Memetik kata-kata Sun Tzu (545 – 470SM) yang
merupakan panglima China suatu ketika dahulu yang berbunyi, “Perjalanan seribu
langkah adalah bermula dengan langkah pertama.”
Apabila difikirkan semula bait-bait ayat ini
ada benarnya juga apabila saya mengingati semula bagaimana saya menulis dan
menerbitkan sendiri karya saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati dan
Peperangan Terakhir Uthmaniyah.
Ramai juga kenalan-kenalan saya bertanyakan
kepada saya bagaimana saya boleh menghasilkan dua buah karya dan bagi mereka
menulis merupakan satu aktiviti yang sukar. Apabila teringat kata-kata Sun Tzu,
saya mula teringat bagaimana saya mengambil masa 2 tahun untuk menghasilkan
karya pertama saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati dan 2 tahun setengah
untuk menghasilkan karya kedua saya iaitu Peperangan Terakhir Uthmaniyah.
Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Jika hari
ini lebih baik dari semalam maka berbahagialah orang itu. Jika hari ini sama
dengan hari semalam maka sia-sialah orang itu. Dan jika hari ini lebih buruk
dari semalam maka celakalah orang itu.”
Begitulah prinsip saya yang digunakan untuk
berkarya, saya akan memastikan karya yang terbaru yang saya hasilkan adalah
lebih baik daripada sebelumnya. Bagi memastikan karya kedua saya benar-benar
berkualiti, saya terpaksa berkorban masa dan wang menggembara ke Turki untuk
mencari gambar-gambar yang sesuai untuk dimuatkan di dalam buku Peperangan
Terakhir Uthmaniyah. Ramai yang berasa teruja dengan kandungan buku ini apabila
gambar-gambar menarik di Turki dimuatkan di dalam buku ini.
Menulis bukannya satu aktiviti yang boleh
disiapkan dalam masa yang singkat. Menulis pada hari ini, esok boleh terbitkan
karya atau manuskrip anda. Ini adalah satu pandangan yang salah. Menulis
memerlukan satu perancangan masa yang panjang sebelum karya anda diterbitkan.
Hasilnya memang berbaloi apabila anda boleh menuai hasilnya setelah ianya
diterbitkan kelak.
Aktiviti menulis memang mempunyai peraturan
atau pantang larangnya yang tersendiri. Apabila anda ingin menulis buku umum, anda
perlu memilih sesuatu genre. Dalam penulisan buku umum (buku umum ini maknanya
yang buku-buku yang dijual di kedai-kedai), anda harus menumpukan kepada
satu-satu genre sahaja untuk menulis. Usah lompat dari satu genre ke satu genre
yang lain. Keadaan ini menyebabkan anda tidak dapat meningkatkan kredibiliti
dan juga nama anda pada satu-satu genre. Selain itu, apabila tertumpu kepada
satu-satu genre sahaja, anda boleh recyle
semula poin-poin anda yang telah digunakan untuk menulis buku seterusnya.
Inilah rahsia seseorang penulis itu boleh menulis dan menghasilkan berpuluh-puluh
buku kerana memberi penumpuan kepada satu genre sahaja.
Menulis buku merupakan aktiviti bisnes.
Apabila disebut bisnes, anda memerlukan modal yang besar untuk menulis. Modal
untuk menggembara dan modal untuk membeli buku rujukan anda sebagai
perpustakaan peribadi anda. Anda tidak boleh menulis secara sembrono sahaja
mengikut hati anda. Kelak tidak sesiapa yang berkenan untuk membeli buku anda
walaupun berjaya dipasarkan kedai-kedai terkemuka di seluruh negara. Dengan
kata lain, buku atau karya anda perlu mempunyai harta intelek yang tinggi
supaya ianya sedap dan menarik untuk dibeli dan dibaca oleh orang ramai.
Dengan kata lain, aktiviti berkarya
memerlukan perancangan dan modal yang besar. Perancangan daripada segi isi
kandungan buku anda, genre, gaya penulisan, target pembaca, dan faktor-faktor
lain untuk menembusi pasaran buku. Karya anda perlu mempunyai imej yang
tersendiri untuk menarik perhatian para pembaca supaya mereka membeli buku
anda.
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment