Thursday, June 28, 2012

Buat Review Perbelanjaan 2012 Anda

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Kita sekarang sudah berada di akhir pertengahan tahun 2012. Ini bermakna kita sudah berada separuh tahun bagi tahun ini. Bagi sesebuah organisasi, ia akan membuat review perbelanjaan dan juga sasaran baru bagi mengenal pasti sekiranya ada kekurangan bagi kedua-dua perkara ini. Yang terlebih akan dikurangkan, dan yang kurang akan ditambahkan. Ini adalah untuk memastikan perbelanjaan akan terus realistik bersesuaian dengan keadaan semasa. Begitulah juga dengan belanja diri kita sendiri. Kita perlu memeriksa perbelanjaan kita sama ada ia mempunyai kekurangan atau tidak.

Berapakah jumlah hutang kita sehingga pertengahan tahun ini yang sudah dilunaskan? Adakah ia semakin bertambah ataupun berkurang? Jika berkurang, berapakah jumlah hutang yang dikurangkan? Sekiranya kita membuat hutang, adakah ia merupakan hutang perlu atau tidak perlu?

Pengalaman merupakan guru terbaik bagi seseorang. Sejak tahun 2010, saya mula belajar mengenai ilmu pengurusan kewangan setelah mula berjinak-jinak dengan hutang. Ketika itu, saya baru sedar bahawa duit simpanan saya ‘entah ke mana’ dan hutang pun masih banyak setelah 2 tahun bekerja. Setelah berusaha bersungguh-sungguh membaiki pengurusan kewangan saya, sedar tak sedar saya telah berjaya mengurangkan hutang saya sebanyak RM20,000 sehingga Jun 2012 sejak awal tahun 2010. Bagi saya, pencapaian ini boleh dibanggakan walaupun ia tidak membanggakan. Apa yang menarik lagi bagi saya ialah simpanan saya mula bertambah dari bulan ke bulan sekarang. Saya berjaya mengubah minda saya bahawa seseorang itu akan banyak duit bukan kerana dia bergaji besar atau mempunyai side income yang besar atau membuat tuntutan yang tinggi dengan syarikat setiap bulan tetapi seseorang itu akan banyak duit kerana pandai menguruskan duitnya. Saya juga berjaya melanjutkan pelajaran saya dengan menggunakan wang tunai sendiri tanpa meminta pinjaman-pinjaman lain atau menggunakan wang simpanan KSWP saya.

Sewaktu sarapan pagi semalam, saya bersembang mengenai pinjaman PTPTN bersama-sama rakan saya yang mengambil pinjaman tersebut semasa belajar di universiti. Di antara kami ada yang mengatakan dia membayar setiap bulan dan ada yang tidak membayar hutang. Rupa-rupanya ada yang tidak membayar hutang ini merupakan individu yang masih mengharapkan janji bulan dan bintang pihak pembangkang untuk menghapuskan pinjaman ini sekiranya mereka menang dalam PRU-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat. Saya sudah menyebutkan janji bulan dan bintang pihak pembangkang dalam artikel sebelum ini bahawa mereka tidak mempunyai hujah yang kuat untuk melaksanakan janji tersebut (Klik di Sini). Hutang tetap hutang. Anda perlu membayarnya dan anda tidak boleh mengelak untuk membayarnya. Jika anda cuba lari membayar hutang, ia tetap akan datang juga. Oleh itu, cuba selesaikan hutang anda walaupun secara cepat ataupun lambat. Hutang akan terus membelenggu diri anda sekiranya anda tidak cuba melawannya.

Buat jangkaan bilakah hutang anda selesai sekiranya masih membayar secara bulanan sekarang. Anda boleh menyelesaikan hutang anda yang ada sekarang secara cepat atau lambat. Adalah mustahil untuk anda menyelesaikan hutang berjumlah RM30,000 dalam masa satu bulan sekiranya anda berpendapatan RM3,000 sebulan. Sekiranya anda membayar RM500 sebulan, ia akan diselesaikan dalam masa 5 tahun dan habis dibayar pada tahun 2017 mulai sekarang. Sekiranya anda membayar RM300 sebulan, ia akan diselesaikan dalam masa 8 tahun lebih dan habis dibayar pada tahun 2021 mulai sekarang. Inilah yang dimaksudkan membayar hutang secara cepat atau lambat. Anda boleh mempercepatkan pembayaran hutang-hutang anda dengan menambah bayaran ansuran bulanan sekiranya pendapatan anda bertambah pada masa hadapan. Seterusnya, anda boleh membuat jangkaan yang baru bilakah hutang akan selesai dan ia akan habis dibayar dari tempoh sepatutnya. Ini sudah tentu dapat mempercepatkan diri anda mencapai kebebasan kewangan.

Kita sebagai pekerja awam atau swasta sudah tentu mendapat kenaikan gaji baru-baru ini. Mungkin antara kita mendapat kenaikan RM200 – RM300. Walaupun sedikit mungkin tidak sebanyak bonus tahunan kita, sekiranya kita pandai mengira dari awal tahun mula kenaikan sehingga kita bersara, nilainya menjadi puluhan ribu ringgit. Contohnya kita akan bersara 25 tahun lagi dari sekarang mulai tahun 2012. Sekiranya kenaikan kita adalah RM200, maka ia akan berjumlah RM60,000 dalam masa 25 tahun akan datang (RM200 x 12 bulan x 25 tahun). Dengan menggunakan Prinsip Sendal Baji seperti mana yang saya terangkan sebelum ini (Klik di Sini) iaitu menyimpan separuh daripada kenaikan gaji kita (RM100 daripada RM200), jumlah simpanan kita akan menjadi RM30,000 dalam masa 25 tahun akan datang (RM100 x 12 bulan x 25 tahun). Ini belum mengambil kira kenaikan kita pada tahun-tahun akan datang. Ini sudah tentu menyebabkan simpanan kita menjadi ratusan ribu atau jutaan ringgit setelah kita bersara kelak. Benar bukan?

Simpanan ini perlulah dibuat dengan potongan gaji ke dalam simpanan atau pelaburan instrumen kewangan yang lain seperti Koperasi, ASNB, Tabung Haji atau tempat pelaburan yang lain di mana kita tidak dapat mengambil duit tersebut. Ini kerana duit di depan mata kita tidak akan dapat disimpan.

Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Apa yang penting ialah kita pandai menguruskan kewangan kita untuk mengurangkan hutang kita dan seterusnya menambah simpanan kita. Apa yang lebih penting kita perlu memastikan mutu kesihatan kewangan sentiasa bertambah baik dari semasa ke semasa semoga kita tergolong orang yang mendapat sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan. Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, maka celakah orang itu.”

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com


No comments: