Thursday, May 30, 2013

Adakah Mutu Sukan Negara Merosot kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Adakah mutu sukan negara kita merosot disebabkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)? Sememangnya kita perlu memikirkan perkara ini. Sekiranya kita melihat sejarah sukan negara kita sebelum tahun 1970-an dan sekitar awal tahun 1970-an, prestasi sukan negara kita amat cemerlang sekali. Saya sememangnya tidak berminat dengan sukan melainkan saya hanya menyertai sukan untuk pertahanan diri sahaja. Idea ini sebenarnya saya petik daripada buku Kee Thuan Chye yang bertajuk “Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia” di mana beliau menyatakan pandangan bahawa mutu sukan negara merosot disebabkan oleh DEB.
Siapa tidak kenal dengan Mokhtar Dahari iaitu lagenda bola sepak negara bahkan pasukan bola sepak kita suatu ketika dahulu boleh menyertai perlawanan sehingga peringkat akhir di temasya olimpik. Pasukan bola sepak negara juga adalah setanding dengan Korea Selatan.
Sekiranya kita melihat trend mutu sukan sebelum dan selepas pelaksanaan DEB, kita boleh dapati bahawa terdapat perbezaan mutu sukan negara antara 2 tempoh tersebut di mana selepas pelaksanaan DEB, kita dapat melihat bahawa mutu sukan negara adalah merosot selepas tempoh pelaksanaan DEB. Sebelum pelaksanaan DEB, negara kita mempunyai atlet yang hebat seperti Jegathesan, Rajamani, Ishtiaq Mokhtar, dan Nashatar Singh.
Tidak dinafikan bahawa DEB sememangnya memberi kelebihan kepada golongan bumiputera khususnya orang melayu untuk terlibat dalam bidang ekonomi. Namun begitu, selain bidang ekonomi orang-orang melayu juga mendapat manfaat lain seperti pendidikan mahupun sukan.
Jika kita melihat penakluk Gunung Everest pertama Malaysia yang merupakan seorang india, beliau kurang diraikan sekembalinya pulang ke tanah air. Teringat saya sewaktu darjah 6 pada tahun 1997, terdapat seorang pendaki melayu yang tidak dapat meneruskan pendakian beliau sehingga ke puncak kerana mengalami cirit-birit.
Lain pula dengan Abdul Malek Mydin yang dianugerahkan gelaran “Datuk” apabila berjaya menyeberangi Selat Inggeris dengan tempoh masa 17 jam 40+ minit (Saya tidak tahu dia menunaikan solat fardhu bagaimana). Sebenarnya terdapat budak lelaki yang berusia 11 tahun telah menyeberangi Selat Inggeris pada tahun 1988 iaitu Thomas Gregory dengan catatan masa 11 jam 54 minit iaitu suatu rekod yang lebih baik daripada Abdul Malek Mydin.
Apabila adik-beradik Sidek berjaya menjadi lagenda badminton negara, kita jangan lupa bahawa terdapat atlet-atlet bukan melayu yang telah menceburi badminton seperti Wong Peng Soon, Ong Poh Lim, Ooi Teik Hock, Eddy Choong, Tan Aik Huang, Tan Yee Khan, Ng Boo Bee dan lain-lain lagi. Pencapaian bukan melayu dalam sukan badminton nampaknya telah dikaburkan.
Begitu juga apabila Mohd Hafiz Hashim memenangi juara perseorangan All-England pada tahun 2003, dia diberi kereta, tanah, wang dan keraian hero ketika beliau pulang. Berbanding dengan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang memenangi juara All-England doubles pada bulan Mac 2007, mereka hanya diberikan segelintir berbanding apa yang diberikan kepada Mohd Hafiz. Apa yang menyedihkan Mohd Hafiz Hashim tidak berjaya mengatasi pencapaiannya sejak tahun 2003 sehingga sekarang.
Jika kita melihat anugerah yang diberikan pencapaian di antara orang melayu dan orang bukan melayu dalam arena sukan, terdapat layanan yang lebih ‘special’ kepada orang melayu. Adakah ini menyebabkan orang bukan melayu tidak mahu menyertai sukan dan seterusnya mengharumkan nama negara di persada dunia disebabkan oleh layanan yang diberikan kepada mereka selepas DEB dilaksanakan?
Mungkin ya atau mungkin tidak. Sekiranya kita ingin mengatakan DEB menyekat kemajuan bangsa selain melayu dalam arena sukan, kita jangan lupa bahawa Datuk Lee Chow Wei dan Datuk Nicol David juga diberi layanan yang serupa seperti orang melayu yang lain seperti dianugerahkan gelaran “Datuk” dengan pencapaiaan masing-masing bahkan jurulatih Lee Chow Wei sekalipun adalah adik-beradik Sidek. Oleh itu, jika kita ingin mengatakan bahawa DEB adalah penyebab mutu sukan negara merosot adalah tidak benar sama sekali.
Memang benar bahawa sekiranya kita melihat sekali imbas, terdapat layanan yang berbeza di antara orang melayu dan bukan melayu contohnya dalam kes Mohd Hafiz Hashim. Ironinya, nama Mohd Hafiz Hashim sudah tenggelam sejak 10 tahun yang iaitu sejak tahun 2003 apabila dia tidak lagi menjuarai mana-mana pertandingan badminton lagi. Jika dibandingkan dengan Lee Chow Wei, Lee Chow Wei lebih banya mendapat anugerah berbanding Mohd Hafiz Hashim. Oleh itu, saya fikir tidak wujud diskriminasi antara melayu dan bukan melayu dalam arena sukan.
Begitu juga dengan Piala Thomas, Tanah Melayu merupakan negara pertama yang menjuarai piala berprestij tersebut di mana pemain-pemainnya adalah terdiri daripada orang-orang bukan melayu. Tetapi kita perlu ingat bahawa ketika itu, Tanah Melayu masih lagi di bawah pentadbiran British.
Pendek kata, apa yang dikatakan oleh Kee Thuan Chye hanyalah tuduhan kosong semata-mata yang menyatakan bahawa DEB adalah penyebab mutu sukan negara merosot. Bukunya itu hanyalah bersifat menghasut supaya orang membenci DEB seolah-olah bangsa lain tidak mendapat manfaat dalam arena sukan negara.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
 
Sumber :
1. Kee Thuan Chye, 2012, Jangan Kelentong Lagi, Kita Semua Orang Malaysia.

Monday, May 20, 2013

Mendisiplinkan Diri Melalui Pembacaan al-Quran

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

“Jika kita meninggalkan al-Quran satu hari, al-Quran akan meninggalkan kita seminggu. Sekiranya kita meninggalkan al-Quran seminggu, al-Quran akan meninggalkan kita setahun. Sekiranya kita meninggalkan al-Quran satu tahun, al-Quran akan meninggalkan kita selama-lamanya.”

Begitulah pesanan guru saya sewaktu persekolahan suatu ketika dahulu.

Tidak dinafikan bahawa ibadat-ibadat dalam ajaran Islam melatih kita untuk berdisiplin. Sekiranya kita sentiasa mendirikan solat pada awal waktu 5 waktu sehari semalam, ia melatih diri kita untuk berdisiplin menepati waktu. Ada seorang usahawan yang berjaya kerana beliau sentiasa berdisiplinkan solat berjemaah di masjid 5 waktu sehari semalam. Bahkan orang yang solat di awal waktu akan dimurahkan rezeki buat dirinya.

Berbalik kepada mendisplinkan diri melalui pembacaan al-Quran. Al-Quran mashaf Uthmani mengandungi 604 mukasurat dengan 30 juzuk.

Sekiranya kita membaca sejuzuk sehari, maka kita dapat mengkhatamkan al-Quran sebulan sekali iaitu dengan 5 muka surat sekali setiap kali selepas menunaikan solat fardhu kerana setiap juzuk mengandungi 20 muka surat.

Sekiranya kita membaca 2 helai atau 4 mukasurat sehari, kita dapat mengkhatamkan al-Quran dalam masa 151 hari atau 5 bulan sekali. Dengan ini, kita boleh mengkhatamkan al-Quran 2 kali setahun.

Sekiranya kita malas sekalipun kita boleh membaca 1 helai atau 2 mukasurat sehari, maka kita akan mengkhatamkan al-Quran dalam masa 302 hari atau sekurang-kurangnya 1 kali setahun.

Begitulah mudahnya untuk kita beribadat dengan membaca al-Quran. Jangan jadikan alasan kerana penat bekerja setiap hari sehinggakan tiada masa untuk membaca al-Quran. Paksakan diri anda. Bak kata Imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.”

Semoga kita sentiasa dianugerahkan oleh Allah hidayah untuk membaca al-Quran sentiasa.

Sekian, terima kasih.

 

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, May 15, 2013

Zaman Kegemilangan UMNO yang Sudah pun Berlalu...

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
Salah satu tandanya kewujudan Allah s.w.t. ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. hatta kita sebagai manusia sekalipun akan mati suatu hari nanti. Begitulah dengan Parti Umno yang telah mengalami zaman kemerosotannya sekarang bermula tahun 2008. Era 1990-an merupakan era di mana Umno melalui zaman kegemilangannya. Hatta kalau diletak tandan pisang sekalipun sebagai calon pilihanraya orang akan tetap akan memilih tandan pisang daripada calon pembangkang. Hari ini Umno mengharapkan sokongan talian harap untuk terus hidup seperti memainkan isu perkauman, memburuk-burukan pemimpin pembangkang, menabur wang dan sebagainya. Siapa sangka Umno boleh tumbang di Negeri Selangor dan juga Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Hari ini Umno sudah tidak mampu lagi merampas kembali negeri perindustrian tersebut daripada pembangkang. Masa hadapan Umno sekarang adalah terletak kepada para pemimpinnya sekarang sama ada untuk berubah ataupun rebah.
 

TPM dan PM - Anwar dan Mahathir
 
 
Menteri Besar dan Perdana Menteri Paling Lama Berkhidmat - Tok Guru dan Dr. M
 
 
Kepercayaan Mahathir Kepada Anwar yang Tidak kekal
 

Anwar yang Menjadi Pilihan Daim Dahulu Sekarang Tidak Lagi
 

Gambar Popular Anwar dan Mahathir di Laman Sosial
 
 
Anwar Calon Utama Daim untuk Menggantikan Beliau Sebagai Menteri Kewangan
 

Cinta Lara Anwar-Mahathir yang Berakhir dengan Permusuhan
 
 

 
Dulu Membentangkan Belanjawan Kerajaan. Sekarang Mengkritik Belanjawan Kerajaan di Parlimen. Itulah Roda Kehidupan Anwar.
 
 
Mungkinkah Umno akan melalui zaman kegemilangannya lagi? Wallhua'lam.
 
Sekian, terima kasih.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, May 13, 2013

Pasca PRU-13 : Mungkinkah Ku Li Akan Menjadi PM Ke-7?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Najib gagal. Itu sahaja yang boleh dilafazkan kepada Najib selepas gagal mengemudi bahtera Barisan Nasional (BN) menongkah arus badai pada PRU-13 yang lalu. Prestasi pada kali ini lebih teruk daripada prestasi Abdullah pada PRU-12 tahun 2008 yang lalu.
Nampaknya Anwar adalah bukan lawan Najib pada PRU kali ini di mana kedua-duanya masing-masing mengepalai Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Ternyata Najib pada kali ini rebah kepada Dato’ Seri Anwar. Pak Lah tentu boleh berbangga bahawa prestasi beliau pada PRU tahun 2008 lebih baik daripada PRU pada kali ini.
Ternyata Najib bukanlah seorang pahlawan atau wira yang boleh membawa Barisan Nasional ke tahap yang lebih tinggi. Beliau gagal untuk menghadapi serangan bertubi-tubi pihak pembangkang setiap hari dari segenap isu. Kerajaan beliau dilihat lebih suka memburukkan isu peribadi pemimpin pembangkang daripada membincangkan terus isu-isu pokok permasalahan rakyat. Jemputan Dato’ Seri Anwar untuk berdebat isu ekonomi suatu ketika dahulu ditolak oleh beliau. Produk 1Malaysia yang menelan belanja RM7.6 bilion nampaknya tidak berjaya. Baling batu dan terus lari itulah sikap yang ditunjukkan oleh beliau setiap kali pembentangan belanjawan tahunan dibuat dengan menghentam pembangkang ketika itu.
Teori ‘Rahman’ sudah menemui penghujungnya daripada Tunku Abdul Rahman (R), Abdul Razak (A), Tun Hussein Onn (H), Tun Dr. Mahathir (M), Tun Abdullah (A), dan Datuk Seri Najib (N). Genaplah pusingan pertama untuk teori ‘Rahman’. Mungkin tiba kali ini untuk teori ‘Rahman’ untuk kali kedua di mana ‘R’ pada kali ini untuk ‘Razaleigh’ iaitu Tengku Razaleigh Hamzah iaitu bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn.
Zaman kegemilangan Umno seolah-olah sudah mulai pudar. Ketika era 80-an dan 90-an, Umno begitu gah dengan tokoh-tokoh politiknya yang hebat seperti Tun Musa Hitam, Ku Li, Dato’ Seri Anwar, Tun Daim Zainuddin, Tun Dr. Mahathir dan sebagainya. Kini Umno kelihatan lesu kerana tiada lagi pemimpin-pemimpin yang hebat untuk mengepalai parti itu. Tiada lagi pemimpin-pemimpin yang hebat melainkan pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah dan jika ada sekalipun pemimpin itu tidaklah menonjol sehebat mana apatah lagi dihormati oleh pemimpin-pemimpin parti komponen yang lain.
Saya tidak nampak pemimpin yang boleh menggantikan Najib sekiranya berlaku peralihan kuasa pada kali ini melainkan Tengku Razaleigh Hamzah. Walaupun beliau merupakan tokoh veteran namun jasa dan sumbangan beliau kepada parti dipandang sepi oleh pemimpin Umno. Mungkinkah rezeki beliau untuk menjadi Perdana Menteri akan tiba pada kali ini?
Ku Li memang bercita-cita untuk menjadi PM sejak dahulu lagi namun rezeki adalah tidak menyebelahi beliau di mana rezeki adalah menyebelahi Tun Dr. Mahathir. Ketika Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai 4 orang calon untuk dilantik menjadi Timbalan beliau iaitu Tan Sri Ghazali Shafie dan 3 orang Naib Presiden Umno iaitu Dr. Mahathir, Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah. Antara calon utama yang mejadi pilihan Tun Hussein ialah Ghafar Baba dan Razaleigh Hamzah. Namun setelah didesak berkali-kali oleh Ku Li, akhirnya Dr. Mahathir dipilih oleh Tun Hussein memandangkan Dr. Mahathir tua lebih 10 tahun daripada Ku Li. Selain itu, Dr. Mahathir juga seorang yang berkelayakan, berani, tegas dan berpandangan jauh.
Ku Li juga meminta agar Tun Hussein Onn melantik beliau menjadi Menteri Kewangan walaupun secara tradisi menteri tersebut diisi oleh MCA. Ini adalah untuk meneruskan legasi Tun Abdul Razak bagi menyusun ekonomi di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di bawah Ku Li, beliau menubuhkan Petronas, Pernas, Bank Bumputera dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB).
Sehinggalah Tun Hussein Onn mengalami masalah kesihatan sebelum bersara menjadi Perdana Menteri. Beliau bercadang ingin melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri walaupun terpaksa mengenepikan Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Tun Hussein menyatakan kepada Ku Li :
“Li, I don’t trust him to take over my place. Dan you mesti ingat Li tiada dalam perlembagaan menyebut seseorang Timbalan Perdana Menteri secara automatik menjadi Perdana Menteri apabila berlaku sesuatu kekosongan. I want you to be the next prime minister after me, no him..not him.”
Akhirnya setelah dipujuk berkali-kali ole Ku Li, Tun Hussein bersetuju melantik Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ketika ini perjanjian dibuat di mana apabila Dr. Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn, beliau akan melantik pula Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Dr. Mahathir pula, Tun Hussein Onn tidak memilih Ghafar Baba kerana tidak mengenali beliau walaupun menerima undi tertinggi bagi calon Naib Presiden. Tengku Razaleigh Hamzah pula tidak dipilih kerana membelakangkan Tun Hussein sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apabila berurusan terus dengan Tun Abdul Razak. Ketika Ku Li menjadi pengerusi Petronas dan Pernas, beliau memohon RM100 juta untuk setiap syarikat. Beliau melapor terus kepada Tun Abdul Razak dan membelakangkan Tun Hussein Onn sebagai Ketua Perbendaharaan. Oleh itu, Tun Hussein memilih beliau (Dr. Mahathir).
Namun ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri selepas tempoh 3 bulan, nasib betul-betul tidak menyebelahi Ku Li apabila Dr. Mahathir mengatakan bahawa biarlah jawatan Timbalan Perdana Menteri ditentukan sendiri oleh ahli-ahli Umno melalui pertandingan Timbalan Presiden Umno apabila dikosongkan oleh Dr. Mahathir. Ku Li terpaksa menentang Tun Musa Hitam dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno. Beliau kalah kepada Tun Musa Hitam sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1981 dan 1984. Jelas nasib betul-betul tidak menyebelahi Ku Li ketika itu.
Seterusnya Ku Li menentang Dr. Mahathir dalam pemilihan Presiden Umno pada tahun 1987. Ku Li sebenarnya diminta Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn bagi menentang Dr. Mahathir kerana Umno telah tersasar dari pejuangannya. Dalam pertandingan itu, Dr. Mahathir telah memenangi undi majoriti sebanyak 43 undi sahaja. Sebenarnya, semasa pengiraan undi dibuat Tengku Razaleigh telah dikatakan menenangi pertandingan tersebut. Namun, berlaku kejadian ‘lampu padam’. Sewaktu berlaku ‘lampu padam’ di bilik mengundi, irama muzik masih kedengaran dan alat penghawa dingin terus berfungsi dan setelah lampu dinyalakan semula, Dr. Mahathir diisytiharkan sebagai pemenang.
Semasa Pemilihan Presiden Umno 1987, Tengku Razaleigh telah menjual hartanah beliau yang terletak berhampiran padang lumba kuda di Kuala Lumpur kepada Sultan Brunei berharga RM14 juta bagi membiayai kempen Team B. Team B juga membelanjakan wang sebanyak RM20 juta untuk kempen mereka. Menurut wawancara James Chin dengan tokoh politik kanan Sarawak, beliau diberitahu bahawa Mahathir menyokong Taib Mahmud kerana Taib telah menderma berjuta-juta kepada peti perang Mahathir dalam pergelutannya dengan Tengku Razaleigh. Sungguhpun begitu, tiada cara untuk mengesahkan ini sungguhpun bukti cerita-cerita menyarankan bahawa ini mungkin benar.
Penyokong-penyokong Ku Li tidak berpuas hati dengan pengundian tersebut dan terdapat 78 orang yang mengundi datang daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Ini bererti pengundian tersebut tidak sah. Rentetan daripada itu, Umno diharamkan oleh mahkamah dan Umno Baru telah diwujudkan.
Banyak juga peristiwa yang berlaku sewaktu Ku Li berada zaman kegemilangannya. Dalam satu peristiwa, sewaktu dalam penerbangan pulang ke tanah air selepas menghadiri satu perjumpaan di London, Tengku Razaleigh Hamzah telah didatangi oleh seorang lelaki inggeris menawarkan sejumlah 500 juta Dollar Amerika kepada beliau agar beliau menjadikan Petronas seperti Pertamina di Indonesia dan syarikat Shell di Brunei. Permintaan lelaki inggeris itu agar Petronas beroperasi sebagaimana Pertamina melalui perkongsian mana-mana syarikat dari luar atau mengikut jejak Brunei yang memberikan syarikat Shell mengendalikan perniagaan tanpa memilik negarakan syarikat-syarikat minyak. Tun Abdul Razak juga pernah menerima surat daripada pemimpin Amerika agar memecat Ku Li daripada Petronas namun Tun tetap meminta Ku Li menerajui Petronas.
Sebenarnya Bank of Commerce adalah milik Tengku Razaleigh Hamzah. Pada asalnya beliau memberi Bian Chiang Bank yang diasaskan pada tahun 1924 yang dibeli daripada keluarga jutawan cina di Kuching iaitu milik Wee Kehang Chiang. Selepas membeli keseluruhan saham bank tersebut, beliau telah memberikan kepada Kumpula Fleet iaitu anak syarikat milik Umno untuk memastikan tabung Umno sentiasa mantap tanpa mengambil keuntungan daripadanya. Selepas Umno diharamkan, bank tersebut dinamakan ke atas milik individu dengan menukar namanya daripada Bian Chiang Bank kepada Bank of Commerce dan digabungkan dengan Bank Bumiputera yang dikuburkan menjadi CIMB Bank. Assetnya berjumlah dari 300 juta naik kepada berbilion tetapi tidak dikuasai Umno tetapi atas individu tertentu. Ini merupakan suatu pengkhianatan kepada legasi Tun Abdul Razak yang ingin membantu ekonomi orang melayu.
Pada masa sekarang Ku Li masih mempunyai pengaruh dalam arena politik Malaysia sungguhpun beliau dianggap sebagai tokoh veteran Umno. Beliau dilaporkan bergandingan dengan Muhyiddin untuk mengetuai proses mengambil alih kepimpinan parti daripada Abdullah walaupun jalan ini dituruti oleh Najib kerana takut ‘tertinggal bas’ tidak lama selepas itu.
Mungkinkah Ku Li akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 selepas ini?
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Rujukan.

1. Hoi Khai Leong dan James Chin, 2003, Pentadbiran Mahathir : Prestasi dan Krisis dalam Pemerintahan.
2. Kamal Amir, 2010, Tengku Razaleigh Hamzah : Rahsia yang Terpendam.
3. Shahbudin Husin, 2011, Najib Perdana Menteri Terakhir.
4. Tun Dr. Mahathir, 2012, Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir.

Friday, May 10, 2013

PRU-13: Mungkinkah DAP Akan Menyertai Barisan Nasional (BN)?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Suatu ketika dahulu saya ditanya oleh kenalan saya, apakah peluang BN untuk menang dalam PRU pada kali ini? Saya menjawab, “70 : 30”. Akan tetapi, selepas keputusan PRU keluar keputusan menunjukkan bahawa BN menguasai 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Ini bermakna BN menang dalam nisbah 60 : 40.
Dr. Mahathir dalam satu kenyataan menyatakan bahawa biar sahaja UMNO yang menentukan sama ada Najib boleh kekal sebagai Perdana Menteri ataupun tidak. Pada hemat Dr. Mahathir, prestasi Najib pada kali ini adalah lebih baik daripada PRU pada tahun 2008 walaupun tidak mendapat 2/3 majoriti parlimen. Beliau menyatakan bahawa Najib boleh berundur sekiranya prestasi BN lebih buruk daripada tahun 2008. Ternyata prestasi Najib lebih teruk daripada Abdullah pada PRU tahun 2008 dahulu.
Lim Kit Siang dalam satu kenyataan menyatakan bahawa beliau meminta lawannya di Gelang Patah, Datuk Ghani Othman dilantik sebagai Menteri Kabinet kerana beliau sebenarnya merupakan mangsa politik Umno apabila dicalonkan untuk menentang beliau pada PRU yang lepas. Menurut Lim Kit Siang, sebenarnya Ghani Othman seorang yang sederhana dan banyak berkhidmat untuk Umno dan negeri Johor. Oleh itu, beliau tidak patut dikorbankan dalam politik kerana masalah dalaman Umno. Ternyata sifat Lim Kit Siang ini bertanding di Gelang Patah atas kapasiti ingin melawan parti dan bukannya individu.
Persoalannya sekarang, MCA hanya memenangi 7 parlimen dan Gerakan pula hanya memenangi 1 parlimen pada PRU-13 yang lepas berbanding DAP yang memenangi 38 kerusi parlimen. Apakah akan terjadi selepas ini? Apakah kerajaan BN akan meminggirkan terus kaum cina dalam kabinet kerana tidak memberi sokongan kepada mereka? Ini adalah kerana terdapat kenyataan pemimpin MCA yang menyatakan bahawa mereka tidak akan menyertai kabinet pada kali ini ekoran prestasi buruk dalam pilihanraya yang lalu.
Sekiranya tiada kaum cina di dalam kabinet yang dibentuk semula nanti, siapakah yang akan mewakili kaum mereka untuk membincangkan masalah mereka dan menyampaikan hasrat kaum mereka kepada kerajaan persekutuan? Sudah tentu sekiranya tiada Menteri-menteri yang dilantik daripada kaum cina dalam kabinet ia tidak akan membina perpaduan nasional antara kaum di Malaysia kerana tiada yang akan mewakili kaum mereka.
Sekiranya kerajaan persekutuan yang dibentuk semula selepas ini terus memboikot dan menyekat bantuan kaum cina terus kerana ingin membalas dendam disebabkan menyokong DAP sekalipun, ini sudah tentu tidak baik bagi sesebuah negara bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang sedia ada. BN boleh sahaja terus mengekalkan majoriti mudah sekalipun pada PRU akan datang dengan mengharapkan sokongan luar bandar dan Malaysia Timur kerana 70 peratus parlimen di Malaysia adalah terdiri daripada kawasan yang didiami oleh orang-orang melayu dan bumiputera. Berbanding dengan DAP yang mengharapkan sokongan kaum cina semata-mata di bandar-bandar besar bagi menguasai parlimen di samping sokongan kerusi PAS dan PKR. Akan tetapi, dengan mengekalkan keadaan ini, ini sudah tentu tidak baik bagi mengekalkan hubungan antara kaum di Malaysia tanpa penglibatan kaum cina di pentadbiran peringkat persekutuan.
Adakah DAP akan menyertai BN selepas ini bagi menggantikan MCA? Pendapat saya ialah jalan itu adalah jalan terbaik kerana MCA dan Gerakan sudah lagi tiada sokongan daripada masyarakat cina. Ini adalah jalan terbaik bagi membaiki hubungan antara masyakat cina dan Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh Umno atau lebih tepatnya orang melayu dalam BN.

Pada malam pengumuman keputusan PRU-13 selepas BN dapat membentuk majoriti mudah, Najib dengan wajah sedih ada mengatakan bahawa beliau akan membuat ‘National Reconciliation’ atau dalam bahasa melayunya ialah “Pendamaian Nasional” kerana tidak mendapat sokongan kaum cina pada kali ini dan menyifatkan berlakukan ‘tsunami kaum cina’ pada PRU kali ini dan menyebabkan BN berada dalam keadaan lebih teruk daripada yang dijangkakan. Reconciliation dalam kamus Oxford menyatakan bahawa ‘berdamai’ atau ‘terpaksa menyesuaikan diri (berkenaan suatu tidak menyenangkan)’.  
Apakah strategi yang akan digunakan oleh Najib untuk berdamai dengan kaum cina? Saya tidak nampak bahawa dengan memujuk dan melantik pemimpin-pemimpin MCA atau Gerakan yang memenangi pilihanraya yang lalu sebagai menteri kabinet boleh mendapat semula sokongan dan perdamaian dengan kaum cina kerana kedua-dua parti ini sudah ditolak oleh kaum mereka. Apa yang saya nampak ialah DAP perlu menyertai BN dan jawatan menteri penuh perlu diberi kepada pemimpin-pemimpin parti ini yang memenangi kerusi parlimen.
Mujur kali ini UMNO tidak tersungkur dalam piihanraya, jika tidak tembelang kaum cina sudah pecah kerana secara diam-diam mereka sebenarnya berpakat menolak BN secara total. Jika UMNO ingin membalas dendam boleh sahaja kepada masyarakat cina tetapi ini sudah tentu boleh mencetuskan ketegangan kaum. DAP sebenarnya mendapat sokongan yang kuat dan padu daripada kaum cina. Berbanding MCA dan Gerakan, mereka tidak dapat membawa suara hati mewakili kaum cina kepada BN dan ini menyebabkan mereka ditolak. Ini adalah kerana MCA terkenal sebagai orang suruhan UMNO dan tunduk kepada kehendak UMNO apabila menyuarakan sesuatu perkara yang besar.
Sekiranya DAP menyertai BN, adakah UMNO sanggup melayani semua permintaan DAP yang mewakili kaum cina contohnya pemansuhan kuota ekuiti bumiputera 30% yang dibangkitkan di Kongres Ekonomi Cina Malaysia pada tahun 2010. Orang cina juga tidak termakan dengan konsep 1Malaysia dan menganggap ia hanya cakap kosong semata-mata. Mereka juga menolak budaya rasuah contohnya skandal PKFZ yang melibatkan pemimpin-pemimpin MCA.
BN khususnya UMNO perlu mencari titik pertemuan dengan parti DAP ini sekiranya ingin membaiki hubungan dengan kaum cina melalui penyatuan ini. Sudah tentu DAP tidak boleh dilayan sebagai MCA yang disifatkan oleh Nazri Aziz sebagai isteri yang terbiar.
Sejarah yang berlaku pada masa lalu juga boleh juga berlaku pada hari ini. Jika dahulu MCA kalah teruk di dalam PRU tahun 1969 dan Tun Tan Siew Sin memaklumkan kepada Tunku bahawa wakil mereka tidak akan menyertai kabinet Perikatan selepas itu. Pada hari ini MCA mengalami nasib yang serupa dan Presiden MCA, Chua Soi Lek memaklumkan bahawa tiada wakil mereka yang akan menyertai kabinet ekoran kegagalan teruk MCA pada pilihanraya yang lalu.
Sebenarnya tiada kawan dan lawan yang kekal di dalam politik. Sekiranya hari ini seseorang itu boleh jadi kawan di dalam politik belum tentu dia masih menjadi kawan kita pada esok hari. Begitu juga dengan Parti Gerakan bahawa ia sebenarnya merupakan sekutu DAP di dalam pakatan di dalam pembangkang apabila menentang Perikatan pada tahun PRU tahun 1969 dan kemudiannya menyertai Perikatan selepas PRU tersebut. Ini menyebabkan DAP semakin lemah keseorangan selepas itu.
Di dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Mungkinkah DAP pula akan menyertai BN dan meninggalkan PAS dan PKR berdua-duaan kerana mengutamakan kaum mereka daripada kepentingan kedua-dua parti tersebut pada kali ini?
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, May 9, 2013

Hubungan Sesama Manusia : Jangan Dipatuk di dalam Lubang yang Sama Sebanyak 2 Kali

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

“Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular pada lubang yang sama sebanyak 2 kali.”

Sabda nabi junjungan kita ini memang pendek tetapi maknanya amat luas sekali dan ia memang memberi kesan kepada kehidupan kita. Cuma kita kadang-kadang terlupa atau tidak sedar untuk menjadikannya sebagai panduan atau pegangan dalam hidup kita. Kalau kita tahu sekalipun, mungkin kita tidak amalkan. Bak kata pepatah sekiranya ingin budaya timur, lihat sahaja di barat dan sekiranya ingin melihar budaya barat, lihat sahaja di timur.

Contohnya Islam amat memberatkan kebersihan. Akan tetapi, sekiranya kita melihat tandas awam negara kita jauh sekali dengan tandas awam di negara-negara barat. Begitu juga dengan anjuran Islam supaya kalau kita ingin menegur orang, kita perlu bercakap secara pertemuan 4 mata dan bukannya mengata di belakang. Begitu juga apabila apabila kita ingin memuji seseorang, kita perlu memuji di belakang dan bukannya memuji di hadapan seseorang. Inilah budaya yang dianjurkan oleh Islam dan budaya seperti ini diamalkan oleh masyarakat Jepun.

Apa yang ingin saya sebutkan pada kali ini ialah hubungan sesama manusia antara kita. Dalam hubungan sesama manusia ada antara kita yang baik atau sebaliknya dan bukannya semua orang baik-baik di sekeliling kita. Ada orang yang luarannya nampak baik dan hatinya adalah sebaliknya terhadap diri kita.

Apabila ada orang yang sudah menipu kita. Adakah kita ingin mempercayai orang tersebut? Sudah tentu tidak sama sekali. Sekiranya kita mempercayai orang tersebut sekali lagi pada masa hadapan sudah tentu ianya merupakan kesilapan kita apabila dia menipu kita lagi di lain masa. Ini yang dikatakan dipatuk ular yang sama sebanyak 2 kali di lubang yang sama. Sememangnya kita patut berhati-hati dengan orang jenis sebegini.

Contohnya apabila kita pergi ke sebuah kedai dan ia telah menipu kita, adakah kita akan membeli di kedai tersebut di lain masa? Sudah tentu tidak bukan?

Sudah tentu kita ada mempunyai pengalaman masing-masing dan adalah lebih baik kita jadikannya sebagai pengajaran dengan orang yang berbuat tidak baik kepada kita. Sekiranya kita marah sekalipun, janganlah kita membalas dendam. Lebih baik sahaja kita lupakan sahaja orang jenis sebegini.

Pendek kata, dalam perhubungan sesama manusia kita juga perlu bersangka baik dan bersangka buruk. Sekiranya perkara buruk telah dilakukan oleh orang tersebut ke atas kita, lebih baik sahaja kita tidak mempercayainya lagi. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

 

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, May 8, 2013

PRU-13 : Introspeksi Buat UMNO

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.

Keputusan PRU-13 telah diumumkan dan semua pihak sama ada BN ataupun PR perlu menerima keputusan pilihanraya kali ini dengan hati yang terbuka. BN perlu menerima hakikat bahawa bilangan kerusi parlimen mereka semakin merudum dan PR pula perlu menerima hakikat negeri Kedah terlepas kepada BN.

Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar dalam satu kenyataan ingin mengadakan perhimpunan pada esok hari (8/5/2013) kerana ingin memprotes keputusan PRU-13. Saya bimbang sekiranya demonstrasi ini disambut balik dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh penyokong-penyokong BN.

Dari segi undi popular, PR memperoleh undi popular sebanyak 5,623,984 undi popular (49.96%) manakala BN memperoleh 5,237,699 5,237,699 undi pupular (46.53%). Manakala di peringkat DUN yang mempunyai keseluruhan 505 kerusi yang dipertandingkan, PR menerima undi popular sebanyak 4,879,699 undi berbanding BN iaitu sebanyak 4,513,997 undi popular. Ini merupakan undi popular yang paling teruk buat BN sejak tahun 1969. Jelas rakyat sekarang sudah menolak BN.

Prestasi PRU BN pada kali ini lebih teruk daripada prestasi pada PRU tahun 2008 di mana kerusi parlimen BN merudum daripada 140 kepada 133 kerusi manakala kerusi Dun pula merudum daripada 304 kepada 276 kerusi. Mujurlah BN tidak kehilangan negeri Terengganu dan Perak kepada PR.

Lim Kit Siang dalam satu kenyataan meminta Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa pendirian beliau samaada ingin mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri atau memintanya berundur kerana sebelum ini Tun mengatakan bahawa Najib perlu berundur sekiranya gagal memperolehi majoriti 2/3 parlimen dalam PRU kali ini. Ternyata Najib gagal untuk memperolehi majoriti 2/3 parlimen kali ini.

Contoh ini jelas menunjukkan bahawa Mahathir masih menguasai pentadbiran negara walaupun sudah 10 tahun bersara daripada menjadi Perdana Menteri sejak tahun 2003 yang lalu. Mahathir sehingga kini masih belum membuat kenyataan berhubung dengan keputusan PRU-13.

Pola kali ini menunjukkan bahawa terdapat trend pengundian yang berbeza di antara luar bandar dan bandar. Penduduk luar bandar terutamanya terdiri daripada kaum melayu mengundi BN manakala penduduk di bandar-bandar besar meyokong PR.

Pengundian pada kali ini adalah menunjukkan lebih ‘Malaysian’ kerana penduduk Malaysia sekarang menolak politik perkauman dalam memilih calon mereka terutamanya di bandar-bandar. Mereka memilih calon-calon yang berkualiti yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka dan menolak calon atau parti yang terpalit dengan rasuah.

Sudah tentu PRU kali ini memberi pengajaran kepada Umno supaya tidak membela Parti Pribumi yang sering memainkan isu perkauman. Sekiranya Umno terus membela parti ini selagi itu ia akan menimbulkan kebencian kepada kaum cina kerana parti ini sering memainkan isu perkauman. Calon-calon ‘katak’ dari Perkasa yang bertanding dalam PRU baru-baru ini juga mengalami kekalahan.

Contohnya Ibrahim Ali kalah bertanding di pasir Pasir Mas yang mendapat sokongan Tun Dr. Mahathir kalah kepada Nik Abduh Nik Aziz dengan majoriti 8,047 manakala Zulkifli Nordin juga tewas menentang Khalid Samad di parlimen Shah Alam dengan majoriti 10,939. Sebenarnya, kedua-dua calon ini memang tidak potensi untuk menang. Bahkan Nazri Aziz sendiri suatu ketika dahulu menggelar Ibrahim Ali sebagai badut. Jika dahulu mereka terkenal sebagai calon lompat yang bertanding atas tiket pembangkang dan kini bertanding atas nama bebas dan BN. Kesannya, mereka kalah dalam PRU kali ini kerana imej mereka sendiri sudah tercemar.

MCA dan Gerakan sudah ditolak oleh masyakat cina. Mereka tidak memenuhi tuntutan kaum cina di dalam BN. Boleh dikatakan MCA dan Gerakan sudah lesu sekarang. Orang cina sekarang mengharapkan parti Dap yang boleh membela nasib kaum mereka. Apakah Mca akan keluar daripada BN? Atau apakah Dap akan menyertai BN? Ini adalah kerana BN sekarang memerlukan

PRU-13 juga tidak menyaksikan bahawa tiada sabotaj dalaman parti yang menyebabkan BN lebih teruk daripada PRU tahun 2008. Berbanding daripada kepimpinan Abdullah dahulu yang mendapat penentangan daripada semua agama dan kaum. Kepimpinan Najib pada kali ini boleh dikatakan tiada sabotaj dalaman parti dan hanya mendapat penentangan daripada luar. Ini menunjukkan bahawa Najib tidak mampu menghadapi penentangan daripada PR.

Nampaknya rakyat sekarang lebih memilih reformasi daripada tansformasi yang dilancarkan oleh Najib melalui produk 1Malaysia beliau. Produk 1Malaysia menelan belanja RM7.8 bilion gagal untuk meraih sokongan pengundi buat BN untuk mendapat semula 2/3 majoriti di parlimen.

Ini tidak menghairankan kerana walaupun produk 1Malaysia dilancarkan, rakyat masih dibebani kos sara hidup yang lain untuk dibayar kepada kerajaan seperti AES dan sebagainya. Sudah tentu ini membebankan hidup rakyat. Lebih baik duit untuk produk 1Malaysia disalurkan kepada subsidi-subsidi untuk mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat. Ini belum tentu lagi GST (Good & Sevices Tax) yang akan dilaksanakan selepas PRU-13 dilaksanakan.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia juga harus berhenti memainkan isu perkauman serta melaga-lagakan antara Parti Dap dan Pas. Tajuk-tajuk utama yang sering disiarkan setiap hari menunjukkan bahawa mentaliti pengarang berita-berita tersebut masih kebudak-budakan. Rakyat sekarang sudah berubah pemikirannya dan bukan lagi era 1960-an iaitu di mana negara sahaja baru merdeka.
 

Utusan Malaysia 7 Mei 2013
 

Contoh berita semalam yang disiarkan bertajuk “Apa Lagi Cina Mahu?”  memang betul memualkan. Apakah orang cina patut disalahkan? Sekiranya benar sekalipun, wajarkah berita sedemikian dijadikan sebagai tajuk utama? Ia berbunyi kebudak-budakan dan juga menjengkelkan.

Secara keseluruhannya, Umno-BN masih tidak berubah sejak PRU-12 pada tahun 2008. Sekiranya masih tidak berubah dan meneruskan sikap lama mereka tidak mustahil mereka pula menjadi barisan pembangkang pula di dalam parlimen.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, May 6, 2013

PRU 13 : Tsunami Politik Kali Kedua Buat Umno-BN

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Saya masih teringat lagi sehari selepas PRU-11 pada tahun 2004, Mingguan Malaysia menyiarkan berita tajuk besar “BN Rampas Terengganu”. Sehari selepas PRU-12 Mingguan Malaysia menyiarkan tajuk besar “Pembangkang Tawan 5 Negeri”. Pada hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk besar “BN Menang” selepas PRU-13 dijalankan semalam.

Berita sedih buat Umno-BN apabila Umno-BN pada kali ini gagal memperolehi 2/3 majoriti parlimen di Dewan Rakyat bahkan prestasi Umno-BN pada kali ini adalah lebih teruk berbanding daripada keputusan PRU-12. Pada kali ini (PRU-13), BN memperolehi kerusi parlimen sebanyak 133 kerusi sahaja berbanding pada tahun 2008 di mana BN memperolehi kerusi parlimen sebanyak 140.

Tsunami politik pada kali ini lebih kencang sekiranya dibandingkan pada tahun 2008 kerana kerusi BN berpindah tangan sebanyak 7 kerusi kepada pembangkang. Keadaan ini betul-betul membuatkan BN goyah. Laungan BN yang menyatakan bahawa mereka dapat membentuk semula majoriti 2/3 parlimen hanya tinggal omongan kosong sahaja. Cuma tsunami politik pada kali ini lebih diam kalau tidak kerana BN tidak kehilangan 2/3 majoriti parlimen pada tahun 2008.

Telahan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin benar apabila beliau mengatakan bahawa negeri Kedah akan jatuh ke tangan BN dan BN akan kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Johor, Sarawak dan Sabah kepada pembangkang. Namun, telahan Tun Daim yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan BN tidak menjadi kenyataan apatah lagi Tun Daim menyatakan bahawa BN boleh menguasai 2/3 parlimen juga tidak menjadi kenyataan.

Sekiranya dilihat pada kali ini, pengundi cina telah menunjukkan sokongan terbuka mereka kepada Dap. Jika dilihat sebelum ini, sokongan mereka kepada Dap pada kali ini adalah secara terbuka dan bukan lagi seperti dahulu yang hanya menyokong Dap secara diam-diam dengan hanya mengundi MCA. Pada kali ini, kita dapat melihat bilangan kerusi Dap dalam Dewan Rakyat terus bertambah sebanyak 38 kerusi sekaligus mendominasi dalam Pakatan Rakyat.

Orang-orang cina sememangnya pada kali ini memang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi kuasa politik dengan mengundi Dap di mana mereka telah menolak Mca dan Gerakan secara fatal. Ini dapat dilihat bahawa majoriti yang dimenangi oleh Dap di kerusi-kerusi yang mereka tandingi rata-ratanya menang dengan majoriti yang besar dengan mencecah puluhan ribu undi. Ini termasuklah di Gelang Patah di mana Lim Kit Siang dapat menewaskan Datuk Ghani Othman dengan majoriti yang besar iaitu dengan 14,762 undi.

Lim Kit Siang adalah hero kepada masyarakat cina kerana beliau memperjuangkan hak kaum tersebut. Berlainan pula dengan Ghani yang sudah menjadi Menteri Besar Johor namun masih tidak mampu mempengaruhi pengundi-pengundi cina menolak Lim Kit Siang. Ada yang menyatakan bahawa BN di Gelang Patah tidak bekerja keras sepertimana Dap. Faktor ini menyebabkan Ghani kalah di Gelang Patah. Walaubagaimanapun, kaum cina tidak boleh menjatuhkan maruah pemimpin mereka yang memperjuangkan hak mereka walaupun mereka datang daripada negeri yang berlainan.

Sememangnya orang cina pada kali ini keluar mengundi beramai-ramai dengan skala yang besar pada kali ini. Orang-orang cina yang tinggal di luar negara juga balik untuk mengundi walaupun hanya sehari. Di sini, dapat kita lihat bahawa mereka tekun berusaha dengan gigih dan tidak mengharapkan undi orang lain untuk menang begitu sahaja tanpa pergi mengundi.

Lihat sahaja di Kepong di mana Dap memenangi majoriti sebanyak 40,307 undi, Seputeh (51,552 undi), Bukit Bintang (19,399 undi), Segambut (19,199 undi) serta kawasan-kawasan lain dengan majoriti yang lebih besar di mana kawasan tersebut adalah kawasan pengundi cina. 

Walaupun dalam pembahagian kerusi untuk parlimen bagi Pakatan Rakyat, dapat dilihat bahawa PKR bertanding sebanyak 99 kerusi, Pas sebanyak 73 kerusi dan 51 kerusi namun apa yang terjadi ialah Dap memenangi kerusi sebanyak 38 kerusi berbanding PKR dengan 28 kerusi dan Pas dengan 21 kerusi. Ini menunjukkan Dap bertanding di kerusi-kerusi yang berkualiti di mana kerusi ini mempunyai potensi yang besar untuk dimenangi walaupun Dap bertanding dengan kerusi parlimen yang paling kecil dalam Pakatan pada mulanya.

Kemenangan Kedah buat BN pada kali ini adalah hanya kemenangan moral yang kecil buat BN kerana banyak lagi kerusi-kerusi Dun di negeri lain jatuh ke tangan pembangkang. Contohnya di Terengganu yang menyaksikan BN hanya menguasai hanya lebih 2 Dun berbanding Pas dan di Perak di mana BN hanya memperolehi majoriti hanya 3 Dun. Itu belum diambil kira lagi negeri-negeri lain di mana pembangkang sudah dapat menembusi kubu-kubu kuat BN.

Berita sedih juga buat Selangor kerana walaupun Pakatan Rakyat masih dapat bertahan di negeri tersebut, namun Dap menguasai Dun di negeri tersebut di mana Dap menguasai 15 kerusi Dun daripada 44 kerusi Dun Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Jika tidak kerana adanya Sultan, sudah tentu Menteri Besar Selangor dilantik daripada kalangan kaum cina.

Nampaknya, produk 1Malaysia dan Program Transformasi yang sering dicanang oleh Perdana Menteri tidak dapat menambat hati pengundi kerana bilangan kerusi parlimen BN terus jatuh merudum. Ini menunjukkan bahawa rakyat pada hari ini tidak dapat ditambat oleh wang bagi meraih sokongan mereka apatah lagi dengan kaum cina dengan secara bulat-bulat telah menolak BN.

Pendek kata, PRU-13 menjadi igauan baru buat BN walaupun BN pada mulanya mencanang mereka boleh memperolehi sokongan yang lebih besar. Apa yang jelas PRU kali ini menunjukkan penentangan secara jelas oleh kaum cina kepada BN. Apakah kaum cina marahkan Najib kerana merampas Perak daripada Dap pada tahun 2009? Adakah kaum cina ingin menghukum Najib kerana peristiwa tersebut?

Ada yang menyifatkan bahawa PRU-13 adalah tsunami politik orang cina kerana mereka inginkan kuasa politik. Ini tidak menghairankan bahawa mereka sudah menguasai ekonomi sejak sekian lama. Oleh itu, tidak mustahil mereka ingin menguasai politik negara pula. Sesungguhnya ekonomi itu dapat membeli kuasa politik. Apakah strategi yang digunakan oleh Najib selepas ini untuk menambat hati kaum cina setelah produk 1Malaysia yang diperkenalkan oleh beliau tidak memberi sebarang kesan kepada kaum tersebut? Adakah dengan melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya? Semuanya akan terjawab untuk tempoh 5 tahun akan datang sebelum menjelang PRU-14 seterusnya.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com