Wednesday, July 11, 2012

Setiap Orang Antara Kita Pasti Akan Diuji


Setiap orang antara kita pasti akan diuji. Ya, kita semua akan diuji melalui kehidupan susah dalam hidup kita. Setiap antara kita pasti pernah melalui dua kehidupan iaitu kehidupan susah ataupun senang. Kita perlu sedar bahawa tiada yang kekal di dunia ini. Begitulah dengan kehidupan kita. Kehidupan kita ini ibarat roda kehidupan – Sekejap berada di bawah dan sekejap berada di atas. Kesenangan yang kita kecapi tak akan selama-lamanya dan begitulah selepas kesusahan pasti ada kesenangan. Oleh itu, jangan lupa daratan ketika senang dan banyakkan bersabar ketika susah.

Sekiranya, kita hidup senang pada hari ini mungkin rakan-rakan terdekat kita sedang melalui hidup susah dalam kehidupan mereka. Begitulah sebaliknya. Mungkin kita hidup susah pada hari ini manakala rakan-rakan terdekat kita sedang hidup senang. Itulah yang dinamakan roda kehidupan. Sekejap berada di atas dan sekejap berada di bawah.

Ujian sebenarnya adalah tarbiah daripada Allah s.w.t. Sama ada kita bersabar ataupun tidak bergantung atas kita semua. Moga-moga kita dapat banyak bersabar ketika mengharungi detik-detik sukar dalam hidup kita. Setiap orang pasti akan diuji. Ini adalah benar seperti mana firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 155 – 156 yang berbunyi:

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." Al-Baqarah: 155-156

Setiap sesuatu ada hikmahnya. Menurut Robert T. Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad, waktu sukar ataupun susah merupakan peluang bagi kita. Ini adalah kerana fikiran kita akan sesak untuk memikirkan masalah wang dari sehari ke sehari. Ini akan menyebabkan kita akan berusaha untuk mempelajari dan meningkatkan ilmu kewangan kita. Kesannya, kita akan menjadi hebat daripada orang lain dalam pengurusan kewangan untuk jangka masa panjang. Ini adalah kerana kita telah membina momentum pengurusan kewangan kita untuk jangka masa panjang semasa tempoh sukar ini.


Surah Yusuf juga mengingatkan kita mengenai konsep roda kehidupan dalam hidup ini. Saya telah menyebut konsep menyimpan mengikut Surah Yusuf sebelum ini (Klik di Sini). Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. dalam Surah Yusuf ayat 47 – 48 yang berbunyi :

“(Nabi) Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan (untuk masa susah) baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” Surah Yusuf: 47-48

Secara mudahnya sekiranya kita memahami secara harfiah kisah Nabi Yusuf ini, dapat kita fahami daripada ayat di atas bahawa kita akan melalui 7 tahun hidup senang dan 7 tahun hidup susah. Kita perlu bersiap-siaga untuk melalui kehidupan yang sukar pada masa yang mendatang sekiranya hidup senang pada masa sekarang.

Menurut konsep harta di dalam Islam, harta itu bersifat dulah. Dulah yang dimaksudkan di sini ialah harta itu berputar daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Contohnya, pada hari ini Si A kaya manakala Si B pula miskin. Tetapi pada masa lain, Si B pula akan kaya dan Si A pula miskin. Inilah hakikat konsep harta di dalam Islam. Ini memang benar. Kita mungkin pernah membaca kisah-kisah jutawan yang jatuh miskin dan ada yang menjadi lagenda sahaja. Apa yang ingin disebut di sini ialah kita perlu beringat sebelum kena. Jangan sombong dan takabur dengan orang lain ketika diri ini senang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Kita mungkin sudah melalui kehidupan yang senang ataupun susah sebelum kembali ke liang lahad. Kita mungkin tidak tahu sama ada susah atau senang buat terbaik buat diri kita semua kerana setiap sesuatu ada hikmahnya. Oleh itu, baik kita renungi kata-kata Saidina Umar al-Khattab iaitu, “Aku tidak kisah sama ada senang ataupun susah yang menimpa diriku kerana aku tidak tahu apakah yang terbaik buat diriku.”

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpsot.com

No comments: