Monday, February 17, 2014

Nak Buat Hutang RM300,000 Ke atau Nak Solat Tahajud 30 Minit Sehari?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Nak buat hutang RM300,000 ke atau nak solat tahajud 30 Minit sehari? Inilah tajuk yang saya fikirkan sesuai untuk kali ini setelah habis membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki tulisan Ustaz Fathuri Salleh. Bagi diri saya yang lemah ini, saya tidak mengira diri saya habis membaca sesebuah buku sekiranya saya masih belum menulis sesuatu idea yang menarik dari buku tersebut dalam catatan blog ini.
 
 

Buku yang saya baru habis baca ini ialah Mudahnya Menjemput Rezeki sudah merupakan cetakan yang ke-13 pada tahun 2013 di mana cetakan pertama pada tahun 2012. Malah buku ini telah dicetak sebanyak 110,000 di mana sasaran penulis ialah buku ini ialah sebanyak 1,000,000 (Satu juta) untuk dicetak supaya orang ramai dapat mengamalkan ilmu yang disampaikan. Diharap agar catatan artikel di blog ini sedikit-sebanyak dapat membantu penulis untuk mencapai hasrat tersebut.

Apa yang menarik buku ini  ialah ia menekankan keseimbangan rohani dalam menarik rezeki. Penulis berjaya mengubah pemikiran mengenai konsep rezeki. Rezeki perlu dijemput dan bukannya perlu dicari. Rezeki ibarat magnet yang akan datang kepada kita. Ibarat kutub utara dan kutub selatan. Jika rezeki itu kutub selatan maka kita perlu menjadi kutub utara. Untuk menjadikan diri kita kutub utara, kita perlu mengamalkan kerohanian. Amalan kerohanian ini meliputi, menunaikan solat-solat sunat selain yang wajib, berzikir, membaca al-Quran, dan sebagainya untuk menjadikan rezeki itu datang kepada kita. Untuk menjadikan rezeki itu tidak datang kepada kita ialah kita perlu menjadi kutub selatan iaitu dengan melakukan larangan-larangan Allah s.w.t. dan meninggalkan segala suruhannya.

Apa yang saya tertarik isi kandungan buku ini ialah tentang kepentingan menunaikan solat di awal waktu secara berjemaah dan menunaikan solat sunat tasbih selain amalan-amalan lain sepertimana yang kita sedia maklum seperti mengamalkan solat sunat dhuha, bersedekah, dan sebagainya.

Ini merupakan pengalaman penulis buku itu sendiri apabila beliau menceritakan sewaktu bekerja di kilang. Beliau hanya mendapat gaji RM3 sejam walaupun sebelum itu beliau bekerja di pejabat. Sewaktu bekerja di kilang beliau terpaksa berkongsi bilik dan kadang-kadang terpaksa tidur di masjid. Sejak daripada itu, beliau bertekad untuk mengutamakan solat walaupun rakan-rakan serumah dengannya tidak menunaikan solat.

Dalam tempoh kurang daripada setahun penulis telah dipindahkan ke sebuah hostel yang ala-ala hotel iaitu sebuah apartmen yang lengkap dengan kemudahan termasuk kereta dan petrolnya sekali. Ketika itu, penulis diberi peranan untuk menguruskan projek khas syarikat.

Berbanding dengan rakannya walaupun setelah 3 tahun berlalu, keadaan rakannya masih belum berubah bahkan semakin teruk keadaannya dari bekerja di dapur kilang hingga bekerja di bawah panas terik matahari. Penulis turut tertanya-tanya adakah rakannya itu tidak menunaikan solat kerana sewaktu masuk waktu solat Zohor rakannya itu masih leka dengan kerjanya ketika berjumpa.

Begitu juga seorang lagi kenalan penulis yang berhenti kerja dan menjadi penjual madu yang tinggal berhampiran hostelnya. Beliau melihat perniagaan rakannya itu terus berkembang dari semasa ke semasa. Dari bermula berniaga dari rumah berkembang ke pasar malam. Bahkan rakannya itu kemudian memiliki van dan perniagaan di pasar malam pula semakin besar.  Apa yang pasti menurut penulis ialah rakannya ini sering ke masjid.

Terdapat juga seorang hamba Allah yang diceritakan oleh penulis. Daripada hanya tinggal di rumah setinggan kini menjadi pengusaha hartanah yang kaya-raya. Jawapannya sahaja iaitu mengamalkan solat sunat tasbih. Sebenarnya apa yang menghalang seseorang itu mendapat rezeki ialah kerana membuat dosa. Sudah tentu tiada siapa di dunia ini yang bebas daripada membuat dosa hatta Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum sekalipun beristighfar sebanyak 70 kali sehari. Inikan pula kita yang sering terdedah dan melakukan dosa setiap hari. Cara untuk mendapat keampunan dosa secara berkesan daripada Allah s.w.t. ialah mengamalkan solat tasbih kerana rezeki itu akan mudah datang kepada kita setelah dosa itu diampunkan oleh Allah s.w.t.

Solat tasbih ini perlu diamalkan sebanyak 4 rakaat tidak sampai 30 minit bagi satu-satu masa ia diaksanakan dengan 75 kali tasbih setiap rakaat. Adakah anda sanggup ke hulu ke hilir semata-mata membuat pinjaman sebanyak RM300,000 yang kononnya untuk membuat pelaburan atau mengamalkan solat sunat tasbih yang mempunyai fadilat yang besar untuk diamalkan? Sesungguhnya menjemput rezeki itu lebih mudah daripada mencari rezeki.

Tepuk dada tanya selera. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

6 comments:

Linda said...

Info yg sgt berguna..terima kasih. Saya dah beli buku ni tp belum sempat baca...rezeki masa pun dah berkurang nampaknya..perlu muhasabah diri

wankamarul701 said...

Buku ini ada lingkungan 180 muka surat. Saya baca 20 mukasurat sehari. Habis dalam masa 9 hari.

Insya-Allah.

Tho Ha said...

Betul tu.

Sy berada dlm kesempitan sampai tahap terpaksa mencuri. Suatu petang sy tunggu semua rakan pejabat sy balik, lepas tu ... jeng ... jeng ... jeng, sy curi RM(rasanya kurang drpd RM5) (baca : buruk siku) tabung di pejabat sy. Apabila dpt gaji sy ganti balik curian sy tu dengan RM10.00

Tabung tu sumbangan semua kakitangan unit termasuk sy. Jumlah sumbangan adalah ikut suka hati dan berbeza antara semua kakitangan dan kekerapan sumbangan pun ikut suka hati. Tabung itu digunakan untuk membeli pisang goreng, keropok lekor untuk minum petang. Gula, teh & biskut biasanya guna drpd penjualan carbon printer & suratkhabar.

Fuh !! Apa nak jadi aku nih!!. Sejak itu sy solat Dhuha dua rakaat setiap hari. Tak lama slps tu sy diarahkan pindah ke HQ. Bila sy pindah HQ, Bendahari perasan gaji sy tidak naik-naik. Kemudian Bendahari arahkan pejabat lama bayar sy RM3,000.00 tunggakan gaji. (Silapnya sy tidak menggunakan RM3K itu utk mengurangkan kad kredit sy).

Mungkin berkat sy solat Dhuha sy dipindahkan dan menerima tangga gaji yg sepatutnya ditambah pula dengan elaun COLA.

Sy belum lagi solat tasbih. Tapi skrg sy solat dhuha 4 rakaat hampir setiap hari mudah2an diberi jln settlekan hutang piutang.

wankamarul701 said...

Saudara Tho Ha, terima kasih kerana berkongsi cerita.

Jika solat dhuha mempunyai auranya tersendiri. Diyakini bahawa solat tasbih mempunyai aura yang lebih kuat lagi untuk murah rezeki apatah lagi dilakukan di tengah-tengah malam.

Terima kasih.

Anonymous said...

Saya kini br mula mendekatkan diri dgn solat2 sunat termasuk solat tasbih.. semoga Allah berikan kebaikan buat saya & keluarga di dunia & akhirat.

wankamarul701 said...

Insya Allah...