Monday, December 31, 2012

Pemodalan Nasional Berhad (PNB) Terus Mengorak Langkah Melabur Pasaran Hartanah di Luar Negara.

 Milton & Shire House
di London.
Sekiranya anda melihat bangunan Milton & Shire House yang tersegam indah di tengah-tengah Kota London dan anda menjadi sebahagian kecil daripada pemilik bangunan tersebut, apakah perasaan anda? Sudah tentu anda berasa teruja bukan?

Saya begitu teruja dengan usaha Pemodalan Nasional Berhad (PNB) yang bertanggungjawab untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan ekuiti golongan bumiputera telah mengorak langkah membuat pelaburan hartanah di luar negara sejak Ogos 2010. Dalam masa 2 tahun, PNB telah membeli 4 buah aset hartanah di luar negara iaitu di Australia dan United Kingdom yang bernilai lebih daripada RM5 bilion. PNB akan terus mengorak langkah untuk memperluaskan pelaburan hartanahnya di luar negara.



Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pengurus dana amanah itu perlu mempelbagaikan pelaburan selain tumpuan kepada ekuiti, supaya dana lebih RM190 bilion yang diuruskannya dapat diperluaskan. Langkah itu turut memastikan PNB mampu mengagihkan pendapatan kira-kira RM9 bilion kepada pemegang sembilan tabung unit amanah di bawah tanggungjawabnya setiap tahun.

PNB memulakan pelaburan hartanah di luar negara dengan membeli Santos Place di Brisbane, Australia berharga AU$287 juta (RM919 juta). Ia juga adalah pembelian hartanah terbesar di Australia pada tahun 2010.

Santos Place di Brisbane, Australia

Pada tahun 2011, PNB membeli Milton & Shire House berharga £344 juta (RM1.69 bilion). Bangunan itu dibelinya daripada pengurus dana berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Beacon Capital Partners, demikian mengikut laporan akhbar Britain, The Times. Mengikut akhbar itu, pembelian oleh PNB itu adalah urus niaga aset tunggal terbesar di tengah bandar raya London tahun 2011. Bangunan ini menempatkan Linklaters LLP iaitu salah satu syarikat guaman antarabangsa yang ternama. Firma guaman ini yang menjadikan bangunan berkenaan sebagai ibu pejabatnya membayar sewa kira-kira 20 juta pound (RM100 juta) setahun dengan tempoh sewanya hanya akan tamat pada 2026.

One Exchange Square, London

Pada Januari 2012 lalu, PNB membeli One Exchange Square dan 90 High Holborn dengan harga £492 juta (RM2.41 bilion) daripada pengurus dana German KanAm di mana ia memberi pulangan pelaburan sebanyak 5.5 peratus setahun. Namun begitu, usaha PNB untuk membeli bangunan Woolgate Exchange di Kota London tidak menjadi kenyataan kerana tidak mencapai kata sepakat dengan pemilik bangunan tersebut iaitu D2 Private yang gagal membayar hutang bank bernilai 270 juta pound (RM1.32 bilion) pada tahun 2011.

90 High Holborn, London

Sehingga kini, PNB memiliki 4 aset hartanah di luar negara iaitu Santos Place di Brisbane, Australia dan tiga lagi di London iaitu One Exchange di Liverpool Street, 90 High Holborn dan Milton and Shire House. Persoalan sekarang adakah anda pemilik sebahagian kecil bangunan tersebut? Saya bertanyakan persoalan ini kerana adakah anda sudah melabur dalam unit-unit amanah yang ditawarkan oleh ASNB. Sekiranya anda belum membuat sebarang pelaburan dengan apa yang ditawarkan oleh PNB, harap maaf kerana anda masih belum menjadi sebahagian pemilik bangunan-bangunan yang diceritakan di atas.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpsot.com

Sumber.
1. Berita Harian.
2. Malaysian Business.
3. Utusan Malaysia.

No comments: