Saturday, August 26, 2023

Kisah Seorang Isteri yang Yakin dengan Rezeki Allah s.w.t. akan Datang kepadanya...


Saya berkali-kali menonton klip video ini mengenai kisah seorang isteri yang mengharapkan rezeki daripada Allah s.w.t. serta sabar dengan karenah suaminya yang tidak bekerja untuk mencari rezeki. Begitu tinggi keyakinan beliau dengan rezeki Allah s.w.t. yang akan beri kepadanya sehingga dapurnya penuh dengan rusuk-rusuk kambing dan roti dengan hanya bertawakal dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t. akan turun kepadanya.

Wallhua'lam.

 

Friday, August 18, 2023

Peristiwa Kemalangan Jet Peribadi di Elmina - Adakah Ini Peringatan daripada Tuhan?

Semalam (17 Ogos 2023), negara digemparkan dengan kemalangan jet peribadi terhempas di Elmina yang mengakibatkan semua penumpang terkorban. Apabila difikirkan dan direnung-renungkan kembali, peristiwa ini berlaku selepas 5 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan. 

Apakah ini peringatan daripada Tuhan kepada kita semua sebagai orang Melayu Islam di negara ini yang selalu berantakan sesama sendiri yang tidak berkesudahan akibat daripada perbezaan parti politik? Saya tidak ingin mengulas lebih lanjut mengenai keputusan PRN baru-baru ini. Cukuplah tragedi ini menjadi peringatan kepada kita semua supaya untuk berfikir. 

Begitu juga dengan peristiwa kehilangan MH370 pada tahun 2013 suatu ketika dahulu. Peristiwa ini berlaku sehari selepas Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah sewaktu Najib Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dahulu. 

Apakah kita semua tidak terfikir perkara-perkara ini untuk Tuhan memberi peringatan kepada kita semua? 

"Katakanlah: Aku tidak mengatakan kepadamu, bahwa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahwa aku seorang malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan yang melihat?" Maka apakah kamu tidak memikirkan(nya)?" " Surah al-An'am, 50. 

Wallhua'lam.

Tuesday, August 15, 2023

Petanda dan Petunjuk Keputusan PRN

 1. Rasanya semua orang yang berminat dan peduli telah menghadam dan memahami keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu. 

2. Kesimpulannya, seperti yang diramalkan oleh banyak pihak berkecuali, status quo kekal 3:3 dengan Perikatan Nasional (PN) mengukuhkan kedudukan di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta menembusi kubu Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

3. Perdana Menteri Ke-10 kekal tetapi air muka (esteem) beliau jatuh. Turut jatuh adalah Indeks KLCI Bursa Malaysia dan kadar tukaran ringgit berbanding dolar. Harap-harap, demi kebaikan kita bersama, semua ini sementara saja. 

4. Jadi tidaklah banyak yang tinggal untuk dibahaskan dan diperhalusi kecuali beberapa hal berkaitan congak dan ilmu hisab perangkaan yang terbit daripada PRN tersebut. 

5. Pemilih berdaftar di enam negeri terlibat dalam PRN 12 Ogos adalah seramai 9.67 juta. Yang keluar mengundi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, dalam 70 peratus. Boleh jadi ini satu sejarah. Rakyat jelata mula bosan. Ini bahaya kepada demokrasi kerana boleh membawa kepada kerajaan pilihan minoriti. 

6. Daripada jumlah itu, PH-BN dapat 49.69 peratus dan PN 49.31 peratus. Undi PH-BN banyak tapi jumlah kerusi sedikit yang dimenangi sikit. Sembilan puluh sembilan berbanding 146 yang dimenangi oleh PN. 

7. Ini adalah kerana bilangan pengundi kerusi bandar ramai. Ada yang sampai ratusan ribu. Parti bandar macam DAP dan, sedikit sebanyak PKR, boleh pertingkatkan kemenangan kalau bilangan kerusi bandar ditambah melalui persempadanan semula. 

8. Petanda awal memberi gambaran dua gabungan politik dominan telah muncul, iaitu PH-BN dan PN. Pakatan ketiga yang diterajui oleh Pejuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) November lalu nampaknya sudah tercicir. 

9. Serentak dengan pengembalian kepada situasi dua parti ini adalah kemunculan PAS dan DAP sebagai parti dominan - PAS di pihak PN dan DAP di sebelah PH-BN. 

10. Kemunculan PAS dan DAP sebagai parti utama akan memberi kesan kepada persaingan ideologi antara dua gabungan itu dan di kalangan rakan kongsi mereka sendiri. 

11. Misalnya, ideologi agama PAS lawan ideologi liberal DAP. Di kalangan rakan kongsi pula, ideologi kebangsaan Umno lawan ideologi universalisme PKR, hegemoni PAS ke atas Bersatu dan hegemoni DAP ke atas PKR, BN dan Amanah. 

12. Malah di kalangan Umno, PKR dan Amanah pun boleh terjadi pergeresan kerana masing-masing mengejar matlamat yang serupa iaitu undi Melayu. Masing-masing bercakap besar dan tidak mahu menghadapi realiti. Misalnya, BN (maksudnya Umno) menuntut dan mendapat kerusi yang banyak untuk ditandingi (108 daripada 245) tetapi menang ciput 19 kerusi saja. 

13. Ketiga-tiga buah parti majoriti Melayu dalam PH-BN ini juga sangat keberatan melakukan pemulihan kepemimpinan. 

14. Kecacatan kepemimpinan Umno menyebabkan penolakan besar-besaran oleh pengundi Melayu. Tak guna Umno menuduh PAS memperalatkan agama untuk menarik undi Melayu, khususnya undi 18, kalau ia sendiri enggan membuat perubahan radikal terhadap kepemimpinannya bagi menarik undi orang muda. 

15. Dalam era teknologi maklumat dan telekomunikasi ini, masa berlalu sangat pantas. Mungkin dalam satu atau dua PRU lagi orang ramai akan lupa Umno kalau ia gagal menunggang naga masa ini. 

16. Keputusan PRN tidak menggugat kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tetapi air muka dan prestij beliau tercalar apatah lagi beliau sendiri seolah-olah menjadikan PRN sebagai referendum (pungutan suara) terhadap kepemimpinannya. 

17. Boleh jadi inilah masanya untuk beliau memberi sepenuh perhatian kepada pentadbiran negara daripada ke hulu ke hilir berpidato hendak "terajang" orang itu dan ini ke dalam penjara. 

18. Boleh jadi juga, para penasihat yang beliau dengari segera menasihatkan beliau agar menampilkan sifat-sifat seorang pemimpin yang arif daripada terus memperagakan diri sebagai seorang revolutionari. 

19. Natijahnya, PRN di enam buah negeri Tanah Melayu Sabtu lalu menghasilkan banyak petunjuk dan petanda bagi mereka yang peduli dan bersedia melakukan perubahan demi negara dan rakyat jelata. 

Sekian. Terima kasih.

Sumber: Facebook A Kadir Jasin.