Monday, December 31, 2012

Pemodalan Nasional Berhad (PNB) Terus Mengorak Langkah Melabur Pasaran Hartanah di Luar Negara.

 Milton & Shire House
di London.
Sekiranya anda melihat bangunan Milton & Shire House yang tersegam indah di tengah-tengah Kota London dan anda menjadi sebahagian kecil daripada pemilik bangunan tersebut, apakah perasaan anda? Sudah tentu anda berasa teruja bukan?

Saya begitu teruja dengan usaha Pemodalan Nasional Berhad (PNB) yang bertanggungjawab untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan ekuiti golongan bumiputera telah mengorak langkah membuat pelaburan hartanah di luar negara sejak Ogos 2010. Dalam masa 2 tahun, PNB telah membeli 4 buah aset hartanah di luar negara iaitu di Australia dan United Kingdom yang bernilai lebih daripada RM5 bilion. PNB akan terus mengorak langkah untuk memperluaskan pelaburan hartanahnya di luar negara.



Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pengurus dana amanah itu perlu mempelbagaikan pelaburan selain tumpuan kepada ekuiti, supaya dana lebih RM190 bilion yang diuruskannya dapat diperluaskan. Langkah itu turut memastikan PNB mampu mengagihkan pendapatan kira-kira RM9 bilion kepada pemegang sembilan tabung unit amanah di bawah tanggungjawabnya setiap tahun.

PNB memulakan pelaburan hartanah di luar negara dengan membeli Santos Place di Brisbane, Australia berharga AU$287 juta (RM919 juta). Ia juga adalah pembelian hartanah terbesar di Australia pada tahun 2010.

Santos Place di Brisbane, Australia

Pada tahun 2011, PNB membeli Milton & Shire House berharga £344 juta (RM1.69 bilion). Bangunan itu dibelinya daripada pengurus dana berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Beacon Capital Partners, demikian mengikut laporan akhbar Britain, The Times. Mengikut akhbar itu, pembelian oleh PNB itu adalah urus niaga aset tunggal terbesar di tengah bandar raya London tahun 2011. Bangunan ini menempatkan Linklaters LLP iaitu salah satu syarikat guaman antarabangsa yang ternama. Firma guaman ini yang menjadikan bangunan berkenaan sebagai ibu pejabatnya membayar sewa kira-kira 20 juta pound (RM100 juta) setahun dengan tempoh sewanya hanya akan tamat pada 2026.

One Exchange Square, London

Pada Januari 2012 lalu, PNB membeli One Exchange Square dan 90 High Holborn dengan harga £492 juta (RM2.41 bilion) daripada pengurus dana German KanAm di mana ia memberi pulangan pelaburan sebanyak 5.5 peratus setahun. Namun begitu, usaha PNB untuk membeli bangunan Woolgate Exchange di Kota London tidak menjadi kenyataan kerana tidak mencapai kata sepakat dengan pemilik bangunan tersebut iaitu D2 Private yang gagal membayar hutang bank bernilai 270 juta pound (RM1.32 bilion) pada tahun 2011.

90 High Holborn, London

Sehingga kini, PNB memiliki 4 aset hartanah di luar negara iaitu Santos Place di Brisbane, Australia dan tiga lagi di London iaitu One Exchange di Liverpool Street, 90 High Holborn dan Milton and Shire House. Persoalan sekarang adakah anda pemilik sebahagian kecil bangunan tersebut? Saya bertanyakan persoalan ini kerana adakah anda sudah melabur dalam unit-unit amanah yang ditawarkan oleh ASNB. Sekiranya anda belum membuat sebarang pelaburan dengan apa yang ditawarkan oleh PNB, harap maaf kerana anda masih belum menjadi sebahagian pemilik bangunan-bangunan yang diceritakan di atas.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpsot.com

Sumber.
1. Berita Harian.
2. Malaysian Business.
3. Utusan Malaysia.

Tuesday, December 25, 2012

Sejarah Unit Amanah di Malaysia


Anda tentunya terkejut jika diberitahu unit amanah sebenarnya sudah wujud selama lebih 40 tahun di Malaysia. Unit amanah yang pertama di negara ini ialah First Malayan Fund, yang dilancarkan pada tahun 1959 oleh Malayan Unit Trust Limited, yang juga merupakan syarikat unit amanah yang pertama. Tahun yang berikutnya menyaksikan pelancaran Second  Malayan Fund, diikuti oleh Third Malayan Fund pada tahun yang seterusnya.

Syarikat unit amanah yang kedua, Asia Unit Trusts Berhad, anak syarikat South East Asia Development Corporation, telah ditubuhkan pada telah ditubuhkan pada tahun 1966. Pada tahun yang berikutnya, Unit Amanah Mara Berhad (ASMB) ditubuhkan dan Dana Bumiputera Pertama dilancarkan. Ini diikuti oleh diikuti oleh dua dana lagi – kesemuanya untuk bumiputera. Walaupun terbentuknya dua buah syarikat unit amanah lagi, industri ini tidak menonjol sehinggalah pada penghujung tahun 1980.

Keadaan telah berubah pada April 1981, iaitu apabila Amanah Saham Nasional (ASN) – mungkin ‘bapa’ segala unit amanah dilancarkan. Ia dikendalikan oleh anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNB). Dana ini ditubuhkan bertujuan untuk menambah pemilikan bumiputera dalam sektor korporat.

Pulangan yang diberikan pada tahun pertama ialah sebanyak 20 peratus. Ini diikuti dengan pulangan 18 peratus pada tahun kedua dan ketiga. Pulangan yang lumayan ini telah berjaya menarik ribuan orang untuk melabur dalam ASN. Keadaan sebegini tidak pernah berlaku sebelum itu. ASN semakin maju dan menjadi pelopor unit amanah, mengatasi unit amanah yang lain. Menjelang tahun 1990, saiz dana ini telah membesar sehingga 11 bilion unit.

Pada tahun yang sama, Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengambil alih apabila ASN dibuka kepada orang ramai. ASB terus menguasai bidang ini dan tempoh tiga tahun ini sahaja iaitu pada tahun 1993, saiz dananya ialah 82 peratus daripada industri.

Kini unit amanah sudah bertapak kukuh di Malaysia. Pada Mei 2009, terdapat lebih 550 dana dengan nilai aset bersih (NAB) berjumlah RM159 bilion diuruskan oleh 38 syarikat unit amanah. Pengurusnya termasuklah Perbadanan Nasional Berhad (yang menguruskan ASN, ASB, dan juga Amanah Wawasan 2020), Public Mutual, CIMB Wealth Advisors serta MAAKL Mutual.

Apa yang pasti, jumlah dana mahupun bilangan syarikat akan terus bertambah pada masa hadapan.

Petikan dari Jutawan Dari Planet Jupiter.


http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, December 13, 2012

Negeri-negeri di bawah Pakatan Pembangkang Mempunyai Ketirisannya Tersendiri


Salam Kamarul. Apabila bincang kenapa hutang negara banyak. Kamu tidak mahu tanya pembangkang sebab pembangkang tiada pengalaman mentadbir ekonomi. Kamu mengatakan kerajaan ada banyak pengalaman ekonomi. Kalau kerajaan tu ada banyak pengalaman, kerajaan tidak akan mentadbir ekonomi sampai hutang banyak itu. Berikan maklumat ketirisan ekonomi dan kesan rasuah kepada hutang negara. Sila rujuk Laporan Ketua Audit Negara kalau dapat untuk bandingkan pentadbiran ekonomi negeri di bawah pembangkang dan kerajaan terutama sekali dari segi nilai hutang negara. Berikan maklumat lengkap dan dari sumber yang sahih untuk rujukan saya.

- Anonymous 11.12.2012

Wassalam. Saya sebenarnya mendapat maklumbalas daripada artikel saya sebelum ini mengenai kadar hutang negara yang naik sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 4 tahun iaitu antara tahun 2008 – 2012 (Klik di Sini). Baiklah, saya akan cuba menjawab satu persatu daripada pertanyaan atau maklumbalas di atas:

Sebenarnya saya tidak mengatakan bahawa pembangkang tiada pengalaman mentadbir ekonomi. Apa yang saya katakan bahawa pembangkang tidak mempunyai pengalaman mentadbir ekonomi negara. Ya, pembangkang tidak pernah mentadbir negara sejak merdeka kerana pembangkang sehingga ke hari ini belum pernah memenangi pilihanraya bukan sekadar 2/3 parlimen tetapi juga memenangi majoriti mudah di dalam parlimen. Pakatan Rakyat yang mentadbir hari ini hakikatnya mewarisi negeri-negeri yang kaya sejak dahulu lagi di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) contohnya Selangor dan Pulau Pinang. Apa yang ingin saya katakan di sini ialah mentadbir ekonomi negara adalah tidak sama mentadbir ekonomi negeri.

Seterusnya Saudara Anonymous mengatakan bahawa kalau Kerajaan banyak pengalaman, Kerajaan tidak akan mentadbir ekonomi sampai hutang banyak itu. Saya sudah terangkan sebelum ini bahawa hutang negara yang banyak berjumlah RM200 bilion diperlukan sebagai tindakbalas kepada krisis kewangan global yang melanda pada penghujung tahun 2008. Hutang ini diperlukan bagi menampung kenaikan harga makanan dan sumber tenaga pada penghujung tahun tersebut. Sekiranya tidak disubsidikan, sudah tentu harga barang makin melonjak naik dari yang sepatutnya. Sehingga ke hari ini, Malaysia belum lagi diisytiharkan bangkrap seperti mana negara Greece dan boleh membayar hutang seperti mana yang dijadualkan.

Kemudian, mengenai maklumat ketirisan ekonomi dan kesan rasuah kepada hutang negara. Tidak dinafikan bahawa rasuah juga memberi kesan kepada hutang negara. Apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan rasuah dari semasa ke semasa. Sekiranya kita tengok di dunia pada hari ini pun, tiada Kerajaan yang sifar daripada rasuah. Sekiranya kita tengok kedudukan ranking Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dilaporkan oleh badan bebas antarabangsa iaitu Transparency International, kedudukan Malaysia adalah naik dari tangga ke-60 ke tangga ke-56 pada tahun ini berbanding tahun dahulu (2011). Ini adalah suatu usaha yang baik dalam mengurangkan rasuah di negara ini.

Seterusnya Saudara meminta saya membandingkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pembangkang. Ini sudah tentu berat sebelah kerana Kerajaan Persekutuan menjaga semua negeri di Malaysia manakala manakala Pembangkang menjaga negeri yang merangkumi daerah-daerahnya sahaja. Baiklah saya memberikan sumber yang lengkap mengenai negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang dari sumber yang sahih untuk rujukan Saudara iaitu Laporan Ketua Audit Negara 2011. Berikut adalah laporan yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara 2011:

Kelantan

1. Sehingga bulan November 2011, Laporan Ketua Audit Negara juga mendedahkan Kerajaan PAS Kelantan telahpun menyerah hak milik tanah seluas 716.8 ekar secara pajakan 99 tahun yang bernilai RM318.29 juta kepada syarikat swasta tersebut tanpa melalui prosedur yang betul.

2. Pada 8 Julai 2003, Kerajaan PAS Kelantan secara rasminya telah memeterai perjanjian dengan syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd. melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM2 bilion bagi melaksanakan projek PTSK di Lembah Sireh, Kota Bharu. Melalui perjanjian yang dimeterai ini juga, Kerajaan PAS Kelantan perlu menyerahkan kira-kira 1,000 ekar tanah kepada pihak syarikat dan sebagai syarat serta balasannya, Liziz Standaco Sdn Bhd perlu memberi sumbangan dalam bentuk kewangan dan pembangunan fizikal yang bernilai lebih RM350 juta. Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat dan Timbalannya adalah antara pemimpin negeri yang menghadiri majlis pemeteraian perjanjian projek tersebut.

3. Hampir 10 tahun sudahpun berlalu, timbul persoalan sama ada benar tidak wujud unsur pembaziran, rasuah ataupun penyelewengan disebalik kelulusan projek ini? 10 tahun berlalu, tapi sebahagian besar projek masih tak terlaksana namun tanah sudah berpindah milik. Apa sudah terjadi? Selain itu, sehingga kini juga beberapa projek pembangunan fizikal yang sepatutnya dilaksanakan oleh Liziz Standaco seperti sengaja tidak dilakukan konon atas alasan kenaikan kos bahan mentah dan sebagainya, sedangkan tanah seluas 716.8 ekar sudah menjadi hak milik syarikat swasta tersebut.

4. Projek pembinaan masjid yang bernilai bernilai RM20 juta, Jambatan Palekbang (RM150 juta) dan stadium tertutup wanita bernilai RM25 juta yang sepatutnya sudah siap dibina sehingga kini bayang pun tidak kelihatan, sedangkan ia adalah antara syarat penting yang perlu dipatuhi selepas Kerajaan PAS Kelantan menyerahkan tanah seluas 716.8 ekar itu. Hatta, syarat sumbangan kewangan RM15 juta oleh syarikat itu untuk Tabung Skim Perumahan Kos Rendah yang sepatutnya telah selesai dibayar pada Mac 2006, hingga kini cuma RM3 juta sahaja yang baru diperolehi.

5. Laporan Ketua Audit Negara 2011 menegur kelemahan kerajaan Pas Kelantan dalam projek membina Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) biarpun diberi peruntukkan sebanyak RM19 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Melalui peruntukan itu kerajaan negeri merancang membina tujuh projek RAKR melibatkan 838 unit rumah. Daripada peruntukkan tersebut sebanyak RM8.33 juta telah dibelanjakan sehingga akhir tahun lalu tetapi projek RAKR masih tidak berjalan sepenuhnya.
 
Kedah

1. Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini mendedahkan kerajaan PAS Kedah dikesan membuat pembayaran sebanyak RM2.55 juta kepada lima kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan tujuh perumahan awam kos rendah sepanjang 2010 hingga 2011.

2. Namun, apa yang lebih mengejutkan dari laporan audit Kedah ialah apabila terdedahnya bagaimana Kerajaan PAS Kedah telah membayar RM2.55 juta kepada 5 kontraktor yang tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor bagi melaksanakan projek Taman Seri Gemilang, Flat Seberang Terus, Taman Wira, Flat Alor Malai, Flat simpang Kuala, Flat tongakng Yard dan Taman Kota Nelayan.

2. Kegagalan pelaksanaan beberapa projek utama oleh anak syarikat dibawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) merupakan salah satu punca kerajaan negeri mencatat kerugian. Projek-projek seperti pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea, Projek 99 East di Lankawi serta projek udang kerpan, tanaman getah dan kelapa sawit semuanya mencatatkan kerugian dengan nota audit yang menyatakan kelemahan dari segi perlaksanaan, perjanjian dan pemantauan.

Pulau Pinang

1. Laporan Audit 2011 yang menunjukkan penurunan hutang negeri tersebut antara 94 – 97%. Penurunan hutang ini dibantu kerajaan pusat melalui pengambilalihan pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM655.25 juta telah diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) – organisasi dibawah Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

2. Tiga anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Pulau Pinang iaitu Penang Global Tourism Sdn. Bhd. (PGTSB), PDC Nusabina Sdn. Bhd. (PDCN) dan PDC Homes Sdn. Bhd. (PDCH) didapati telah mencatat kerugian sebelum cukai pada tahun kewangan 2008 hingga 2010. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati, kerugian terkumpul sehingga 2010 bagi ketiga-tiga syarikat itu berjumlah lebih RM6.8 juta iaitu masing-masing RM1.09 juta, RM5.16 juta dan RM583,035.

3. Sejumlah RM33.36 juta Akaun Amanah Perumahan Bumiputera telah tidak dibelanja. Jumlah ini adalah bersamaan dengan peningkatan 58% dari tahun sebelumnya iaitu RM21.11 juta.

4. Beberapa projek yang dibina juga, terbukti hanya membazirkan wang rakyat kerana tidak dapat digunakan sehingga kini. Antaranya Kompleks Makanan Mutiara Height di Jelutung dan Kompleks Makanan Gold Coast yang terletak di Bayan Baru yang bukan setakat terbiar begitu sahaja, bahkan kerana kurangnya aktiviti pemantauan keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan, telah menyebabkan banyak kemudahan asas yang disediakan di kompleks ini telah hilang atau dirosakkan.

Selangor

1. Laporan Audit Ketua Negara mendapati Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) yang mengendalikan Universiti Selangor (Unisel) mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus kepada RM37.63 juta berbanding RM12.62 juta pada tahun 2009.

2. Bagi Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Kerajaan Neeri hanya meluluskan 19.4% daripada 313,706 anak kelahiran Selangor dari tahun 2008 hingga 2011 untuk mendapat faedah TAWAS.

3. Laporan Ketua Audit Negara turut merekodkan bahawa kerajaan persekutuan memberikan RM375.9 juta kepada kerajaan Selangor bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri sepanjang 16,013 kilometer, tetapi kerajaan negeri didakwa hanya membelanjakan RM218.15 juta sahaja iaitu 58.1 peratus dari keseluruhan peruntukan.

4. Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan bahawa memberikan tanah seluas 18.51 ekar di Klang, milik Yayasan Selangor kepada Exco Selangor, Elizabeth Wong, untuk dibina pusat kebudayaan Cina Selangor.

Dapat kita lihat bahawa Negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang mempunyai kelemahan dan ketirisannya tersendiri jika ingin dibandingkan dengan Kerajaan Persekutuan. Kita sering melihat bahawa Kerajaan pada hari ini terlalu teruk dengan isu-isu tertentu khususnya rasuah seolah-olah pembangkang langsung tidak mempunyai kelemahannya. Semoga Laporan Ketua Audit Negara 2011 ini boleh menjadi rujukan kepada Saudara Anonymous.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, December 7, 2012

Hutang Malaysia Berjumlah RM484.621 Bilion: Apakah Fakta yang Perlu Kita Tahu?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.


Pada kali ini saya ingin memberi pandangan saya mengenai hutang Malaysia yang tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu berjumlah RM484.621 bilion yang disiarkan dalam laman web beritasemasa.com pada 4 Disember 2012 iaitu bagi tempoh menjelang akhir tahun 2012 di mana hanya tinggal 3 minggu lagi tahun ini akan menutup tirainya. Saya fikir ia mungkin pro-pembangkang kerana kebanyakan artikel yang disiarkan olehnya adalah banyak mengkritik Kerajaan. Sememangnya benar ia menceritakan bahawa hutang negara sekarang adalah tertinggi sejak merdeka pada tahun 1957. Namun begitu, laman web tersebut tidak menjelaskan sebab-musabab yang membawa kepada jumlah hutang negara yang begitu tinggi.
Akan tetapi, sekiranya mempehalusi balik tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh Kerajaan, ia sebenarnya adalah tidak berasas sama sekali. Contohnya ketika pertengahan tahun 2012, pembangkang memainkan isu PTPTN di mana pelajar-pelajar yang tidak membayar hutang PTPTN disenaraihitamkan manakala Tan Sri Tajuddin Ramli tidak perlu membayar hutang berjumlah RM589 juta ekoran krisis kewangan tahun 1997 dahulu. Sebenarnya, isu Tan Sri Tajuddin Ramli tersebut adalah diselesaikan di luar mahkamah dengan Danaharta dan beliau dikehendaki membayar balik hutang tersebut. Malangnya, isu ini dibawa oleh pihak pembangkang dan mengatakan bahawa Tajuddin Ramli tidak perlu membayar hutang tersebut. Begitu juga dengan isu NFC yang berjumlah RM250 juta di mana hutang tersebut perlu dibayar dan bukannya tidak perlu dibayar (Malaysiakini).


Baiklah, kita berbalik kepada laman web beritasemasa.com tadi. Laman ini melaporkan bahawa hutang negara adalah naik daripada RM200 bilion antara tahun 2008 – 2012 iaitu dalam masa 4 tahun berbanding tahun 1957 – 2008 yang berjumlah RM284 bilion. Memang benar kenaikan bagi 4 tahun ke belakang ini adalah naik mendadak yang berjumlah RM200 bilion. Laman web mempertikaikan bahawa ke manakah jumlah wang yang besar itu dibelanjakan dan sepatutnya semakin banyak faedah yang boleh dinikmati oleh rakyat.
Akan tetapi apakah yang menyebabkan hutang negara naik RM200 bilion dalam masa 4 tahun?


Kalau kita ingin tahu dalamnya rimba, tanyalah pada si Puyuh


Kalau kita ingin tahu luasnya padang, tanyalah pada si Belalang


Kalau kita ingin tahu tingginya pokok, tanyalah pada helang


Jangan tanya pada puyuh apabila kita ingin tahu tingginya pokok, sudah pasti maklumat yang diberikan menyelewengkan daripada keadaan sebenar. Kita tidak boleh untuk bertanyakan pembangkang kerana mereka tiada pengalaman ekonomi negara. Sekiranya adapun, kejayaan mereka ialah menguruskan ekonomi yang telah kaya contohnya Selangor dan Pulau Pinang. Lihat sahaja negeri Kelantan, adakah negeri tersebut betul-betul kaya selepas 20 tahun di bawah pemerintahan pembangkang? Tepuk dada tanya Harakah.
Sebenarnya, menurut Tun Daim Zainuddin yang merupakan bekas Menteri Kewangan menyatakan bahawa kenaikan hutang negara berjumlah RM200 bilion itu diperlukan sebagai tindakbalas kepada kesan krisis kewangan global yang bermula pada penghujung tahun 2008 dan subsidi besar diperlukan untuk menampung kenaikan harga barang makanan dan tenaga (Malaysiakini). Ini menjawab persoalan beritasemasa.com yang mempertikaikan ke manakah jumlah besar wang dibelanjakan. Ia sebenarnya adalah dibelanjakan untuk menampung kos kenaikan hidup rakyat. Sekiranya kos kenaikan itu tidak ditampung oleh pinjaman yang tinggi sudah tentu kos kenaikan adalah naik berkali ganda daripada sekarang.


Menurut beliau lagi, jumlah pinjaman besar yang dibuat oleh Kerajaan ini sebenarnya adalah pinjaman domestik atau pinjaman dalam negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pinjaman ini tidak mendedahkan Malaysia kepada aliran modal besar keluar secara tiba-tiba. Walaupun beberapa penganalisis bimbang kadar hutang negara dijangka meningkat 1.3 peratus kepada 54.8 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding 53.1 peratus pada 2010, kenaikan ini adalah wajar sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global yang bermula pada penghujung 2008.
Menurut Laporan Kementerian Kewangan, Hutang domestik kekal sebagai komponen terbesar meliputi RM484.8 bilion atau 96.5 peratus daripada jumlah hutang sehingga September 2012. Sebaliknya, hutang luar negeri kerajaan Persekutuan dijangka menurun 2.8 peratus kepada RM17.6 bilion disebabkan ketiadaan terbitan antarabangsa yang baharu kecuali pengeluaran daripada pinjaman projek sedia ada (Sinar Harian).

Sejak merdeka lagi, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dalam kitaran setiap 10 tahun. Contohnya pada pertengahan 1980-an, Malaysia mengelami kemerosotan ekonomi disebabkan oleh penurunan harga barang-barang komoditi utama. Pada tahun 1997 pula, Malaysia sekali lagi dirundung dengan kemelesetan ekonomi disebabkan oleh penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia. Seterusnya pada tahun 2008, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi disebabkan oleh krisis kewangan ekonomi global. Sekiranya kita melihat krisis ekonomi negara yang berlaku sejak merdeka, kita dapat melihat Kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dan tidak pernah lagi Kerajaan tidak pernah gagal membayar hutang apatah lagi muflis disebabkan oleh masalah tersebut.


Dapat dilihat sini bahawa kenaikan pinjaman Kerajaan adalah sebenarnya adalah untuk menampung subsidi barangan makanan dan tenaga di mana pinjaman tersebut adalah sebahagiannya adalah pinjaman domestik dan untuk kebaikan rakyat juga. Sepatutnya tidak timbul isu ke manakah wang rakyat tersebut dibelanjakan. Apa yang jelas ialah media pembangkang sengaja mempermainkan isu bagi meraih sokongan murahan rakyat bagi menentang Kerajaan.
http://wankamarul701.blogspot.com


Sumber


1. http://beritasemasa.com/hutang-negara-terkini-2012
2. http://www.malaysiakini.com/news/191166
3. http://www.malaysiakini.com/news/198747
4. http://beritasemasa.com/hutang-negara-terkini-2012
5. http://www.sinarharian.com.my/. 28 September 2012.

Sunday, December 2, 2012

Intipati Ucapan Penutup Perhimpunan Agung UMNO 2012


Semalam berakhir sudah Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2012. Perhimpunan ini mungkin mempunyai makna yang tersendiri kepada ahli-ahli UMNO kerana perhimpunan ini merupakan kali terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan yang akan diadakan pada tahun 2013. Saya berkesempatan malam semalam untuk menonton Buletin Utama TV3 kebetulan duduk di hadapan kotak televisyen untuk makan malam di kedai makan. Saya mengikuti perkembangan dari awal sehingga akhir laporan penutup Perhimpunan Agung UMNO ini oleh Buletin Utama kebetulan makanan saya lambat dihidangkan. Orang kata TV 3 itu banyak menipu dan menyebarkan fitnah. Bagi saya, walaupun TV 3 itu adalah alat propaganda pihak tertentu tetapi biarlah kita menilai apabila apa yang disampaikan oleh stesyen televisyen tersebut.

Dari awal-awal lagi saya kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin UMNO di mana ucapan awal oleh Tan Sri Muhyidin Yassin telah menghentam pemimpin-pemimpin pembangkang dari pati PAS, PKR dan DAP. Sepatutnya pemimpin atasan perlu muhasabah diri sendiri dengan kesilapan yang masih dilakukan sekarang terutamanya isu rasuah yang masih menjadi darah daging UMNO. Sepatutnya isu rasuah patut dikurangkan dari semasa ke semasa terutamanya sejak kejatuhan UMNO pada PRU-12 pada tahun 2008 kerana hilang majoriti menguasai 2/3 parlimen. Malangnya, UMNO masih banyak makan walaupun masih tidak dapat tidur lena. Isu NFC pada awal tahun ini sudah tentu mengejutkan apabila keluarga Menteri mengambil dan membazirkan duit rakyat yang berjumlah RM250 juta. Perkara ini sudah tentu menyedihkan. Ironinya, harga barangan utama terus naik dari semasa ke semasa.

Mungkin apa yang dikatakan oleh pemimpin UMNO itu betul juga apabila menghentam pemimpin-pemimpin PAS. Ini adalah kerana pewakilan PAS mencadangkan agar Presiden PAS iaitu Tok Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya umum akan datang. Pemimpin UMNO menghentam PAS tentang bagaimana PAS boleh melantik calonnya menjadi Perdana Menteri sedangkan PAS sendiri bukan majoiriti dalam pakatan pembangkang. PKR pula dituduh mengamalkan pluralisme ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh anak Ketua Pembangkang. DAP pula digelar sebagai parti perkauman.

Saya sememangnya ‘alergi’ dengan Parti DAP sejak dahulu lagi kerana parti ini ingin menjayakan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Saya juga berasa pelik dengan kenyataan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa pemimpin pakatan telah menandatangi perjanjian bahawa Hak Keistimewaan Orang Melayu tidak akan diusik dalam Perlembagaan. Apa yang saya fikirkan bagaimana Parti DAP yang memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ boleh bersetuju menandatangani perjanjian tersebut. Apakah DAP menggadaikan prinsip perjuangannya? Saya fikir tidak sama sekali. Mungkin ada perancangan lain yang lebih jauh yang kita tidak sedari.

Saya juga berasa lucu apabila para pewakilan menyanyikan lagu ‘Anak Kecil Main Api’ sampai menangis mendendangkan lagu itu. Apa yang melucukan saya ialah tema lagu itu menyatakan bahawa hasil kekayaan ekonomi Tanah Melayu mengalir ke tangan bangsa lain atau penjajah. Hakikatnya, hasil kekayaan ekonomi Malaysia pada hari ini mengalir ke tangan-tangan pemimpin UMNO-BN dan ahli keluarga merea. Ini diucapkan sendiri oleh imam yang membaca khutbah pada hari Jumaat yang menyatakan bahawa tanah rizab melayu berjumlah tiga ribu ekar kini tinggal satu ribu lebih ekar sahaja yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin melayu sendiri. Saya merasakan isu khutbah ini sengaja dibacakan berikutkan Pehimpunan Agung UMNO 2012 masih bersidang.

Saya tertarik dengan ucapan penggulugan oleh Presiden UMNO yang mengumumkan bahawa had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 kerana peminjam wanita AIM merupaan peminjam yang baik dan tekun mengusahakan perniagaan mereka. Usul ini diutarakan oleh pemangku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Ramli Norani yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia. Ini sudah tentu menggembirakan buat kakitangan dan juga Sahabat AIM kerana had pinjaman telah dinaikkan. Terdapat cadangan supaya AIM mempunyai Koperasi Sahabat yang baru supaya boleh mengurus pinjaman lebih daripada RM50,000 sehingga RM300,000. Cadangan baru oleh Presiden UMNO ini boleh membuatkan kakitangan AIM berfikir semula mengenai cadangan untuk Koperasi baru bagi menguruskan pinjaman yang lebih besar.

Akta Kebangkrapan juga akan dikaji semula. Ini adalah kerana akta ini adalah terlalu ketat yang menyebabkan seseorang itu mudah diisytihar muflis. Sekarang ini seramai 120,000 orang yang telah diisytihar muflis hanya disebabkan sebagai penjamin. Rang undang-undang baru akan diperkenalkan untuk mengeluarkan mereka dari status muflis. Berita ini sudah tentu memberi kelegaan kepada sesiapa yang berada status bangkrap pada hari ini.

Isu doa kehancuran UMNO oleh pemimpin PAS juga dibangkitkan oleh Pewakilan UMNO iaitu Ustaz Fathul Bari pada kali ini. Beliau menyatakan bahawa UMNO memaafkan PAS dalam isu ini walhal PAS langsung tidak meminta maaf pun daripada UMNO. Beliau menyatakan bahawa dalam hukum qisas sekalipun, seseorang tidak akan dikenakan hukuman qisas sekiranya waris memaafkan orang yang bersalah. Kita juga tidak boleh menghukum seseorang itu membuat zalim pada kita malah kita perlu meletak perkataan ‘sekiranya’ dalam doa kita sekiranya ingin mendoakan sekalipun. Saya pun tidak boleh menilai secara lanjut mengenai perkara ini.

Pendek kata, saya hanya tertarik dua perkara sahaja yang diutarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 pada kali ini iaitu isu had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Akta Kebangkrapan yang akan dikaji semula. Mengenai PRU-13, saya memang tidak setuju dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menghentam pemimpin-pemimpin pembangkang dari PAS, PKR dan DAP yang ditunjukkan dalam kaca televisyen. Tetapi saya percaya bahawa Kerajaan mempunyai harapan cerah untuk memenangi majoriti 2/3 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com