Friday, November 23, 2012

Wakaf Memperkasakan Ekonomi Melayu-Islam


Angka-angka yang menunjukkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi di negara ini amat membimbangkan. Pada tahun 2004, pemilikan ekuiti ekonomi bumiputera adalah sebanyak 18.9 peratus berbanding kaum Cina yang masih menguasai ekonomi negara ini iaitu sebanyak 39.0 peratus. Begitu juga dengan pemilikan lot-lot kedai bumiputera juga amat sedikit contohnya di Selangor di mana ia menunjukkan sebanyak 4.6 peratus. Angka-angka ini menunjukkan bahawa penguasaan ekonomi orang Melayu yang sinonim dengan Islam adalah masih rendah. Sesungguhnya banyak instrumen yang telah diperkenalkan oleh Islam dalam memperkasakan ekonomi penganut-penganutnya cuma orang Islam itu sendiri yang tidak menyedarinya atau masing-masing hanya tutup sebelah mata sahaja kerana sibuk ingin menguasai Putrajaya. Yang memegang Putrajaya sibuk mempertahankan kuasanya manakala yang masih belum menguasainya sibuk mengadu-domba supaya rakyat terpengaruh dengan dakyah karut-marut mereka bagi menentang sang penguasa. Pada kali ini, saya ingin berbicara mengenai wakaf iaitu salah satu instrumen yang penting yang dianjurkan oleh Islam. Perlu ditekan di sini bahawa wakaf itu berbeza dengan zakat di mana zakat itu adalah khusus kepada kebajikan manakala lebih kepada berfokuskan ekonomi.

Sabda Nabi “Imam (Khalifah) adalah laksana perisai yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan.” Memang benar Khalifah itu sendiri adalah pelindung kepada umat Islam. Umat Islam pada hari ini adalah lemah dari segenap aspek khususnya ekonomi kerana tiada wujudnya sistem pemerintahan khalifah yang memayungi umat Islam ini. Sewaktu pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid, jumlah wang negara yang tersimpan di Baitul Mal adalah sebanyak 900 juta dirham atau bersamaan RM1.3 trilion pada hari ini. Begitulah kekuatan umat Islam dengan adanya seorang Khalifah Islam di dunia ini.

Di Malaysia, Sultan-sultan adalah pemegang kuasa tunggal harta-harta wakaf di negeri masing-masing. Ini adalah penting supaya harta wakaf tidak akan bertukar hak milik pada masa sekarang atau masa hadapan. Sekiranya di letakkan di bawah kuasa Menteri atau Perdana Menteri, alamatnya ia tidak akan kekal kerana negara kita mengamalkan demokrasi di mana kuasa Kerajaan akan bertukar tangan. Sekiranya kita tengok di Pulau Pinang pada hari ini, kebanyakan tanah-tanah orang Melayu yang tinggal merupakan tanah-tanah wakaf yang terletak di bawah kuasa Majlis Agama Negeri (MAIN) dan ia tidak boleh diusik. Ini adalah kerana tanah-tanah tersebut menjadi hak milik Allah s.w.t. secara kekal dan ia tidak boleh bertukar hak milik khususnya dari tangan-tangan kapitalis. Untuk pengetahuan anda juga, lot-lot kedai Cina di Taiping kebanyakannya terdiri di atas tanah-tanah wakaf milik Majlis Agama Negeri (MAIN) yang disewa dengan hanya RM1 (seringgit) sebulan sejak dahulu lagi. Ini adalah kerana tanah-tanah tersebut masih teringat dengan perjanjian selagi ada bulan dan bintang di mana orang-orang bukan Islam boleh menyewa tanah tersebut sampai bila-bila. Tidak bolehkah perjanjian tersebut dibatalkan? Ini tidak mustahil kerana sekiranya kita melihat perjanjian syarikat Shell yang menguasai minyak Tanah Melayu sejak akhir abad 1800, setiap titis minyak di Tanah Melayu merupakan milik Shell selagi ada bulan dan bintang. Akhirnya, perjanjian tersebut berjaya diubah dengan peranannya dimainkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang membawa kepada penubuhan Petronas.

Jika kita melihat perkara pertama yang dibuat oleh Mustafa Kamal Attaturk apabila memerinta Turki ialah beliau menghapuskan Kementerian Wakaf. Ini adalah kerana tanah-tanah wakaf merupakan tanah kekal yang tidak boleh diusik di bawah Kementerian tersebut. Apabila kementerian tersebut dihapuskan, maka tanah-tanah tersebut boleh dipindah hak milik kepada orang lain. Ini adalah sebab utama Sultan menjadi pemilik kuasa tunggal harta wakaf supaya harta tersebut tidak boleh bertukar tangan ataupun bertukar hak milik.

Saya juga berpendapat bahawa hukum hudud juga perlu diletakkan di bawah Tuanku Sultan di bawah kuasa negeri masing-masing supaya ia tidak dipolitikkan dan seterusnya dapat dilaksanakan. Saya melihat isu hudud ini hanyak gimik apabila menjelang pilihanraya yang dimainkan oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Pada hakikatnya, kedua-dua pihak tidak berupaya untuk melaksanakan hudud apabila berjaya memegang kuasa negeri ataupun persekutuan. Oleh itu, hukum hudud sepatutnya diletak di bawah Tuanku Sultan supaya ia boleh dilaksanakan dan bukannya dipolitikkan supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai amnya.

Sekiranya kita melihat kemelut ekonomi pada hari ini, harga hartanah meningkat secara drastik walaupun dalam tempoh satu tahun. Seseorang peniaga melayu memang tidak mampu untuk membeli satu lot kedai yang berharga RM500,000 ke atas bahkan mencecah RM 1juta lebih bagi satu lot. Hanya golongan kaya-raya sahaja atau golongan kapitalis sahaja yang mampu untuk membeli aset hartanah tersebut. Bagi seseorang individu yang terdiri daripada melayu-Islam tidak mampu untuk membeli dengan harga tersebut. Hanya wakaf sahaja yang dapat menyelesaikan kemelut ini. Apa yang boleh dibuat ialah setiap orang melayu-Islam boleh mewakafkan gaji atau pendapatan mereka setiap bulan. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 28.3 juta orang di mana penduduk yang beragama Islam ialah sebanyak 61.3 peratus atau 17.3 juta orang. Sekiranya setiap orang mewakafkan hasil pendapatan atau gajinya dengan purata RM10 sebulan, maka harta yang terkumpul di kalangan orang-orang Islam ialah RM173 juta sebulan. Dengan ini, ia sedikit sebanyak boleh digunakan bagi membeli aset-aset hartanah yang boleh disewakan kepada peniaga melayu-Islam dengan harta yang berpatutan. Ini adalah strategi yang boleh dibuat pada masa ini bagi menambah pemilikan orang-orang Islam dalam bidang hartanah.

Namun begitu, kesedaran tentang kepentingan wakaf di Malaysia ini belum lagi di tahap yang membanggakan lagi. Pengurusan wakaf Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) merupakan pengurusan yang terbaik di Singapura. Peranan MUIS boleh dilihat dalam melindungi dan mengekalkan aset wakaf, mengemaskini rekod wakaf dan menguruskan projek hartanah, pelaburan dan pembangunan wakaf. Sumber dana bagi MUIS bagi membangunkan harta wakaf ialah melalui pengeluaran bon berunsurkan Islam (sukuk) dan mewajibkan pekerja Muslim di Singapura mewakafkan pendapatan mereka dalam bentuk wakaf tunai. Bagi pekerja yang berpendapatan kurang $1,000 diwajibkan mewakafkan $2, $1,001 - $2,000 menyumbang $3.50, $2,001 - $3,000 menyumbang $5, $3,001 - $4,000 menyumbang $12.50 dan lebih $4,000 menyumbang $16. Dana wakaf tunai ini bertujuan untuk pembinaan masjid dan institusi Islam.

Ada cadangan yang mengatakan bahawa Mufti-mufti di negara ini wajib mengeluarkan fatwa supaya setiap orang Islam wajib melaksanakan wakaf tunai. Ini adalah kerana kedudukan orang melayu-Islam adalah amat membimbangkan walaupun di negara sendiri contohnya pemilikan lot-lot kedai di Selangor bagi orang melayu-Islam hanya 4.6 peratus sahaja. Sekiranya kerja-kerja digerak secara bersama, ia boleh memperkasakan ekonomi orang melayu itu sendiri di negara ini.

Setakat ini cuma ada 3 institusi utama yang menggerakkan pengurusan wakaf di Malaysia iaitu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Jcorp, dan JAWHAR bagi membangunkan ekonomi orang Islam. Hasilnya amat menggalakkan contohnya PWS berjaya mengutip RM35 juta pada tahun pertama operasinya dan Jcorp memperkenalkan Klinik Wakaf an-Nur yang beroperasi di seluruh negara. Mungkin proses ini mengambil masa yang lama bagi menerangkan kepentingan wakaf kepada orang ramai. Lambat-laun ia boleh melumpukhkan ekonomi orang Cina yang mencengkam hasil kekayaan Tanah Melayu sejak sekian lama. Jika orang ramai mula membayar zakat pendapatan selepas 20 tahun ia diperkenalkan, maka tiba masa orang Melayu menguasai ekonomi negara semula pada tempoh 20 tahun akan datang dengan berwakaf. Insya-Allah.

Sumber: Institut Kajian Zakat Malaysia (IkaZ)


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: