Sunday, June 3, 2012

Jika Tiada Duit, Buat Sahaja Cara Tiada Duit


Jika tiada duit, buat sahaja cara tiada duit. Idea ini datang secara spontan apabila saya melihat ramai orang sekeliling saya sekarang dilanda demam Samsung. Bukan virus jenis Samsung atau penyakit Samsung tetapi dilanda wabak memakai telefon bimbit Samsung. Dari harga serendah RM100 sehinggalah harga melebihi RM2,000. Saya tidak faham mengapa orang sanggup membeli sehingga harga tertinggi bagi menunjukkan telefon bimbitnya paling canggih atau paling menawan. Memakai telefon bimbit dengan harga tertinggi akan menjadi juara. Saya masih ingat lagi pada tahun lepas iaitu tahun 2011 di mana dilanda dengan telefon bimbit Apple. Bagaimana dengan telefon Apple sekarang? Ia mungkin sudah menjadi basi dek kerana dengan kemunculan telefon terkini dari syarikat pengeluar Samsung. Manakala telefon bimbit keluaran Samsung mungkin akan menjadi basi pada tahun hadapan kerana akan keluar pula model telefon bimbit terbaru.

Jika anda menggunakan telefon bimbit RM2,000 sekalipun, bilnya tetap sama dengan telefon bimbit yang berharga RM100.

Jika anda memakai jam tangan berharga RM2,000 sekalipun, jumlah masanya tetap 24 jam sehari dan anda tidak akan mendapat 25 jam mahupun 26 jam sehari.

Jika anda menandatangani cek atau surat dengan pen berharga RM1.30 sebatang, ianya tetap sah dan masih boleh digunakan.

Menurut ahli psikologi, orang yang merasakan dirinya mahal, dia tidak memerlukan perkakas yang mahal untuk memagari dirinya manakala orang yang merasakan dirinya murah memerlukan perkakas yang berharga untuk menghiasi dirinya. Saya fikir kata-kata ini ada benarnya. Saya melihat orang yang mempunyai banyak wang biasanya hidup dalam keadaan yang sederhana ataupun low profile. Berbanding pula dengan orang yang tiada wang yang kebiasaannya ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawasanya dia ini mempunyai banyak wang walaupun hutang masih banyak di keliling pinggang.

Apa yang lebih penting kita perlu pandai dalam menguruskan kewangan hidup kita. Utamakan yang utama dan ketepikan perkara yang tidak utama. Kita perlu menyemak ataupu menganalisis perbelanjaan kita dari semasa ke semasa. Semak semula sama ada terdapat kebocoran wang kita apabila dibelanjakan kepada perkara tidak mustahak.

Semak juga sama ada kita membuat hutang yang perlu ataupun tidak perlu yang akan membuatkan kita penat membayar hutang dari bulan ke bulan sehingga habis tempoh pembayaran. Saya baru sahaja bertemu dengan waris saya yang bekerja di Bank Rakyat pada petang tadi. Beliau menyatakan bahawa cawangannya telah mengeluarkan pinjaman sebanyak RM30 juta iaitu mencapai sasaran 200% dari sasaran asal iaitu RM15 juta sebulan untuk bulai Mei 2012. Ini adalah disebabkan kerana kakitangan kerajaan baru sahaja mendapat kenaikan gaji tahunan yang baru. Pastikan hutang yang dibuat itu adalah hutang yang baik dan bukannya hutang yang tidak baik yang membuatkan kita semakin lama semakin miskin.

Apa yang lebih penting hiduplah dengan batas kemampuan kita. Orang sekeliling kita sentiasa memerhatikan kita. Apa yang lebih penting, tambahkan pendapatan kita dari tahun ke tahun tetapi kekalkan gaya hidup lama.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

No comments: