Tuesday, August 14, 2012

Ancaman Allah s.w.t. Terhadap Golongan Tidak Membayar Zakat


Dunia hari ini tidak mengambil berat tentang golongan yang tidak membayar zakat dan ia seolah-olah dipandang enteng sahaja. Sedangkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq memerangi golongan yang enggan zakat selepas kewafatan Rasullullah s.a.w. yang dikenali sebagai peperangan Riddah. Sekiranya adanya Enakmen yang digubal oleh pemerintah untuk mendakwa seseorang yang tidak membayar zakat, sudah tentu lebih ramai yang berpusu-pusu ke Pusat Zakat untuk membayar zakat. Saya telah menyebut tentang ancaman riba’ daripada Allah s.w.t. sebelum ini dan pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai ancaman Allah s.w.t. terhadap golongan tidak membayar zakat.

Zakat dari segi bahasa boleh diertikan sebagai tumbuh dan bertambah. Ia juga bererti zakat dan baik, suci dan subur. Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih; bersih dari sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita mengeluarkannya, serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah. (www.e-mosque.com.my)

Zakat dari segi syarak bermaksud nama daripada harta-harta tertentu yang diberikan kepada orang-orang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Pembayaran zakat dibuat oleh seseorang Muslim dari harta/ pendapatan/ perniagaan/ tanaman/ ternakannya sama ada dalam bentuk wang atau bijian atau ternakan, dengan kadar tertentu (2.5% atau 5% atau 10%) bergantung kepada jenis harta, yang diserah kepada pihak berkuasa yang mengutip zakat, untuk diagih kepada 8 asnaf golongan-golongan yang berhak menerima zakat. Zakat juga boleh dibayar terus sekiranya tiada pihak berkuasa menguruskannya. (www.e-mosque.com.my)

Jika kita melihat istilah zakat dari segi bahasa sekalipun, ia bermakna tumbuh dan bertambah. Ini adalah benar sekali. Sewaktu saya menghadiri Program Bulan Ramadhan pada minggu lepas, penceramah dari Institut Kajian Zakat Malaysia (IKaZ) UiTM menceritakan bahawa keuntungan Bank Rakyat sentiasa bertambah saban tahun sejak ia menunaikan zakat. Manakala seorang peniaga tidak pernah mengalami kerugian sejak beliau mula membayar zakat. Begitulah janji Allah s.w.t. kepada hamba-Nya sepertimana yang saya ceritakan sebelum ini seorang peniaga yang membeli bangunan bernilai RM80 juta secara tunai kerana beliau tidak pernah membuat pinjaman bank sejak mula berniaga kerana bagi beliau semua pinjaman adalah riba’.

Mungkin terdapat persilihan pendapat bagi zakat pendapatan. Zakat pendapatan tidak diwajibkan di Negeri Perak kerana alasannya ialah ia tidak cukup haul atau tidak cukup tempoh setahun kerana pendapatan akan dibelanjakan pada setiap bulan. Pendapat yang mewajibkan zakat pendapatan pula adalah kerana ada firman Allah s.w.t. yang menyuruh kita membayar zakat daripada pendapatan kita yang usahakan secara baik. Negeri Johor yang pada mulanya merupakan negeri terendah kutipan zakat sebelum mewajibkan zakat pendapatan pada tahun 2007/08. Selepas mewajibkan zakat pendapatan, negeri tersebut merupakan negeri yang ketiga tertinggi kutipan zakat di Malaysia di mana yang tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  

Ancaman Allah s.w.t. terhadap golongan yang tidak membayar zakat adalah terdapat dalam Surah at-Taubah ayat 34 – 35 iaitu :

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orangramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu."
at-Taubah 34-35

Begitulah azab golongan yang tidak membayar zakat di akhirat nanti. Janji Allah s.w.t. tetap benar. Sewaktu mengikuti program di Masjid Negara suatu ketika dahulu, seorang penceramah menceritakan bahawa isterinya enggan membayar zakat emas. Apabila beliau menyuruh isterinya membayar zakat emat, isterinya menjawab, “ Nanti dulu.. Nanti dulu..” Ditakdirkan tidak selepas itu, barang kemas isterinya diragut oleh perompak. Anda bagaimana?

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: