Monday, November 5, 2012

Pelaksanaan Hudud di Terengganu

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa dirahmati Allah s.w.t. sentiasa. Semoga kita terus bersama-sama dengan blog ini untuk berkongsi ilmu sama ada kita sudah tahu ataupun tidak tahu. Benar sabda Nabi junjungan kita yang bersabda bahawa, "Dua perkara yang tidak akan kenyang apabila dituntut iaitu dunia dan ilmu." Semoga kita tidak leka dengan mengejar dunia semata-mata walaupun diri kita ini adalah jenis yang sukar untuk menimba ilmu. Adalah lebih baik lagi sekiranya kita mengejar kedua-dua perkara ini supaya kita akan selamat di dunia dan diakhirat.

 
Baiklah, tajuk yang ingin saya kongsikan bersama pada kali ini ialah Pelaksanaan Hudud di Terengganu. Pelaksanaan hudud di Terengganu ini adalah merujuk kepada semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Sebelum itu perlu kita tahu bahawa realiti dunia hari ini ialah tiada lagi negara yang melaksanakan hudud di atas landasan demokrasi. Menutur Hizbul Tahrir demokrasi itu sendiri merupakan suatu sistem yang kufur walaupun ada sesetengah pendapat yang mengatakan demokrasi ini boleh digunakan. Demokrasi ini sebenarnya suatu sistem yang kufur di mana ia merupakan taktik halus bagi menumbangkan Kerajaaan. Terpulang kepada pendapat masing-masing.

Berbalik kepada tajuk di atas sebenarnya Terengganu sudah melaksanakan hudud sejak kurun ke-18 lagi. Rakyat Terengganu pada hari ini sinonim dengan golongan yang beragama kerana masyarakat mereka berpegang teguh kepada agama kesan daripada pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan Baginda. 

Di bawah Undang-undang Islam Negeri Terengganu, terdapat sekumpulan pengawal yang dikenali sebagai Budak Raja atau dikenali sebagai polis pada hari ini. Orang yang ditangkap dihadapkan ke Yang Dipertuan dan sekiranya di daerah akan dihadapkan ke Raja Daerah atau Pembesar Daerah. Setelah mendengar keterangan, Yang Dipertuan tidak terus menjatuhkan hukuman sendiri, tetapi terlebih dahulu meminta fatwa daripada mufti dan hakim dan kemudiannya barulah hukuman dijatuhkan.

Hukuman yang dilaksanakan di Terengganu pada awal kurun ke-19, kalau mencuri dipotong tangan, yang bersalah dipenjarakan dan pembunuh dihukum bunuh manakala kesalahan-kesalahan lain didenda. Namun begitu, hukuman syariah ini digantikan dengan denda sahaja. Contohnya, hukuman potong tangan digantikan dengan denda sahaja (Clifford 1961).

Hukuman qisas juga dilaksanakan di Terengganu. Clifford (1961) juga menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman ini ada dicatatkan oleh Kapten Labe ketika beliau mendarat di Kuala Terengganu pada kurun ke-18 iaitu sesama pemerintahan Sultan Mansor I (Dunmore 1973). Walaupun hukuman bunuh dilaksanakan di Terengganu tetapi semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dilaporkan hanya 5 orang sahaja dijatuhkan hukuman bunuh oleh mahkamah iaitu 3 orang cina dan 2 orang melayu (Hukuman hudud dilaksanakan ke atas orang kafir).

Namun begitu, ada juga kes pembunuhan tidak dijatuhkan hukuman bunuh sebaliknya si pembunuh dijatuhkan hukuman penjara atau dibebaskan apabila saudara-mara pihak pembunuh membayar wang darah ataupun diat. Jumlah wang darah yang ditetapkan ketika ini ialah $1,2000. Daripada jumlah ini, separuh atau lebih akan dituntu oleh Hakim yang menjatuhkan hukuman diat ke atas pembunuh.

Seseorang yang mengalami kecederaan atau luka disebabkan oleh seseorang maka yang bersalah akan dikehendaki membayar wang pampasan kepada mereka yang cedera atau luka (Clifford 1961). Jika sekiranya denda itu tidak dapat dibayar oleh orang yang bersalah, maka ia akan dipenjarakan sehingga saudara-maranya datang membayar denda itu.

Selain itu, masih terdapat hukuman lain yang dijalankan di Terengganu. Misalnya, seorang cina yang berzina dengan perempuan melayu apabila ditangkap dia akan diberi pilihan sama ada memeluk agama Islam dan berkahwin dengan perempuan tersebut atau dihukum penjara. 

Jika seseorang gadis atau teruna melakukan zina, mereka akan dihukum sebat sebanyak 40 kali di hadapan umum. Hukuman rejam juga dilaksanakan di Terengganu. Hukuman rejam ini dilaksanakan ke atas mereka yang telah berkahwin dan melakukan zina. Berdasarkan kepada catatan Skeat (1953) seorang perempuan ditanam hingga ke aras pinggang di tengah-tengah kawasan pasar selama satu hari. Setiap orang yang melalui kawasan itu diwajibkan membaling batu ke arah perempuan yang ditanam itu. 

Namun begitu, pelaksanaan hudud tidak dapat dilaksanakan di Terengganu selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada 26 November 1918. Kebetulan semasa petabalan Sultan Muhammad selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin III, Khilafah Uthmaniah bersama sekutunya Jerman telah mengalami kekalahan berperang dengan Britain. Kesempatan ini diambil oleh Britain bagi memaksa Sultan Muhammad memeterai perjanjian bagi membolehkan Pegawai British dilantik sebagai penasihat. Tidak beberapa lama kemudian, Terengganu beransur-ansur menerima pengaruh British dan pentadbiran Terengganu adalah mengikut acuan Barat.

Dapat dilihat di sini bahawa Negeri Terengganu merupakan negeri yang telah melaksanakan hudud di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka lagi. Hubungan Tanah Melayu dengan Khilafah Uthmaniah juga memainkan peranan bagi menghadapi kemaraan Britain. Ini adalah kerana semasa Perang Dunia Pertama antara Khilafah Uthmaniah dan Britain, ia telah membangkitkan semangat anti-British di kalangan orang Melayu di Terengganu bagi menolak penasihat British termasuk Sultan Zainal Abidin III. Ini dapat dilihat bahawa baginda tidak menghalang kapalnya daripada melanggar tali ukur di Sungai Kelantan yang dipasang oleh Pegawai British. Benar kata sabda junjungan kita  iaitu, "Imam (Khalifah) adalah laksana perisai yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan."

Wallua'lam.

Sumber: Abdul Rahman Embong, 2012, Terengganu Merentasi Tiga Abad.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: