Thursday, December 18, 2014

Model Pendidikan British vs Model Pendidikan Jerman



Sudah semestinya sebagai negara yang pernah dijajah oleh British, kita akan cenderung untuk menggunakan segala jenis bentuk sistem kehidupan kita berkiblatkan kepada British. Ini termasuklah undang-undang, pendidikan, jalan raya, dan sebagainya.

Jika anda sedari, sistem jalan raya kita sebenarnya adalah mengikut sistem British di mana apabila sesuatu jalan raya atau lebuh raya yang dibina akan melalui kawasan berbukit-bukau, maka jalan raya atau lebuh raya yang dibina itu akan melalui alur bukit-bukau tersebut. Lihat sahaja lebuh raya di Bentong, Pahang  atau Bukit Putus, Negeri Sembilan di mana lebuh raya yang dibina adalah berbengkang-bengkok kerana mengikut alur bukit.

Tahukah anda bagaimana pula dengan sistem jalan raya atau lebuh raya yang dibina apabila melalui bukit-bukau jika mengikut standard Amerika Syarikat? Jika kita mengikut standard Amerika Syarikat, bukit-bukau ini akan dipotong dan diratakan untuk membina jalan raya atau lebuh raya yang lurus. Sudah tentu ini berbeza bukan?

Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah mengenai sistem pendidikan negara kita yang sedang berubah daripada sistem pendidikan British kepada sistem pendidikan Jerman.

Mengikut sistem pendidikan British, ia adalah tertumpu kepada teori-teori sahaja di mana seseorang pelajar akan belajar bersungguh-sungguh untuk belajar dan membaca buku semata-mata untuk peperiksaan. Pendek kata, sistem pendidikan British berkehendakkan pelajar ‘memuntahkan’ sahaja apa yang dipelajari di kelas ke dalam soalan-soalan peperiksaan. Sudah tentu kefahaman seseorang pelajar tidak akan teruji jika tidak diberi latihan praktikal dalam mengamalkan apa yang dipelajari.

Sistem pendidikan Jerman pula berlainan dengan sistem pendidikan British di mana sistem pendidikan Jerman ini menekankan kepada praktikal ataupun latihan amali terhadap ilmu-ilmu yang dipelajari. Sudah tentu sistem ini baik untuk pelajar untuk memantapkan pemahaman mereka terhadap pembelajaran sesuatu bidang khususnya bidang kejuruteraan, elektrik, mekanikal, teknikal, dan sebagainya.

Jika kita sedari sekitar akhir tahun 1990-an dahulu, banyak Kolej-kolej Universiti ditubuhkan kerana menekankan kepada kemahiran pelajar untuk membuat sesuatu khususnya dalam bidang kejuruteraan. Ini adalah penting sebagai persiapan ilmu kepada pelajar-pelajar dalam bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam industri kejuruteraan dan sebagainya. Bahkan ada kolej-kolej kerjasama ditubuhkan dengan pihak luar negara seperti Jepun, Perancis, dan Jerman.

Malah kewujudan seperti politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat MARA, dan sebagainya sejak sekian lama sudah menunjukkan sistem secara praktikal telah diamalkan untuk pelajar-pelajar yang tidak meneruskan pengajian di universiti. Sudah tentu ia dapat membina keusahawanan kepada pelajar-pelajar apabila diberi kemahiran dalam bidang-bidang pengkhususan tertentu apabila mereka selesai menamatkan pembelajaran mereka kelak.

Sistem pembelajaran secara praktikal sebenarnya adalah lebih baik daripada teori untuk jangkamasa panjang seseorang individu untuk mereka membina kerjaya kelak. Ini sudah tentu dapat mengelak daripada seseorang itu terjunam dalam kerjaya yang langsung tidak berkaitan dengan kelulusan yang diperolehi sewaktu belajar di universiti. Umpamanya belajar pertanian di universiti tetapi bekerja di bank setelah menjadi graduan kelak.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: