Ada orang yang mempunyai kereta, tetapi masih tiada rumah.
Ada orang yang mempunyai rumah, tetapi tiada kereta.
Ada orang yang mempunyai rumah dan kereta, tetapi mempunyai hutang yang banyak.
Ada orang yang mempunyai duit yang banyak, tetapi mengalami masalah kesihatan.
Ada orang yang tidak mempunyai duit, tetapi tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Sekiranya kita tinggal di kota bandaraya, ia memerlukan kos hidup yang tinggi namun peluang untuk membuat duit adalah amat besar sekali kerana di sini tempat berkumpulnya wang. Sekiranya tinggal di luar bandar, dengan pendapatan yang sama sekalipun anda boleh menyimpan duit tetapi peluang untuk membuat duit adalah tidak seperti di bandar-bandar besar. Walaupun ada, peluangnya adalah tidak seperti di bandar-bandar besar. Pendek kata, tinggal di luar bandar di bandar adalah sama sahaja. Bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk memanfaatkan keadaan di sekeliling kita.
Inilah yang dinamakan hukum kejadian ciptaan Tuhan. Setiap sesuatu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tuhan anugerahkan akal, bakat dan usaha kepada kita untuk melakukan dan mendapatkan sesuatu. Sekiranya, kita kehilangan rumah kita apabila ditimpa sesuatu musibah, dengan akal, bakat dan usaha kita yang ada, kita boleh dapatkan semula rumah yang kita hilang itu walaupun ia tidak seperti yang asal. Tidak hairanlah manusia dikatakan sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t. di muka bumi ini.
Utamakan yang Utama
Pada kali ini, saya ingin membincangkan bahawa kita perlu utamakan apa yang lebih utama dalam menguruskan kewangan kita. Sekiranya kita berpendapatan RM3,000 sebulan, adalah tidak wajar kita membelanjakan kesemua pendapatan kita untuk membelanjakan keperluan makan minum sahaja. Adalah tidak sepatutnya kita menggunakan kesemua pendapatan kita untuk membayar kesemua hutang-hutang kita tanpa memikirkan makan minum kita. Apa yang paling penting, kita perlu pandai mengutamakan yang utama. Baiklah cuba anda perhatikan anologi matematik seperti berikut:
2 + 2 x 2 = 8 … (1) 2 + 2 x 2 = 6 … (2)
Cuba anda perhatikan kedua-dua perhatikan persamaan di atas? Yang manakah persamaan yang betul? Sekiranya jawapan anda adalah persamaan (1), anda adalah silap. Jawapannya adalah persamaan (2). Ini adalah kerana mengikut hukum matematik, anda perlu melakukan proses pendaraban terlebih dahulu dan kemudian barulah proses penambahan dilakukan. Ramai orang yang silap mengenai konsep ini. Sekiranya anda menanyakan soalan ini kepada masyarakat Malaysia hatta cikgu matematik sekalipun, mereka akan jawapan mereka adalah persamaan (1). Sekiranya anda menanyakan soalan ini kepada pelancong asing, jawapan mereka adalah persamaan (2). Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kita perlu utamakan yang utama dalam konteks kehidupan kita pada hari ini.
Keberkatan Rezeki adalah Penting dalam Kehidupan Kita
Sekiranya anda membaca dan mengkaji ayat-ayat al-Quran, ayat-ayatnya adalah tidak bertentangan antara satu sama lain. Begitu juga dengan hukum matematik, hukum matematik adalah tidak bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya ia bertentangan, maka terdapat salah satu konsep matematik tersebut yang mempunyai kesilapan. Tetapi sekiranya anda membaca buku-buku di pasaran, sekiranya anda perhatikan ayat-ayat dari satu bab ke bab yang lain, terdapat ayat-ayat atau isi-isi yang bertentangan antara satu sama lain. Oleh itu, cuba tetapkan pendirian anda apabila membuat sesuatu keputusan.
Cuba anda perhatikan isu PTPTN yang dicetuskan sekarang oleh pihak pembangkang bagi menghadapi PRU-13. Terdapat kenyataan yang tidak selari dan tidak sehaluan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang. Ini menyebabkan rakyat gagal memahami isu yang ingin dibawa oleh mereka. Akhirnya, isu PTPTN ibarat senjata makan tuan yang dicetuskan sendiri oleh parti pembangkang. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah buatlah keputusan secara tegas. Kelak, orang akan menghormati kita kerana pandai mengendalikan sesuatu masalah. Membuat keputusan yang silap adalah tidak mengapa. Tetapi yang membinasakan apabila kita teragak-agak.
Baiklah, kita berbalik semula kepada topik perbincangan kita mengenai Hukum Tarik Tali. Sudah tentu perkara yang kita tidak dapat lari dalam pengurusan kewangan kita adalah mengenai pengurusan hutang. Dalam konsep pengurusan hutang, kita perlu utamakan yang utama. Kita perlu utamakan hutang manakah yang perlu dibayar terlebih dahulu dan perlu dibayar ‘lebih sedikit’berbanding hutang-hutang lain. Hutang yang perlu diutamakan pembayarannya adalah hutang yang dikenakan kadar faedah yang tinggi ke atas baki kini semasa. Ini sudah tentu memeritkan kepada peminjam sekiranya hutang tersebut masih belum habis dibayar, selagi itu caj dikenakan. Oleh itu, anda perlu mengutamakan dan membayar hutang jenis ini terlebih dahulu.
Contoh hutang jenis ini adalah kad kredit di mana caj sebanyak 1.5% sebulan atau 18% setahun dikenakan ke atas baki kini anda selagi mana hutang anda masih belum dilangsaikan. Oleh itu, anda perlu mengutamakan hutang jenis ini dan membayar lebih sehingga baki pinjaman tersebut habis dibayar. Jika dahulu orang yang mempunyai kad kredit dianggap istimewa apabila mempunyai kad tersebut. Namun pada hari ini sebaliknya, orang yang tidak menggunakan kad kredit dianggap bijak dan cerdik kerana pandai menguruskan kewangan mereka.
Salah Faham Mengenai PTPTN
Ada orang yang salah faham mengenai hutang PTPTN terutamanya pelajar yang baru bergraduat. Ini adalah kerana mereka menganggap bahawa walaupun mereka membayar pinjaman tersebut setiap bulan, caj pinjaman tetap dikenakan. Ini menyebabkan mereka tidak mahu membayar pinjaman tersebut kerana berfikir sekiranya pinjaman tersebut dibayar, caj tetap dikenakan. Sebenarnya, PTPTN mengenakan caj ke atas baki kini semasa. Selagi mana, hutang anda belum habis dibayar, caj akan terus dikenakan ke atas baki kini semasa. Jika dahulu caj adalah 3% setahun ke atas baki kini. Sekiranya anda mempunyai baki hutang RM20,000 , caj yang dikenakan adalah RM600 setahun atau RM50 sebulan. Sekiranya anda membayar RM200 sebulan, RM50 akan digunakan untuk membayar caj pinjaman dan RM150 lagi digunakan untuk membayar pokok pinjaman. Adalah lebih baik sekiranya ada mengambil pinjaman Ujrah dengan caj pinjaman 1% setahun. Sekiranya baki hutang anda ialah RM20,000 , caj pinjaman akan jatuh RM200 setahun atau RM17 sebulan. Sekiranya anda membayar RM200 sebulan, RM17 akan digunakan untuk membayar caj pinjaman dan RM183 lagi digunakan untuk membayar pokok pinjaman anda. Bayar macam biasa hutang anda sehingga habis dilunaskan.
Jika anda tidak mahu membayar hutang ini, anda boleh berkhemah di Dataran Merdeka untuk memprotes kerajaan bagi memansuhkan hutang anda. Sekiranya anda diserang sewaktu berada di sana, anda jangan salahkan orang lain kerana orang lain tidur di rumah dan hanya anda yang tidur di tengah padang. Hutang tetap hutang dan anda perlu membayarnya. Kita akan ditanya kelak pemimpin mana yang kita pilih pada hari ini. Kita juga akan ditanya kelak sekiranya kita tidak membayar hutang pada hari ini.
Baiklah, dapat kita fahami bahawa hutang yang membahayakan dalam pengurusan kewangan kita ini adalah ‘hutang hidup’ atau pun hutang yang dikenakan caj ke atas baki kini semasa. Selagi mana hutang tersebut masih ada, ada terpaksa membayar lebih untuk kadar faedah hutang tersebut. Seterusnya, kita perlu mengenal pasti hutang-hutang lain yang masih ada seperti hutang yang mempunyai kadar faedah yang tetap setiap tahun ataupun hutang dengan ahli keluarga kita.
Kita perlu tahu apa matlamat kewangan kita dalam pengurusan hutang. Apakah kita inginkan sebenarnya dalam dunia ini? Adakah kita ingin berhutang sehingga akhir tempoh hayat kita? Adakah kita ingin bebas hutang selepas tempoh tertentu? Saya masih tidak faham mengapa orang sanggup berhutang dan terus berhutang selagi mana mereka mempunyai wang untuk membayarnya setiap bulan. Sekiranya kita Malaikat Maut mari menjemput kita pada hari ini, berapakah jumlah hutang yang masih kita ada?
Adakah wajar membayar hutang sekali gus?
Ini sudah tentu menjadi pertanyaan kepada semua orang apabila mereka mendapat durian runtuh dalam kehidupan mereka. Bagi saya adalah tidak wajar sekiranya kita membayar hutang secara sekali gus. Adalah lebih baik kita gunakan duit durian runtuh yang kita perolehi bagi membuat pelaburan yang memberi pulangan tetap pada setiap tahun. Duit dividen yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk membayar hutang-hutang kita supaya kita membayar hutang kita menggunakan duit atas angin sahaja.
Selain kita utamakan perkara utama dalam menguruskan hutang kita, kita perlu menerapkan konsep yang sama dalam menguruskan perbelanjaan kita. Menarik juga buku Rancang Wang dari Sekarang tulisan Pakdi yang boleh kita kongsikan bersama. Terdapat tiga jenis perbelanjaan yang perlu kita tahui iaitu:
a. Perbelanjaan Keperluan
Perbelanjaan ini dikenali juga sebagai perbelanjaan daruriyat. Perbelanjaan ini adalah perbelanjaan bagi meneruskan kehidupan kita seharian seperti makan dan minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan ilmu.
b. Perbelanjaan Kehendak
Perbelanjaan ini dikenali juga sebagai perbelanjaan hajjiyat. Ia adalah perbelanjaan yang tidak ada pun tidak mengapa, tetapi sekiranya ada ia akan memudahkan urusan kehidupan kita seharian.
c. Perbelanjaan Kemewahan
Perbelanjaan ini dikenali sebagai perbelanjaan tahsiniyyat. Contohnya, kereta sudah menjadi keperluan pada zaman sekarang. Namun mengubah suai kereta dengan membeli set radio paling mahal, sport rim, cermin kereta gelap dan sebagainya menyebabkan kita ini tergolong dalam kategori mereka yang suka bermewah-mewah.
Kesimpulannya, dapat kita fahami bahawa dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan kita, kita perlu mengutamakan perkara yang lebih utama. Ini adalah penting bagi kita merancang perbelanjaan kita dengan sumber pendapatan tertentu. Orang pandai akan dianggap lebih pandai sekiranya pandai menguruskan kewangan mereka. Orang bodoh juga dianggap pandai sekiranya pandai menguruskan kewangan mereka. Orang di sekeliling kita memerhatikan apa yang kita lakukan ke atas wang kita. Apa yang lebih penting kita perlu memastikan bahawa orang tidak memberi tag nama kita dengan gelaran ‘Biar Papa Asal Bergaya’.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment