Sunday, October 2, 2022

Peranan FELDA dan FELCRA

Federal Land Development Authority (FELDA) dan Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority (FELCRA) adalah tidak lagi asing dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam usaha untuk menyusun semula penempatan masyarakat. 

Matlamat kedua-dua projek ini adalah untuk membantu keluarga miskin di kawasan luar bandar mempunyai kerja yang menghasilkan pendapatan yang mencukupi dan melepasi garis kemiskinan. Melalui pendekatan ini, keluarga yang dipilih akan dipindahkan ke kawasan penempatan baru. Rumah dan tanah seluas suku ekar akan diberikan kepada setiap keluarga. 

Sebagai tambahan, setiap keluarga akan diberikan sepuluh ekar tanah untuk aktiviti pertanian. Selepas satu jangka masa tertentu (kebiasaannya selepas 20 tahun) keluarga tersebut akan mendapat hak milik bagi tanah tersebut. Akan tetapi, tanah yang diberikan tidak boleh atau dijual tanpa kebenaran daripada kerajaan persekutuan atau agensi yang terlibat.

Rancangan Penempatan Semula FELDA ditubuhkan mengikut Akta Kemajuan Tanah 1956 dan telah terlibat sepenuhnya dalam aktiviti pembangunan komuniti dalam aktiviti pembangunan komuniti bermula tahun 1966. Masyarakat yang dipilih untuk ditempatkan di kawasan pembangunan tanah yang dilaksanakan oleh FELDA membentuk organisasi komuniti mereka sendiri.

Melalui organisasi komuniti yang terbentuk ini, mereka semua dikenali sebagai peneroka FELDA. Pembentukan organisasi komuniti ini telah berjaya membentuk komuniti yang bersatu-padu. Secara umumnya, rancangan penempatan semula yang dilaksanakan oleh FELDA telah berjaya meningkatkan pendapatan penghuninya.

Sehingga tahun 2004, FELDA telah membuka 275 buah rancangan penempatan melalui penerokaan kira-kira 447,578 hektar tanah di seluruh negara. Sehingga tahun 2004 juga terdapat seramai kira-kira 103,156 orang peneroka di seluruh negara yang menyertai FELDA. Kira-kira 71.01 peratus atau 319,684 hektar tanah yang diterokai oleh peneroka FELDA mengusahakan tanaman kelapa sawit. Tanaman getah pula melibatkan kira-kira 27.54 peratus atau 123,997 hektar tanah FELDA. Manakala tanaman tebu melibatkan kira-kira 1.04 peratus atau 4,663 hektar dan tanaman-tanaman lain meliputi sebanyak 0.41 peratus atau 1,846 hektar daripada keseluruhan tanah rancangan FELDA.

Bagi menambah lagi kegiatan ekonomi peneroka, FELDA telah menubuhkan sebanyak 287 buah koperasi di seluruh tanah Rancangan FELDA. Sehingga tahun 2004, Koperasi FELDA ini disertai oleh kira-kira 99,904 orang peneroka FELDA di seluruh negara dan memiliki modal kira-kira RM40,981,872.00. 

Rancangan Penempatan Semula FELCRA pula memulakan rancangan tanah untuk pembangunan komuniti pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen No. 22. Penubuhan FELCRA ini bertujuan untuk mengatasi masalah pembangunan tanah khususnya untuk proses pemulihan tanah. Objektif utama FELCRA adalah untuk memulih dan membangunkan tanah dengan persetujuan atau permintaan kerajaan negeri atau atas usaha FELCRA sendiri atau atas permintaan pemilik tanah itu sendiri. 

Di bawah program pemulihan, usaha yang dilakukan oleh FELCRA ditumpukan kepada pembangunan tanah terbiar yang terdapat di kampung-kampung tradisional. 

Sejak tahun 1966, FELCRA telah membuka lebih kurang 163 buah rancangan tanah di seluruh negara. Terdapat empat jenis rancangan tanah FELCRA iaitu rancangan pemulihan tanah terbiar, rancangan tanah pinggir, rancangan tanah belia, dan rancangan pembangunan tanah in-situ. 

Di bawah sistem pengurusan FELCRA, setiap rancangan tanah dianggap sebagai estet dengan kesemua peneroka dianggap sebagai teman sekerja yang sama-sama berkongsi faedah estet tersebut dan bertanggungjawab untuk membayar balik kos-kos pembangunan estet berkenaan. Peserta FELCRA akan dibayar upah daripada kerja-kerja yang dilakukan di rancangan tanah mereka. 

Di samping itu, peserta juga berhak menerima dividen daripada rancangan tanah mereka. Tanaman utama yang diusahakan di estet FELCRA ialah kelapa sawit, getah, dan padi. Pada tahun 2003 keluasan tanah yang ditanam dengan kelapa sawit ialah 154,483.50 hektar, getah seluas 42,279.30 hektar, dan tanaman padi seluas 6,095.72 hektar.

Peserta FELCRA juga mengambil inisiatif untuk menubuhkan koperasi bagi menggerakkan sumber yang ada dalam komuniti mereka. Koperasi peneroka FELCRA bertindak untuk menawarkan kredit, input pertanian, penyimpanan, dan pemasaran hasil pertanian. Sehingga tahun 2006 terdapat sebanyak 160 buah koperasi dengan keahlian kira-kira 43,696 orang di seluruh rancangan FELCRA.

Sumber: Haris Abd. Wahab dan Siti Hajar Abu Bakar, Perkembangan Pendekatan Pembangunan Komuniti Luar Bandar di Malaysia, 2007.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: