Saturday, July 11, 2026

BERSAMA Hilang Deposit: Rakyat Johor Belum Bersedia Menerima Sang Kancil?

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan satu gambaran awal terhadap penerimaan rakyat kepada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA). Sebagai sebuah parti yang masih baharu, BERSAMA berhadapan dengan tugas yang cukup sukar untuk melawan parti-parti senior atau “gergasi” politik seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah lama bertapak dalam politik tanah air.

Hakikatnya, politik bukan sekadar mengenai idea dan kempen di media sosial. Parti politik memerlukan akar umbi yang kuat, jentera pilihan raya dan calon yang dikenali oleh masyarakat tempatan. Dalam konteks Johor, pengundi dilihat masih belum begitu berminat untuk memberikan peluang kepada sebuah parti baharu. Begitu juga dengan calon-calon baharu yang masih belum mempunyai hubungan yang kukuh dengan masyarakat setempat.

BERSAMA sebelum ini cuba membawa satu naratif bahawa politik negara terlalu tertumpu kepada perebutan jawatan Perdana Menteri dan kuasa dalam kalangan parti-parti politik. Namun, keputusan PRN Johor menunjukkan bahawa usaha membentuk dogma tersebut belum tentu diterima oleh rakyat. Naratif bahawa semua permasalahan politik negara berpunca daripada perebutan kerusi Perdana Menteri mungkin dilihat oleh sebahagian pengundi sebagai dakyah politik semata-mata jika tidak disertai dengan penyelesaian yang benar-benar dekat dengan kehidupan rakyat.

Kehilangan deposit dalam penyertaan pertama BERSAMA juga memberikan isyarat yang cukup jelas. Masih ramai pengundi yang belum menerima kehadiran “sang kancil” dalam politik tanah air. Walaupun kancil sering digambarkan sebagai haiwan yang bijak dan mampu berhadapan dengan haiwan yang lebih besar, politik sebenar mempunyai medan yang jauh berbeza.

BERSAMA mungkin mempunyai idea, tokoh dan strategi politiknya sendiri. Namun, untuk menumbangkan gergasi politik yang telah berakar umbi selama puluhan tahun, sang kancil memerlukan lebih daripada sekadar kebijaksanaan. Ia memerlukan masa, akar umbi dan kepercayaan rakyat.

No comments: