Monday, May 13, 2013

Pasca PRU-13 : Mungkinkah Ku Li Akan Menjadi PM Ke-7?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Najib gagal. Itu sahaja yang boleh dilafazkan kepada Najib selepas gagal mengemudi bahtera Barisan Nasional (BN) menongkah arus badai pada PRU-13 yang lalu. Prestasi pada kali ini lebih teruk daripada prestasi Abdullah pada PRU-12 tahun 2008 yang lalu.
Nampaknya Anwar adalah bukan lawan Najib pada PRU kali ini di mana kedua-duanya masing-masing mengepalai Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Ternyata Najib pada kali ini rebah kepada Dato’ Seri Anwar. Pak Lah tentu boleh berbangga bahawa prestasi beliau pada PRU tahun 2008 lebih baik daripada PRU pada kali ini.
Ternyata Najib bukanlah seorang pahlawan atau wira yang boleh membawa Barisan Nasional ke tahap yang lebih tinggi. Beliau gagal untuk menghadapi serangan bertubi-tubi pihak pembangkang setiap hari dari segenap isu. Kerajaan beliau dilihat lebih suka memburukkan isu peribadi pemimpin pembangkang daripada membincangkan terus isu-isu pokok permasalahan rakyat. Jemputan Dato’ Seri Anwar untuk berdebat isu ekonomi suatu ketika dahulu ditolak oleh beliau. Produk 1Malaysia yang menelan belanja RM7.6 bilion nampaknya tidak berjaya. Baling batu dan terus lari itulah sikap yang ditunjukkan oleh beliau setiap kali pembentangan belanjawan tahunan dibuat dengan menghentam pembangkang ketika itu.
Teori ‘Rahman’ sudah menemui penghujungnya daripada Tunku Abdul Rahman (R), Abdul Razak (A), Tun Hussein Onn (H), Tun Dr. Mahathir (M), Tun Abdullah (A), dan Datuk Seri Najib (N). Genaplah pusingan pertama untuk teori ‘Rahman’. Mungkin tiba kali ini untuk teori ‘Rahman’ untuk kali kedua di mana ‘R’ pada kali ini untuk ‘Razaleigh’ iaitu Tengku Razaleigh Hamzah iaitu bekas Menteri Kewangan di zaman Tun Hussein Onn.
Zaman kegemilangan Umno seolah-olah sudah mulai pudar. Ketika era 80-an dan 90-an, Umno begitu gah dengan tokoh-tokoh politiknya yang hebat seperti Tun Musa Hitam, Ku Li, Dato’ Seri Anwar, Tun Daim Zainuddin, Tun Dr. Mahathir dan sebagainya. Kini Umno kelihatan lesu kerana tiada lagi pemimpin-pemimpin yang hebat untuk mengepalai parti itu. Tiada lagi pemimpin-pemimpin yang hebat melainkan pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan isu rasuah dan jika ada sekalipun pemimpin itu tidaklah menonjol sehebat mana apatah lagi dihormati oleh pemimpin-pemimpin parti komponen yang lain.
Saya tidak nampak pemimpin yang boleh menggantikan Najib sekiranya berlaku peralihan kuasa pada kali ini melainkan Tengku Razaleigh Hamzah. Walaupun beliau merupakan tokoh veteran namun jasa dan sumbangan beliau kepada parti dipandang sepi oleh pemimpin Umno. Mungkinkah rezeki beliau untuk menjadi Perdana Menteri akan tiba pada kali ini?
Ku Li memang bercita-cita untuk menjadi PM sejak dahulu lagi namun rezeki adalah tidak menyebelahi beliau di mana rezeki adalah menyebelahi Tun Dr. Mahathir. Ketika Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, beliau mempunyai 4 orang calon untuk dilantik menjadi Timbalan beliau iaitu Tan Sri Ghazali Shafie dan 3 orang Naib Presiden Umno iaitu Dr. Mahathir, Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah. Antara calon utama yang mejadi pilihan Tun Hussein ialah Ghafar Baba dan Razaleigh Hamzah. Namun setelah didesak berkali-kali oleh Ku Li, akhirnya Dr. Mahathir dipilih oleh Tun Hussein memandangkan Dr. Mahathir tua lebih 10 tahun daripada Ku Li. Selain itu, Dr. Mahathir juga seorang yang berkelayakan, berani, tegas dan berpandangan jauh.
Ku Li juga meminta agar Tun Hussein Onn melantik beliau menjadi Menteri Kewangan walaupun secara tradisi menteri tersebut diisi oleh MCA. Ini adalah untuk meneruskan legasi Tun Abdul Razak bagi menyusun ekonomi di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di bawah Ku Li, beliau menubuhkan Petronas, Pernas, Bank Bumputera dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB).
Sehinggalah Tun Hussein Onn mengalami masalah kesihatan sebelum bersara menjadi Perdana Menteri. Beliau bercadang ingin melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri walaupun terpaksa mengenepikan Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Tun Hussein menyatakan kepada Ku Li :
“Li, I don’t trust him to take over my place. Dan you mesti ingat Li tiada dalam perlembagaan menyebut seseorang Timbalan Perdana Menteri secara automatik menjadi Perdana Menteri apabila berlaku sesuatu kekosongan. I want you to be the next prime minister after me, no him..not him.”
Akhirnya setelah dipujuk berkali-kali ole Ku Li, Tun Hussein bersetuju melantik Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ketika ini perjanjian dibuat di mana apabila Dr. Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Hussein Onn, beliau akan melantik pula Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Dr. Mahathir pula, Tun Hussein Onn tidak memilih Ghafar Baba kerana tidak mengenali beliau walaupun menerima undi tertinggi bagi calon Naib Presiden. Tengku Razaleigh Hamzah pula tidak dipilih kerana membelakangkan Tun Hussein sewaktu beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apabila berurusan terus dengan Tun Abdul Razak. Ketika Ku Li menjadi pengerusi Petronas dan Pernas, beliau memohon RM100 juta untuk setiap syarikat. Beliau melapor terus kepada Tun Abdul Razak dan membelakangkan Tun Hussein Onn sebagai Ketua Perbendaharaan. Oleh itu, Tun Hussein memilih beliau (Dr. Mahathir).
Namun ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri selepas tempoh 3 bulan, nasib betul-betul tidak menyebelahi Ku Li apabila Dr. Mahathir mengatakan bahawa biarlah jawatan Timbalan Perdana Menteri ditentukan sendiri oleh ahli-ahli Umno melalui pertandingan Timbalan Presiden Umno apabila dikosongkan oleh Dr. Mahathir. Ku Li terpaksa menentang Tun Musa Hitam dalam pemilihan Timbalan Presiden Umno. Beliau kalah kepada Tun Musa Hitam sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1981 dan 1984. Jelas nasib betul-betul tidak menyebelahi Ku Li ketika itu.
Seterusnya Ku Li menentang Dr. Mahathir dalam pemilihan Presiden Umno pada tahun 1987. Ku Li sebenarnya diminta Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn bagi menentang Dr. Mahathir kerana Umno telah tersasar dari pejuangannya. Dalam pertandingan itu, Dr. Mahathir telah memenangi undi majoriti sebanyak 43 undi sahaja. Sebenarnya, semasa pengiraan undi dibuat Tengku Razaleigh telah dikatakan menenangi pertandingan tersebut. Namun, berlaku kejadian ‘lampu padam’. Sewaktu berlaku ‘lampu padam’ di bilik mengundi, irama muzik masih kedengaran dan alat penghawa dingin terus berfungsi dan setelah lampu dinyalakan semula, Dr. Mahathir diisytiharkan sebagai pemenang.
Semasa Pemilihan Presiden Umno 1987, Tengku Razaleigh telah menjual hartanah beliau yang terletak berhampiran padang lumba kuda di Kuala Lumpur kepada Sultan Brunei berharga RM14 juta bagi membiayai kempen Team B. Team B juga membelanjakan wang sebanyak RM20 juta untuk kempen mereka. Menurut wawancara James Chin dengan tokoh politik kanan Sarawak, beliau diberitahu bahawa Mahathir menyokong Taib Mahmud kerana Taib telah menderma berjuta-juta kepada peti perang Mahathir dalam pergelutannya dengan Tengku Razaleigh. Sungguhpun begitu, tiada cara untuk mengesahkan ini sungguhpun bukti cerita-cerita menyarankan bahawa ini mungkin benar.
Penyokong-penyokong Ku Li tidak berpuas hati dengan pengundian tersebut dan terdapat 78 orang yang mengundi datang daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Ini bererti pengundian tersebut tidak sah. Rentetan daripada itu, Umno diharamkan oleh mahkamah dan Umno Baru telah diwujudkan.
Banyak juga peristiwa yang berlaku sewaktu Ku Li berada zaman kegemilangannya. Dalam satu peristiwa, sewaktu dalam penerbangan pulang ke tanah air selepas menghadiri satu perjumpaan di London, Tengku Razaleigh Hamzah telah didatangi oleh seorang lelaki inggeris menawarkan sejumlah 500 juta Dollar Amerika kepada beliau agar beliau menjadikan Petronas seperti Pertamina di Indonesia dan syarikat Shell di Brunei. Permintaan lelaki inggeris itu agar Petronas beroperasi sebagaimana Pertamina melalui perkongsian mana-mana syarikat dari luar atau mengikut jejak Brunei yang memberikan syarikat Shell mengendalikan perniagaan tanpa memilik negarakan syarikat-syarikat minyak. Tun Abdul Razak juga pernah menerima surat daripada pemimpin Amerika agar memecat Ku Li daripada Petronas namun Tun tetap meminta Ku Li menerajui Petronas.
Sebenarnya Bank of Commerce adalah milik Tengku Razaleigh Hamzah. Pada asalnya beliau memberi Bian Chiang Bank yang diasaskan pada tahun 1924 yang dibeli daripada keluarga jutawan cina di Kuching iaitu milik Wee Kehang Chiang. Selepas membeli keseluruhan saham bank tersebut, beliau telah memberikan kepada Kumpula Fleet iaitu anak syarikat milik Umno untuk memastikan tabung Umno sentiasa mantap tanpa mengambil keuntungan daripadanya. Selepas Umno diharamkan, bank tersebut dinamakan ke atas milik individu dengan menukar namanya daripada Bian Chiang Bank kepada Bank of Commerce dan digabungkan dengan Bank Bumiputera yang dikuburkan menjadi CIMB Bank. Assetnya berjumlah dari 300 juta naik kepada berbilion tetapi tidak dikuasai Umno tetapi atas individu tertentu. Ini merupakan suatu pengkhianatan kepada legasi Tun Abdul Razak yang ingin membantu ekonomi orang melayu.
Pada masa sekarang Ku Li masih mempunyai pengaruh dalam arena politik Malaysia sungguhpun beliau dianggap sebagai tokoh veteran Umno. Beliau dilaporkan bergandingan dengan Muhyiddin untuk mengetuai proses mengambil alih kepimpinan parti daripada Abdullah walaupun jalan ini dituruti oleh Najib kerana takut ‘tertinggal bas’ tidak lama selepas itu.
Mungkinkah Ku Li akan menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 selepas ini?
Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Rujukan.

1. Hoi Khai Leong dan James Chin, 2003, Pentadbiran Mahathir : Prestasi dan Krisis dalam Pemerintahan.
2. Kamal Amir, 2010, Tengku Razaleigh Hamzah : Rahsia yang Terpendam.
3. Shahbudin Husin, 2011, Najib Perdana Menteri Terakhir.
4. Tun Dr. Mahathir, 2012, Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir.

No comments: