Monday, August 6, 2012

Kesilapan Pelabur Baru Hartanah Rumah

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.


Apabila kita berbincang mengenai kewangan, kita tidak akan dapat lari daripada berbincang mengenai pelaburan hartanah. Ini adalah kerana hartanah mempunyai hubungan yang kuat dengan kewangan kerana seseorang itu mungkin berminat untuk menambah aset kekayaannya melalui hartanah. Saya telah menyebut mengenai pelaburan susu kambing dan juga pelaburan daging kambing (Klik di Sini). Baiklah pada kali ini, kita berkongsi mengenai kesilapan pelabur baru dalam bidang hartanah yang saya petik daripada buku tulisan Shamsuddin Kadir, Buat Duit dengan Rumah. Antara kesilapan pelabur baru dalam bidang hartanah adalah seperti berikut :


1. Gagal Membaca Setiap Dokumen Dengan Teliti.


Kita perlu memahami dengan jelas berkenaan perkara yang dipersetujui dan apa yang kita dapat daripada penjual. Ini memastikan pertukaran hak milik berjalan lancar. Ramai pelabur tidak meneliti isi kandungan setiap dokumen sebelum menandatanganinya.


Kebiasaannya, peniaga-peniaga halus menggunakan taktik apabila memberikan dokumen perjanjian dengan pelanggannya iaitu dengan memberikan dokumen perjanjian dengan menggunakan tulis yang begitu kecil sehingga susah untuk dibaca. Kita seharusnya berhati-hati dalam perkara ini.


2. Tidak Sedar Apa yang Dipersetujui Dalam Perjanjian


Kita perlu memastikan setiap perkara yang dijanjikan oleh penjual ada dalam perjanjian. Apabila rumah itu dilengkapi pendingin hawa, perabot dan peralatan lain, pastikan maklumat pada bahagian lampiran perjanjian menerangkan barang-barang yang disertakan bersama dengan rumah itu. Banyak yang berlaku di mana pemilik mengambil semua barang yang ada di dalam rumah seperti yang dipersetujui secara verbal. Proses pembelian mengambil tempoh yang lama mungkin berbulan-bulan ataupun setahun. Bagaimana kita ataupun penjual dapat mengingati dengan terperinci setiap perkara yang diperetujui. Ini adalah untuk mengelakkan masalah di kemudian hari.


3. Tidak Sedar Pelaburan Hartanah Itu Merupakan Perniagaaan


Kita sering mendengar janji bulan dan bintang kerana pelaburan hartanah itu merupakan cara terbaik untuk menambahkan nilai harta dan duit. Kita merupakan pelabur yang bijak apabila berjaya membawa aliran tunai masuk ke dalam poket kita. Namun sekiranya kita tidak pandai untuk melabur dalam pasaran hartanah dengan baik, kita gagal untuk melihat pembiayaan bank yang diambil, tidak menemuduga penyewa kita dengan baik, dan tidak menyediakan jadual dan menyimpan dokumen dengan teratur bagi memastikan kita dapat mengurus rumah yang dibeli. Kesilapan ini mengakibatkan masalah dengan penyewa dan kita menanggung yang tidak sepatutnya.


4. Tidak Menggunakan Duit Sewa Bagi Membayar Ansuran


Cara paling cepat bagi membuat duit yang banyak ialah menjelaskan baki pembiayaan bank. Ini membolehkan kita menyimpan semua duit daripada penyewa kerana kita sudah tidak perlu membayar kepada bank.


Mengikut kaedah yang ditunjukkan oleh Robert T. Kiyosaki pula, beliau membeli sesuatu rumah itu dengan wang tunai sendiri. Kemudian, beliau menyewakan rumah tersebut untuk mendapat pulangan modal daripada ansuran sewa bulanan. Ini bermakna beliau mendapat rumah percuma denga memberi sewa rumah tersebut kepada orang lain selepas tempoh tertentu.


Sekiranya menggunakan duit bank membeli rumah, ramai pelabur menggunakan duit sewa yang diterima bagi berbelanja. Mereka tidak dapat membayar ansuran rumah apabila tiba masanya kerana tiada disiplin bayar balik Ini yang menyebabkan ramai pemilik rumah diheret ke mahkamah dan tidak kurang juga rumah dilelong kerana ansuran tertunggak berbulan-bulan.


5. Membiarkan Agen Hartanah yang Menentukan


Kita jangan sesekali menyerahkan nasib membeli rumah kepada agen hartanah. Mereka sebenarnya hanya menawarkan rumah kepada kita mengikut kelulusan pinjaman yang disediakan oleh pihak bank. Sebenarnya, kita perlu melihat keupayaan kita  memaksimumkan pulangan daripada peluang yang kita ada berdasarkan status kewangan. Tidak ada gunanya anda membayar ansuran bank RM500 sebulan, tetapi sewa rumah anda adalah RM450 sebulan. Ini hanya membuatkan anda terus rugi dari bulan ke bulan.


6. Tidak Melindungi Rumah Dengan Insurans


Ramai pelabur yang membuat pelaburan dalam rumah, tetapi hanya sedikit yang melindungi rumah tersebut dengan insurans atau takaful. Saya pernah menyebut mengenai insurans atau takaful sebelum ini (Klik di Sini). Insurans adalah perlindungan dan bukan pelaburan. Oleh itu, kita perlu melindungi rumah kita termasuk diri kita daripada sebarang musibah. Sekiranya kita tidak melindungi kedua-dua perkara tersebut, bagaimana sekiranya musibah melanda ke atas diri kita? Tepuk dada, tanya hati.


7. Gagal Membuat Pemeriksaan Rapi


Kebanyakan pembeli gagal melakukan pemeriksaan rapi ke atas rumah yang mahu dibeli. Mengabaikan pemeriksaan dengan rapi mengundang masalah besar seperti tandas tersumbat, tandas bocor, siling bocor, dinding retak, banyak suis tidak berfungsi kerana sistem pendawaian rosak. Ini menyebabkan kita tidak dapat menyewakan selagi tidak membaikinya. Ini menambahkan lagi beban terutamanya aliran wang tunai kita.


Pernah terjadi di kawasan perumahan yang saya tinggal sekarang di mana ada seorang pembeli yang telah membeli rumah di kawasan ini. Malangnya, siling tersebut sudah habis reput dek dimakan oleh anai-anai. Rumah sudah dibeli. Hendak atau tidak, siling tersebut perlu diperbaiki. Apa boleh dibuat, nasi sudah menjadi bubur.


8. Tidak Menyimpan Rekod Dengan Kemas


Ini adalah masalah kepada pelabur-pelabur profesional yang telah mempunyai banyak rumah. Ini akan mendatangkan masalah kemudian hari apabila dokumen-dokumen ini diperlukan. Oleh itu, pastikan dokumen-dokumen ini disimpan dengan rapi.


Setakat ini dahulu perkongsian saya pada kali ini. Semoga kita dapat menambahkan ilmu kita mengenai pelaburan hartanah rumah walaupun kita tidak berminat atau masih mencari-cari pelaburan yang sesuai untuk kita. Semoga kita dapat gandakan lagi amalan kita pada penghujung Ramadhan pada kali ini dengan rahmat-Nya. Insya-Allah.


Sekian, terima kasih.


2 comments:

Admin said...

artikel yang baik. untuk dapatkan teknik berkesan beli rumah, SK ada cara?

lawatlah http://saufikarim.com

wankamarul701 said...

He3..SK power lagi ni..=)