Pengurusan kewangan merupakan sesuatu perkara yang fleksibel. Ianya bergantung kepada kreativiti kita sendiri sama ada ingin menambah simpanan, menyelesaikan hutang, membuat pelaburan dan sebagainya. Syarat yang penting sekali dalam pengurusan kewangan kita ialah disiplin kewangan kita. Tanpa disiplin kewangan – Pengurusan kewangan kita akan menjadi carca-marba walaupun gaji kita mencecah RM5,000 sebulan kerana kesilapan diri sendiri yang tidak pandai untuk menguruskan wang.
Dalam pengurusan kewangan kita tidak dapat lari daripada elemen hutang – Suatu perkara yang menyeronokkan kita pada mulanya dan membuatkan kita tertekan di kemudian hari. Mungkin terdesak untuk mendapatkan sesuatu pada mulanya kemudian habis duit pendapatan bulanan terobek dek kerana membayar hutang pada setiap bulan. Sedar tak sedar had potongan gaji yang dibenarkan hanyalah RM45.60 kerana hutang sudah banyak dibuat tanpa disedari. Ah, diri makin tertekan!!!
Soalan cepu emas kepada saya. Adakah wajar 3 lubang hutang dijadikan 1 lubang hutang? Hutang peribadi ada 1, hutang PTPTN ada 1, dan hutang kad kredit yang mencapai had maksimum ada 1. Buat sahaja pinjaman peribadi satu lagi kemudian kambus semua 3 lubang hutang sebelum ini mejadi 1. Nampak macam beres sahaja. Akan tetapi, adakah kita wajar bertindak sedemikian?
Jawapan saya mudah sahaja – Tidak wajar untuk membuat 3 lubang hutang menjadi 1 lubang hutang. Mengapa? Ini adalah kerana ia tidak mendidik, mengasuh, dan mengajar diri kita supaya tidak berhutang lagi. Mungkin anda nampak mudah sahaja 3 lubang hutang jadi 1 lubang hutang. Jika anda fikirkan, adakah anda tidak akan membuat hutang lagi setelah menjaya ‘mengambus’ 3 lubang tersebut dengan hutang? Saya fikir ia tidak akan kekal lama. Setelah anda berasa ada 1 lubang hutang sahaja, anda akan berasa ‘gian’ hendak membuat hutang lain lagi.
Oleh itu, jalan penyelesaian yang baik bagi menyelesaikan hutang ialah bayar sahaja mengikut jadual. Jika ada kenaikan gaji, buat semula penjadualan bayar balik hutang anda supaya ia dipercepatkan.
Langkah seterusnya ialah menggunakan durian runtuh untuk membayar hutang-hutang anda. Durian runtuh ini boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk – Salah satunya durian runtuh buat pekerja makan gaji ialah bonus tahunan. Ada yang dapat 3 bulan, 5 bulan, hatta 12 bulan bonus tahunan pun ada. Bergantung kepada organisasi masing-masing. Peruntukkan sebahagian durian runtuh ini untuk membayar hutang-hutang anda.
Kunci utama yang ingin saya tekan di sini ialah hutang tidak dapat menyelesaikan masalah hutang. Hutang dapat diselesaikan melalui keazaman kita dengan menggunakan duit sumber dalaman yakni pendapatan kita sendiri untuk menyelesaikan hutang. Jika anda fikir hutang boleh menyelesaikan hutang ibarat anda berfikir jadam yang menyembuhkan penyakit dan bukannya madu boleh menyembuhkan penyakit. Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment