Friday, April 6, 2012

Pelaburan Susu Kambing dan Pelaburan Daging Kambing


Menarik juga hasil pembacaan saya mengenai pembacaan buku ‘Rancang Wang dari Sekarang’ tulisan Pakdi. Saya tertarik mengenai penulisan beliau mengenai ‘Pelaburan Susu Kambing dan Pelaburan Daging Kambing’. Ramai di antara mungkin sedar atau tidak sedar pelaburan yang kita telah buat sebelum ini. Baiklah, saya akan mengulas mengenai dua jenis pelaburan ini.

i. Pelaburan Susu Kambing (Cash Flow)

Pelaburan jenis ini adalah bermaksud kita ingin memperolehi kecairan wang mengikut tempoh masa tertentu sama ada secara bulanan ataupun tahunan. Bayangkan kita mempunyai 250 ekor kambing tenusu. Setiap hari, kambing-kambing ini dapat mengeluarkan sehingga 500 liter susu kambing. Setiap liter susu kambing ini dapat dijual dengan harga RM10. Sekiranya 500 liter susu kambing itu dapat dijual sehari, pendapatan kita sebagai penternak kambing tenusu ialah:

500 liter x RM10 = RM5,000

Pelaburan ASB dikenali sebagai Pelaburan Susu Kambing

Kambing-kambing ini mengeluarkan susu setiap hari. Setiap hari ada pembeli susu kambing. Namun, adakah kambing yang berada dalam jagaan kita berkurangan walaupun seekor akibat susunya diperah? Ini yang dinamakan pelaburan susu kambing. Kita membeli aset dan aset kita itu dapat memberikan pendapatan setiap hari atau setiap bulan atau setiap tahun secara konsisten. Aset kita tidak perlu dijual dan kita masih memperolehi pendapatan secara konsisten selagi aset itu dalam pemilikan kita.

 ii. Pelaburan Daging Kambing (Capital Gain)

Bayangkan kita mempunyai 250 ekor kambing bagi memperolehi dagingnya. Setiap hari ada sahaja pembeli kambing daging. Setiap seekor kambing daging ini dijual RM500 seekor. Sekiranya 10 ekor kambing berjaya dijual, pengiraannya adalah seperti berikut:

10 ekor x RM500 = RM5,000

Memandangkan kambing ini semakin berkurangan setiap hari, kita perlu sentiasa memastikan kambing-kambing ini sentiasa cukup bekalan makanannya di dalam kandang bagi membolehkan ia terus dijual dan kita terus mendapat pendapatan.

Sekiranya, kambing itu habis bekalannya, pendapatan kita turut terhenti. Ini yang dinamakan pelaburan daging kambing. Kita membeli aset, dan aset itu hanya memberikan pendapatan sekiranya ia dijual sahaja. Selagi aseti itu tidak dijual, kita tidak memperolehi pendapatan walaupun satu sen.

Baiklah, dapat kita fahami daripada penerangan di atas iaitu pelaburan terbahagi kepada dua iaitu pelaburan ‘susu kambing’ dan pelaburan ‘daging kambing’. Pelaburan susu kambing ini mungkin menjadi minat kita semua kerana ia memberi pulangan wang dalam bentuk kecairan ataupun wang tunai mengikut tempoh setahun sekali atau sehingga tiga tahun sekali. Contohnya ialah Amanah Saham Bumiputera, Koperasi dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang melabur di beberapa tempat pelaburan yang tertentu supaya ia mendapat pulangan yang banyak untuk setiap tahun.

Suka saya ingatkan di sini sekali lagi bahawa sekiranya kita ingin melabur usahlah kita meminjam untuk melabur. Sebenarnya, tiada jalan pintas atau ‘short cut’ untuk memperolehi kekayaan. Jika anda memperolehi sesuatu dengan mudah, ia akan hilang juga akan hilang dengan mudah, benar bukan? Contohnya, sekiranya kita membuat pinjaman dengan ASB sekalipun sehingga RM100,000, kita akan memperolehi dividen tahunan RM7,000 atau RM14,000 sekiranya pinjaman yang diambil adalah berjumlah RM200,000. Malangnya, ramai di antara kita yang membuat perkara lain atau membeli barang-barang yang tidak sepatutnya. Sekiranya kita lambat ataupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk melabur sehingga RM100,000 atau RM200,000 sekali pun, kita akan menghargai setiap sen wang kita tersebut. Kita akan lebih menghargai wang kita tersebut. Buat sahaja potongan gaji untuk melabur atau menyimpan. Saya akan menghuraikan lebih lanjut mengenai perkara ini pada tajuk artikel yang akan datang.

Pelaburan susu kambing ini juga tidak tertumpu kepada pelaburan semata-mata. Bidang perniagaan juga termasuk dalam perniagaan susu kambing ini. Memang bidang perniagaan menjanjikan pendapatan lumayan kepada sesiapa yang gigih menceburinya. Perniagaan yang paling besar yang pernah saya temui ialah Kedai Dr. Cermin iaitu kedai yang membaiki cermin kereta. Sewaktu saya pergi membaiki cermin kereta saya baru-baru ini pekerjanya menceritakan bahawa cawangan kedainya adalah sebanyak 35 buah di seluruh Malaysia. Itu bukan melayu. Manakala perniagaan melayu yang paling besar saya temui ialah Klinik Dr. Famili iaitu klinik gigi yang mempunyai sebanyak 11 buah klinik. Saya fikir, jika ingin memiliki sesuatu aset secara tunai tidak mempunyai masalah melalui cara perniagaan ini. Apatah lagi perniagaan lain seperti kedai buku dengan jualan RM10,000 sehari, Seven Eleven dengan RM8,000 sehari, Kedai Farmasi dengan RM2,000 sehari dan perniagaan-perniagaan lain lagi. Saya bukanlah seorang ahli perniagaan tetapi sekadar berkongsi cerita mengenai perniagaan.

Pelaburan Rumah dikenali sebagai Pelaburan Daging Kambing

Manakala pelaburan daging kambing apatah lagi jikalau bukan aset hartanah. Pelaburan juga menjanjikan pendapatan lumayan. Ia juga memerlukan perancangan dan tempoh masa yang lama untuk anda menambah rumah anda daripada satu buah kepada satu buah yang lain. Sepertimana yang saya ceritakan dalam artikel saya sebelum ini. Ia boleh menjadi pelaburan susu kambing sekiranya anda menyewakan duit anda tersebut. Ianya boleh jadi pelaburan daging kambing sekiranya anda menjual aset hartanah anda selepas tempoh masa tertentu. Tetapi, Awas! Harga hartanah boleh jatuh merundum sekiranya anda silap memilih lokasi. Contohnya, di Rawang sekarang. Harga hartanah jatuh merudum selepas projek ICCT yang direncanakan untuk dibangunkan di sana tidak menjadi. Akhirnya, harga hartanah jatuh merudum dan banyak projek perumahan terbengkalai. Namun, dikhabarkan kawasan perumahan di sana akan naik semula pada masa sekarang. Mudah-mudahan.

Setakat ini dahulu sahaja penulisan saya pada kali ini. Apa yang penting kita perlu membuat pelaburan bagi diri kita sendiri untuk menambah simpanan kita untuk masa hadapan. Adat kehidupan di dunia ini adalah tidak kekal selama-lamanya. Mungkin hari ini kita senang. Esok belum tentu. Cerita Nabi Yusuf di dalam al-Quran mengingatkan bahawa kita perlu bersedia sahaja untuk menghadapi musibah yang datang pada masa hadapatan seperti firman Allah s.w.t. dalam Surah Yusuf 47-48:

Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
 Surah Yusuf 47-48

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

2 comments:

Unknown said...

saya ingin melabur dalam bidang ini tapi nak beli kambing susu ni kat mana...kalau abang ada contact atau ada jual kambing ni boleh tolong sms atau cal saya untuk bincang harga ..kalau harga berpatutan boleh la saya ambil dalam 100ekor untuk permulaan...0102469945...

wankamarul701 said...

Saudara salah faham ni. Ini pasal jenis pelaburan. Bukannya melabur ternakan kambing.

Terima kasih.