai
riba’ disebut dan dilalui sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. :
Peristiwa
Pertama : Kisah Perang Tabuk
Kisah Perang Tabuk adalah kisah ujian
keimanan yang hebat untuk menyertai perang yang begitu payah lagi mencabar
sehingga terdedahlah manusia hipokrit dari yang tulen keimanannnya sedangkan
kemenangan diberikan Allah s.w.t. tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Sudah
tentu ada hikmah dan rahsia perencanaan Allah s.w.t. seperti yang ditulis dalam
al-Quran. Dalam suasana perang dan cabaran yang hebat, dalam khutbah baginda di
Tabuk, Rasul kita masih mengingatkan dan memberi amaran mengenai riba’.
Peristiwa
Kedua : Haji Wida’
Ibadah Haji hanya sekali dilakukan oleh
Rasullah dan ia dikenali sebagai haji wida’ (haji perpisahan). Itulah kemuncak
ucapan (khutbah) baginda yang disampaikan di hadapan begitu ramai umat Islam di
waktu ibadah haji paling penting iaitu wukuf di Arafah. Kemudian, turun wahyu
mengatakan bahawa agama Islam itu telah sempurna dan lengkap. Dalam khutbah baginda di sini, baginda
menyebut mengenai riba’ kerana riba; merupakan perkara khusus dalam isu
muamalat orang Islam dan tidak boleh ditinggalkan dalam ucapan baginda.
Peristiwa
Ketiga : Isra’ dan Mikraj
Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan
suatu kisah ghaib luar biasa yang wajib dipercayai dan diimani. Besarnya dosa
dan ngerinya balasan dosanya telah dibayangkan, digambarkan, dan divisualkan
kepada nabi kita di mana baginda melihat lelaki yang berenang dalam sungai
darah dan dilontarkan batu. Mereka ialah orang yang makan riba’ sepertimana
yang diberitahu Jibril kepada baginda.
Itulah ketiga-tiga peristiwa di mana
Rasullullah menyebut dan lalui mengenai riba’. Seterusnya di dalam al-Quran,
terdapat 5 peringkat mengenai pengharaman riba’ iaitu:
Peringkat
Pertama : Surah ar-Rum ayat 39
“Dan
sesuatu riba’ yang kamu lakukan agar menambahkan harta manusia, maka riba’ itu
tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang
kamu maksudkan untuk mencapai keredhaan
Allah, maka orang-orang ( yang berbuat demikian itulah orang-orang yang
melipat-gandakan (pahalanya).” ar-Rum 39
Huraian: Ayat ini tidaklah menyatakan
larangan tetapi hanya mengemukakan bahawa riba’ itu tidaklah disukai dan tiada
keberkatan padanya. Sebaliknya, zakat (sedekah) diberikan keberkatan pada harta
dan diberi pahala berganda.
Peringkat
Kedua : Surah an-Nisa’ ayat 160 dan 161
“Kerana
kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan bagi mereka makanan yang baik-baik
yang (dahulu) pernah dihalalkan; dan kerana mereka sering menghalang (orang
lain) dari jalan Allah. Dan kerana mereka menjalankan riba’, padahal sungguh
mereka telah dilarang darinya, dan kerana mereka makan harta orang dengan
secara tidak sah (batil). Dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir di antara
mereka azab yang pedih.” an-Nisa’
160-161
Huraian : Ayat ini tidak menyebut
larangan riba’, tetapi hanya memberi sangkaan akan munculnya larangan riba’.
Peringkat
Ketiga : Surah ali Imran ayat 130
“Wahai
orang yang beriman, janganlah kamu makan riba’ dengan berlipat-ganda dan
bertawakkallah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.” ali-Imran 130
Huraian : Ayat ini seperti memberi
kefahaman bahawa riba’ yang haram ialah hanya yang berlipat kali ganda. Ini
tidak benar. Ia hanya permulaan kepada pengharaman disusuli pengharaman secara
total. Kedudukan riba’ sama ada sedikit atau banyak, hukumnya tetap haram dan
berdosa besar sepertimana disebut selepas ini.
Peringkat
Keempat : Surah al-Baqarah ayat 278-279
“Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan
saki-baki riba’ itu, sekiranya kamu benar-benar orang yang beriman, sekiranya
kamu masih enggan (tidak meninggalkan riba’) sediakan diri kamu dengan suatu
peperangan dari Allah dan Rasul-Nya tetapi jika kamu bertaubat (daripada mengambil
riba’) maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak dianiaya dan tidak (pula)
dianiaya.” Surah al-Baqarah 278-279
Huraian : Di sini, penetapan pengharaman
riba’ adalah tanpa had dan kadar. Menurut Ibnu Abbas iaitu pakar tafsir sedunia
selepas Nabi Muhammad s.a.w. , ayat ini tidak bersifat majazi (perumpamaan)
tetapi ia adalah bersifat hakiki iaitu kita mengisytiharkan perang terhadap
Allah dan Rasul apabila mengambil riba’ (rujuk Ceramah Ustaz Zaharuddin Abdul
Rahman)
Peringkat
Kelima : Surah al-Baqarah ayat 275
“
Orang-orang yang makan (mengambil) riba’ itu tidak dapat berdiri betul
melainkan seperti berdirinya orang gila yang dirasuk syaitan dengan
terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan
mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti
riba’. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan
mengharamkan riba’. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan
(larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba’), maka
apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi
haknya, dan perkaranya terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi
(perbuatan mengambil riba’ itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnay.” Surah al-Baqarah 275
Huraian: Ayat ini Ayat ini memeteraikan
dan mengesahkan larangan dan pengharaman riba’ secara menyeluruh dalam apa jua
bentuk dan keadaan, sedikit atau banyak.
Daripada peringkat-peringkat pengharaman
riba’ di atas, dapat kita fahami bahawa Islam mengharamkan sesuatu secara
berperingkat seperti pengharaman minum arak. Semoga dengan menghayati peringkat
pengharaman riba’ ini, ia dapat menambah ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.
Sekian, terima kasih.
Wan
Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad
No comments:
Post a Comment