Monday, March 30, 2015

Menerbit Buku Ibarat Menerbit Filem


Terdapat 2 jenis barang yang boleh dijual kepada orang ramai iaitu barang yang mempunyai jualan berulang dan barang yang tidak mempunyai jualan berulang.

Barang yang mempunyai jualan ulangan atau repeat sale adalah barang yang mempunyai permintaan yang berterusan sepanjang masa walaupun daripada seorang pelanggan. Contohnya ialah ubat kencing manis yang dijual oleh syarikat jualan langsung. Jika ubat tersebut baik, maka seseorang pelanggan akan terus membelinya dari semasa ke semasa.

Manakala barang yang tidak memerlukan jualan ulangan atau repeat sale ialah barang yang hanya dibeli sekali sahaja oleh pelanggan. Contoh yang mudah ialah menulis dan membuat jualan buku. Sesebuah buku tidak akan dibeli oleh pelanggan yang sama lebih daripada sekali. Jika beli lebih daripada sekalipun, ia hanya untuk dijadikan hadiah untuk rakan kenalan yang terdekat.

Jualan buku umpama jualan filem. Sesuatu filem akan panas dan meletup di panggung wayang sewaktu ianya mula-mula diterbitkan dan ditayangkan sahaja. Mungkin 3 bulan pertama sahaja. Selepas itu, ia mula menjadi suam-suam suku dan kemudian orang tidak menontonnya lagi selepas muncul lambakan filem baru selepas itu.

Contohnya pada tahun 2014, filem yang pecah panggung ialah Abang Long Fadhil yang mencatat kutipan sebanyak RM4.61 juta dalam masa 29 hari! Begitu juga dengan kutipan filem Balistik yang mencatat kutipan sebanyak RM2.27 juta dalam masa 21 hari! Kemudian, apabila masuk tahun 2015, muncul pula filem-filem baru yang menyebabkan filem-filem yang telah diterbitkan sebelumnya tenggelam.

Jika kita melihat proses sesebuah filem itu diterbitkan, ia mengambil masa 2 tahun walhal orang sebenarnya menonton sesebuah filem 2 jam sahaja! Begitu juga dengan buku, di mana seseorang itu mengambil masa hampir 2 tahun untuk menyiapkannya walhal seseorang pembaca boleh menghabiskan bacaannnya beberapa hari sahaja.

Tetapi kedua-duanya membawa pulangan lumayan jika kena caranya! Namun, usahlah kita bergantung kepada sesuatu produk sahaja untuk menerbitkan buku. Seseorang penulis itu perlu menerbitkan bukunya secara berkala supaya bisnes bukunya sentiasa segar sepanjang masa.

Umpama menulis blog. Ramai orang yang menulis blog dalam tempoh sekejap sahaja. Alasannya ialah tiada orang hendak baca. Sedarlah saudara bahawa untuk menulis itu memerlukan komitmen yang tinggi – Tidak mengharapkan duit daripada iklan nuffnang, komen pelawat dan sebagainya. Ianya adalah proses untuk mengejar kepuasan! Jika tulisan anda bagus dan sentiasa mengemaskini blog anda secara berkala, percayalah bahawa anda akan mempunyai peminat yang tersendiri!

Pendek kata, timbal terbalik menerbit filem dan buku sama sahaja di mana ia mencatat jualan panas ketika ia mula-mula diterbitkan sahaja.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpot.com

Wednesday, March 18, 2015

Tip Berpakaian Untuk Lelaki

 
 
Anda jangan fikir bahawa jika anda ke mana-mana khususnya ke pejabat, anda boleh memakai baju dan seluar serta tali pinggang dan kasut dengan sewenang-wenangnya khususnya daripada segi kombinasi warna. Jika anda silap dalam pemilihan kombinasi warna, orang akan menganggap anda tidak tahu etika untuk berpakaian apatah lagi ketika menghadiri temuduga.
 
Di sini saya kongsikan beberapa tip khusus untuk berpakaian bagi lelaki :
 
1. Baju dan Seluar
 
Bagi baju dan seluar, pastikan kombinasi warna adalah tidak sama atau bertentangan. Jika baju anda berwarna gelap, anda perlu berseluar warna cerah. Begitu juga jika baju anda berwarna cerah maka anda perlu berseluar warna gelap.
 
Jika anda berbaju gelap, jangan pula berseluar warna gelap. Begitu juga jika anda berbaju cerah, jangan pula berseluar cerah. Adalah menjadi kesilapan sebahagian orang apabila berpakaian begini.
 
Contohnya ialah jika baju anda berwarna putih, anda perlu memakai seluar berwarna hitam ataupun biru gelap. Elakkan jika berpakaian putih maka anda berseluar berwarna kuning kerana ini kombinasi warna cerah.
 
2. Tali Pinggang dan Kasut
 
Kombinasi warna tali pinggang dan kasut adalah perkara yang sering diabaikan oleh ramai orang lelaki.
 
Tahukah anda bahawa pemakaian tali pinggang dan kasut sebenarnya mempunyai kombinasi warna tersendiri?
 
Kombinasinya ialah ianya perlu sama antara satu sama lain. Jika tali pinggang berwarna hitam, maka kasut perlu berwarna hitam. Beigtu juga jika tali pinggang berwarna koko maka kasut perlu berwarna koko.
 
Orang yang memakai tali pinggang koko sering melakukan kesilapan kerana mereka kerap akan memakai kasut berwarna hitam. Ini adalah perkara yang sering diabaikan oleh orang ramai. 
 
Sepatutnya ialah apabila memakai tali pinggang berwarna koko, maka kasut pun perlu berwarna koko. Begitu juga dengan tali pinggang hitam di mana kasut perlu juga berwarna hitam.
 
Setakat ini sahaja tip-tip yang boleh berkongsi dengan saya. Saya mengalu-alukan sekiranya anda dapat share artikel ini kerana ramai orang tidak mengetahui perkara ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, March 9, 2015

Kotor tetapi Suci dan Bersih tetapi Tidak Suci

Kotor tetapi suci dan bersih tetapi tidak suci – Rasa pelik tak tajuk entri yang saya tulis pada kali ini? Memang pelik jika kita fahami betul-betul maksud dan makna tajuk ini.
 
Jika sesuatu pakaian kotor, tidak semestinya ia tidak suci dan jika sesuatu pakaian itu bersih tidak semestinya ianya suci.
Jika kita fahami betul-betul syarat sah solat, salah satu syarat sah solat ialah kita perlu suci daripada najis pada pakaian atau badan kita bukannya bersih daripada segala kekotoran.
Bagaimana jika sesuatu pakaian itu kotor tetapi suci? Sudah tentu solat kita adalah sah jika kita gunakan. Contohnya ialah kita memakai sehelai baju yang sudah seminggu tidak dibasuh. Sudah tentu segala kotoran akan melekat pada pakaian kita tetapi masih belum terkena najis. Selagi mana baju ini masih belum terkena najis, selagi itu ianya sah untuk dipakai ketika solat.
Jika pakaian itu terkena najis dan dibasuh tetapi tidak suci, sudah tentu pakaian ini tidak sah jika digunakan untuk menunaikan solat. Contohnya, sehelai baju yang terkena najis kemudian direndam selama beberapa hari dengan sabun basuh. Kemudian, baju ini terus dijemus tanpa dibilas untuk membuang semua saki-baki najis yang masih terdapat pada baju tersebut. Baju ini sudah pasti tidak sah untuk digunakan ketika solat walaupun berbau wangi kerana masih tidak suci.
Begitu juga halnya dengan kulit kita. Sesuatu yang dikategorikan sebagai najis yang keluar daripada kulit kita ialah darah dan nanah. Selainnya ia tidak dikira sebagai najis. Contohnya, ada air yang keluar dari kulit kita kerana kita ada masalah kulit. Air ini tidak dikira sebagai najis dan ianya adalah kotoran. Jika ia terkena pada pakaian kita, pakaian kita masih sah untuk digunakan dalam solat.
Jelaslah di sini bahawa suci dan bersih itu sebenarnya membawa erti yang berbeza dari sudut fekah khususnya apabila kita ingin memakai sesuatu pakaian dalam solat. Apa yang penting di sini kita harus jelas bahawa yang kotor itu tidak semestinya tidak suci dan yang bersih itu tidak semestinya suci.
Wallhua’lam.