Berakit-rakit ke Hulu,
Berenang-renang Ketepian, Bersakit-sakit Dahulu, Bersenang-senang Kemudian.
Begitulah lumrah alam di dunia ini. Sekiranya kita ingin sesuatu, kita perlu
berkorban terlebih dahulu untuk mendapatkannya. Tiada jalan pintas untuk
berjaya di dunia ini. Yang ada jalan pintas adalah sewaktu berada di syurga
kerana nikmat di syurga tidak akan dapat dibayangkan oleh akal manusia di dunia
ini. Bahkan janji bulan dan bintang pihak pembangkang untuk memberikan
perkara-perkara percuma kepada rakyat semasa PRU-12 masih banyak belum
ditunaikan lagi apatah lagi masih menabur janji bulan dan bintang kepada rakyat
untuk menghadapi PRU-13 dengan menaburkan janji pendidikan percuma, kereta yang
murah dan saya berharap pihak pembangkang tidak menjanjikan rumah percuma pula
untuk rakyat semata-mata untuk mendapatkan Putrajaya.
Di dunia ini juga,
usaha untuk mencapai kejayaan adalah lebih mudah berbanding untuk mengekalkan
sesuatu kejayaan. Kita lihat sahaja Parti Islam Malaysia (PAS) sewaktu berjaya
merampas Negeri Teregganu dari UMNO pada PRU-10 pada tahun 1999. Namun begitu,
PAS hanya bertahan untuk satu penggal sahaja dan berjaya dirampas negeri pantai
timur tersebut oleh UMNO pada tahun 2004 pada PRU-11. Menurut Lim Kit Siang,
faktor kekalahan di Terengganu pada PRU-11 adalah disebabkan faktor berasa
terlalu selesa apabila dapat menumbangkan UMNO pada tahun 1999. Memang, PAS
tidak berusaha kuat untuk mempertahankan negeri tersebut dan sering mendabik
kononnya menjalankan hudud, suci dari rasuah dan sebagainya. Kesannya, UMNO
yang bekerja kuat dapat menumbangkan PAS pada pilihanraya seterusnya pada tahun
2004. Tahniah buat UMNO kerana dapat terus bertahan di Terengganu selepas
tsunami politik berlaku dalam PRU-12 pada tahun 2008.
Formulanya senang
sahaja. Sekiranya kita ingin senang esok, kita perlu berkorban untuk hari ini.
Sekiranya kita ingin senang pada hari ini, kita akan susah untuk hari esok.
Kita biasa melihat orang bekerja sama ada menggunakan lulusan SPM ataupun
Ijazah. Orang bekerja menggunakan lulusan SPM dapat memulakan kerjayanya pada
usia lebih muda berbanding orang yang menyambung ijazah. Namun, orang yang
bekerja menggunakan Ijazah akan mempunyai kerjaya yang berpendapatan lebih
tinggi daripada orang yang hanya berkelulusan SPM sahaja. Hakikatnya, mereka
yang memegang ijazah ini terpaksa berkerja keras untuk memperoleh segulung
ijazah. Anda perlu berkorban terlebih dahulu untuk mendapatkan sesuatu. Jika
tidak dipecahkan ruyung, bagaimana hendak mendapatkan sagunya.
Di dalam pelaburan
tiada jalan pintas untuk berjaya tidak kira sama ada pelaburan hartanah, emas,
saham dan sebagainya. Apa yang perlu kita utamakan dahulu ialah kita perlu
mempelajari tentang sesuatu selok mengenai sesuatu pelaburan. Usah kita
mengeluh apabila mengatakan sesuatu yuran seminar yang menceritakan sesuatu
pelaburan itu mahal. Hakikatnya, kita perlu mengorbankan sesuatu yang kecil
untuk mendapatkan sesuatu pelaburan yang besar. Robert T. Kiyosaki pun perlu
melabur 525 Dolar untuk menghadiri seminar pelaburan hartanah lelong walaupun
ramai mengatakan tidak merlu menghadiri seminar tersebut kerana ia adalah
mahal. Kesannya, beliau berjaya membawa pulangan jutaan dolar hasil daripada
mempraktikkan ilmu yang diperolehi daripada seminar tersebut untuk membuat pelaburan
hartanah lelong.
Jangan mudah terpengaruh
dengan orang untuk membuat sesuatu pelaburan begitu juga skim-skim yang lain
seperti Meniaga Larut Malam (MLM), Skim Piramid, Skim Membantu Orang Melayu dan
sebagainya. Ini juga penyakit 5D orang melayu – Duduk Diam-Diam Dapat Duit.
Saya biasa melihat rakan-rakan sosial Facebook
meletakkan kononnya skim pelaburan yang mereka tawarkan adalah sah di sisi
syarak walaupun dapat diragui sijil tersebut bukan sijil pengiktirafan daripada
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tetapi ia adalah sijil pengesahan dari Dubai.
Nampak sangat orang hari ini mudah ‘mabuk’ kerana gilakan duit.
Kita juga perlu untuk
menangguhkan kepuasan untuk mendapatkan sesuatu. Utamakan yang utama. Kadang-kadang
kita terpaksa berhutang untuk mendapatkan sesuatu yang di luar kemampuan kita.
Mengikut Robert T. Kiyosaki sekalipun, kita jangan sesekali mengusik duit
simpanan kita untuk mendapatkan barangan impian kita. Inilah prinsip utama
dalam pengurusan kewangan – duit simpanan atau pelaburan – tidak boleh diusik
untuk memenuhi kehendak kita.
Akhir kata, kita perlu
berkorban dulu sekiranya inginkan sesuatu. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke
hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang
kemudian.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment