Saturday, June 23, 2012

Debat PTPTN Rafizi-KJ : Antara Realiti dan Janji Bulan & Bintang


Pada kali ini, saya ingin menulis mengenai Debat Isu PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Razifi dengan Ketua Pemuda UMNO, KJ. Saya menulis isu debat pada kali ini kerana diminta oleh rakan lama saya supaya memberi komen tidak bias kepada mana-mana pihak. Saya banyak kali menonton video debat ini supaya dapat memahami dengan jelas hujah-hujah yang diutarakan oleh kedua-dua pihak.

Secara kasarnya, dapat dilihat Rafizi banyak bercakap mengenai rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN seperti pembinaan MRT berjumlah RM60 billion, NFC, Tan Sri Tajuddin ramli, dana Petronas yang dibelanjakan berjumlah lebih RM200 billion dan lain-lain lagi bagi menghalalkan pendidikan percuma yang dicadangkan beliau. Namun, dapat dilihat KJ cuba mengelak soalan yang diajukan oleh Rafizi dengan jawapan yang hanya kadang-kadang sedikit masuk akal. Dapat dilihat Rafizi cuba menjerat KJ dengan isu rasuah tetapi dapat dilihat KJ tidak terperangkap.

Semua orang tahu mengenai rasuah yang mengelilingi Kerajaan pada hari ini. Namun, saya ingin melihat hala tuju pembangkang dalam isu pendidikan percuma yang dicadang dan dijanjikan.

Hakikatnya janji bulan dan bintang penghapusan PTPTN oleh Rafizi dapat diragui melalui fakta berikut:

1. Rafizi mengatakan bahawa isu pendidikan pencuma merupakan dasar pakatan bersama pakatan rakyat. Sebaliknya, Buku jingga hanya menyebut pemansuhan caj ptptn. Jelas pembangkang tidak sekata dalam isu PTPTN sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Rafizi menyatakan bahawa isu pendidikan percuma telah dimulakan sejak dari dulu lagi. Tapi hujah ini dapat dipatahkan oleh KJ bahawa dahulu ada 1 Universiti dan sekarang ada 20 universiti. Nampak di sini, rafizi tidak peka kepada realiti semasa.

3. Kos pendidikan percuma yang tidak diambil kira oleh Rafizi  :

i. Rafizi mengambil kira kos universiti swasta seperti Kampus Universiti Monash yang berjumlah RM200 juta dan tidak mengambil kira kos pembinaan universiti penuh atau IPTA. Ini adalah kerana ia tidak mengambil kos untuk post graduate study dan sebagainya yang berjumlah RM2 billion.

ii. Selain itu, Rafizi tidak mengambil kira kos operasi perjalanan sesebuah universiti contohnya USM yang berjumlah RM746 juta pada tahun 2011 dan RM568 juta. Berdasarkan purata ini, ini bermakna kos perbelanjaan untuk 10 universiti baru cadangan PR adalah berjumlah RM31 billion untuk tempoh 10 tahun.

iii. Untuk menampung yuran IPTS, PR mencadangkan untuk memberi subsidi kepada IPTS supaya yurannya sama dengan yuran yang ditawarkan oleh IPTA. Daripada 1.4 juta pelajar IPTS, 1.5% ambil perubatan, 13.4% mengambil kejuruteraan dan 85.1% mengambil kursus-kursus lain. Daripada ini, subsidi sebanyak RM36 billion diperlukan.

Ini menunjukkan angka yang ditunjukkan Rafizi berjumlah hanya RM5 billion untuk pendidikan percuma di mana ia adalah lebih rendah di mana jumlah sebenarnya ialah RM18 billion.

4. Kalau tak nak buat 1,000 dalih: Memberi pendidikan percuma bagi Koleh Universiti @ Universiti di negeri Pakatan Rakyat. Rafizi menyatakan bahawa dia di bawah kuasa persekutuan dan mewarisi dari kerajaan BN terdahulu. Rafizi terus menyalahkan Kerajaan BN yang menyebabkan kos universiti naik disebabkan konsensi diterima oleh adun BN bagi membangunkan Kolej Universiti. Ia menunjukkan pembangkang tidak dapat menunjukkan kuasa sebagai kerajaan negeri bagi membatalkan kontrak kecil untuk mengekang kos Kolej Universiti terus naik. Bagaimana pula dengan janji-janji dalam Buku Jingga yang akan membatalkan kontrak-kontrak besar dalam masa sehari sekiranya dapat menawan Persekutuan?

5. Pendidikan adalah pelaburan : Rafizi mengungkapkan bahawa Haji Hadi adalah lebih tegas dalam isu ini kerana menyatakan pendidikan merupakan pelaburan yang diungkapkan oleh Ibnu Khaldun dan perlu diberikan oleh kerajaan. Tetapi pelaburan pendidikan yang baik perlu dilaksanan oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pelajar supaya ada tanggungjawab bersama. Di mana subsidi kerajaan adalah 80% dan pelajar adalah 20% melalui PTPTN.

6. Rafizi menyatakan IPTS yang paling untung mengaut keuntungan dari pinjaman PTPTN bermula 2005 kerana pendidikan diperniagakan. Sebenarnya, yuran IPTS adalah lebih tinggi kerana yurannya adalah lebih mahal daripada IPTA kerana IPTA masih disubsidikan oleh kerajaan supaya ada tanggungjawab bersama dengan pelajar. Pada 2011, secara kasarnya IPTS mendapat RM2.7 billion dan IPTA mendapat RM2.2 billion. Tetapi jumlah pelajar IPTA ialah 123,000 dan IPTS ialah 76,000 sahaja iaitu hampir separuh. Selain itu, IPTS juga dipantau supaya ia mengikut piawaian dan sepanjang 2007-2011 tidak kurang 100 IPTS yang dibatalkan pendaftarannya di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Jelas, tuduhan Rafizi tidak berasas sama sekali.

7. Tiada pendidikan alternatif untuk pelajar yang tercicir pelajaran. Ini adalah pelajar di ipts di rumah kedai yang tidak berpeluang untuk mendapat kerja. Pembangkang bercadang menggabungkan ipts sedia ada supaya ada 10 universiti swasta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan kursus berlainan. Tetapi tiada cadangan peruntukan untuk pelajar tercicir ini di IPTA ataupun aliran alternatif seperti vokasional dan lain-lain lagi.

8. Ketidakyakinan ekonomi Rafizi : Dari 1997 Sehingga 2011, hutang PTPTN ialah RM43 billion dengan jumlah yang dikutip ialah RM3 billion. Dengan kenaikan jumlah pinjaman 11% untuk IPTA dan 17% untuk IPTS sehingga 2020, maka ptptn meluluskan pinjaman sebanyak RM177 billion dengan RM24 billion setahun, Rafizi bimbang sekiranya kadar kutipan terlalu rendah dan negara menanggung hutang yang besar. Dan keadaan ini sama dengan Amerika Syarikat di mana negara akan muflis dengan hutang RM177 billion pada tahun 2020. Ini menunjukkan pembangkang hanya ingin supaya hutang-hutang lama hanya perlu dihapus kira dan bukannya perlu dibayar dengan tiada keyakinan ekonomi untuk naik. Amerika sebenarnya tidak melaksanakan pemansuhan hutang pendidikan tetapi menurunkan kadar faedah.

9. Sekiranya yakin dengan pertumbuhan dengan ekonomi, mahasiswa boleh membayar hutang2 mereka dan hutang pendidikan tidak perlu dihapuskira. Kerajaan yakin dengan transformasi ekonomi menyediakan 3.5 pekerjaan baru dalam sektor pendapatan tinggi dengan KDNK USD15,000 per kapita dengan pendapatan minimum RM900 dan mahasiswa boleh membayar hutang pinjaman mereka. Sekiranya tidak yakin dengan ekonomi, hutang PTPTN perlu dihapuskira.

10. Pendidikan pra sekolah di Selangor di bawah pakatan pembangkang masih belum ditunaikan sejak 4 tahun lepas. Apakah boleh memberikan pendidikan percuma kepada IPTA dengan janji manis?

Dapat dilihat bahawa Rafizi hanya menjanjikan bulan dan bintang untuk memberikan pinjaman percuma kepada golongan muda. Saya sokong sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan tetapi ia biarlah realistik dan berpijak kepada bumi yang nyata dan bukannya semata-mata untuk meraih undi bagi menghadapi PRU-13. 

Sekian, terima kasih.


No comments: