Friday, December 7, 2012

Hutang Malaysia Berjumlah RM484.621 Bilion: Apakah Fakta yang Perlu Kita Tahu?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.


Pada kali ini saya ingin memberi pandangan saya mengenai hutang Malaysia yang tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu berjumlah RM484.621 bilion yang disiarkan dalam laman web beritasemasa.com pada 4 Disember 2012 iaitu bagi tempoh menjelang akhir tahun 2012 di mana hanya tinggal 3 minggu lagi tahun ini akan menutup tirainya. Saya fikir ia mungkin pro-pembangkang kerana kebanyakan artikel yang disiarkan olehnya adalah banyak mengkritik Kerajaan. Sememangnya benar ia menceritakan bahawa hutang negara sekarang adalah tertinggi sejak merdeka pada tahun 1957. Namun begitu, laman web tersebut tidak menjelaskan sebab-musabab yang membawa kepada jumlah hutang negara yang begitu tinggi.
Akan tetapi, sekiranya mempehalusi balik tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh Kerajaan, ia sebenarnya adalah tidak berasas sama sekali. Contohnya ketika pertengahan tahun 2012, pembangkang memainkan isu PTPTN di mana pelajar-pelajar yang tidak membayar hutang PTPTN disenaraihitamkan manakala Tan Sri Tajuddin Ramli tidak perlu membayar hutang berjumlah RM589 juta ekoran krisis kewangan tahun 1997 dahulu. Sebenarnya, isu Tan Sri Tajuddin Ramli tersebut adalah diselesaikan di luar mahkamah dengan Danaharta dan beliau dikehendaki membayar balik hutang tersebut. Malangnya, isu ini dibawa oleh pihak pembangkang dan mengatakan bahawa Tajuddin Ramli tidak perlu membayar hutang tersebut. Begitu juga dengan isu NFC yang berjumlah RM250 juta di mana hutang tersebut perlu dibayar dan bukannya tidak perlu dibayar (Malaysiakini).


Baiklah, kita berbalik kepada laman web beritasemasa.com tadi. Laman ini melaporkan bahawa hutang negara adalah naik daripada RM200 bilion antara tahun 2008 – 2012 iaitu dalam masa 4 tahun berbanding tahun 1957 – 2008 yang berjumlah RM284 bilion. Memang benar kenaikan bagi 4 tahun ke belakang ini adalah naik mendadak yang berjumlah RM200 bilion. Laman web mempertikaikan bahawa ke manakah jumlah wang yang besar itu dibelanjakan dan sepatutnya semakin banyak faedah yang boleh dinikmati oleh rakyat.
Akan tetapi apakah yang menyebabkan hutang negara naik RM200 bilion dalam masa 4 tahun?


Kalau kita ingin tahu dalamnya rimba, tanyalah pada si Puyuh


Kalau kita ingin tahu luasnya padang, tanyalah pada si Belalang


Kalau kita ingin tahu tingginya pokok, tanyalah pada helang


Jangan tanya pada puyuh apabila kita ingin tahu tingginya pokok, sudah pasti maklumat yang diberikan menyelewengkan daripada keadaan sebenar. Kita tidak boleh untuk bertanyakan pembangkang kerana mereka tiada pengalaman ekonomi negara. Sekiranya adapun, kejayaan mereka ialah menguruskan ekonomi yang telah kaya contohnya Selangor dan Pulau Pinang. Lihat sahaja negeri Kelantan, adakah negeri tersebut betul-betul kaya selepas 20 tahun di bawah pemerintahan pembangkang? Tepuk dada tanya Harakah.
Sebenarnya, menurut Tun Daim Zainuddin yang merupakan bekas Menteri Kewangan menyatakan bahawa kenaikan hutang negara berjumlah RM200 bilion itu diperlukan sebagai tindakbalas kepada kesan krisis kewangan global yang bermula pada penghujung tahun 2008 dan subsidi besar diperlukan untuk menampung kenaikan harga barang makanan dan tenaga (Malaysiakini). Ini menjawab persoalan beritasemasa.com yang mempertikaikan ke manakah jumlah besar wang dibelanjakan. Ia sebenarnya adalah dibelanjakan untuk menampung kos kenaikan hidup rakyat. Sekiranya kos kenaikan itu tidak ditampung oleh pinjaman yang tinggi sudah tentu kos kenaikan adalah naik berkali ganda daripada sekarang.


Menurut beliau lagi, jumlah pinjaman besar yang dibuat oleh Kerajaan ini sebenarnya adalah pinjaman domestik atau pinjaman dalam negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pinjaman ini tidak mendedahkan Malaysia kepada aliran modal besar keluar secara tiba-tiba. Walaupun beberapa penganalisis bimbang kadar hutang negara dijangka meningkat 1.3 peratus kepada 54.8 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding 53.1 peratus pada 2010, kenaikan ini adalah wajar sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global yang bermula pada penghujung 2008.
Menurut Laporan Kementerian Kewangan, Hutang domestik kekal sebagai komponen terbesar meliputi RM484.8 bilion atau 96.5 peratus daripada jumlah hutang sehingga September 2012. Sebaliknya, hutang luar negeri kerajaan Persekutuan dijangka menurun 2.8 peratus kepada RM17.6 bilion disebabkan ketiadaan terbitan antarabangsa yang baharu kecuali pengeluaran daripada pinjaman projek sedia ada (Sinar Harian).

Sejak merdeka lagi, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi dalam kitaran setiap 10 tahun. Contohnya pada pertengahan 1980-an, Malaysia mengelami kemerosotan ekonomi disebabkan oleh penurunan harga barang-barang komoditi utama. Pada tahun 1997 pula, Malaysia sekali lagi dirundung dengan kemelesetan ekonomi disebabkan oleh penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia. Seterusnya pada tahun 2008, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi disebabkan oleh krisis kewangan ekonomi global. Sekiranya kita melihat krisis ekonomi negara yang berlaku sejak merdeka, kita dapat melihat Kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dan tidak pernah lagi Kerajaan tidak pernah gagal membayar hutang apatah lagi muflis disebabkan oleh masalah tersebut.


Dapat dilihat sini bahawa kenaikan pinjaman Kerajaan adalah sebenarnya adalah untuk menampung subsidi barangan makanan dan tenaga di mana pinjaman tersebut adalah sebahagiannya adalah pinjaman domestik dan untuk kebaikan rakyat juga. Sepatutnya tidak timbul isu ke manakah wang rakyat tersebut dibelanjakan. Apa yang jelas ialah media pembangkang sengaja mempermainkan isu bagi meraih sokongan murahan rakyat bagi menentang Kerajaan.
http://wankamarul701.blogspot.com


Sumber


1. http://beritasemasa.com/hutang-negara-terkini-2012
2. http://www.malaysiakini.com/news/191166
3. http://www.malaysiakini.com/news/198747
4. http://beritasemasa.com/hutang-negara-terkini-2012
5. http://www.sinarharian.com.my/. 28 September 2012.

2 comments:

captainpurba said...

good analysys bro...from captainpurba..

Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad said...

Bersama-sama menentang tohmahan-tohmahan pembangkang.