Tuesday, August 28, 2012

Mengapa Tarikh Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957?

Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada Pihak British tanggal 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Tanah Melayu adalah berlainan sekali daripada kemerdekaan yang diperolehi oleh Indonesia. Ia disebabkan kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan perundingan Pihak British manakala Indonesia memperolehi kemerdekaannya dengan menyerang dan menghalau habis-habisan Pihak Belanda dari tanah air mereka. Kita perlu tahu bahawa semasa ambang penjajahan British di Tanah Melayu pada awal 1900-an, Sultan-sultan Tanah Melayu ketika itu meminta pertolongan Khilafah Uthmaniah dari Istanbul bagi menghadapi kemaraan British di mana Khalifah Islam ketika itu ialah Sultan Abdul Hameed Khan Kedua. Akan tetapi, Kerajaan Uthmaniah ketika itu amat lemah untuk mempertahankan dirinya sendiri apatah lagi untuk membantu negara-negara Islam yang lain ketika itu.

Dalam sehari dua ini iaitu pada 25 Ogos 2012, kita dikejutkan dengan kematian Neil Armstrong iaitu manusia pertama yang berjaya menjejaki ke bulan pada Julai 1969 di mana usia beliau meninggal ialah pada umur 82 tahun. Ketika itu, Tanah Melayu baru sahaja mengecapi kemerdekaan tahun ke-12 di mana orang melayu masih dihimpit dengan isu kemiskinan yang melarat. Dapat kita lihat perbezaan antara Tanah Melayu dengan Amerika Syarikat ketika itu di mana Amerika Syarikat sudah dapat menghantar manusia ke bulan manakala Tanah Melayu masih dihimpit dengan masalah sosio-ekonomi. Begitulah majunya negara yang bernama Amerika Syarikat. Semasa hari raya baru-baru ini, kita dapat menyaksikan filem tayangan Transformer 1 dan Transformer 2. Bagi saya, filem itu bukannya sekadar hiburan tetapi filem itu adalah untuk menunjukkan kecanggihan dan kemajuan skuadron bala tentera Amerika Syarikat di mana jet-jet pejuang Amerika Syarikat digunakan kononnya untuk membunuh robot-robot yang datang daripada galaksi lain.


Malang sekali bagi kita kerana kita sering bertengkar mengenai perkara-perkara yang kecil yang dari dahulu lagi tidak berkesudahan walaupun sudah 55 tahun merdeka contohnya isu ‘Negara Islam’. Ada yang mengatakan bahawa Malaysia ini sudah Negara Islam dan ada yang mengatakan Malaysia ini bukan negara Islam. Saya sering dimomok dengan istilah ‘Negara Islam’ ini sejak bangku sekolah menengah lagi tetapi isu ini masih tidak ada penghujungnya walaupun saya sudah hampir 5 tahun bekerja. Usah kita merasakan diri kita selalu betul dan bagus daripada orang lain. Hakikatnya, musuh-musuh Islam memandang kita sebagai umat yang satu dan sama sahaja yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang satu. Sekiranya, kita sering bercakaran mengenai perkara-perkara kecil, sampai bila-bila pun kita tidak akan maju walhal negara-negara lain sudah maju ke hadapan.


Baiklah, berbalik kepada tajuk perbincangan kita ‘Mengapakah Tarikh Kemerdekaan 31 Ogos 1957?’ Mungkin kita tidak pernah terfikir mengenai perkara ini walhal kita sering menyambut kemerdekaan setiap tahun. Perkara ini diceritakan oleh Subky Abdul Latif dalam bukunya Anak Apak. Sebenarnya, tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dipilih oleh Mufti Pulau Pinang ketika itu iaitu Sheikh Abdullah Fahim di mana beliau juga merupakan seorang ahli falak dan penyokong kuat UMNO. Beliau juga merupakan datuk kepada Tun Abdullah Badawi iaitu Perdana Menteri Malaysia Kelima.



Menurut Sheikh Abdullah Fahim, beliau memilih 31 Ogos 1957 kerana mengikut kiraan hisabnya semua planet penting di alam ini berada sebaris di angkasa di Tanah Melayu, khususnya di langit tinggi Kuala Lumpur sebaik sahaja masuk tengah malam 31 Ogos 1957. Perkara ini jarang-jarang berlaku dan hanya berlaku dalam masa beberapa minit sahaja. Keadaan itu mengikut firasatnya dapat memberikan kekuatan tenaga. Maka, diharapkan penduduk dan kerajaan Tanah Melayu yang merdeka akan mendapat cukup tenaga bagi membangunkan negara merdeka itu. Oleh sebab itu tarikh ini sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.


Akan tetapi, Ketua Menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman tiba lewat untuk mengisytiharkan kemerdekaan ketika itu di Padang Kelab Selangor disebabkan dengan kesesakan orang ramai. Ini menyebabkan pengisytiharan kemerdekaan tidak serentak dengan kedudukan planet-planet yang berada sebaris di langit ketika itu.


Namun, saya percaya kita tetap mendapat ‘tenaga’ tersebut seperti mana yang disebutkan oleh Sheikh Abdullah Fahim. Ini dapat dilihat contohnya di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohammad di mana Malaysia mengalami pembangunan luar biasa. Dalam tempoh sekitar 30 tahun, beliau berjaya mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian yang agak miskin kepada negara perdagangan ke-17 terbesar dunia dengan 82 peratus jumlah eskportnya yang bernilai lebih USD100 bilion (kira-kira RM300 bilion) adalah barangan keluaran kilang. Infrastruktur Malaysia juga setanding dengan negara maju dan merangkumi lebuh raya kelas pertama serta bekalan elektrik dan air yang mantap. Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir juga diakui oleh Ustaz Azhar Idrus dalam siri ceramahnya di mana beliau menyatakan bukan senang untuk mencari Perdana Menteri seperti Tun Dr. Mahathir. Malaysia kini mengalami pemulihan ekonomi yang lebih meyakinkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menurut Tun Daim Zainuddin. Hanya pembangkang sahaja yang masih menabur janji-janji bulan dan bintang seperti pendidikan percuma, dan yang terbaru pula ialah menawarkan kereta murah untuk rakyat.

Akhir kata, mari kita bersama-sama memaknakan ulang tahun hari kemerdekaan kita ke-55 dengan memberi sumbangan kepada negara dan bukannya hanya tahu mencerca dan memaki-hamun kerajaan yang kononnya tidak demokratik kerana terpengaruh dengan dakyah-dakyah keji parti pembangkang. Tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini. Apa yang lebih penting ialah tepuk dada, tanya diri sendiri apakah sumbangan kita terhadap negara yang tercinta ini sejak kita dilahirkan di tanah tumpah ibu pertiwi ini.


Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-55.  Janji Ditepati.

No comments: