Wednesday, February 28, 2018

Menyambung Master Sejarah Malaysia di Universiti Malaya – Habis Semester 1

Alhamdullillah, saya telah habis semester pertama mengambil master sejarah Malaysia. Apa yang lebih penting ialah saya telah lulus 2 kursus wajib yang perlu diambil bagi program ini iaitu ‘Falsafah dan Kaedah Sejarah’ dan ‘Sejarah Malaysia 1800 – 1941’. Kalau buat program master di UM ini, jika dapat gred B- dan ke bawah alamatnya anda perlu repeat semula paper tersebut.

Bagi orang yang bekerja macam saya ni nak sambung belajar pula kalau dah lulus iaitu dapat gred B ke atas dah kira baik. Yang penting, tak perlu repeat! Tak perlulah anda mengetahui gred dan berapa pointer yang saya dapat pada semester lepas. Cukuplah saya memberitahu saya lulus dan tidak perlu lagi repeat mana-mana paper. Lega...
Bagi satu kursus, markah terbahagi kepada dua bahagian iaitu 50 markah untuk assignment dan 50 markah lagi ialah untuk peperiksaan akhir. 50 markah untuk assignment ini bergantung kepada lecturer setiap kursus. Sesetengah kursus ada yang perlu membuat ulasan buku (book review) dan esei panjang. Sesetengah kursus tidak perlu membuat ulasan buku dan hanya perlu membuat esei panjang dan esei pendek. Yang lebih penting lagi, ada pembentangan (presentation). Ini pun kena jaga sebab markah juga akan dikira.
Sebenarnya, terdapat lima kursus yang perlu diambil bagi peringkat pertama untuk program ijazah sarjana sejarah Malaysia secara mix-course di UM ini. Dua kursus wajib ialah ‘Falsafah dan Kaedah Sejarah’ dan ‘Sejarah Malaysia 1800 – 1941’. Manakala 3 kursus lagi kursus elektif. Tetapi, di UM ada 4 kursus elektif sahaja yang ditawarkan. Oleh itu, bergantung kepada anda untuk memilih mana-mana 3 kursus elektif yang ditawarkan. Peringkat kedua nanti anda perlu membuat thesis yang panjangnya sekitar 30,000 patah perkataan.
Pada setiap semester (Ambilan September dan Februari setiap tahun), terdapat tiga kursus yang ditawarkan. Oleh kerana saya mula masuk pada bulan September 2017/2018, maka saya telah mengambil 2 kursus wajib tetapi subjek elektif pada semester lepas saya tidak ambil. Oleh itu, untuk semester ini (Februari 2017/2018) saya telah mengambil 3 kursus elektif iaitu ‘Ekonomi Malaysia sehingga Perang Dunia Kedua’, ‘Sejarah Malaysia Selepas Perang Dunia Kedua’, dan ‘Kerajaan dan Politik di Malaysia’.
Kelas pula terdapat 1 kelas pada hari Jumaat (6.00 – 9.00pm) dan 2 kelas pada hari Sabtu. Mujurlah kelas pukul 6.00 petang pada hari Jumaat. Kalau kira macam saya ini, mudahlah nak pergi sebab dekat dengan tempat kerja. Anda jangan terkejut bahawa ada orang ulang-alik dari Kedah dan Melaka pada setiap minggu untuk menghadiri kelas ini! Ada yang ulang-alik naik kapal terbang dan ada yang ulang-alik naik kereta api. Kira cabaran jugalah orang yang duduk jauh ini nak ulang-alik datang kelas. Takpe, demi sebuah kejayaan.
Kalau dah nama nak buat assignment, maka anda perlu rajin-rajinkanlah keluarkan duit sedikit untuk fotostat mana-mana buku untuk membuat assignment. Buku-buku perpustakaan memang ada tetapi anda perlu memulangkannya selepas tamat tempoh pinjam dan anda hanya dibenarkan renew semula buku untuk tempoh dua kali sahaja selepas dipinjam. Kalau dah ada orang booking buku anda sudah pinjam, alamatnya anda tidak boleh renew la buku tersebut selepas tamat tempoh. Oleh itu, mahu tidak mahu ada baiknya anda fotostat mana-mana buku untuk rujukan membuat assignment dan lebih penting lagi kalau nak menghadapi peperiksaan akhir nanti pada hujung semester senang nak ulang-kaji balik.
Untuk makluman anda, sebagai pelajar master di UM, anda boleh meminjam buku sehingga 20 buah buku pada satu-satu masa. Kalau saya ini, tak sampai 10 buah buku pun pinjam pada satu-satu masa. Bukan apa, buat semak sahaja letak buku perpustakaan dekat rumah kan? Kadang-kadang saya beli sahaja buku dengan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melalui online jika ada buku berkenan di hati yang relate dengan mana-mana nak buat assignment. Mudah. Tak payah nak pening kepala fotostat buku dan nak pulang balik ke perpustakaan.
Setakat ini dulu perkongsian saya mengenai menyambung pelajaran master sejarah Malaysia di UM. Saya target boleh lulus ketiga-tiga paper pada semester ini dan lepas raya nanti boleh relax terus dan fikir buat tesis pula nanti. Nanti saya akan update semula pengalaman saya dari semasa ke semasa mengenai menyambung pengajian master sejarah Malaysia di UM nanti kerana saya tahu tiada mana-mana blog menceritakan pengalaman ini ketika belajar di UM. Itulah masalah yang dihadapi oleh saya ketika mula-mula nak sambung pengajian sejarah Malaysia di UM. So,saya cuba menceritakan pengalaman saya di sini untuk panduan anda. Jumpa lagi...
Wallhua’lam.