Semalam berakhir sudah Perhimpunan
Agung UMNO bagi tahun 2012. Perhimpunan ini mungkin mempunyai makna yang
tersendiri kepada ahli-ahli UMNO kerana perhimpunan ini merupakan kali terakhir
sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan yang akan diadakan pada tahun
2013. Saya berkesempatan malam semalam untuk menonton Buletin Utama TV3
kebetulan duduk di hadapan kotak televisyen untuk makan malam di kedai makan.
Saya mengikuti perkembangan dari awal sehingga akhir laporan penutup
Perhimpunan Agung UMNO ini oleh Buletin Utama kebetulan makanan saya lambat
dihidangkan. Orang kata TV 3 itu banyak menipu dan menyebarkan fitnah. Bagi
saya, walaupun TV 3 itu adalah alat propaganda pihak tertentu tetapi biarlah
kita menilai apabila apa yang disampaikan oleh stesyen televisyen tersebut.
Dari awal-awal lagi saya kecewa dengan
sikap pemimpin-pemimpin UMNO di mana ucapan awal oleh Tan Sri Muhyidin Yassin
telah menghentam pemimpin-pemimpin pembangkang dari pati PAS, PKR dan DAP.
Sepatutnya pemimpin atasan perlu muhasabah diri sendiri dengan kesilapan yang
masih dilakukan sekarang terutamanya isu rasuah yang masih menjadi darah daging
UMNO. Sepatutnya isu rasuah patut dikurangkan dari semasa ke semasa terutamanya
sejak kejatuhan UMNO pada PRU-12 pada tahun 2008 kerana hilang majoriti
menguasai 2/3 parlimen. Malangnya, UMNO masih banyak makan walaupun masih tidak
dapat tidur lena. Isu NFC pada awal tahun ini sudah tentu mengejutkan apabila
keluarga Menteri mengambil dan membazirkan duit rakyat yang berjumlah RM250
juta. Perkara ini sudah tentu menyedihkan. Ironinya, harga barangan utama terus
naik dari semasa ke semasa.
Mungkin apa yang dikatakan oleh
pemimpin UMNO itu betul juga apabila menghentam pemimpin-pemimpin PAS. Ini
adalah kerana pewakilan PAS mencadangkan agar Presiden PAS iaitu Tok Guru Haji
Hadi Awang (TGHHA) menjadi Perdana Menteri apabila Pakatan Rakyat (PR) menang
dalam pilihan raya umum akan datang. Pemimpin UMNO menghentam PAS tentang
bagaimana PAS boleh melantik calonnya menjadi Perdana Menteri sedangkan PAS
sendiri bukan majoiriti dalam pakatan pembangkang. PKR pula dituduh mengamalkan
pluralisme ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh anak Ketua Pembangkang. DAP
pula digelar sebagai parti perkauman.
Saya sememangnya ‘alergi’ dengan
Parti DAP sejak dahulu lagi kerana parti ini ingin menjayakan konsep ‘Malaysian
Malaysia’. Saya juga berasa pelik dengan kenyataan Ketua Pembangkang Dato’ Seri
Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa pemimpin pakatan telah menandatangi
perjanjian bahawa Hak Keistimewaan Orang Melayu tidak akan diusik dalam
Perlembagaan. Apa yang saya fikirkan bagaimana Parti DAP yang memperjuangkan
konsep ‘Malaysian Malaysia’ boleh bersetuju menandatangani perjanjian tersebut.
Apakah DAP menggadaikan prinsip perjuangannya? Saya fikir tidak sama sekali.
Mungkin ada perancangan lain yang lebih jauh yang kita tidak sedari.
Saya juga berasa lucu apabila para
pewakilan menyanyikan lagu ‘Anak Kecil Main Api’ sampai menangis mendendangkan
lagu itu. Apa yang melucukan saya ialah tema lagu itu menyatakan bahawa hasil
kekayaan ekonomi Tanah Melayu mengalir ke tangan bangsa lain atau penjajah.
Hakikatnya, hasil kekayaan ekonomi Malaysia pada hari ini mengalir ke
tangan-tangan pemimpin UMNO-BN dan ahli keluarga merea. Ini diucapkan sendiri
oleh imam yang membaca khutbah pada hari Jumaat yang menyatakan bahawa tanah
rizab melayu berjumlah tiga ribu ekar kini tinggal satu ribu lebih ekar sahaja
yang disebabkan oleh pemimpin-pemimpin melayu sendiri. Saya merasakan isu
khutbah ini sengaja dibacakan berikutkan Pehimpunan Agung UMNO 2012 masih
bersidang.
Saya tertarik dengan ucapan
penggulugan oleh Presiden UMNO yang mengumumkan bahawa had pinjaman Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM) akan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 kerana
peminjam wanita AIM merupaan peminjam yang baik dan tekun mengusahakan
perniagaan mereka. Usul ini diutarakan oleh pemangku Ketua UMNO Bahagian Sungai
Besar Datuk Ramli Norani yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan
Peniaga Kecil Melayu Malaysia. Ini sudah tentu menggembirakan buat kakitangan
dan juga Sahabat AIM kerana had pinjaman telah dinaikkan. Terdapat cadangan
supaya AIM mempunyai Koperasi Sahabat yang baru supaya boleh mengurus pinjaman
lebih daripada RM50,000 sehingga RM300,000. Cadangan baru oleh Presiden UMNO
ini boleh membuatkan kakitangan AIM berfikir semula mengenai cadangan untuk
Koperasi baru bagi menguruskan pinjaman yang lebih besar.
Akta Kebangkrapan juga akan dikaji
semula. Ini adalah kerana akta ini adalah terlalu ketat yang menyebabkan
seseorang itu mudah diisytihar muflis. Sekarang ini seramai 120,000 orang yang
telah diisytihar muflis hanya disebabkan sebagai penjamin. Rang undang-undang
baru akan diperkenalkan untuk mengeluarkan mereka dari status muflis. Berita
ini sudah tentu memberi kelegaan kepada sesiapa yang berada status bangkrap
pada hari ini.
Isu doa kehancuran UMNO oleh
pemimpin PAS juga dibangkitkan oleh Pewakilan UMNO iaitu Ustaz Fathul Bari pada
kali ini. Beliau menyatakan bahawa UMNO memaafkan PAS dalam isu ini walhal PAS
langsung tidak meminta maaf pun daripada UMNO. Beliau menyatakan bahawa dalam
hukum qisas sekalipun, seseorang tidak akan dikenakan hukuman qisas sekiranya
waris memaafkan orang yang bersalah. Kita juga tidak boleh menghukum seseorang
itu membuat zalim pada kita malah kita perlu meletak perkataan ‘sekiranya’
dalam doa kita sekiranya ingin mendoakan sekalipun. Saya pun tidak boleh
menilai secara lanjut mengenai perkara ini.
Pendek kata, saya hanya tertarik
dua perkara sahaja yang diutarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 pada kali
ini iaitu isu had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Akta Kebangkrapan
yang akan dikaji semula. Mengenai PRU-13, saya memang tidak setuju dengan
pemimpin-pemimpin UMNO yang menghentam pemimpin-pemimpin pembangkang dari PAS,
PKR dan DAP yang ditunjukkan dalam kaca televisyen. Tetapi saya percaya bahawa
Kerajaan mempunyai harapan cerah untuk memenangi majoriti 2/3 kerusi parlimen
dalam pilihan raya umum akan datang.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
1 comment:
Pendek kata, saya hanya tertarik dua perkara sahaja yang diutarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 pada kali ini iaitu isu had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).....
sebab saya adalah staf AIM.. kakaka
Post a Comment