Friday, August 31, 2012

Debat PTPTN Rafizi-KJ : Antara Realiti dan Janji Bulan & Bintang (Kemaskini)

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
 
Pada kali ini, saya ingin menulis sekali lagi mengenai Debat Isu PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Razifi dengan Ketua Pemuda UMNO, KJ. Saya pernah menulis isu debat pada suatu ketika dahulu (Klik di Sini) kerana diminta oleh rakan lama saya supaya memberi komen tidak bias kepada mana-mana pihak. Saya menulis sekali pada kali ini kerana saya dapati banyak lagi hujah-hujah yang dilontarkan oleh Rafizi masih mempunyai banyak kelemahan debat tersebut. Tulisan baru saya dalam artikel kali ini ditulis dalam bentuk bold.

Secara kasarnya, dapat dilihat Rafizi banyak bercakap mengenai rasuah yang diamalkan oleh Kerajaan BN seperti pembinaan MRT berjumlah RM60 billion, NFC, Tan Sri Tajuddin ramli, dana Petronas yang dibelanjakan berjumlah lebih RM237 billion dan lain-lain lagi bagi menghalalkan pendidikan percuma yang dicadangkan beliau. Namun, dapat dilihat KJ cuba mengelak soalan yang diajukan oleh Rafizi dengan jawapan yang kadang-kadang hanya sedikit masuk akal. Dapat dilihat Rafizi cuba menjerat KJ dengan isu rasuah tetapi dapat dilihat KJ tidak terperangkap dengan Rafizi.
 
Rafizi cuba membawa poin bahawa isu rasuah yang berlaku merupakan punca utama yang menyebabkan bahawa pendidikan percuma tidak dapat diberi kepada rakyat manakala KJ pula cuba membuktikan bahawa janji-janji pendidikan percuma serta janji-janji bulan dan bintang Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga tidak dapat dilaksanakan kerana ia memakan kos yang amat tinggi iaitu RM188 billion berbanding belanjawan tahunan Negara 2012 yang berjumlah RM233 billion dan apabila ditolak semua belanja janji ini ia akan hanya tinggal RM45 billion di mana ia tidak cukup untuk menampung belanja untuk gaji kakitangan awam iaitu berjumlah RM52 billion. Apa yang lebih melucukan lagi ialah Pakatan Rakyat tidak dapat menunaikan manifesto pendidikan tadika percuma kepada rakyat negeri Selangor selepas menawan negeri tersebut pada tahun 2008.

Semua orang tahu mengenai rasuah yang mengelilingi Kerajaan pada hari ini. Namun, saya ingin melihat hala tuju pembangkang dalam isu pendidikan percuma yang dicadang dan dijanjikan.
Hakikatnya janji bulan dan bintang penghapusan PTPTN oleh Rafizi dapat diragui melalui fakta berikut:

1. Rafizi mengatakan bahawa isu pendidikan pencuma merupakan dasar pakatan bersama pakatan rakyat. Sebaliknya, Buku jingga hanya menyebut pemansuhan caj ptptn. Jelas pembangkang tidak sekata dalam isu PTPTN sama ada secara lisan atau bertulis.

2. Rafizi menyatakan bahawa isu pendidikan percuma telah dimulakan sejak dari dulu lagi. Tapi hujah ini dapat dipatahkan oleh KJ bahawa dahulu ada 1 Universiti dan sekarang ada 20 universiti. Nampak di sini, Rafizi tidak peka kepada realiti semasa.

3. Kemapanan Idea Ekonomi Pakatan Rakyat tidak kuat untuk Pendidikan menurut KJ kerana :

i. Rafizi tersilap hutang terkini PTPTN di mana beliau menyatakan bahawa hutang PTPTN adalah RM23 bilion tetapi hutang sebenarnya ialah RM30 bilion.

ii. Kos membina 10 universiti baru iaitu berjumlah RM20 bilion dengan 10,000 pengambilan pelajar baru setiap tahun dengan kos pengurusan universiti iaitu RM31 bilion setiap tahun di mana jumlah ini ialah RM51 bilion.

iii. Kos  pinjaman selain PTPTN seperti MARA dan Yayasan Negeri iaitu RM4.7 bilion sahaja pada tahun 2012 tidak termasuk pinjaman 1990-an dan tahun 1980-an yang perlu dihapuskan.

iv. Yuran yang perlu ditanggung pelajar selain subsidi yang diberikan adalah 20 peratus dengan jumlahnya adalah RM6.4 bilion untuk tempoh 10 tahun.

v. Subsidi untuk pelajar IPTS seramai 1.4 juta pelajar supaya sama dengan yuran IPTS adalah berjumlah RM60 bilion untuk tempoh 10 tahun.

vi. Elaun sara hidup untuk pelajar berjumlah RM25 bilion bagi tempoh 10 tahun.

vii. Bon-bon Kerajaan perlu diterbitkan bagi membayar semua pendidikan percuma yang dicadangkan dengan kadar faedah 3.7 peratus setahun dengan kos pembiayaan akan menjadi RM6 bilion untuk tempoh 10 tahun.

Jumlah perbelanjaan yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat ialah hampir RM180 bilion untuk tempoh 10 tahun dengan purata setiap tahun ialah RM18 bilion tanpa mengambil kira kos pinjaman yang perlu dihapuskan selain PTPTN seperti MARA dan Yayasan Negeri.


Janji ini juga perlu mengambil kira janji bulan dan bintang yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat selain pendidikan percuma untuk melihat kemapanan ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat seperti:

i. Menghapuskan tol yang berjumlah antara RM30 – RM50 bilion.

ii. Penyelenggaraan tol adalah RM2 bilion setiap tahun.

iii. Wi-Fi percuma berjumlah RM1.2 bilion setiap tahun.

iv. Membatalkan konsesi air Selangor berjumlah RM15 bilion setiap tahun.

v. Mempertingkatkan royalti minyak sebanyak 20 peratus untuk Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan berjumlah RM12.5 bilion setiap tahun.

vi. Menjamin pendapatan minimum RM4 ribu sebulan untuk setiap keluarga berjumlah RM90 bilion setiap tahun.

Jumlah keseluruhan ini ialah RM170 bilion di mana ia masih tidak meliputi perbelanjaan janji pendidikan percuma.

Jika dicampur perbelanjaan pendidikan percuma berjumlah RM18 bilion dan janji bulan & bintang yang lain ialah berjumlah RM188 bilion setahun. Belanjawan Negara tahun 2012 ialah berjumlah RM233 bilion. Apabila ditolak dengan perbelanjaan janji bulan dan bintang ia akan tinggal RM45 bilion. Ini adalah tidak cukup untuk menampung perbelanjaan gaji kakitangan awam berjumlah RM52 bilion setahun. Ini menyebabkan negara muflis dan janji Pakatan Rakyat adalah tidak realistik seperti mana Negara Greece yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

4 a. Jumlah dicadangkan oleh Rafizi untuk pendidikan percuma ialah antara RM5 – RM6 bilion setiap tahun di mana :

i. Geran untuk 21 universiti ialah RM7.5 bilion setiap tahun dengan RM16,000 untuk setiap pelajar dan sekiranya RM16,000 ini merupakan 90 peratus untuk seorang pelajar, maka RM562 juta tambahan diperlukan yang meliputi lagi 10 peratus bagi memberi pendidikan percuma bagi setiap pelajar.

ii. Untuk biasiswa sara hidup sebanyak RM5 ribu seorang untuk 465,000 pelajar maka jumlah keseluruhan ialah RM2.32 bilion.

iii. Untuk menghapuskan hutang PTPTN sebanyak RM24 bilion selama 15 tahun, maka jumlah yang perlu dibayar ialah RM2 bilion (Bundar kepada RM1.6 bilion).(Ini masih tidak disebut oleh Rafizi bagi pinjaman yang lain seperti Mara dan Yayasan Negeri sebanyak RM4.7 bilion setahun).

iv. Kos membina bagi sebuah universiti ialah RM200 juta contohnya Universiti Monash untuk 5,000 pelajar dan RM400 juta untuk 10,000 pelajar dengan 1 universiti dibina setiap tahun selama 10 tahun.

Jumlah keseluruhan tambahan yang ditunjukkan oleh Rafizi ialah RM5 – RM6 bilion. Ini tidak termasuk pinjaman yang disediakan oleh Mara dan Yayasan Negeri sebanyak RM4.7 bilion setahun.

b. Akan tetapi, kos pendidikan percuma yang tidak diambil kira oleh Rafizi ialah :

i. Rafizi mengambil kira kos universiti swasta seperti Kampus Universiti Monash yang berjumlah RM200 juta untuk 5,000 pelajar dan RM400 juta untuk 10,000 pelajar tidak mengambil kira kos pembinaan universiti penuh atau IPTA. Ini adalah kerana ia tidak mengambil kos untuk post graduate study dan sebagainya yang berjumlah RM2 billion.

ii. Selain itu, Rafizi tidak mengambil kira kos operasi perjalanan sesebuah universiti contohnya USM yang berjumlah RM746 juta pada tahun 2011 dan RM568 juta pada tahun 2012. Berdasarkan purata ini, ini bermakna kos perbelanjaan untuk 10 universiti baru cadangan PR adalah berjumlah RM31 billion untuk tempoh 10 tahun.

iii. Untuk menampung yuran IPTS, PR mencadangkan untuk memberi subsidi kepada IPTS supaya yurannya sama dengan yuran yang ditawarkan oleh IPTA. Daripada 1.4 juta pelajar IPTS, 1.5 peratus ambil perubatan, 13.4 peratus mengambil kejuruteraan dan 85.1 peratus mengambil kursus-kursus lain. Daripada ini, subsidi sebanyak RM36 billion diperlukan untuk tempoh 10 tahun.

Ini menunjukkan angka yang ditunjukkan Rafizi berjumlah hanya RM5 billion untuk pendidikan percuma di mana ia adalah lebih rendah di mana jumlah sebenarnya ialah RM18 billion.

5. Kalau tak nak buat 1,000 dalih: Memberi pendidikan percuma bagi Koleh Universiti @ Universiti di negeri Pakatan Rakyat. Rafizi menyatakan bahawa dia di bawah kuasa persekutuan dan mewarisi dari kerajaan BN terdahulu. Rafizi terus menyalahkan Kerajaan BN yang menyebabkan kos universiti naik disebabkan konsensi diterima oleh adun BN bagi membangunkan Kolej Universiti. Ia menunjukkan pembangkang tidak dapat menunjukkan kuasa sebagai kerajaan negeri bagi membatalkan kontrak kecil untuk mengekang kos Kolej Universiti terus naik. Bagaimana pula dengan janji-janji dalam Buku Jingga yang akan membatalkan kontrak-kontrak besar dalam masa sehari sekiranya dapat menawan Persekutuan?

6. Pendidikan adalah pelaburan : Rafizi mengungkapkan bahawa Haji Hadi adalah lebih tegas dalam isu ini kerana menyatakan pendidikan merupakan pelaburan yang diungkapkan oleh Ibnu Khaldun dan perlu diberikan oleh kerajaan. Tetapi pelaburan pendidikan yang baik perlu dilaksanan oleh kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan pelajar supaya ada tanggungjawab bersama. Di mana subsidi kerajaan adalah 80 peratus dan pelajar adalah 20 peratus melalui PTPTN.

7. Rafizi menyatakan IPTS yang paling untung mengaut keuntungan dari pinjaman PTPTN bermula 2005 kerana pendidikan diperniagakan. Sebenarnya, yuran IPTS adalah lebih tinggi kerana yurannya adalah lebih mahal daripada IPTA kerana IPTA masih disubsidikan oleh kerajaan supaya ada tanggungjawab bersama dengan pelajar. Pada 2011, secara kasarnya IPTS mendapat RM2.7 billion dan IPTA mendapat RM2.2 billion. Tetapi jumlah pelajar IPTA ialah 123,000 dan IPTS ialah 76,000 sahaja iaitu hampir separuh daripada pelajar IPRA. Selain itu, IPTS juga dipantau supaya ia mengikut piawaian dan sepanjang 2007-2011 tidak kurang 100 IPTS yang dibatalkan pendaftarannya di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Jelas, tuduhan Rafizi tidak berasas sama sekali.

8. Kedudukan supremo Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan pinjaman PTPTN pada tahun 1997 : Rafizi ingin menyamakan Dato’Seri Anwar Ibrahim dan KJ apabila berada dalam kerajaan apabila membuat keputusan sedangkan Anwar bersetuju PTPTN ditubuhkan dan KJ pula tidak bersetuju mengenai ISA dan AUKU. Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepatutnya bersikap gentleman seperti Tun Musa Hitam yang meletak jawatan apabila tidak bersetuju dengan dasar kerajaan atau kabinet dan bukannya hanya menunggu di dalam kerajaan kerana ingin menjadi Perdana Menteri serta mula membangkang dasar kerajaan sebaik sahaja apabila berada di luar kerajaan.

9. Tiada pendidikan alternatif untuk pelajar yang tercicir pelajaran. Ini adalah pelajar di IPTS di rumah kedai yang tidak berpeluang untuk mendapat kerja. Pembangkang bercadang menggabungkan ipts sedia ada supaya ada 10 universiti swasta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan kursus berlainan. Tetapi tiada cadangan peruntukan untuk pelajar tercicir ini di IPTA ataupun aliran alternatif seperti vokasional dan lain-lain lagi.

10. Ketidakyakinan ekonomi Rafizi : Dari 1997 Sehingga 2011, hutang PTPTN ialah RM43 billion dengan jumlah yang dikutip ialah RM3 billion. Dengan kenaikan jumlah pinjaman 11 peratus untuk IPTA dan 17 peratus untuk IPTS sehingga 2020, maka ptptn meluluskan pinjaman sebanyak RM177 billion dengan RM24 billion setahun, Rafizi bimbang sekiranya kadar kutipan terlalu rendah dan negara menanggung hutang yang besar. Dan keadaan ini sama dengan Amerika Syarikat di mana negara akan muflis dengan hutang RM177 billion pada tahun 2020. Ini menunjukkan pembangkang hanya ingin supaya hutang-hutang lama hanya perlu dihapus kira dan bukannya perlu dibayar dengan tiada keyakinan ekonomi untuk naik. Amerika sebenarnya tidak melaksanakan pemansuhan hutang pendidikan tetapi menurunkan kadar faedah.


11. Sekiranya yakin dengan pertumbuhan dengan ekonomi, mahasiswa boleh membayar hutang-hutang mereka dan hutang pendidikan tidak perlu dihapuskira. Kerajaan yakin dengan transformasi ekonomi menyediakan 3.5 pekerjaan baru dalam sektor pendapatan tinggi dengan KDNK USD15,000 per kapita dengan pendapatan minimum RM900 dan mahasiswa boleh membayar hutang pinjaman mereka. Sekiranya tidak yakin dengan ekonomi, hutang PTPTN perlu dihapuskira.

12. Pendidikan pra sekolah di Selangor di bawah pakatan pembangkang masih belum ditunaikan sejak 4 tahun lepas. Apakah boleh memberikan pendidikan percuma kepada IPTA dengan janji manis bulan dan bintang?

Dapat dilihat bahawa Rafizi hanya menjanjikan bulan dan bintang untuk memberikan pinjaman percuma kepada pelajar-pelajar. Saya sokong sekiranya pinjaman PTPTN dihapuskan tetapi ia biarlah realistik dan berpijak kepada bumi yang nyata dan bukannya semata-mata untuk meraih undi bagi menghadapi PRU-13.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, August 29, 2012

Sultan-sultan Tanah Melayu Meminta Bantuan Khilafah Menghadapi Kemaraan British

Artikel sebelum ini saya menulis mengenai sebab tarikh kemerdekaan Tanah Melayu adalah pada 31 Ogos 1957 (Klik di Sini) dan ada menyebut sepintas lalu mengenai Sultan-sultan Tanah Melayu ketika itu meminta bantuan Khilafah Uthmaniah bagi menghadapi kemaraan penjajahan British. Pada kali ini, saya ingin menulis secara terperinci tentang Sultan-sultan Melayu ketika itu dalam usaha meminta bantuan Khilafah Uthmaniah. Sumber penulisan ini saya petik daripada sumber penulisan Hizbul Tahrir Malaysia (HTM). Buku teks Sejarah Peradaban Dunia yang kita pelajari sewaktu dibangku sekolah dahulu tidak menceritakan perkara ini. Oleh itu, wajar kita ketahui mengenai perkara ini. Berikut adalah sejarah sebenar mengenai apa yang berlaku di Negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu.

i. Kerajaan Melayu Riau-Lingga

Yamtuan Muda Kerajaan Melayu Riau-Lingga ketika itu iaitu Raja Ali Kelana ke Turki pada 1883, 1895 ,1899 dan 1913 minta bantuan Khalifah perangi Belanda dan bebaskan dunia Melayu dari penjajah, yang telah menjatuhkan beliau dari takhtanya kerana sikapnya yang anti-Belanda. Beliau bekerjasama dengan Sheikh Ahmad al-Fathani untuk menyatukan Melayu dengan Khilafah Uthmaniah. Namun, misi Raja Ali itu gagal kerana Khilafah Uthmaniah ketika itu amat lemah untuk mempertahankan negeri-negeri di bawah naungannya. Raja Ali Kelana kemudian membawa diri ke Johor dan dilantik oleh Sultan Johor sebagai Syeikhul Islam sehingga beliau meninggal dunia pada 1927.

ii. Negeri Sembilan

Pada tahun 1892, Syed Hamid iaitu Tunku Besar Tampin dan Penghulu Inas, meminta bantuan panglima tentera laut Khilafah yang melawat Singapura ketika itu agar membantu umat Islam di Tanah Melayu dan mengusir British. Akhirnya, British mendesak Majlis Mesyuarat Negeri menyingkir beliau sebagai Penghulu Inas tetapi Pihak British tidak berani mengambil tindakan ke atas beliau kerana beliau merupakan tokoh yang penting.

iii. Sungai Ujong

Pembesar-pembesar Sungai Ujong ketika itu iaitu Datuk Kelana dan Datuk Bandar bergaduh kerana ingin merebut kawasan perlombongan biji timah. Kemudian, Datuk Kelana lawat Gabenor Singapura dan pada 21 April 1874, menandatangani persetiaan menerima perlidungan British dan meletakkan Simpang dan kawasan-kawasan dari Simpang ke Permatang Pasir di bawah kuasa British. Datuk Kelana kibar bendera British dan ia disambut dengan Sekumpulan orang kibar bendera Khilafah telah kelihatan untuk menentang bendera British yang dikibarkan oleh Dato Kelana, dan mencerminkan gerakan Pan-Islam yang dilancarkan oleh Khilafah Uthmaniah. Tanggal 10 Oktober 1874, Datuk Bandar lancarkan penentangan terhadap Datuk Kelana tetapi Datuk Kelana menang dengan bantuan British. Akhirnya, Sungai Ujong dijajah British.



iv. Pahang

Pada Julai 1892, Dato’ Menteri Pahang telah melakukan perbincangan di Singapura dengan Sir Cecil Clementi Smith, Pesuruhjaya Tinggi Britain. Sir Cecil mendakwa punca kekacauan di Pahang adalah kerana seorang Sayid Arab menjelajah negeri-negeri selatan minta pemimpin-pemimpinnya menandatangani dokumen minta bantuan Khalifah di Turki untuk mengusir Britain keluar dari Tanah Melayu.

v. Kelantan, Terengganu, Patani dan Kemboja

Pada 1890-an, Sheikh Wan Ahmad Fathani pergi ke Istanbul untuk suarakan keinginan Muslim bersatu dengan Khilafah. Beliau telah menemui dan berbincang dengan para pemimpin Khilafah di Istanbul menyebabkan Khilafah telah menghantar 2 orang perutusan rasmi. Bangsa Melayu menyimpan harapan yang tinggi bahawa Daulah Khilafah (Khilafah Uthmaniah) akan mampu melindungi mereka dan menyelamatkan mereka dari penjajahan Eropah. Sheikh Wan Ahmad ditugaskan oleh Khalifah untuk ke nusantara bagi meninjau keadaan penjajahan Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu. Seorang daripadanya pergi ke Patani dan singgah di Bangkok merundingkan perkara ini dengan pegawai-pegawai Siam sementara seorang lagi pergi ke Kelantan dan singgah di Singapura merundingkan perkara yang sama dengan Inggris. Rancangan ini tidak berjaya kerana Barat terutama Inggeris begitu kuat mempengaruhi politik orang Melayu dan cubaan itu tidak berhasil. Sheikh Wan Ahmad akhirnya meninggal dunia pada 1908.

Di Terengganu, ketika Peperangan Dunia Pertama meletus,  ulama’ Terengganu berkobar-kobar untuk nyatakan sokongan mereka terhadap Khilafah ketika perang. Keyakinan Melayu bahawa Khilafah akan menang kuatkan semangat Terengganu untuk menolak penasihat British walaupun mereka diugut oleh Pihak British.




Kesimpulan

Dapat kita fahami di sini bahawa Negeri-negeri Melayu sebenarnya meminta bantuan daripada Khilafah Uthmaniah di Istanbul bagi menghadapi penjajahan British. Walaupun Kerajaan Uthmaniah tidak dapat memberikan bantuan kepada Negeri-negeri di Nusantara, hubungan yang wujud di antara Khilafah dan Alam Melayu amat bermakna untuk kita renungi dan fahami. Sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. , “Imam (Khalifah) adalah laksana perisai yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan.”

Wallahua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, August 28, 2012

Mengapa Tarikh Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957?

Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada Pihak British tanggal 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Tanah Melayu adalah berlainan sekali daripada kemerdekaan yang diperolehi oleh Indonesia. Ia disebabkan kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan perundingan Pihak British manakala Indonesia memperolehi kemerdekaannya dengan menyerang dan menghalau habis-habisan Pihak Belanda dari tanah air mereka. Kita perlu tahu bahawa semasa ambang penjajahan British di Tanah Melayu pada awal 1900-an, Sultan-sultan Tanah Melayu ketika itu meminta pertolongan Khilafah Uthmaniah dari Istanbul bagi menghadapi kemaraan British di mana Khalifah Islam ketika itu ialah Sultan Abdul Hameed Khan Kedua. Akan tetapi, Kerajaan Uthmaniah ketika itu amat lemah untuk mempertahankan dirinya sendiri apatah lagi untuk membantu negara-negara Islam yang lain ketika itu.

Dalam sehari dua ini iaitu pada 25 Ogos 2012, kita dikejutkan dengan kematian Neil Armstrong iaitu manusia pertama yang berjaya menjejaki ke bulan pada Julai 1969 di mana usia beliau meninggal ialah pada umur 82 tahun. Ketika itu, Tanah Melayu baru sahaja mengecapi kemerdekaan tahun ke-12 di mana orang melayu masih dihimpit dengan isu kemiskinan yang melarat. Dapat kita lihat perbezaan antara Tanah Melayu dengan Amerika Syarikat ketika itu di mana Amerika Syarikat sudah dapat menghantar manusia ke bulan manakala Tanah Melayu masih dihimpit dengan masalah sosio-ekonomi. Begitulah majunya negara yang bernama Amerika Syarikat. Semasa hari raya baru-baru ini, kita dapat menyaksikan filem tayangan Transformer 1 dan Transformer 2. Bagi saya, filem itu bukannya sekadar hiburan tetapi filem itu adalah untuk menunjukkan kecanggihan dan kemajuan skuadron bala tentera Amerika Syarikat di mana jet-jet pejuang Amerika Syarikat digunakan kononnya untuk membunuh robot-robot yang datang daripada galaksi lain.


Malang sekali bagi kita kerana kita sering bertengkar mengenai perkara-perkara yang kecil yang dari dahulu lagi tidak berkesudahan walaupun sudah 55 tahun merdeka contohnya isu ‘Negara Islam’. Ada yang mengatakan bahawa Malaysia ini sudah Negara Islam dan ada yang mengatakan Malaysia ini bukan negara Islam. Saya sering dimomok dengan istilah ‘Negara Islam’ ini sejak bangku sekolah menengah lagi tetapi isu ini masih tidak ada penghujungnya walaupun saya sudah hampir 5 tahun bekerja. Usah kita merasakan diri kita selalu betul dan bagus daripada orang lain. Hakikatnya, musuh-musuh Islam memandang kita sebagai umat yang satu dan sama sahaja yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang satu. Sekiranya, kita sering bercakaran mengenai perkara-perkara kecil, sampai bila-bila pun kita tidak akan maju walhal negara-negara lain sudah maju ke hadapan.


Baiklah, berbalik kepada tajuk perbincangan kita ‘Mengapakah Tarikh Kemerdekaan 31 Ogos 1957?’ Mungkin kita tidak pernah terfikir mengenai perkara ini walhal kita sering menyambut kemerdekaan setiap tahun. Perkara ini diceritakan oleh Subky Abdul Latif dalam bukunya Anak Apak. Sebenarnya, tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dipilih oleh Mufti Pulau Pinang ketika itu iaitu Sheikh Abdullah Fahim di mana beliau juga merupakan seorang ahli falak dan penyokong kuat UMNO. Beliau juga merupakan datuk kepada Tun Abdullah Badawi iaitu Perdana Menteri Malaysia Kelima.



Menurut Sheikh Abdullah Fahim, beliau memilih 31 Ogos 1957 kerana mengikut kiraan hisabnya semua planet penting di alam ini berada sebaris di angkasa di Tanah Melayu, khususnya di langit tinggi Kuala Lumpur sebaik sahaja masuk tengah malam 31 Ogos 1957. Perkara ini jarang-jarang berlaku dan hanya berlaku dalam masa beberapa minit sahaja. Keadaan itu mengikut firasatnya dapat memberikan kekuatan tenaga. Maka, diharapkan penduduk dan kerajaan Tanah Melayu yang merdeka akan mendapat cukup tenaga bagi membangunkan negara merdeka itu. Oleh sebab itu tarikh ini sebagai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.


Akan tetapi, Ketua Menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman tiba lewat untuk mengisytiharkan kemerdekaan ketika itu di Padang Kelab Selangor disebabkan dengan kesesakan orang ramai. Ini menyebabkan pengisytiharan kemerdekaan tidak serentak dengan kedudukan planet-planet yang berada sebaris di langit ketika itu.


Namun, saya percaya kita tetap mendapat ‘tenaga’ tersebut seperti mana yang disebutkan oleh Sheikh Abdullah Fahim. Ini dapat dilihat contohnya di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohammad di mana Malaysia mengalami pembangunan luar biasa. Dalam tempoh sekitar 30 tahun, beliau berjaya mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian yang agak miskin kepada negara perdagangan ke-17 terbesar dunia dengan 82 peratus jumlah eskportnya yang bernilai lebih USD100 bilion (kira-kira RM300 bilion) adalah barangan keluaran kilang. Infrastruktur Malaysia juga setanding dengan negara maju dan merangkumi lebuh raya kelas pertama serta bekalan elektrik dan air yang mantap. Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir juga diakui oleh Ustaz Azhar Idrus dalam siri ceramahnya di mana beliau menyatakan bukan senang untuk mencari Perdana Menteri seperti Tun Dr. Mahathir. Malaysia kini mengalami pemulihan ekonomi yang lebih meyakinkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menurut Tun Daim Zainuddin. Hanya pembangkang sahaja yang masih menabur janji-janji bulan dan bintang seperti pendidikan percuma, dan yang terbaru pula ialah menawarkan kereta murah untuk rakyat.

Akhir kata, mari kita bersama-sama memaknakan ulang tahun hari kemerdekaan kita ke-55 dengan memberi sumbangan kepada negara dan bukannya hanya tahu mencerca dan memaki-hamun kerajaan yang kononnya tidak demokratik kerana terpengaruh dengan dakyah-dakyah keji parti pembangkang. Tiada kerajaan yang sempurna di dunia ini. Apa yang lebih penting ialah tepuk dada, tanya diri sendiri apakah sumbangan kita terhadap negara yang tercinta ini sejak kita dilahirkan di tanah tumpah ibu pertiwi ini.


Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-55.  Janji Ditepati.

Saturday, August 25, 2012

Bank Negara Memperketatkan Pembiayaan Kepada Orang Ramai


Berita Harian melaporkan bahawa Bank Negara akan mula memperketatkan syarat pembiayaan kepada orang ramai berkuatkuasa 1 Januari 2012 di mana pembiayaan yang diberikan adalah mengambil kira pendapatan bersih seseorang pemohon. Pendapatan bersih ini adalah dikira selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Berjadual (PCB), tanggungan hutang-hutang lain dan kemampuan peminjam membayar balik pinjaman mereka. Berlainan sebelum ini di mana pihak institusi kewangan hanya mengambil kira pendapatan kasar sahaja.

Di samping itu, implikasi atau kesan ke atas pemohon ke atas produk sesuatu pembiayaan akan dimaklumkan oleh pihak institusi kewangan. Ini adalah termasuk jumlah bayaran balik yang perlu diselesaikan oleh peminjam, kadar faedah yang dikenakan sepanjang tempoh pembiayaan, dan kesan kadar faedah ke atas pembiayaan yang diambil. Garis panduan ini akan dikenakan ke atas semua produk pembiayaan seperti pembiayaan rumah, kenderaan, kad kredit, pinjaman peribadi, overdraf dan pembelian saham tertentu.

Bagi pembiayaan kereta pula, tempoh pembiayaan maksimum yang diperkenalkan adalah sehingga 9 tahun di mana ia adalah setara dengan jangka hayat bagi sesebuah kenderaan.

Bank Negara memaklumkan bahawa langkah baru ini diperkenalkan supaya pihak institusi kewangan akan menjadi lebih berhemah, telus dan bertanggungjawab dalam memberikan pembiayaan kepada orang ramai. Sehingga akhir tahun 2011, jumlah hutang isi rumah adalah sebanyak RM74.4 bilion dengan majoriti pembiayaan tersebut adalah untuk membeli kenderaan dan rumah.

Bagi saya, langkah yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan langkah yang baik bagi mengawal hutang isi rumah rakyat Malaysia. Saya dapat perhatikan bahawa ramai orang yang suka membuat pinjaman sehingga had maksimum hanya sekadar untuk membeli kenderaan idaman atau sekadar untuk ‘suka-suka’ sahaja. Semoga langkah yang diperkenalkan oleh BNM boleh mengawal hutang isi rumah rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Idea Trap


Idea trap atau ‘perangkap idea’ adalah perkara yang perlu kita amalkan dalam kehidupan kita seharian. Apa yang dimaksudkan oleh idea trap ini adalah kita perlu menulis idea kita apabila ia ‘menerjah’ fikiran kita secara tiba-tiba. Idea ini mungkin data secara tiba-tiba sama ada kita berada dalam keadaan lapang ataupun sibuk. Sekiranya kita tidak menulis idea ini, kita mungkin akan terlupa ilham kita yang datang secara tiba-tiba itu. Sekiranya dahulu, ramai orang menyediakan nota poket di dalam sakunya supaya dapat menulis ilham yang datang secara tiba-tiba itu. Tetapi sekarang ini, orang ramai boleh menggunakan telefon bimbit mereka atau gadget terkini untuk menulis sesuatu sekiranya dapat idea baru. Ia sebenarnya amat berharga buat kita semua sama ada untuk menyelesaikan masalah kerja, pelajaran dan sebagainya. Sekiranya anda masih belum membuat kaedah ini, mulakannya pada hari ini sekarang.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, August 23, 2012

Hutang Dengan Allah Wajib Dibayar

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan batin diucapkan kepada pembaca-pembaca blog saya sekalian. Tibanya bulan Shawal merupakan tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa di Ramadhan. Tibanya bulan ini, muslim bersama muslim yang lain akan bermaaf-maafan antara satu sama lain terhadap kesilapan yang lalu dan ‘memperbaharui’ semula ukhwah mereka. Begitulah yang berlaku saban tahun.

Islam terdiri daripada 5 rukun utama dan salah satunya ialah berpuasa di bulan Ramadhan. Sekiranya ada hari-hari puasa yang ditinggalkan sama ada secara ada secara sengaja ataupun tidak kita perlulah menqada’kannya atau mengantikannya pada hari lain. Sekiranya kita tidak sempat menggantikan sebelum kedatangan bulan Ramadhan berikutnya, maka fidyah akan dikenakan berserta dengan puasa yang digantikan. Nilai fidyah ini akan berganda sekiranya kita masih belum menggantikan puasa tersebut tahun demi tahun.

Apakah maksud fidyah sebenarnya? Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya. (www.e-zakat.com.my)

Hukum membayar fidyah adalah WAJIB . Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan. (www.e-zakat.com.my)

Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia boleh dibayar secara wang tunai. (www.e-zakat.com.my)

Bak kata Saidina Umar al-Khattab - Hitunglah amalan kamu sebelum dihitungkan pada akhirat kelak. Saya bimbang sekiranya jika seseorang meninggal dunia dia masih belum menqada’ segala puasa-puasanya yang masih belum ditunaikan apatah lagi dengan fidyah yang masih belum dibayar. Saya pernah diceritakan oleh seorang kenalan yang mengatakan bahawa ahli keluarganya meninggal dunia dan masih belum menggantikan puasa-puasanya yang lalu. Apa yang menjadi masalah ialah ahli keluarganya tidak mengetahui berapakah jumlah puasa sebenar yang ditinggalkannya. Semoga ia menjadi pengajaran kepada kita semua.

Sekian, terima kasih.
 


 

Saturday, August 18, 2012

Dilema Wang Simpanan yang Banyak

Kita digalakkan untuk menyimpan wang yang diperolehi hasil daripada pendapatan atau gaji kita. Namun timbul persoalan pula bagaimanakah dengan simpanan kita yang terlalu banyak itu? Jika mengikut perspektif agama, walaupun kita memiliki duit yang banyak sekalipun di dalam bank, ia belum tentu menjadi rezeki kita selagi kita tidak menggunakannya. Apa yang dinamakan rezeki sebenarnya ialah apabila kita menggunakan duit tersebut. Sekiranya ditakdirkan kita mati sekalipun, semua duit kita akan menjadi harta pusaka kita dan ia bukan milik kita lagi. Apa yang menjadi harta kita ialah sedekah yang dikeluarkan atau apa yang kita infakkan. Perkara-perkara ini yang akan menjadi amalan kebajian kita yang tidak terputus sekiranya kita meninggal kelak.

Saya tertarik dengan kata-kata penceramah semasa Program Penghayatan Ramadhan baru-baru ini. Beliau berkata jangan ikut cara beliau. Ini kerana beiau menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang beliau ada sekarang. Ramai rakan-rakan beliau yang membuat pelaburan sana-sini sehinggakan ada seorang rakan beliau yang mempunyai rumah sebanyak 17 buah sahaja di Shah Alam dan ini belum dicampur rumah-rumah di negeri lain walhal anaknya hanya seorang sahaja. Saya terpaku dengan sifat kesederhanaan yang ditunjukkan oleh beliau.

Ada orang terlalu boros sehinggakan menggunakan semua duit pendapatan atau mendapat durian runtuh. Mereka terpengaruh dengan pemikiran bahawa sekiranya mati sekalipun, mereka mungkin tidak sempat ‘menjamah’ duit tersebut. Bagi saya sekiranya menggunakan semua duit pendapatan sekalipun, ia dinamakan membazir kerana berfikiran bahawa seolah-olah tiada hari esok. Bukankah kita ditegah untuk membazir?

Dapat kita tidak perhatikan di sini bahawa kita janganlah menyimpan semua duit kita dan jangan pula membelanjakan semua duit kita. Hanya yang perlu kita lakukan pastikan kedua-duanya seimbang. Belanja sebahagian untuk keperluan dan meyimpan sebahagian untuk hari esok. Kita tidak tahu apa yang terjadi pada diri kita pada hari esok. Jika kita perhatikan Surah Yusuf, secara literalnya al-Quran menunjukkan bahawa kita bahawa kita akan mengalami 7 tahun hidup senang dan 7 tahun hidup susah. Kita perlu menyimpan untuk hidup bagi tempoh 7 tahun menghadapi saat-saat sukar pada masa akan datang.

Memang benar bahawa harta yang kita miliki pada hari ini akan menjadi harta pusaka kita sekiranya kita meninggal dunia kelak. Ini juga menjadi tanggungjawab mereka supaya mereka tidak hidup dalam kesusahan sekiranya kita meninggal kelak sekiranya kita bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga kita. Perkara ini yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana yang dirriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi, "Tinggalkan anak dan isteri kamu dengan kesenangan lebih baik dari tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta".

Apa yang dapat disimpulkan ialah kita perlu pandai berbelanja – bukan menggunakan semua duit pendapatan kita atau menyimpan semua duit pendapatan kita. Sekiranya kita ditimpa penyakit suatu hari nanti sekalipun, duit simpanan kita tidak akan membawa apa-apa makna dalam kehidupan ini. Apa yang lebih penting kita perlu pandai dalam menyusun duit kita. Itu sahaja yang boleh dikatakan.

Sekian, terima kasih.

Masalah Hutang Kad Kredit


Pada kali ini, saya ingin berkongsi cerita mengenai perangkap hutang oleh pengunjung blog saya yang bernama Ali (Bukan nama sebenar). Semoga ia dapat memberi pengajaran kepada kita semua.

Saya ingin menceritakan bagaimana saya boleh terjebak dengan hutang ini.

 i. Mula Terjebak dengan Hutang Bank Islam

Saya didatangi agen kad kredit yg menyatakan kalau kita tidak menggunakan kad tersebut kita tidak perlu bayar. Saya hanya menyimpan sahaja kad tersebut. Sekiranya saya sesak ketika suatu tempoh nanti, saya boleh menggunakannya kelak. Akhirnya, saya mempunyai satu kad kredit yang saya tidak gunakan selama beberapa bulan. Walaupun saya tidak menggunakan kad kredit tersebut, saya juga berasa teruja untuk menggunakan kad tersebut. Melalui katalog yang dipromosikan yang dihantar bersama penyata kewangan kad kredit, saya membeli al-Quran digital sebanyak 4 set dan sebuah laktop kerana laktop lama sudah rosak. Saya juga terpedaya dengan peraduan Reader’s Digest dan membeli barangan melalui kad kredit.

ii. Berjinak Pula dengan Hutang Maybank

Saya langsung tidak memohon kad kredit Maybank tetapi mendapat tawaran tersebut bersama prepaid tol zing. Saya langsung tidak menggunakan kad kredit tersebut selama setahun. Pada suatu ketika, saya diarahkan menghadiri KIK Peringkat Kebangsaan dan duit poket saya hanyalah RM5. Saya juga tidak dapat kupon makanan untuk menikmati hidangan di program tersebut. Saya cuba ke Maybank berhampiran dan cuba keluarkan wang tunai tetapi gagal dan perlu mengambil kata laluan kad tersebut dari Maybank tempat saya bekerja. Sejak hari itu,saya gunakan kad kredit Maybank untuk membeli tepung, gula, beras dan keperluan asas yang lain di pusat membeli belah. Saya cuba keluarkan wang tunai tetapi gagal. Kemudian, saya menghubungi Maybank untuk mengetahui cara mendapatkan tunai. Rupa-rupanya baru saya tahu bahawa digit tersebut perlu ditekan sebiji-sebiji dan tidak boleh memilih butang pilihan RM200/RM300/RM500 dan sebagainya. Saya berasa semakin ghairah apabila dapat membeli-belah di tempat yang tidak menawarkan perkhidmatan kad kredit untuk membeli.

iii. Terperangkap Pula dengan Hutang Citibank
Saya masih tidak mendapat kad kredit Citibank dan tidak mahu menambah hutang walhal saya pernah memohon kad tersebut suatu ketika dahulu di pusat membeli-belah Parkson. Tidak semena-mena pihak bank menghantar bil kad kredit. Kemudian, saya menghubungi pihak bank dan akhirnya mereka menarik balik bil tersebut.

Walhal saya sudah bertekad tidak mahu menambah hutang lagi iaitu dengan menambah hutang dengan pihak Citibank, namun saya akhirnya terperangkap juga dengan hutang ini. Hendak dijadikan cerita, saya membuka akaun sosial Facebook dan dapat bertemu semula dengan rakan-rakan sejak belasan tahun dahulu secara ‘maya’. Bekas rakas sekelas saya menghadapi kewangan kritikal. Kena halau dari rumah sewa, menyorok kereta untuk mengelak daripada ditarik, kena buang kerja, isteri minta cerai dan tiada sumber untuk memberi anak-anak makan. Dia bukanlah sahaat baik saya tetapi hanya kenalan biasa sahaja.

Saya bersimpati dengannnya dan memberi pertolongan seboleh mungkin sehingga sampai satu peringkat saya terpaksa menjual suratkhabar untuk mengisi minyak. Saya bawa bekal ke pejabat dan tidur di surau sahaja apabila menjelang tengah hari. Kedua-dua kad kredit iaitu Bank Islam dan Maybank telah mencapai had maksimum. Apa yang lebih memeningkan kepala saya ialah apabila terpaksa ke luar kawasan sebagai wakil jabatan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat tertentu. Itu belum ditambah lagi dengan belanja makan pemandu saya apabila ke luar kawasan.

Akhirnya saya terpaksa ‘mengalah’ kepada diri saya sendiri untuk membuat hutang lagi dengan menghubungi pihak Citibank supaya menghantar kad kredit dengan SEGERA. Sekarang kad kredit Citibank saya sudah mencapai tahap maksimum. Sekarang, diri saya masih dibelenggu dengan hutang kad kredit. Apabila saya menulis mengenai masalah kewangan di laman sosial Facebook mengenai panggilan daripada pihak pembekal kad kredit iaitu bank yang menuntut hutang tertunggak, tiada seorang pun yang membeli maklum balas terhadap status tersebut walhal mereka pernah melayan dengan baik terhadap saya suatu ketika dahulu di laman sosial tersebut. Saya ibarat keseorangan sekarang.

Urutan Bagaimana Ali Boleh Terjebak dengan Hutang

Kata-kata Nabi Muhammad SAW riwayat at-Tabrani iaitu, “Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu menimbulkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di waktu siang.” Jika kita membaca hadis ini, ia memang tetap relevan dengan kehidupan kita dunia moden pada hari ini walhal ia telah disebut 1,400 tahun lalu oleh Nabi junjungan kita. Ada yang mengatakan hutang itu ibarat kencing manis, jika terluka sedikit habis terus merebak.

Contoh cerita di atas adalah realiti yang berlaku pada hari ini seperti yang diceritakan oleh pengunjung blog saya. Bermula dengan hutang kad kredit Bank Islam, Maybank dan akhirnya dengan Citibank. Di sini, terdapat tiga hutang yang perlu diselesaikan. Secara mudahnya, kadar faedah kad kredit merupakan kadar faedah yang paling tinggi bagi pihak bank kerana kadar faedahnya ialah 1.5% sebulan atau 18% setahun ke atas baki kini semasa. Pihak bank mengaut keuntungan laba yang besar melalui pinjaman kad kredit dan ia merupakan killer product meraih keuntungan yang besar saban tahun.

Jika kita melihat pada awalnya, beliau tidak berniat langsung untuk membuat hutang kad kredit dengan Bank Islam dan sekadar sebagai kecemasan jika keadaan terdesak. Akan tetapi, beliau akhirnya terperangkap dengan promosi yang ditawarkan. Perlukah kita membuat kad kredit sebagai langkah kecemasan? Jawapannya adalah tidak perlu. Apa yang boleh kita lakukan ialah memperuntukkan sebahagian kecil pendapatan kita untuk tujuan kontigensi atau kecemasan. Peruntukkan RM100 – RM300 sebulan dari pendapatan kita untuk kecemasan. Sekiranya kita tidak menggunakan bulan tersebut, kita perlu menyimpannya sekiranya ada waktu lain berlaku kecemasan. Simpanan ini akan bertambah dari semasa ke semasa selagi kita tidak menggunakan duit tersebut. Ingat, duit kecemasan tidak boleh diusik dan ia bukanlah duit simpanan atau duit pelaburan.

Ramai orang sebenarnya yang saya pernah berjumpa bahawa pada mulanya mereka berhajat untuk menggunakan kad kredit untuk waktu kecemasan sahaja atau untuk membeli minyak petrol sahaja. Akan tetapi, lain cerita pula yang terjadi kerana mereka menggunakan kad kredit tersebut sehingga tahap maksimum dengan membeli perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Keadaan menjadi bertambah buruk lagi apabila beliau menggunakan kad kredit Maybank untuk membeli keperluan asas. Apa yang lebih buruk lagi ialah beliau menggunakan wang tunai dari kad kredit untuk membeli-belah. Anda harus ingat bahawa kadar caj yang tinggi dikenakan sekali kita mengeluarkan wang tunai menggunakan kad kredit. Contohnya, kita dikenakan caj RM50 apabila mengeluarkan wang tunai sebanyak RM1,000 atau 5 peratus bagi setiap pengeluaran dibuat.

Usahlah kita menolong diri orang jika diri sendiri masih belum ditolong. Jika kita memberi hutang kepada orang orang lain, kita ibarat telah menyalakan api permusuhan kerana kita mengambil risiko sendiri sekiranya hutang yang diberikan kepada orang lain tidak berbayar. Anda seharusnya tidak memberi pertolongan kepada orang lain sehinggakan ia mencekik tekuk diri anda di mana anda terpaksa menjual surat khabar untuk mengisi minyak petrol. Saya fikir anda ini memang seorang rakan yang sejati tetapi menolong janganlah sehingga menggugat kebahagiaan diri kita sendiri.

Akhirnya, beliau terperangkap dengan tiga hutang kad kredit – Bank Islam, Maybank dan Citibank – di mana ketiga-tiga kad kredit ini telah mencapai tahap maksimum. Kita tidak perlu bimbang. Sekiranya rumah yang besar telah runtuh sekalipun, kita boleh membinanya semula walaupun tidak seperti dahulu kerana itulah kelebihan yang diberikan oleh Tuhan kepada hambaNya iaitu berfikir untuk menyelesaikan masalah yang timbul di sekeliling kita.

Selesaikan Hutang Kad Kredit Sekarang

Hutang tetap hutang. Kita tidak boleh mengelak daripada masalah. Sekiranya kita cuba mengelak jua, masalah akan datang juga. Ini dapat diperhatikan apabila pihak Bank Islam sering menghubungi beliau bagi menuntut hutang kad kredit. Oleh itu, cuba selesaikan masalah hutang kad kredit tersebut. Sekiranya kita terus membiarkan hutang kad kredit tersebut, cajnya akan terus naik dari bulan ke bulan. Antara langkah-langkah yang boleh
dibuat ialah :

i. Membuat Hutang Peribadi atau Personal Loan

Membuat Hutang Peribadi atau Personal Loan adalah langkah paling mudah dan cepat bagi menyelesaikan masalah kad kredit. Mungkin kadar faedah pinjaman peribadi adalah sebanyak 4.99 peratus setahun berbanding hutang kad kredit iaitu sebanyak 18 peratus setahun ke atas baki kini. Cara ini paling mudah dan cepat. Buat sahaja pinjaman peribadi kemudian selesaikan semua hutang-hutang lama. Tetapi keburukan kaedah ini ialah adakah kita betul-betul menggunakan wang pinjaman peribadi setelah memperolehi wang tunai tersebut contohnya mendapat RM40,000 dalam sesuatu masa? Saya bimbang sekiranya kita menggunakan wang tersebut untuk membeli perkara-perkara yang sepatutnya. Akibatnya, lubang hutang kita semakin bertambah dan membuatkan kita semakin tertekan. Kaedah juga tidak melatih diri kita untuk mengawal hutang kita seolah minda kita menjadi ‘Hutang Sahaja yang Dapat Selesaikan Hutang.’ Sebenarnya, ilmu sahaja yang dapat selesaikan masalah hutang dan bukannya hutang yang boleh menyelesaikan hutang. Sekiranya kita masih menggali lubang, berhentilah menggali lubang sekarang.

 ii. Membuat Pemindahan Baki Kad Kredit

 Membuat pemindahan baki kad kredit ialah salah satu cara untuk menyelesaikan masalah hutang kad kredit. Pemindahan baki kad kredit atau dikenali sebagai balance transfer bermaksud kita satukan hutang-hutang kad kredit kita contohnya kita mempunyai 3 hutang kad kredit dan kita satukan hutang ini menjadi satu sahaja. Banyak bank yang menawarkan kemudahan ini di mana kadar faedah kad kredit adalah sehingga 0 peratus selama 12 bulan dengan ansuran bulanan yang tetap.

Tawaran ini sebenarnya bersyarat di mana kita perlu membayar ansuran tetap selama 12 bulan berturut-turut tanpa gagal. Sekiranya gagal dalam tempoh tersebut maka kadar faedah sebanyak 18 peratus setahun seperti biasa akan dikenakan dan tawaran yang diberikan ditarik balik sekiranya gagal. Tawaran ini adalah menarik dan memerlukan disiplin yang tinggi. Apa yang boleh buat ialah kita ambil sahaja gunting dan potong semua kad kredit kita miliki supaya kita tidak menggunakannya lagi. Ini dibimbangi kita menggunakan kad kredit lama di mana baki lamanya sudah dipindahkan ke akaun kad kredit bank lain.

Akan tetapi, pihak bank sudah tentu sentiasa mencari peluang untuk membuat keuntungan daripada pelanggan-pelanggan mereka. Terdapat tipu muslihat daripada pihak bank sebenarnya apabila membuat pindahan baki kad kredit. Ini adalah dengan kad kredit baru, kita akan dibekalkan dengan had kredit yang lebih tinggi. Dibimbangi kita akan menggunakan semula had kredit baru yang diberikan untuk membeli-belah. Pendek kata, bakar sahaja atau buang sahaja dengan kad kredit yang ada dalam dompet kita. Kita perlu bersifat ‘kasar’ atau ‘keras’ ke atas kewangan kita supaya ia memberi pulangan yang baik kepada kita.

 iii. Bayar Sahaja Ikut Jadual

 Ya, bayar sahaja hutang-hutang kad kredit mengikut jadual walapun dengan bayaran minimum. Sebenarnya cara ini merupakan cara paling lambat dan melatih disiplin diri kita dalam mengawal hutang. Apa yang lebih penting, kita jangan gunakan kad kredit lagi mulai sekarang. Kenal pasti jumlah baki hutang yang tinggal bagi ketiga-tiga kredit tersebut dan bayar secara konsisten setiap bulan walapun dengan bayaran minimum sekiranya kita tidak mampu. Gunakan kenaikan gaji tahunan atapun durian runtuh bagi menyelesaikan hutang-hutang kad kredit. Di dunia ini, setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Begitulah dengan hutang kad kredit, ia boleh dihabiskan sekiranya kita tekun dan berdisiplin dengan membayarnya setiap bulan.

 iv. Kejar Pekerjaan Kedua

 Kita juga boleh mencari pekerjaan kedua untuk membayar hutang-hutang kad kredit kita sekiranya kita inginkan sedemikian. Akan tetapi, adakah kita sanggup membuat pekerjaan kedua? Dibimbangi kita tidak akan dapat untuk memberi perhatian ke atas pekerjaan utama kita sekiranya kita mengejar pekerjaan kedua. Apa yang lebih baik ialah kita memotong atau cut cost perbelanjaan yang tidak perlu dalam perbelanjaan bulanan kita. Gunakan lebihan tersebut untuk membayar hutang-hutang kad kredit.

 v. Membuat Semakan Secara Berkala

 Membuat semakan secara berkala adalah penting bagi kita untuk mengetahui status hutang-hutang kad kredit kita. Pastikan ia tidak digunakan lagi supaya hutangnya tidak bertambah lagi. Apa yang perlu kita buat ialah kita memeriksa baki hutang kita secara berkala contohnya setiap 6 bulan. Ini adalah penting supaya kita mengawasi hutang-hutang kita untuk melihat sama ada ada pemulihan atau sebaliknya. Jika ada kekurangan, kita boleh memperbetulkan perbelanjaan kita semula. Contohnya, jika bayaran 1 kad kredit RM200 sebulan, maka 3 kad kredit akan dibayar sebanyak RM600 sebulan dan dalam masa 6 bulan, kita sudah membayar sebanyak RM3,600 hutang-hutang kad kredit. Periksa semula berapa lagi jumlah baki hutang kad kredit yang tinggal dan pastikan kita mengurangkan hutang-hutang tersebut dari semasa ke semasa. Cara merawat penyakit ialah mengenal pasti punca-punca berlakunya punca penyakit tersebut. Punca penyakit kad kredit ialah kita gagal mengawal diri kita dalam membeli-belah. Oleh itu, buang atau potong sahaja kad kredit tersebut supaya kita tidak menggunakannya lagi supaya hutang tersebut tidak lagi berjangkit.

 vi. Keseimbangan Rohani

Ini adalah pendekatan secara rohani ataupun keagamaan. Apa yang boleh buat ialah kita sentiasa menunaikan solat hajat supaya Dia dapat memberi petunjuk bagi menyelesaikan hutang-hutang kita. Sekiranya kita berniat baik untuk membuat sesuatu, Insya-Allah Dia akan mempermudahkan urusan kita.

Saya juga mempunyai rakan yang dikelilingi hutang sekeliling pinggang. Beliau menceritakan bahawa beliau menunaikan solat hajat secara bersungguh-sungguh ketika itu. Akhirnya, isterinya memperolehi pekerjaan yang mempunyai pendapatan yang lebih baik dan beliau berasa lega kerana sedikit-sebanyak dapat menyelesaikan hutang-hutangnya.

Kita juga jangan meninggalkan Solat Dhuha kerana solat ini adalah solat kunci rezeki. Saya mempunyai seorang rakan yang beliau menceritakan emak saudaranya tidak pernah putus rezeki walaupun sudah lama bersara. Ini adalah kerana berkat mengamalkan Solat Dhuha setiap hari. Mudah-mudahan kita dikurniakan dengan kemurahan rezeki dengan mengamalkan solat ini setiap hari untuk menyelesaikan masalah hutang-hutang kita.

Kesimpulan

Kita jangan pula ingin lari dari masalah hutang kad kredit. Pihak-pihak bank akan mencari kita hatta sehingga lubang cacing sekalipun. Ada orang yang ingin melarikan diri daripada ‘diburu’ pihak bank apabila tidak membayar kad kredit. Akan tetapi, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila pihak bank datang ke pejabatnya dan akhirnya pinjaman kad kredit tersebut dijadikan pinjaman long term dan perlu dibayar secara ansuran setiap bulan. Oleh itu, cuba selesaikan masalah hutang kad kredit hari ini.

Hutang-hutang ini sebenarnya memerlukan disiplin tinggi untuk diselesaikan. Mungkin 2 – 3 tahun ataupun lebih bergantung kepada diri kita sendiri. Apa yang lebih penting ialah kurangkan hutang kita dari semasa ke semasa. Jangan biarkan diri kita ini hamba kepada hutang selagi kita tidak melawan atau mencegahnya. Insya-Allah jiwa akan tenang sepanjang masa.

 Sekian, terima kasih.