Sunday, November 11, 2012

Hukuman Manusia Tidak Dapat Menghentikan Jenayah


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Hukuman hudud itu tidak dapat menggantikan hukum manusia. Itu adalah intipati yang saya dapati daripada khutbah Jumaat pada hari ini. Saya tetarik dengan khutbah pada hari ini kerana mungkin ini pertama kali saya mendegar khatib membaca khutbah mengenai hukum hudud. Pada masa mula-mula khatib memegang tongkat saya teringat mengenai ceramah Ustaz Azhar Idrus bahawa sekiranya seseorang imam sudah memegang tongkat, beliau perlu berani bercakap mengenai hudud. Tidak saya sangka bahawa imam tersebut memang berkhutbah mengenai hudud. Tahniah saya ucapkan!

Daripada intipati khutbah tersebut saya dapati bahawa hukum manusia itu sendiri tidak dapat menghentikan jenayah. Imam tersebut turut menyatakan bahawa pelbagai ‘ultimate punishment’ telah diperkenalkan dari semasa ke semasa untuk menakutkan penjenayah. Namun begitu, hukuman tersebut tidak dapat mengurangkan kadar jenayah bahkan kadar jenayah juga bertambah dari semasa ke semasa. Antara hukuman yang tidak masuk akal ialah dengan mengenakan hukuman kerusi elektrik dan tidak kurang juga mengenakan hukuman penjara sehingga 500 tahun ke atas penjenayah. Adakah hukuman ini dapat mengurangkan jenayah? Tidak sama sekali.

Tetapi Allah s.w.t. itu Maha Agung. Dia sendiri yang menciptakan manusia ini. Sebagai Pencipta manusia, Dia yang lebih tahu tentang kelemahan manusia itu sendiri. Maka, Dia memerintahkan kita supaya melaksanakan hudud dan juga qisas ke atas penjenayah. Dari segi psikologi, hukuman hudud atau qisas itu memang menakutkan. Ya, ia memang menakutkan kepada orang yang paling jahat. Tidak perlu saya menyebutkan ayat-ayat al-Quran mengenai perintah melaksanakan hudud ataupun qisas di sini kerana kita semua sudah maklum perkara itu. Apa yang lebih penting kita perlu bersama-sama untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. tersebut. Tidak perlu kita memohon restu Parti DAP atau MCA untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. kerana ingin menjaga hati mereka bahkan penjajah British suatu ketika dahulu tidak pernah meminta izin Sultan-sultan Tanah Melayu ketika dahulu sewaktu mereka menggantikan Undang-undang Islam dengan undang-undang dari Barat.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: