Friday, August 31, 2012

Debat PTPTN Rafizi-KJ : Antara Realiti dan Janji Bulan & Bintang (Kemaskini)

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
 
Pada kali ini, saya ingin menulis sekali lagi mengenai Debat Isu PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Razifi dengan Ketua Pemuda UMNO, KJ. Saya pernah menulis isu debat pada suatu ketika dahulu (Klik di Sini) kerana diminta oleh rakan lama saya supaya memberi komen tidak bias kepada mana-mana pihak. Saya menulis sekali pada kali ini kerana saya dapati banyak lagi hujah-hujah yang dilontarkan oleh Rafizi masih mempunyai banyak kelemahan debat tersebut. Tulisan baru saya dalam artikel kali ini ditulis dalam bentuk bold.

Secara kasarnya, dapat dilihat Rafizi banyak bercakap mengenai rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN seperti pembinaan MRT berjumlah RM60 billion, NFC, Tan Sri Tajuddin ramli, dana Petronas yang dibelanjakan berjumlah lebih RM237 billion dan lain-lain lagi bagi menghalalkan pendidikan percuma yang dicadangkan beliau. Namun, dapat dilihat KJ cuba mengelak soalan yang diajukan oleh Rafizi dengan jawapan yang kadang-kadang hanya sedikit masuk akal. Dapat dilihat Rafizi cuba menjerat KJ dengan isu rasuah tetapi dapat dilihat KJ tidak terperangkap dengan Rafizi.
 
Rafizi cuba membawa poin bahawa isu rasuah yang berlaku merupakan punca utama yang menyebabkan bahawa pendidikan percuma tidak dapat diberi kepada rakyat manakala KJ pula cuba membuktikan bahawa janji-janji pendidikan percuma serta janji-janji bulan dan bintang Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga tidak dapat dilaksanakan kerana ia memakan kos yang amat tinggi iaitu RM188 billion berbanding belanjawan tahunan Negara 2012 yang berjumlah RM233 billion dan apabila ditolak semua belanja janji ini ia akan hanya tinggal RM45 billion di mana ia tidak cukup untuk menampung belanja untuk gaji kakitangan awam iaitu berjumlah RM52 billion. Apa yang lebih melucukan lagi ialah Pakatan Rakyat tidak dapat menunaikan manifesto pendidikan tadika percuma kepada rakyat negeri Selangor selepas menawan negeri tersebut pada tahun 2008.

Semua orang tahu mengenai rasuah yang mengelilingi Kerajaan pada hari ini. Namun, saya ingin melihat hala tuju pembangkang dalam isu pendidikan percuma yang dicadang dan dijanjikan.
Hakikatnya janji bulan dan bintang penghapusan PTPTN oleh Rafizi dapat diragui melalui fakta berikut:

1. Rafizi mengatakan bahawa isu pendidikan pencuma merupakan dasar pakatan bersama pakatan rakyat. Sebaliknya, Buku jingga hanya menyebut pemansuhan caj ptptn. Jelas pembangkang tidak sekata dalam isu PTPTN sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Rafizi menyatakan bahawa isu pendidikan percuma telah dimulakan sejak dari dulu lagi. Tapi hujah ini dapat dipatahkan oleh KJ bahawa dahulu ada 1 Universiti dan sekarang ada 20 universiti. Nampak di sini, Rafizi tidak peka kepada realiti semasa.

3. Kemapanan Idea Ekonomi Pakatan Rakyat tidak kuat untuk Pendidikan menurut KJ kerana :

i. Rafizi tersilap hutang terkini PTPTN di mana beliau menyatakan bahawa hutang PTPTN adalah RM23 bilion tetapi hutang sebenarnya ialah RM30 bilion.

ii. Kos membina 10 universiti baru iaitu berjumlah RM20 bilion dengan 10,000 pengambilan pelajar baru setiap tahun dengan kos pengurusan universiti iaitu RM31 bilion setiap tahun di mana jumlah ini ialah RM51 bilion.

iii. Kos  pinjaman selain PTPTN seperti MARA dan Yayasan Negeri iaitu RM4.7 bilion sahaja pada tahun 2012 tidak termasuk pinjaman 1990-an dan tahun 1980-an yang perlu dihapuskan.

iv. Yuran yang perlu ditanggung pelajar selain subsidi yang diberikan adalah 20 peratus dengan jumlahnya adalah RM6.4 bilion untuk tempoh 10 tahun.

v. Subsidi untuk pelajar IPTS seramai 1.4 juta pelajar supaya sama dengan yuran IPTS adalah berjumlah RM60 bilion untuk tempoh 10 tahun.

vi. Elaun sara hidup untuk pelajar berjumlah RM25 bilion bagi tempoh 10 tahun.

vii. Bon-bon Kerajaan perlu diterbitkan bagi membayar semua pendidikan percuma yang dicadangkan dengan kadar faedah 3.7 peratus setahun dengan kos pembiayaan akan menjadi RM6 bilion untuk tempoh 10 tahun.

Jumlah perbelanjaan yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat ialah hampir RM180 bilion untuk tempoh 10 tahun dengan purata setiap tahun ialah RM18 bilion tanpa mengambil kira kos pinjaman yang perlu dihapuskan selain PTPTN seperti MARA dan Yayasan Negeri.


Janji ini juga perlu mengambil kira janji bulan dan bintang yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat selain pendidikan percuma untuk melihat kemapanan ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat seperti:

i. Menghapuskan tol yang berjumlah antara RM30 – RM50 bilion.

ii. Penyelenggaraan tol adalah RM2 bilion setiap tahun.

iii. Wi-Fi percuma berjumlah RM1.2 bilion setiap tahun.

iv. Membatalkan konsesi air Selangor berjumlah RM15 bilion setiap tahun.

v. Mempertingkatkan royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan berjumlah RM12.5 bilion setiap tahun.

vi. Menjamin pendapatan minimum RM4 ribu sebulan untuk setiap keluarga berjumlah RM90 bilion setiap tahun.

Jumlah keseluruhan ini ialah RM170 bilion di mana ia masih tidak meliputi perbelanjaan janji pendidikan percuma.

Jika dicampur perbelanjaan pendidikan percuma berjumlah RM18 bilion dan janji bulan & bintang yang lain ialah berjumlah RM188 bilion setahun. Belanjawan Negara tahun 2012 ialah berjumlah RM233 bilion. Apabila ditolak dengan perbelanjaan janji bulan dan bintang ia akan tinggal RM45 bilion. Ini adalah tidak cukup untuk menampung perbelanjaan gaji kakitangan awam berjumlah RM52 bilion setahun. Ini menyebabkan negara muflis dan janji Pakatan Rakyat adalah tidak realistik seperti mana Negara Greece yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

4 a. Jumlah dicadangkan oleh Rafizi untuk pendidikan percuma ialah antara RM5 – RM6 bilion setiap tahun di mana :

i. Geran untuk 21 universiti ialah RM7.5 bilion setiap tahun dengan RM16,000 untuk setiap pelajar dan sekiranya RM16,000 ini merupakan 90 peratus untuk seorang pelajar, maka RM562 juta tambahan diperlukan yang meliputi lagi 10 peratus bagi memberi pendidikan percuma bagi setiap pelajar.

ii. Untuk biasiswa sara hidup sebanyak RM5 ribu seorang untuk 465,000 pelajar maka jumlah keseluruhan ialah RM2.32 bilion.

iii. Untuk menghapuskan hutang PTPTN sebanyak RM24 bilion selama 15 tahun, maka jumlah yang perlu dibayar ialah RM2 bilion (Bundar kepada RM1.6 bilion).(Ini masih tidak disebut oleh Rafizi bagi pinjaman yang lain seperti Mara dan Yayasan Negeri sebanyak RM4.7 bilion setahun).

iv. Kos membina bagi sebuah universiti ialah RM200 juta contohnya Universiti Monash untuk 5,000 pelajar dan RM400 juta untuk 10,000 pelajar dengan 1 universiti dibina setiap tahun selama 10 tahun.

Jumlah keseluruhan tambahan yang ditunjukkan oleh Rafizi ialah RM5 – RM6 bilion. Ini tidak termasuk pinjaman yang disediakan oleh Mara dan Yayasan Negeri sebanyak RM4.7 bilion setahun.

b. Akan tetapi, kos pendidikan percuma yang tidak diambil kira oleh Rafizi ialah :

i. Rafizi mengambil kira kos universiti swasta seperti Kampus Universiti Monash yang berjumlah RM200 juta untuk 5,000 pelajar dan RM400 juta untuk 10,000 pelajar tidak mengambil kira kos pembinaan universiti penuh atau IPTA. Ini adalah kerana ia tidak mengambil kos untuk post graduate study dan sebagainya yang berjumlah RM2 billion.

ii. Selain itu, Rafizi tidak mengambil kira kos operasi perjalanan sesebuah universiti contohnya USM yang berjumlah RM746 juta pada tahun 2011 dan RM568 juta pada tahun 2012. Berdasarkan purata ini, ini bermakna kos perbelanjaan untuk 10 universiti baru cadangan PR adalah berjumlah RM31 billion untuk tempoh 10 tahun.

iii. Untuk menampung yuran IPTS, PR mencadangkan untuk memberi subsidi kepada IPTS supaya yurannya sama dengan yuran yang ditawarkan oleh IPTA. Daripada 1.4 juta pelajar IPTS, 1.5 peratus ambil perubatan, 13.4 peratus mengambil kejuruteraan dan 85.1 peratus mengambil kursus-kursus lain. Daripada ini, subsidi sebanyak RM36 billion diperlukan untuk tempoh 10 tahun.

Ini menunjukkan angka yang ditunjukkan Rafizi berjumlah hanya RM5 billion untuk pendidikan percuma di mana ia adalah lebih rendah di mana jumlah sebenarnya ialah RM18 billion.

5. Kalau tak nak buat 1,000 dalih: Memberi pendidikan percuma bagi Koleh Universiti @ Universiti di negeri Pakatan Rakyat. Rafizi menyatakan bahawa dia di bawah kuasa persekutuan dan mewarisi dari kerajaan BN terdahulu. Rafizi terus menyalahkan Kerajaan BN yang menyebabkan kos universiti naik disebabkan konsensi diterima oleh adun BN bagi membangunkan Kolej Universiti. Ia menunjukkan pembangkang tidak dapat menunjukkan kuasa sebagai kerajaan negeri bagi membatalkan kontrak kecil untuk mengekang kos Kolej Universiti terus naik. Bagaimana pula dengan janji-janji dalam Buku Jingga yang akan membatalkan kontrak-kontrak besar dalam masa sehari sekiranya dapat menawan Persekutuan?

6. Pendidikan adalah pelaburan : Rafizi mengungkapkan bahawa Haji Hadi adalah lebih tegas dalam isu ini kerana menyatakan pendidikan merupakan pelaburan yang diungkapkan oleh Ibnu Khaldun dan perlu diberikan oleh kerajaan. Tetapi pelaburan pendidikan yang baik perlu dilaksanan oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pelajar supaya ada tanggungjawab bersama. Di mana subsidi kerajaan adalah 80 peratus dan pelajar adalah 20 peratus melalui PTPTN.

7. Rafizi menyatakan IPTS yang paling untung mengaut keuntungan dari pinjaman PTPTN bermula 2005 kerana pendidikan diperniagakan. Sebenarnya, yuran IPTS adalah lebih tinggi kerana yurannya adalah lebih mahal daripada IPTA kerana IPTA masih disubsidikan oleh kerajaan supaya ada tanggungjawab bersama dengan pelajar. Pada 2011, secara kasarnya IPTS mendapat RM2.7 billion dan IPTA mendapat RM2.2 billion. Tetapi jumlah pelajar IPTA ialah 123,000 dan IPTS ialah 76,000 sahaja iaitu hampir separuh daripada pelajar IPRA. Selain itu, IPTS juga dipantau supaya ia mengikut piawaian dan sepanjang 2007-2011 tidak kurang 100 IPTS yang dibatalkan pendaftarannya di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Jelas, tuduhan Rafizi tidak berasas sama sekali.

8. Kedudukan supremo Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan pinjaman PTPTN pada tahun 1997 : Rafizi ingin menyamakan Dato’Seri Anwar Ibrahim dan KJ apabila berada dalam kerajaan apabila membuat keputusan sedangkan Anwar bersetuju PTPTN ditubuhkan dan KJ pula tidak bersetuju mengenai ISA dan AUKU. Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya bersikap gentleman seperti Tun Musa Hitam yang meletak jawatan apabila tidak bersetuju dengan dasar kerajaan atau kabinet dan bukannya hanya menunggu di dalam kerajaan kerana ingin menjadi Perdana Menteri serta mula membangkang dasar kerajaan sebaik sahaja apabila berada di luar kerajaan.

9. Tiada pendidikan alternatif untuk pelajar yang tercicir pelajaran. Ini adalah pelajar di IPTS di rumah kedai yang tidak berpeluang untuk mendapat kerja. Pembangkang bercadang menggabungkan ipts sedia ada supaya ada 10 universiti swasta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan kursus berlainan. Tetapi tiada cadangan peruntukan untuk pelajar tercicir ini di IPTA ataupun aliran alternatif seperti vokasional dan lain-lain lagi.

10. Ketidakyakinan ekonomi Rafizi : Dari 1997 Sehingga 2011, hutang PTPTN ialah RM43 billion dengan jumlah yang dikutip ialah RM3 billion. Dengan kenaikan jumlah pinjaman 11 peratus untuk IPTA dan 17 peratus untuk IPTS sehingga 2020, maka ptptn meluluskan pinjaman sebanyak RM177 billion dengan RM24 billion setahun, Rafizi bimbang sekiranya kadar kutipan terlalu rendah dan negara menanggung hutang yang besar. Dan keadaan ini sama dengan Amerika Syarikat di mana negara akan muflis dengan hutang RM177 billion pada tahun 2020. Ini menunjukkan pembangkang hanya ingin supaya hutang-hutang lama hanya perlu dihapus kira dan bukannya perlu dibayar dengan tiada keyakinan ekonomi untuk naik. Amerika sebenarnya tidak melaksanakan pemansuhan hutang pendidikan tetapi menurunkan kadar faedah.


11. Sekiranya yakin dengan pertumbuhan dengan ekonomi, mahasiswa boleh membayar hutang-hutang mereka dan hutang pendidikan tidak perlu dihapuskira. Kerajaan yakin dengan transformasi ekonomi menyediakan 3.5 pekerjaan baru dalam sektor pendapatan tinggi dengan KDNK USD15,000 per kapita dengan pendapatan minimum RM900 dan mahasiswa boleh membayar hutang pinjaman mereka. Sekiranya tidak yakin dengan ekonomi, hutang PTPTN perlu dihapuskira.

12. Pendidikan pra sekolah di Selangor di bawah pakatan pembangkang masih belum ditunaikan sejak 4 tahun lepas. Apakah boleh memberikan pendidikan percuma kepada IPTA dengan janji manis bulan dan bintang?

Dapat dilihat bahawa Rafizi hanya menjanjikan bulan dan bintang untuk memberikan pinjaman percuma kepada pelajar-pelajar. Saya sokong sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan tetapi ia biarlah realistik dan berpijak kepada bumi yang nyata dan bukannya semata-mata untuk meraih undi bagi menghadapi PRU-13.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: