Thursday, December 11, 2014

Ingin Mengetahui Soalan Apa Akan Masuk Dalam Peperiksaan? Amalkanlah Membaca Surah al-Mulk!


Intipati Surah al-Mulk sebenarnya adalah untuk menyatakan tentang matlamat hidup manusia di dunia ini. Ini tertera dalam ayat 2 surah ini iaitu :

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Ayat ini menyatakan bahawa Allah s.w.t. menguji di antara kita siapakah yang paling baik amalannya. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa ayat ini ditujukan kepada semua orang termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Manakala sebahagian ulama’ yang lain menyatakan bahawa surah ini ditujukan kepada semua orang tetapi tidak termasuk Nabi Muhammad s.a.w. kerana sudah tentu Nabi Muhammad s.aw. adalah paling baik amalnya kerana baginda maksum.

Sudah tentu kita sudah biasa mendengar khasiat atau kelebihan surah ini. Antaranya ialah ia dapat mencegah kita daripada azab kubur setelah menghadap Ilahi kelak.

Tetapi, tahukah anda bahawa Surah al-Mulk ini mempunyai khasiatnya tersendiri khususnya kepada sesiapa yang ingin menghadapi peperiksaan? Di mana anda boleh mengetahui soalan apa akan masuk dalam peperiksaan. Hebat bukan?

Pengalaman ini diceritakan sendiri oleh seorang ustaz ketika kuliah Maghrib beberapa hari lepas. Beliau menceritakan bahawa beliau sering membaca Surah al-Mulk ketika musim peperiksaan sewaktu belajar dahulu. Setelah mengamalkan membaca surah ini, hati beliau akan terdetik untuk membaca bab-bab tertentu daripada sesebuah buku. Natijahnya ialah apayang beliau baca dari bab-bab tertentu sesebuah buku, bab itu yang masuk dalam soalan peperiksaan!

Beliau sudah amalkan membaca Surah al-Mulk ketika menghadapi musim peperiksaan PMR. Akhirnya, beliau mendapat 8A (Walaupun tidak mendapat straight A dalam peperiksaan). Kemudian, ketika menyambung pengajian master, beliau masih mengamalkan Surah al-Mulk. Hasilnya ialah beliau mendapat mumtaz (cemerlang) atau dalam bahasa mudah SPM hari ini ialah A1 dalam peperiksaan!

Namun begitu, jika anda tidak mengambil peperiksaan sekalipun, anda boleh mengamalkan surah ini untuk mendapatkan ilham untuk melakukan sesuatu. Mungkin juga anda boleh mengamalkan membaca surah ini untuk menghadapi peperiksaan atau temuduga SPA. 

Begitulah manfaat Surah al-Mulk, Allah s.w.t. bukan sahaja memberi pembalasan kepada sesiapa yang mengamalkannya ketika di akhirat kelak bahkan Allah s.w.t. memberi kelebihan kepada seseorang itu ketika berada di dunia lagi bagi sesiapa yang mengamalkan surah ini.

Jika anda mempunyai ahli keluarga atau rakan-rakan yang akan menghadapi peperiksaan, nasihatkan mereka supaya mengamalkan membaca Surah al-Mulk, Insya Allah, akan dipermudahkan jalan untuk menjawab soalan peperiksaan kelak.

Wallhua’lam.

Adakah anda sudah memiliki buku Biar Sedikit Asal Diberkati? Jika belum, klik (di sini).

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: