Wednesday, January 30, 2013

Isu Gambar Utusan Melayu “Pelajaran Percuma Menjelang 1982” : Janji Untuk Pelajaran Percuma Universiti, Sekolah-sekolah atau untuk Semua Peringkat Pelajaran?

Keratan Akhbar Utusan Melayu

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Saya terdetik untuk menulis pada kali ini berikutan isu gambar surat khabar Utusan Melayu dalam tulisan jawi yang tajuk besarnya bertulis “Pelajaran Percuma Menjelang 1982”. Saya sempat melayari laman-laman internet mengenai isu ini dan dikatakan gambar ini dipetik daripada akaun laman sosial pihak pembangkang.

Jika kita tengok sekali imbas pada kali ini kita akan melihat gambar Dr. Mahathir dan terpampang tajuk besar di atasnya “Pelajaran Percuma Menjelang 1982”. Jika ditengok sekali imbas kita mungkin terfikir bahawa Kerajaan sudah berjanji untuk memberikan pendidikan percuma sejak 1982 lagi. Ini bermakna Kerajaan sudah 30 tahun tidak menunaikan janjinya sejak dahulu lagi kerana di universiti-universiti sekarang mereka dikenakan yuran untuk belajar.

Mana-mana pemimpin politik yang ingin memegang tampuk pemerintahan Kerajaan mestilah melalui menjadi Menteri Pendidikan iaitu Kementerian yang paling memeningkan kepala di dalam kabinet selain Menteri Kewangan. Saya pernah terbaca bahawa jika seseorang itu menjadi Menteri Pelajaran atau Pendidikan, beliau ibarat memakai tengkolok berduri di atas kepalanya. Pendek kata, Kementerian ini merupakan kementerian memeningkan kepala dalam Kabinet sehinggakan ada Menteri di Kementerian ini dipindahkan ke Kementerian lain disebabkan banyak masalah apabila menerajui Kementerian ini.

Apa yang memusykilkan saya adalah Menteri Pelajaran ketika itu Dr. Mahathir Mohammad yang kini adalah bekas Perdana Menteri Malaysia Keempat. Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian yang miskin menjadi sebuah negara perindustrian dan perdagangan ke-17 terbesar dunia. Mana mungkin seorang Perdana Menteri yang boleh mengubah wajah sebuah negara yang miskin sebegitu rupa boleh menabur janji-janji palsu semasa Menteri Pelajaran?

Baiklah, sekali imbas kita dapat melihat tajuk besarnya berbunyi “Pelajaran Percuma Menjelang 1982”. Sekiranya kita perhalusi akhbar berikut kita dapat melihat bahawa:

i.   Terdapat perkataan yang ditulis di atas tajuk tersebut yang berbunyi “Bila Dasar Pelajaran Kebangsaan Pelajaran Dilaksana Sepenuhnya”. Sudah tentu apabila Dasar Pelajaran Kebangsaan, ia adalah merujuk kepada Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dan tidak merujuk kepada Institut Pengajian Awam (IPTA) atau Universiti-universiti awam.

ii.  Pada perenggan pertama, ia berbunyi “Semua murid-murid sekolah dikecualikan dari membayar yuran sekolah tahun 1982 berikutan dengan dilaksana sepenuhnya dasar pelajaran kebangsaaan, kata Menteri Pelajaran...”

Dapat dilihat di sini bahawa keratan akhbar ini adalah merujuk kepada pendidikan percuma untuk Sekolah-sekolah dan bukannya Universiti-universiti awam. Anda mungkin mengatakan bahawa yuran-yuran juga akan dikenakan di Sekolah Rendah ataupun Sekolah Menengah. Akan tetapi, kita harus faham bahawa pendidikan percuma bukanlah bermaksud semua pelajaran adalah percuma tetapi ia adalah merujuk kepada yuran peperiksaan percuma, buku teks percuma untuk yang layak dan sebagainya di mana yuran lain masih dikenakan seperti PIBG dan sebagainya. Ambil sahaja contoh perbandingan yang mudah, yuran sekolah rendah swasta adalah sebanyak RM3,000 setahun manakala sekolah menengah swasta adalah sebanyak RM6,700 setahun berbanding sekolah kerajaan dengan RM50 setahun.

Pendek kata, pihak pembangkang pandai mengapi-apikan sesuatu isu bagi meraih sokongan murahan rakyat. Akan tetapi, rakyat bijak berfikir untuk menilai sesuatu.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, January 29, 2013

Wan Kamarul di dalam Majalah Malaysian Business

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Temui saya di dalam majalah Malaysian Business edisi 16-31 Disember 2012. Saya berkongsi pengalaman mengenai pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan pengurusan kewangan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada penulis Malaysian Business iaitu Saudari Lim Wey Wen.

Sekian, terima kasih.

Saturday, January 19, 2013

Gelombang Kuasa Ekonomi Ketiga : Wakaf, Zakat, Sedekah dan Faraid.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
Baru-baru ini saya telah ke Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bagi menjayakan pelaksanaan wakaf di organisasi saya bekerja. Banyak juga perkara-perkara yang dibincangkan dari segi praktikal dan teknikal untuk membangunkan institusi wakaf di organisasi saya. Kita perlu mengangkat martabat ekonomi umat Islam melalui instrument-instrumen yang telah digariskan oleh Islam bukannya mengadakan demonstrasi jalanan atau memekak di stadium. Pada 12 Januari 2012 yang lalu ‘Hari Kebangkitan Rakyat’ telah diadakan sebagai tempat meluahkan perasaan kepada pemerintah. Malangnya, ianya dihadiri oleh 500,000 orang sahaja iaitu mewakili 1.77 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia seramai 28.3 juta orang. Ia tidak mencerminkan keadaan sebenar penentangan rakyat terhadap Kerajaan cuma ia sekadar untuk ‘syok-syok sahaja’ jika dilihat dari peratusan angka yang hadir.


Penulis di Pejabat  Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
Sebenarnya Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) ditubuhkan hasil daripada cetusan idea Tuanku Sultan Selangor dan bukannya mana-mana pemimpin politik atau NGO. PWS pula merupakan ‘anak syarikat’ Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). MAIS sebenarnya ditubuhkan pada 1952 lagi di mana Tanah Melayu masih belum merdeka. Sebelum itu, umat Islam yang ingin mewakafkan hartanya akan memaklumkan kepada orang yang boleh dipercayai di kampung mereka seperti Tok Imam, Ketua Kampung dan sebagainya contohnya ingin mewakafkan tanahnya untuk dijadikan Surau. Namun begitu, ia akan menimbulkan masalah di kemudian hari apabila waris pewakaf ingin menuntut haknya kerana pada masa itu tiada lagi badan-badan atau majlis yang menguruskan harta wakaf secara rasmi kerana tiada dokumen-dokumen bertulis. Apabila diselesaikan di mahkamah didapati bahawa waris yang ingin menuntut semula harta mereka akan ‘kalah’ di mahkamah. Sedarlah Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian apabila kita mewakafkan harta kita, secara automatiknya harta kita itu menjadi milik Allah s.w.t. dan janganlah sesekali kita ingin menuntut semula harta tersebut.

Sehingga sekarang hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai Perbadanan yang menguruskan wakaf secara khusus. Namun begitu, Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan memang wujud tetapi tiada kakitangan yang diletakkan di perbadanan tersebut bagi menguruskan perbadanan wakaf tersebut. Di Pahang pula, majlis agama memang mempunyai Unit Wakafnya sendiri tetapi ia hanya diuruskan oleh 3 orang kakitangan sahaja yang berstatus kerani. Ini sudah tentu tidak berkesan sepertimana PWS kerana bagaimana 3 orang ini boleh menguruskan wakaf di Negeri Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Apa yang lebih menarik lagi ada penduduk di negeri-negeri lain seperti Perak yang telah mewakafkan tanah mereka kepada PWS kerana mereka percaya bahawa tanah yang mereka wakafkan akan diusahakan dan tidak terbiar begitu sahaja setelah diwakafkan. Ini merupakan usaha yang baik kerana selagi mana tanah tersebut digunakan, selama itu pahala si pewakaf akan berjalan.
Ada ahli mesyuarat yang membangkitkan bahawa instrumen ekonomi Islam seperti wakaf, zakat, sedekah dan faraid akan menjadi gelombang kuasa ketiga pada era ini bagi meingkatkan taraf ekonomi umat Islam. Ini adalah benar juga kerana sistem komunis telah runtuh sejak runtuhnya Kerajaan Kesatuan Soviet pada tahun 1990 manakala sistem kapitalis sudah mula menunjukkan tanda-tanda kejatuhannya sejak tahun 2008 lagi.
Saya tidak akan memperincikan wakaf,zakat dan sedekah pada kali ini kerana saya telah banyak kali menulis perkara ini dalam artikel sebelum ini. Apa yang saya ingin tumpukan pada kali ini ialah faraid yang merupakan salah satu instrumen ekonomi Islam. Statistik tidak rasmi menunjukkan bahawa harta umat Islam di Malaysia yang dibekukan berjumlah RM40 bilion sehingga tahun 2007 dan sudah tentu ia merugikan orang Islam itu sendiri kerana harta tersebut dibiarkan begitu sahaja. Daripada jumlah itu, sebanyak 38 bilion harta pusaka dalam bentuk hartanah, RM 1.5 bilion berupa wang tunai, dan RM 70 juta daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Terbaru, statistik pada tahun 2010 juga menunjukkan anggaran jumlah 40 bilion harta milik lebih 500,000 waris dari kalangan umat Islam masih belum dapat dicairkan (Rujuk www.myjurnal.my).
Perkataan ‘faraid’ dari segi bahasa bermaksud menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Manakala menurut istilah syarak ialah faraid bermaksud pembahagian harta seseorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli-ahli warisnya iaitu anak, isteri / suami, ibu bapa dan lain-lain menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dan lain-lain) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 jumlah harta).  Bentuk harta yang boleh dibahagikan ialah tanah, banguna atau rumah, barang-barang kemas, insurans dan wang tunai, dan binatang ternakan. (Rujuk buku Bijak Mengurus Wang, Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir).
Namun begitu, keadaan pengurusan harta pusaka di Malaysia masih lemah. Ini adalah kerana tiada orang yang menggerakkan proses pentadbiran harta pusaka. Sepatutnya perlu ada seseorang daripada kalangan waris ataupun syarikat pemegang amanah yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka tersebut. Akan tetapi, realitinya waris-waris si mati hanya membiarkan sahaja harta tersebut kerana ‘segan’ bertanyakan harta yang menjadi hak milik bersama. Akhirnya, harta-harta umat Islam hanya terkumpul dan terbiar begitu sahaja sehingga harta tersebut berjumlah RM40 bilion.
Sesungguhnya apa yang diperkenalkan oleh Islam itu amat indah sekali. Namun begitu, tiada jentera yang betul-betul menggerakkan instrumen-instrumen ekonomi Islam ini secara menyeluruh sehingga sekarang. Sekiranya ia betul-betul digembling bersama sudah tentu umat Islam di Malaysia telah menguasai ekonomi Malaysia sejak dahulu lagi. Mudah-mudahan.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, January 14, 2013

Hakikatnya PAS dan PKR Masih Memerlukan Sokongan Kerusi UMNO di Dewan Rakyat




Kedudukan Kerusi Dewan Rakyat Melayu dan Bukan Melayu Selepas PRU  Ke-11

Kedudukan Kerusi Dewan Rakyat Melayu dan Bukan Melayu Selepas PRU Ke-12
 
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya teruja untuk menulis pada kali ini apabila melihat cartai pai yang tertera di atas di dalam laman sosial Facebook. Pihak Kerajaan mengatakan bahawa kuasa melayu akan terhakis apabila Pakatan Rakyat menguasai Dewan Rakyat menjelang PRU ke-13 nanti. Namun begitu, pihak Pakatan Rakyat menjawab bahawa orang Melayu tetap menguasai parlimen walaupun Pakatan Rakyat menang pilihan raya nanti. 
 
Memang benar, sekali imbas kita dapat melihat orang Melayu tetap menguasai parlimen apabila Pakatan Rakyat menang dan terdapat peningkatan kerusi orang Melayu selepas PRU ke-12 daripada kerusi PAS dan PKR sekaligus menambah peratus bilangan kerusi orang melayu di dalam parlimen. Akan tetapi, sekiranya diperhalusi cartai pai di atas, sebenarnya Parti PAS dan PKR masih mengharapkan kerusi daripada UMNO untuk memastikan orang Melayu terus menguasai parlimen. Apa yang melucukan saya bagaimana orang Melayu dalam Parti PAS dan PKR masih menentang UMNO tapi dalam masa yang sama masih mengharapkan ihsan kerusi UMNO untuk memastikan kelangsungan kerusi orang Melayu terus menjadi dominan dalam Parlimen.
 
Baiklah, sekiranya kita melihat bilangan kerusi Dewan Rakyat parti-parti politik secara tunggal di dalam Dewan Rakyat dapat dilihat bahawa Parti UMNO paling dominan dalam dewan tersebut sama selepas PRU Ke-11 dan PRU Ke-12 dengan masing-masing kerusi ialah 108 dan 77 kerusi Parlimen di dalam Dewan Rakyat. Manakala PAS dan PKR tidak boleh menjadi dominan sekiranya berdiri secara tunggal. Ini sudah tentu menyedihkan.
 
Sekiranya kerusi PKR dan PAS sahaja diambil kira dalam Parlimen tanpa mengambil kira kerusi UMNO , maka jumlah kerusi kedua-dua parti ini selepas PRU Ke-11 ialah 8 kerusi dengan 3.65 peratus dan selepas PRU Ke-12 ialah 43 kerusi dengan 19.72 peratus. Berbanding dengan UMNO selepas PRU Ke-11 ialah 108 kerusi dengan 49.32 peratus dan selepas PRU Ke-12 ialah 35.32 peratus. Walaupun peratus kerusi UMNO merudum, ia tetap dominan berbanding gabungan kerusi Parti PAS-PKR sepanjang 2 pasca-PRU berturut-turut.
 
Ini menunjukkan bahawa Parti PAS-PKR tidak dapat menunjukkan bahawa orang Melayu menguasai parlimen tanpa 'pertolongan' kerusi UMNO. Walaupun UMNO masih memegang kerusi 35.32 peratus di dalam Parlimen berbanding PAS-PKR iaitu dengan 19.72 peratus, UMNO masih lagi memegang tampuk Kerajaan berbanding dengan PAS-PKR yang berada dalam barisan pembangkang dan dalam masa yang sama mengharapkan 'pertolongan' UMNO untuk menunjukkan bahawa Parlimen masih dikuasai oleh orang Melayu. Bak kata Tun Dr. Mahathir, "Tepuk dulang paku sepih, katakan orang awak yang lebih."
 
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 13, 2013

Akta Zakat dan Akta Wakaf Perlu Diperkenalkan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Sebelum ini, saya telah menyebut bahawa sekiranya saya menjadi Menteri Pendidikan, saya akan mewajibkan semua sekolah mempelajari Bahasa Cina kerana bangsa Cina menguasai ekonomi Negara ini supaya kita sebagai orang Melayu tidak akan mudah ditipu sama ada dalam perniagaan ataupun jual beli. Pada kali ini saya ingin menyebut bahawa sekiranya saya menjadi Menteri Kewangan (Jawatan ketiga paling berkuasa dalam Malaysia), saya akan memperkenalkan Akta Zakat dan Akta Wakaf untuk memperkasakan ekonomi orang Islam khususnya orang-orang Melayu. Ini adalah kerana ekonomi orang Melayu masih ditahap lemah walaupun setelah 56 tahun Tanah Melayu sudah merdeka apatah lagi orang-orang Melayu kurang berminat untuk terlibat dalam bidang perniagaan.
 
Kita masih belum mendengar seseorang didakwa kerana tidak membayar zakat di Malaysia pada hari ini. Sedangkan sekiranya kita melihat kisah sahabat Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, beliau mengisytiharkan perang yang dikenali sebagai peperangan Riddah iaitu peperangan ke atas 3 golongan iaitu golongan yang mengaku nabi palsu, golongan murtad dan golongan yang tidak mahu membayar zakat. Golongan yang tidak mahu membayar zakat ini adalah dipelopori oleh Malek bin Nuwairah dan golongan ini muncul di Yaman, Yamamah dan Oman. Peperangan ke atas golongan yang tidak membayar zakat ini merupakan perkara yang dipandang berat sejak zaman Sahabat lagi dahulu lagi bahkan ia merupakan salah satu rukun Islam.
 
Malangnya pada hari ini Akta Zakat tidak diperkenalkan lagi bagi mengambil tindakan terhadap orang Islam yang tidak membayar zakat. Di Malaysia, Akta Cukai Pendapatan 1967 diperkenalkan untuk mengutip cukai daripada orang ramai bagi menanggung perbelanjaan negara. Sekiranya seseorang itu tidak membayar zakat pendapatan, seseorang itu boleh didakwa dan dipenjarakan. Sekiranya Akta Zakat ini diperkenalkan, sudah tentu ia dapat mengutip lebih banyak hasil daripada orang ramai untuk digunakan khusus untuk membantu orang fakir dan miskin.
 
Saya masih mengingati lagi sewaktu belajar dahulu, pensyarah saya mengatakan bahawa, “Sekiranya zakat belum dibahagikan secara adil selagi itu akan adanya rancangan Bersamamu.” Apa yang hendak dimaksudkan di sini ialah zakat itu masih belum diagih secara adil kepada orang fakir dan miskin. Pernah saya mendengar ceramah di masjid mengatakan bahawa apa gunanya ingin memberi zakat kepada orang bukan Islam sedangkan orang Islam masih ramai yang belum menerima zakat seadilnya. Ini menunjukkan bahawa dana zakat masih belum diagihkan secara sempurna di kalangan fakir dan miskin di negara ini.
 
Begitu juga dengan wakaf di mana Akta Wakaf ini juga perlu diperkenalkan. Di Singapura, orang-orang Islam di sana diwajibkan untuk memberi sumbangan dalam bentuk wakaf tunai mengikut tangga gaji masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah kita melihat banyak bangunan-bangunan milik orang Islam di Singapura dibangunkan atas hasil daripada wakaf. Pusat Wakaf di Singapura merupakan contoh pengurusan wakaf yang terbaik di Asia Tenggara. Hasil kutipan cukai melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sepanjang tahun 2012 adalah berjumlah RM124.69 bilion yang melepasi sasaran iaitu sebanyak RM109.09 bilion. Bayangkan Akta Wakaf dan Akta Zakat diperkenalkan bagi meningkatkan ekonomi orang Islam, sudah tentu ia akan meningkat secara mendadak. Sebenarnya laungan ‘wakaf’ ini bermula sejak beberapa tahun kebelakangan ini semasa (Tun) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri apabila menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada tahun 2004. Sebelum itu, pada tahun 2000 wakaf korporat yang dilancarkan oleh Johor Corporation Berhad (JCorp) melalui anak syarikatnya Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) berjumlah RM200 juta.
 
Sebenarnya, Islam telah memperkenalkan instrument-instrumennya yang tersendiri bagi membangunakan umatnya. Kita sebagai umatnya tidak nampak kaedah yang sedia ada. Hidup ini ibarat roda iaitu sekejap berada di bawah dan sekejap berada di atas. Mungkin dengan berkembangnya wakaf dan zakat ini boleh memartabatkan ekonomi orang Melayu Islam di tanah airnya sendiri pada suatu masa nanti. Insya-Allah.
 
Sekian, terima kasih.

 
http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 6, 2013

Jadikan Bahasa Mandarin Matapelajaran Wajib di Sekolah-sekolah

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Sekiranya saya menjadi Menteri Pendidikan, saya akan mewajibkan matapelajaran Bahasa Mandarin sebagai matapelajaran wajib di sekolah-sekolah khususnya bermula sekolah rendah lagi. Sekiranya saya menjadi Menteri Besar, saya akan mewajibkan Sekolah-sekolah Menengah Kerajaan Negeri mempelajari Bahasa Mandarin walaupun saya tidak pernah mempelajari bahasa tersebut. Ini adalah kerana bangsa ini sudah menguasai ekonomi Tanah Melayu sejak zaman penjajahan British lagi.
 
Sudah semestinya bangsa yang menguasai ekonomi sesebuah negara ataupun menguasai dunia sekalipun, bangsa itu akan menjadi bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain. Sekiranya dahulu, bahasa arab menjadi bahasa antarabangsa sehingga tahun 1924 kerana orang-orang Islam di bawah naungan Khilafah Uthmaniah merupakan kuasa besar dunia. Hari ini giliran Negara Amerika Syarikat pula yang menjadi kuasa besar dunia. Maka, mahu tidak mahu semua orang wajib mempelajari Bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar Malaysia yang ingin keluar negara perlu mengambil dahulu peperiksaan khas Bahasa Inggeris dengan gred yang telah ditetapkan. Sekiranya tidak mencapai sasaran yang ditetapkan terpaksalah mengambilnya semula sehingga lulus.
 
Orang Melayu perlu belajar Bahasa Mandarin. Ini adalah untuk mengelak orang Melayu terus ditipu oleh orang Cina khususnya dalam perniagaan ataupun dalam jual beli. Memang diakui bahawa orang Melayu sering tertipu dalam urusan jual beli dengan bangsa ini. Rakan saya pernah menceritakan sewaktu beliau pergi ke kedai motorsikal bersama sepupunya yang fasih berbahasa Mandarin. Sewaktu di kedai motorsikal tersebut, rakan saya bertanyakan kepada taukeh kedai tersebut harga spare-part motorsikal yang ingin dibelinya. Lalu taukeh tersebut bertanyakan anaknya harga spare-part tersebut dalam Bahasa Cina. Kemudian, taukeh tersebut memberitahu rakan saya harga spare-part tersebut. Dalam masa yang sama sepupu rakan saya menyapa, “Anak kamu beritahu harga lain tetapi taukeh memberitahu harga lebih mahal.” Jelas cerita ini sudah menjadi bukti bahawa orang Melayu mudah ditipu dalam urusan jual beli dengan orang Cina sekiranya tidak pandai berbahasa Cina. Mungkin anda semua lebih sedia maklum mengenai cerita-cerita sebegini di tempat-tempat lain.
 
Syarat bekerja di syarikat-syarikat swasta pada hari ini meletakkan syarat bahawa seseorang itu mesti fasih berbahasa Mandarin. Dengan kata lain bahawa syarikat-syarikat swasta tersebut adalah tidak mahu mengambil orang Melayu bekerja dengan mereka. Syarat-syarat ini banyak terpampang di iklan-iklan jawatan kosong-kosong di akhbar-akhbar utama bahasa Inggeris. Namun apa yang saya musykilkan perkara ini tidak pernah dijadikan isu ataupun dibincangkan. Mungkin masing-masing sibuk dengan masalah politik yang semakin bercelaru pada hari ini. Cikgu saya suatu ketika dahulu pernah menceritakan bahawa sekiranya orang Melayu pandai berbahasa Cina, syarikat-syarikat kepunyaan orang Cina maka mereka akan wujudkan jawatan khas untuk orang Melayu dalam syarikat mereka. Saya tidak pasti sama ada perkara ini benar atau tidak.
 
Kadang-kadang syarikat-syarikat Cina ini juga mengambil orang Melayu kerana mengikut kuota yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dengan peratus tertentu. Rakan saya pernah menceritakan bahawa beliau pernah bekerja dengan syarikat ini. Malangnya, setelah berada dalam organisasi tersebut beliau langsung tidak mempunyai kerja untuk dibuat. Apabila meminta kerja daripada bossnya, bossnya menjawab , “Kamu cubalah tanya orang itu, kamu cubalah tanya orang itu.” Sehinggakan akhirnya beliau meletak jawatan kerana tiada kerja untuk dibuat.
 
Apa yang saya ingin sebutkan di sini pada kali ini ialah orang Melayu perlulah belajar Bahasa Mandarin ataupun mungkin disebabkan oleh bangsa ini sudah menguasai ekonomi negara ini sejak turun-temurun. Setidak-tidaknya ini adalah penting supaya memudahkan orang Melayu untuk berurusan dengan mereka dalam jual beli dan perniagaan dan tidak ditipu turun-temurun.
 
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com