Monday, May 6, 2013

PRU 13 : Tsunami Politik Kali Kedua Buat Umno-BN

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Saya masih teringat lagi sehari selepas PRU-11 pada tahun 2004, Mingguan Malaysia menyiarkan berita tajuk besar “BN Rampas Terengganu”. Sehari selepas PRU-12 Mingguan Malaysia menyiarkan tajuk besar “Pembangkang Tawan 5 Negeri”. Pada hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk besar “BN Menang” selepas PRU-13 dijalankan semalam.

Berita sedih buat Umno-BN apabila Umno-BN pada kali ini gagal memperolehi 2/3 majoriti parlimen di Dewan Rakyat bahkan prestasi Umno-BN pada kali ini adalah lebih teruk berbanding daripada keputusan PRU-12. Pada kali ini (PRU-13), BN memperolehi kerusi parlimen sebanyak 133 kerusi sahaja berbanding pada tahun 2008 di mana BN memperolehi kerusi parlimen sebanyak 140.

Tsunami politik pada kali ini lebih kencang sekiranya dibandingkan pada tahun 2008 kerana kerusi BN berpindah tangan sebanyak 7 kerusi kepada pembangkang. Keadaan ini betul-betul membuatkan BN goyah. Laungan BN yang menyatakan bahawa mereka dapat membentuk semula majoriti 2/3 parlimen hanya tinggal omongan kosong sahaja. Cuma tsunami politik pada kali ini lebih diam kalau tidak kerana BN tidak kehilangan 2/3 majoriti parlimen pada tahun 2008.

Telahan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin benar apabila beliau mengatakan bahawa negeri Kedah akan jatuh ke tangan BN dan BN akan kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen di Johor, Sarawak dan Sabah kepada pembangkang. Namun, telahan Tun Daim yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan BN tidak menjadi kenyataan apatah lagi Tun Daim menyatakan bahawa BN boleh menguasai 2/3 parlimen juga tidak menjadi kenyataan.

Sekiranya dilihat pada kali ini, pengundi cina telah menunjukkan sokongan terbuka mereka kepada Dap. Jika dilihat sebelum ini, sokongan mereka kepada Dap pada kali ini adalah secara terbuka dan bukan lagi seperti dahulu yang hanya menyokong Dap secara diam-diam dengan hanya mengundi MCA. Pada kali ini, kita dapat melihat bilangan kerusi Dap dalam Dewan Rakyat terus bertambah sebanyak 38 kerusi sekaligus mendominasi dalam Pakatan Rakyat.

Orang-orang cina sememangnya pada kali ini memang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi kuasa politik dengan mengundi Dap di mana mereka telah menolak Mca dan Gerakan secara fatal. Ini dapat dilihat bahawa majoriti yang dimenangi oleh Dap di kerusi-kerusi yang mereka tandingi rata-ratanya menang dengan majoriti yang besar dengan mencecah puluhan ribu undi. Ini termasuklah di Gelang Patah di mana Lim Kit Siang dapat menewaskan Datuk Ghani Othman dengan majoriti yang besar iaitu dengan 14,762 undi.

Lim Kit Siang adalah hero kepada masyarakat cina kerana beliau memperjuangkan hak kaum tersebut. Berlainan pula dengan Ghani yang sudah menjadi Menteri Besar Johor namun masih tidak mampu mempengaruhi pengundi-pengundi cina menolak Lim Kit Siang. Ada yang menyatakan bahawa BN di Gelang Patah tidak bekerja keras sepertimana Dap. Faktor ini menyebabkan Ghani kalah di Gelang Patah. Walaubagaimanapun, kaum cina tidak boleh menjatuhkan maruah pemimpin mereka yang memperjuangkan hak mereka walaupun mereka datang daripada negeri yang berlainan.

Sememangnya orang cina pada kali ini keluar mengundi beramai-ramai dengan skala yang besar pada kali ini. Orang-orang cina yang tinggal di luar negara juga balik untuk mengundi walaupun hanya sehari. Di sini, dapat kita lihat bahawa mereka tekun berusaha dengan gigih dan tidak mengharapkan undi orang lain untuk menang begitu sahaja tanpa pergi mengundi.

Lihat sahaja di Kepong di mana Dap memenangi majoriti sebanyak 40,307 undi, Seputeh (51,552 undi), Bukit Bintang (19,399 undi), Segambut (19,199 undi) serta kawasan-kawasan lain dengan majoriti yang lebih besar di mana kawasan tersebut adalah kawasan pengundi cina. 

Walaupun dalam pembahagian kerusi untuk parlimen bagi Pakatan Rakyat, dapat dilihat bahawa PKR bertanding sebanyak 99 kerusi, Pas sebanyak 73 kerusi dan 51 kerusi namun apa yang terjadi ialah Dap memenangi kerusi sebanyak 38 kerusi berbanding PKR dengan 28 kerusi dan Pas dengan 21 kerusi. Ini menunjukkan Dap bertanding di kerusi-kerusi yang berkualiti di mana kerusi ini mempunyai potensi yang besar untuk dimenangi walaupun Dap bertanding dengan kerusi parlimen yang paling kecil dalam Pakatan pada mulanya.

Kemenangan Kedah buat BN pada kali ini adalah hanya kemenangan moral yang kecil buat BN kerana banyak lagi kerusi-kerusi Dun di negeri lain jatuh ke tangan pembangkang. Contohnya di Terengganu yang menyaksikan BN hanya menguasai hanya lebih 2 Dun berbanding Pas dan di Perak di mana BN hanya memperolehi majoriti hanya 3 Dun. Itu belum diambil kira lagi negeri-negeri lain di mana pembangkang sudah dapat menembusi kubu-kubu kuat BN.

Berita sedih juga buat Selangor kerana walaupun Pakatan Rakyat masih dapat bertahan di negeri tersebut, namun Dap menguasai Dun di negeri tersebut di mana Dap menguasai 15 kerusi Dun daripada 44 kerusi Dun Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Jika tidak kerana adanya Sultan, sudah tentu Menteri Besar Selangor dilantik daripada kalangan kaum cina.

Nampaknya, produk 1Malaysia dan Program Transformasi yang sering dicanang oleh Perdana Menteri tidak dapat menambat hati pengundi kerana bilangan kerusi parlimen BN terus jatuh merudum. Ini menunjukkan bahawa rakyat pada hari ini tidak dapat ditambat oleh wang bagi meraih sokongan mereka apatah lagi dengan kaum cina dengan secara bulat-bulat telah menolak BN.

Pendek kata, PRU-13 menjadi igauan baru buat BN walaupun BN pada mulanya mencanang mereka boleh memperolehi sokongan yang lebih besar. Apa yang jelas PRU kali ini menunjukkan penentangan secara jelas oleh kaum cina kepada BN. Apakah kaum cina marahkan Najib kerana merampas Perak daripada Dap pada tahun 2009? Adakah kaum cina ingin menghukum Najib kerana peristiwa tersebut?

Ada yang menyifatkan bahawa PRU-13 adalah tsunami politik orang cina kerana mereka inginkan kuasa politik. Ini tidak menghairankan bahawa mereka sudah menguasai ekonomi sejak sekian lama. Oleh itu, tidak mustahil mereka ingin menguasai politik negara pula. Sesungguhnya ekonomi itu dapat membeli kuasa politik. Apakah strategi yang digunakan oleh Najib selepas ini untuk menambat hati kaum cina setelah produk 1Malaysia yang diperkenalkan oleh beliau tidak memberi sebarang kesan kepada kaum tersebut? Adakah dengan melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya? Semuanya akan terjawab untuk tempoh 5 tahun akan datang sebelum menjelang PRU-14 seterusnya.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

1 comment:

MI_roslinda said...

mungkin ada dikalangan wakil BN lompat parti