Assalamualaikum w.b.t. dan Salam
Sejahtera.
Terima kasih diucapkan kepada
pengunjung-pengunjung setia blog saya yang sudi meluangkan masa membaca blog
saya. Ada yang tertanya-tanya mengapa saya tidak mengemas kini blog saya sejak
beberapa lama. Saya tidak dapat mengemaskini blog saya kerana ada sebab-sebab
kekangan tertentu. Namun begitu, saya akan tetap mengemaskini blog saya untuk
tatapan Tuan dan Puan semua. Ada yang menjadikan blog saya ini sebagai rujukan
pengurusan kewangan mereka. Suka saya ingin memberitahu di sini ialah semakin
belajar diri kita mengenai ilmu kewangan, maka kita akan menjadi semakin
KEDEKUT. Ini adalah kerana kita akan menghargai setiap sen duit di dalam poket
kita apabila ilmu semakin bertambah di dada. Sekiranya anda seorang Ketua
Pegawai Kewangan ataupun Chief Financial Officer (CFO), anda akan menghargai
setiap sen wang syarikat walaupun nilainya adalah 1 sen.
Baiklah tajuk artikel saya kali ini
ialah Melayu Liat Membayar Hutang? Sebenarnya,
ini bukan idea saya yang sebenar tetapi saya ingin memetik tulisan Tun Dr.
Mahathir dalam buku terbarunya iaitu Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir
Mohammad. Buku banyak memperihalkan mengenai sikap dan masalah yang dihadapi
oleh orang melayu. Saya sebenarnya tertarik mengenai tulisan beliau mengenai
sikap orang melayu terhadap hutang.
Sebenarnya disiplin bayaran balik
pinjaman dan hutang dengan segera adalah syarat utama kejayaan dalam
perniagaan. Ramai yang mengambil hutang tetapi hanya menggunakan separuh
daripadanya untuk tujuan perniagaan. Ini menyebabkan kadar faedah pinjaman itu
naik dua kali ganda. Dengan menggunakan separuh modal sahaja maka sukarlah untuk
mendapat hasil yang cukup bagi membayar hutang.
Beliau menceritakan bahawa ada
seorang pengusaha stesen minyak menemuinya yang melaburkan pungutan tunainya
dalam satu perniagaan lain. Perniagaan itu gagal dan beliau tidak mampu
membayar bekalan minyak yang diperolehinya secara kredit. Selepas berulang kali
gagal membayar, pembekal mula menuntut bayaran tunai dalam urusan jual beli
minyak. Beliau tiada lagi wang tunai dan gagal mendapatkan pinjaman tambahan
daripada bank. Akhirnya, pengusaha tersebut hilang stesen minyaknya kerana
gagal membayar hutang. Perkara ini yang menyebabkan pengusaha-pengusaha stesen
minyak melayu yang lain terpaksa membayar wang pendahuluan untuk mendapat
bekalan minyak sekarang.
Masalah ini yang dihadapi oleh kontraktor
melayu. Tun juga menceritakan bagaimana makmal komputer yang dibina oleh kontraktor
melayu boleh runtuh. Saya masih ingat cerita tersebut dan ianya diuar-uarkan
pada tahun 2002 di mana majalah Massa memaparkan tajuk kulit “Makmal Komputer
Runtuh : Mana Maruah Orang Melayu?” atau lebih kurang tajuknya berbunyi
begitulah. Ia sebenarnya adalah mudah sahaja untuk didirikan bersama pemasangan
wayar untuk komputer. Tetapi orang yang bertanggungjawab membina makmal
tersebut menjual kontrak kepada kontraktor lain. Kemudian, pihak kedua menjual
kontrak tersebut kepada pihak ketiga untuk mendapat bayaran pendahuluan. Projek
ini terus bertukar tangan sehingga tidak lagi membawa keuntungan. Kontraktor
terakhir yang membeli kontrak ini terpaksa membina makmal dengan menggunakan
bahan bermutu rendah dan gagal pula membayar hutang kepada pembekal dan sub-kontraktor.
Natijahnya, mereka tidak dapat menyiapkan projek tersebut dan bangunan tersebut
runtuh sebelum digunakan.
Begitulah dengan kita, kita perlu
tahu berapa jumlah hutang atau komitmen lain yang perlu dibayar pada setiap
bulan. Hutang tetap hutang. Janganlah anda tutup sebelah mata terhadap hutang
anda sama ada membayar sekali-sekala. Apa yang lebih buruk lagi anda membutakan
mata anda terhadap hutang-hutang anda iaitu anda tidak membayar hutang anda.
Masalah hutang anda perlu selesaikan. Masalah tidak dapat dielak. Sekiranya ia
dielak, ia akan datang jua. Oleh itu, cuba selesai masalah anda.
Hutang ansuran bulanan kereta dan
rumah memerlukan komitmen bayaran yang baik setiap bulan. Ramai orang membayar
ansuran bulanan pada akhir bulan. Ini adalah kerana mereka menggunakan gaji
bulan tersebut bagi membayar ansuran bulanan pada bulan tersebut. Contohnya,
kita menerima gaji 26 hb. dan membayar ansuran bulanan pada 29 hb. setiap
bulan. Ini yang menyebabkan ada antara kita yang menerima gangguan bank-bank
pada akhir bulan supaya membayar ansuran hutang mereka. Adalah lebih sekiranya
gaji bulanan kita digunakan untuk membayar ansuran pada bulan berikut.
Contohnya, gaji bulanan kita akan diterima pada 26 hb. setiap bulan. Gunakan
gaji ini untuk membayar ansuran bulanan pada bulan berikutnya pada 1 hb.
Disiplin bayar balik yang baik ini akan menyebabkan anda dipandang oleh bank
sebagai peminjam 5 star oleh pihak bank (walaupun saya sendiri tidak
menggalakkan anda membuat pinjaman bank).
Hiduplah dalam batas kemampuan.
Kesilapan kita adalah tidak tahu berapa jumlah komitmen hutang kita pada setiap
bulan. Ada seorang rakan yang membayar hutang pendidikan sekali-sekala. Saya
bertanya mengapa beliau bertindak sedemikian. Beliau menyatakan bahawa beliau
hanya menggunakan duit bonus bagi membayar hutangnya. Saya mengatakan bahawa
itulah bermakna kita perlu hidup dalam batas kemampuan kita sahaja. Sekiranya
membayar hutang sekali-sekala, lambat laun kadar faedah akan ‘makan’ duit pokok
yang dibayar oleh kita. Ini adalah kerana kadar faedah, bunga, atau interest akan dikenakan berasaskan
kepada baki kini pinjaman.
Kata orang kesilapan besar kita
adalah ‘makan modal’ perbelanjaan kita. Ini adalah mungkin kerana kita terpaksa
‘mengusik’ duit komitmen bulanan kita untuk membeli perkara lain. Saya masih
ingat ceramah di tempat kerja saya pada minggu lepas. Beliau mengatakan bahawa
duit pendapatan kita perlu dibahagikan kepada empat kotak iaitu kotak makan
minum, kotak simpanan, kotak kecemasan, dan kotak jihad. Kotak jihad terbahagi
pula kepada lima iaitu ibu bapa, mentua, surau & masjid, fakir miskin dan
khusus untuk seseorang bagi diri kita. Sekiranya kita mencampur-adukkan perbelanjaan kita,
alamak susahlah kita untuk hidup.
Apa yang hendak ditekankan di sini
ialah pentingnya disiplin kredit yang perlu diterapkan ke dalam diri kita.
Usahlah kita liat membayar hutang-hutang kita. Saya pernah berjumpa dengan
seorang pelanggan saya pada suatu ketika dahulu pada tahun 2009 yang pernah meminjam
daripada along bagi menjalankan perniagaan kedai makan beliau. Saya bertanya
kepada beliau adakah beliau tidak takut meminjam wang daripada along. Beliau
menyatakan bahawa sekiranya kita membayar hutang along mengikut masa ditetapkan,
tiada apa yang perlu ditakutkan dengan along.
Sekian, terima kasih.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad
No comments:
Post a Comment