Wednesday, December 31, 2014

Bedah Buku BSAD : Apakah Bakat Terpendam Anda?


Maklum balas yang diterima daripada pembaca buku Biar Sedikit Asal Diberkati (BSAD) ialah apakah bakat yang dimiliki oleh mereka? Kadang-kadang kita sendiri pun tidak tahu apakah bakat yang kita miliki yang kita boleh gunakan dan sekaligus boleh digunakan sebagai pendapatan sampingan kita.

Kita harus percaya setiap orang dilahirkan di dunia ini mempunyai bakat atau kemahiran masing-masing untuk meneruskan kehidupan mereka. Tanpa bakat atau kemahiran, mustahil seseorang itu boleh meneruskan kehidupan mereka di dunia ini.

Sebagai sebuah organisasi yang membantu keluarga miskin dan berpendapatan rendah, organisasi saya percaya bahawa setiap keluarga miskin mahupun berpendapatan rendah ini mempunyai kemahiran tertentu yang perlu digarapkan dan digunakan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Pembiayaan yang diberikan bukanlah secara percuma tetapi pembiayaan yang diberikan ini diharap dapat dijana oleh mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Contohnya ialah mereka mempunyai kemahiran menjahit tetapi tidak mempunyai modal untuk membuat bisnes menjahit. Oleh itu, pembiayaan disalurkan kepada mereka untuk membuat bisnes menjahit.

Baiklah, cuba anda renungi diri anda. Apakah kemahiran yang anda miliki? Mungkin anda mempunyai kemahiran-kemahiran berikut :

1. Menulis
2. Mengajar tuisyen
3. Membuat seminar
4. Menjual untuk membuat direct-selling
5. Lain-lain

Anda boleh cuba-cuba perkara-perkara di atas berdasarkan kepada minat dan kemahiran anda. Fokuslah dalam membuat sesuatu. Jangan buat kerja hangat-hangat tahi ayam dalam menjana pendapatan sampingan anda. Jika tidak membuahkan hasil, anda boleh mencuba perkara-perkara yang lain.

Jika anda berminat untuk membuat bisnes kek. Anda perlulah fokuskan untuk membuat kek sahaja. Banyak lambakan kursus-kursus yang dianjurkan di luar sana yang disediakan untuk orang-orang yang ingin belajar. Anda bolehlah mengasah bakat anda dengan menghadiri kursus-kursus ini.

Apa yang penting ialah anda janganlah cuba untuk membuat semua perkara dalam satu-satu masa kerana keupayaan kita adalah terhad. Ada 2 kaki, 2 tangan, dan 24 jam sehari. Fokus satu-satu perkara terlebih dahulu kemudian baru boleh beralih kepada yang lain setelah ianya berjaya. Insya-Allah.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, December 27, 2014

Khatam al-Quran Sebanyak 316 Kali...


Subhanallah. Terkejut saya apabila ustaz yang menyampaikan tazkirah pagi di pejabat saya semalam menceritakan bahawa ada seorang hamba Allah s.w.t. yang dikenalinya telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 316 kali seumur hidupnya.

Apa yang menariknya ialah ustaz tersebut telah mengkafankan jenezah tersebut dan beliau mendapati wajah mayat tersebut tersenyum sewaktu dikafankan. 

Apakah rahsia hamba Allah s.w.t. sehingga berjaya mengkhatamkan al-Quran sebanyak 316 kali? Usahanya ialah istiqamah sahaja. Hamba Allah s.w.t. tersebut akan berada di masjid pada jam 5.00 pagi setiap hari untuk membaca al-Quran. Alangkah hebatnya hamba Allah s.w.t. ini. 

http://wankamarul701.blogpspot.com

Rezeki Hujung Tahun 2014


Entahlah... Mengapa sejak hujung tahun bermula tahun 2011 ada sahaja rezeki yang masuk. Pada hujung tahun 2011, saya dapat offer kerja LHDN, hujung tahun 2012 muka saya terpampang di dalam majalah Malaysian Business, dan pada hujung tahun 2013 nama saya naik dalam buku tulisan Datuk A Kadir Jasin di dalam buku 'Mohd Najib Selepas Tsunami Cina'.

Pada akhir tahun ini pula (2014), saya telah berjaya menerbitkan buku BSAD. Kita juga merancang dan Allah s.w.t. juga merancang. Sesungguhnya Allah s.w.t. merupakan sebaik-baik perancang. Pada mulanya saya ingatkan boleh menerbitkan buku BSAD selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, baru saya faham bahawa proses menerbitkan sesebuah buku sebenarnya mengambil proses yang panjang. Tempoh saya terbitkan buku pertama saya yakni selepas manuskrip buku siap sepenuhnya ialah selama 6 bulan. Itu pun sudah dikira sebagai CEPAT!

Alhamdullilah, rezeki tahun ini. Mungkin hikmahnya ialah buku saya BSAD akan berada di pasaran pada awal tahun 2015. Bagi sesiapa yang masih belum memiliki buku BSAD, boleh dapatkannya di rangkaian kedai buku MPH.


http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, December 25, 2014

Perlukah Saya Menjadi Penulis Novel?



Kadang-kadang saya bertanyakan soalan ini kepada diri saya, “Perlukah saya menulis novel?” Saya sejak dulu lagi memang perasan jika kalau bab-bab novel ini sambutannya begitu panas dan amat menggalakkan di kalangan wanita khususnya remaja-remaja. Golongan inilah sebenarnya yang melariskan jualan novel-novel apatah lagi wanita sekarang membentuk komposisi yang lebih banyak daripada lelaki di Malaysia pada hari ini.

Sehinggalah saya pergi mengambil buku saya semalam di kilang pencetak. Boss kilang cetak itu menceritakan bahawa jualan novel ini memang laris. Ada sebuah novel terbitan syarikat penerbitan bumiputera sedang mencetak sebuah novel yang sekarang ini bilangan cetakan sudah mencecah 200,000 naskah! Fuhhh... Busuk-busuk pun jika komisen 10% bagi harga novel yang berharga RM25.00 maka penulis novel sudah mendapat royalti novel berjumlah RM2.50 x 200,000 = RM500,000! Sudah dapat setengah juta hasil daripada sebuah novel sahaja!

Ini jika terbit melalui syarikat penerbitan dan bukannya terbit sendiri (self-publsiher). Jika diterbit sendiri, maka royalti yang diterima makinlah berlipat kali ganda. Inilah kelebihan melibatkan diri dalam bisnes penulisan kerana anda boleh menjadi jutawan melalui bisnes ini.

Persoalannya, bolehkah saya menjadi penulis novel? Lebih-lebih lagi saya ini bukanlah lulusan sastera atau komunikasi yang banyak menggunakan otak kanan. Saya adalah orang matematik – banyak menggunakan otak kiri. Oleh itu, lebih sesuai menulis buku-buku berkenaan non-fiksyen. Tetapi, jualan buku-buku non-fiksyen apa kurang hebatnya.

Pendek kata, perancangan menulis novel ini merupakan pilihan terakhir saya dalam penulisan buku. Banyak lagi buku-buku yang ingin saya tulis dan sekarang ini saya sedang menulis buku yang kedua (Judulnya biarlah rahsia terlebih dahulu). Saya pun bercadang untuk menulis buku matematik tambahan pada masa hadapan. Bukan apa. Sekadar ingin beramal dengan ilmu yang berada di dalam dada. Apa gunanya ada ilmu tetapi tidak dicurahkan. Benar bukan?

http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, December 18, 2014

Model Pendidikan British vs Model Pendidikan Jerman



Sudah semestinya sebagai negara yang pernah dijajah oleh British, kita akan cenderung untuk menggunakan segala jenis bentuk sistem kehidupan kita berkiblatkan kepada British. Ini termasuklah undang-undang, pendidikan, jalan raya, dan sebagainya.

Jika anda sedari, sistem jalan raya kita sebenarnya adalah mengikut sistem British di mana apabila sesuatu jalan raya atau lebuh raya yang dibina akan melalui kawasan berbukit-bukau, maka jalan raya atau lebuh raya yang dibina itu akan melalui alur bukit-bukau tersebut. Lihat sahaja lebuh raya di Bentong, Pahang  atau Bukit Putus, Negeri Sembilan di mana lebuh raya yang dibina adalah berbengkang-bengkok kerana mengikut alur bukit.

Tahukah anda bagaimana pula dengan sistem jalan raya atau lebuh raya yang dibina apabila melalui bukit-bukau jika mengikut standard Amerika Syarikat? Jika kita mengikut standard Amerika Syarikat, bukit-bukau ini akan dipotong dan diratakan untuk membina jalan raya atau lebuh raya yang lurus. Sudah tentu ini berbeza bukan?

Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah mengenai sistem pendidikan negara kita yang sedang berubah daripada sistem pendidikan British kepada sistem pendidikan Jerman.

Mengikut sistem pendidikan British, ia adalah tertumpu kepada teori-teori sahaja di mana seseorang pelajar akan belajar bersungguh-sungguh untuk belajar dan membaca buku semata-mata untuk peperiksaan. Pendek kata, sistem pendidikan British berkehendakkan pelajar ‘memuntahkan’ sahaja apa yang dipelajari di kelas ke dalam soalan-soalan peperiksaan. Sudah tentu kefahaman seseorang pelajar tidak akan teruji jika tidak diberi latihan praktikal dalam mengamalkan apa yang dipelajari.

Sistem pendidikan Jerman pula berlainan dengan sistem pendidikan British di mana sistem pendidikan Jerman ini menekankan kepada praktikal ataupun latihan amali terhadap ilmu-ilmu yang dipelajari. Sudah tentu sistem ini baik untuk pelajar untuk memantapkan pemahaman mereka terhadap pembelajaran sesuatu bidang khususnya bidang kejuruteraan, elektrik, mekanikal, teknikal, dan sebagainya.

Jika kita sedari sekitar akhir tahun 1990-an dahulu, banyak Kolej-kolej Universiti ditubuhkan kerana menekankan kepada kemahiran pelajar untuk membuat sesuatu khususnya dalam bidang kejuruteraan. Ini adalah penting sebagai persiapan ilmu kepada pelajar-pelajar dalam bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam industri kejuruteraan dan sebagainya. Bahkan ada kolej-kolej kerjasama ditubuhkan dengan pihak luar negara seperti Jepun, Perancis, dan Jerman.

Malah kewujudan seperti politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat MARA, dan sebagainya sejak sekian lama sudah menunjukkan sistem secara praktikal telah diamalkan untuk pelajar-pelajar yang tidak meneruskan pengajian di universiti. Sudah tentu ia dapat membina keusahawanan kepada pelajar-pelajar apabila diberi kemahiran dalam bidang-bidang pengkhususan tertentu apabila mereka selesai menamatkan pembelajaran mereka kelak.

Sistem pembelajaran secara praktikal sebenarnya adalah lebih baik daripada teori untuk jangkamasa panjang seseorang individu untuk mereka membina kerjaya kelak. Ini sudah tentu dapat mengelak daripada seseorang itu terjunam dalam kerjaya yang langsung tidak berkaitan dengan kelulusan yang diperolehi sewaktu belajar di universiti. Umpamanya belajar pertanian di universiti tetapi bekerja di bank setelah menjadi graduan kelak.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, December 16, 2014

Internet Marketer vs Pegawai Pemasaran : Adakah Pegawai Pemasaran Sudah Tidak Relevan pada Hari Ini?



Ledakan teknologi media sosial pada hari ini menyebabkan ramai orang boleh sahaja duduk di rumah untuk membuat wang. Mereka boleh publish sahaja produk-produk atau barangan mereka dalam blog, Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya untuk dijual kepada orang ramai.

Malah, produk-produk yang disiarkan dalam blog atau laman sosial ini boleh bekerja 24 jam untuk para penjual barangan ini atau lebih tepatnya kepada internet marketer (IM) ini. Apabila pembeli bersetuju, mereka boleh sahaja membuat pembayaran secara online sahaja sebelum barangan yang dipesan dipos ke rumah mereka.

Apa yang lebih menarik ialah gambar produk-produk yang dijual ini didesign dengan lebih menarik untuk menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi untuk pakaian, peralatan, dan sebagainya.  

Wujudkan Pemasaran Aktif atau Pasif?

Jika dalam kewangan, ada dua jenis pendapatan iaitu pendapatan aktif dan pasif. Pendapatan pasif ialah kita perlu bekerja untuk mendapat wang manakala pendapatan pasif ialah wang ang bekerja untuk kita.

Begitu juga dengan pemasaran online dan offline. Di mana pemasaran online kita hanya bergantung 100 peratus kepada internet dalam memasarkan produk kita. Internet akan bekerja 24 jam untuk kita. Berlainan dengan pemasaran offline, di mana kita perlu mencari pelanggan. Jika kita tidak mencari pelanggan, alamatnya susahlah untuk mendapat income daripada jualan yang dibuat.

Namun, bagaimana pula dengan kewujudan pegawai pemasaran (pemasaran offline) khususnya kerjaya untuk memasarkan produk-produk syarikat sebelum pemasaran online diperkenalkan seperti hari ini?

Berbaloikah atau bolehkah sesebuah syarikat itu terus sustain dalam memasarkan produk barangan mereka jika hanya bergantung kepada pemasaran online sahaja tanpa ada kakitangan yang turun ke lapangan untuk mencari pelanggan atau prospek baru?

Ambil contoh sahaja bank, di mana pegawai pemasaran mereka perlu mengeluarkan pinjaman sebanyak RM2 juta sebulan. Adakah ini boleh dilakukan hanya melalui pemasaran laman-laman sosial sahaja? Sudah tentu tidak! Cara ini hanya mempercepatkan anda untuk bersara lebih awal daripada bank.

Ini juga menyebabkan sesebuah syarikat pun boleh bungkus! Pendek kata, sesebuah syarikat itu perlu ada pegawai pemasarannya sendiri untuk memasarkan produk-produknya.

Teringat saya sebuah kedai kain dan juga menyediakan perkhidmatan fotostat yang akhirnya ditutup walaupun kedainya agak besar? Kenapa ia boleh tutup? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ianya tidak mobile atau tidak bergerak untuk memasarkan kain-kainnya di tempat-tempat lain seperti pasar malam dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai premis kedai, kita juga perlu mencari pelanggan untuk memasarkan barangan kita.

Kelebihan dengan membuat pemasaran offline ialah ianya dapat membina hubungan interpersonal antara pelanggan dan pembeli di mana mereka ini akan mengenali saling mengenali antara satu sama lain. Bahkan ia juga menjadi agen promosi barangan kita kepada orang lain setelah mereka menggunakan produk atau servis kita.

Sama dengan pendapatan aktif dan pasif di mana kita perlu mencari pendapat aktif dahulu sebelum menjana pendapatan pasif. Sebelum kita memasarkan secara online dahulu mengenai produk kita, kita perlu memasarkan dahulu produk kita melalui pemasaran offline dengan memperkenalkan produk-produk kita kepada kenalan-kenalan terdekat atau pelanggan-pelanggan yang baru dikenali. Kelak, mereka pula akan mencari kita.

Pendek kata, pegawai pemasaran atau pemasaran offline masih relevan pada hari ini walaupun teknologi sedang berkembang pesat dengan penggunaan laman-laman sosial pada ini.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, December 11, 2014

Ingin Mengetahui Soalan Apa Akan Masuk Dalam Peperiksaan? Amalkanlah Membaca Surah al-Mulk!


Intipati Surah al-Mulk sebenarnya adalah untuk menyatakan tentang matlamat hidup manusia di dunia ini. Ini tertera dalam ayat 2 surah ini iaitu :

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Ayat ini menyatakan bahawa Allah s.w.t. menguji di antara kita siapakah yang paling baik amalannya. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada semua orang termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Manakala sebahagian ulama’ yang lain menyatakan bahawa surah ini ditujukan kepada semua orang tetapi tidak termasuk Nabi Muhammad s.a.w. kerana sudah tentu Nabi Muhammad s.aw. adalah paling baik amalnya kerana baginda maksum.

Sudah tentu kita sudah biasa mendengar khasiat atau kelebihan surah ini. Antaranya ialah ia dapat mencegah kita daripada azab kubur setelah menghadap Ilahi kelak.

Tetapi, tahukah anda bahawa Surah al-Mulk ini mempunyai khasiatnya tersendiri khususnya kepada sesiapa yang ingin menghadapi peperiksaan? Di mana anda boleh mengetahui soalan apa akan masuk dalam peperiksaan. Hebat bukan?

Pengalaman ini diceritakan sendiri oleh seorang ustaz ketika kuliah Maghrib beberapa hari lepas. Beliau menceritakan bahawa beliau sering membaca Surah al-Mulk ketika musim peperiksaan sewaktu belajar dahulu. Setelah mengamalkan membaca surah ini, hati beliau akan terdetik untuk membaca bab-bab tertentu daripada sesebuah buku. Natijahnya ialah apayang beliau baca dari bab-bab tertentu sesebuah buku, bab itu yang masuk dalam soalan peperiksaan!

Beliau sudah amalkan membaca Surah al-Mulk ketika menghadapi musim peperiksaan PMR. Akhirnya, beliau mendapat 8A (Walaupun tidak mendapat straight A dalam peperiksaan). Kemudian, ketika menyambung pengajian master, beliau masih mengamalkan Surah al-Mulk. Hasilnya ialah beliau mendapat mumtaz (cemerlang) atau dalam bahasa mudah SPM hari ini ialah A1 dalam peperiksaan!

Namun begitu, jika anda tidak mengambil peperiksaan sekalipun, anda boleh mengamalkan surah ini untuk mendapatkan ilham untuk melakukan sesuatu. Mungkin juga anda boleh mengamalkan membaca surah ini untuk menghadapi peperiksaan atau temuduga SPA. 

Begitulah manfaat Surah al-Mulk, Allah s.w.t. bukan sahaja memberi pembalasan kepada sesiapa yang mengamalkannya ketika di akhirat kelak bahkan Allah s.w.t. memberi kelebihan kepada seseorang itu ketika berada di dunia lagi bagi sesiapa yang mengamalkan surah ini.

Jika anda mempunyai ahli keluarga atau rakan-rakan yang akan menghadapi peperiksaan, nasihatkan mereka supaya mengamalkan membaca Surah al-Mulk, Insya Allah, akan dipermudahkan jalan untuk menjawab soalan peperiksaan kelak.

Wallhua’lam.

Adakah anda sudah memiliki buku Biar Sedikit Asal Diberkati? Jika belum, klik (di sini).

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, December 6, 2014

Bisnes : Jual Apa Orang Perlukan dan Bukan Apa yang Kita Perlukan?



Bisnes adalah seni untuk mendapatkan keuntungan wang. Jika anda belajar setinggi mana pun walaupun mempunyai segulung ijazah Phd, ia masih belum tentu dapat menjamin anda berjaya dalam bisnes. Hakikatnya, orang-orang berjaya di dalam dunia perniagaan adalah orang-orang yang tercicir dalam pelajaran bahkan langsung tidak mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda.

Bakat merupakan sesuatu yang penting bagi seseorang dalam menjalankan bisnes. Jika anda mempunyai modal yang banyak hatta mempunyai rangkaian atau network dalam bisnes, ini belum dapat memastikan anda berjaya dalam perniagaan. Contohnya dalam bisnes tuisyen. Ada orang yang mempunyai Ijazah Sarjana tetapi tidak mempunyai bakat untuk mengajar. Justeru, tiada orang yang ingin mengambil mereka untuk mengajar pelajar-pelajar.

Dalam bisnes, kita perlu jual barang apa orang yang perlukan dan bukan kita perlukan. Falsafah ini dipegang oleh Tuan Mydin dalam perniagaan runcitnya iaitu Mydin Mohamed Holdings Bhd sehingga berjaya menubuhkan rangkaian perniagaan Mydin di seluruh Malaysia.

Perniagaan beliau sebenarnya hanya bermula sebagai sebuah kedai runcit sahaja di Kota Bharu. Sehinggalah selepas 22 tahun, baru beliau membuka cawangan keduanya di Kuala Terengganu kerana beliau menggunakan duit simpanannya sendiri bagi membuka kedainya yang kedua.

Dalam perniagaan peruncitan, kita perlu menjual apa orang perlukan dan bukan kita perlukan. Contohnya musim banjir yang melanda Kota Bharu pada tahun 1966 memberi rahmat kepada perniagaan runcit Tuan Mydin. Ramai orang yang menutup kedai mereka ketika itu yakni musim banjir tetapi bukan bagi Tuan Mydin di mana beliau melihat musim banjir tersebut merupakan peluang membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Ketika itu, beliau terus membuka kedainya dengan menjual pelampung, payung, baju hujan, lampu suluh, bateri, lilin, dan mancis. Ya, menjual barang-barang yang diperlukan oleh orang ramai ketika musim hujan. Sudah tentu ini memberikan rezeki yang melimpah-luah kepada perniagaan runcit beliau.

Timbul juga masalah untuk membawa barang-barang keperluan ini dari Kuala Lumpur yang tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu ketika itu kerana seluruh kawasan ditenggelami air. Apa yang dilakukan oleh Tuan Mydin untuk membawa barangan ini ke kedainya? Tiada cara lain melainkan membawanya dengan menggunakan speed boat! Ketika ini orang ramai berebut-rebut untuk membeli barangan keperluan harian untuk tempoh beberapa hari. Apa yang lebih menarik kedai Tuan Mydin ini didatangi pelanggan selama 24 jam apatah lagi ketika menyambut musim perayaan.

Pengajaran dari kisah Mydin ini ialah kita perlu menjual apa orang perlukan.

Kadang-kadang saya juga terfikir mengenai perkara ini. Saya cuba untuk membuat bisnes tuisyen. Tetapi, kepakaran saya ialah bidang matematik tambahan. Namun begitu, pelajar-pelajar mahupun pusat-pusat tuisyen memerlukan guru-guru dalam subjek sains yakni kimia, fizik, dan biologi kerana subjek-subjek ini memerlukan permintaan tinggi pelajar-pelajar! Oleh itu, langkah terbaik untuk diri saya ialah jangan membuat bisnes tuisyen. Jika ingin teruskan juga, ada baiknya saya sendiri yang belajar dan mengulangkaji pelajaran bagi subjek-subjek ini.

Begitu juga dalam penulisan buku. Sebenarnya, kita perlu mengkaji pasaran apakah tema buku apakah orang minat membaca? Tidak lain dan tidak bukan ialah tema perhubungan (cinta ataupun suami isteri), agama, teori konspirasi-konspirasi yahudi atau akhir zaman, dan sebagainya. Sudah tentu kita perlu mengelak daripada menulis buku mengenai seni bina bangunan walaupun kita berlatar-belakangkan kelulusan seni bina. Jika ditulis 10 buah buku mengenai seni bina pun, tiada orang yang ingin membeli buku anda.

Ingat! Jual apa orang perlukan dan bukan apa yang kita perlukan dalam apa bisnes yang anda ceburi. Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com 

Friday, December 5, 2014

Sedekah Apa Paling Utama?



 
Banyak ayat-ayat al-Quran mahupun hadis-hadis yang menganjurkan kita supaya memperbanyakkan sedekah. Namun begitu, tahukah anda bahawa sedekah ini juga mempunyai tingkat-tingkatnya sendiri? Mari kita renungi hadis berikut :

Sedekah seseorang kamu yang ikhlas itu akan menutup 70 pintu kejahatan. Sedekah seseorang kamu itu akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan 4 jenis pembalasan iaitu :

1. Satu sedekah yang dibalas dengan 10 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada fakir miskin.

2. Satu sedekah yang dibalas dengan 70 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga dan sanak saudara.

3. Satu sedekah yang dibalas dengan 700 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada sahabat handai dan teman-teman.

4. Satu sedekah yang dibalas dengan 1,000 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada para penuntut ilmu atau orang yang berjihad di jalan Allah s.w.t.

Daripada hadis ini, dapat kita fahami bahawa sedekah yang paling banyak balasannya ialah sedekah kepada orang yang menuntuk ilmu atau orang yang berjihad di jalan Allah s.w.t. iaitu sebanyak 1,000 kali ganda. Subhanallah. Alangkah mudahnya kita membuat amal kebajikan dengan bersedekah...

Wallhua'lam.


http://wankamarul701.blogspot.com