Sunday, November 13, 2022

Kesian Dr Maszlee

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dihalau seorang penduduk kampung ketika beliau melawat sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Simpang Renggam, Johor, pagi tadi.

Video insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan Mazlee memberitahu beliau dihalang memasuki PPS Sungai Linau untuk bertemu mangsa banjir.

“Saya mahu membantu mereka. Sejak lima tahun lalu, setiap kali berlakunya banjir saya akan datang ke sini.

“Tetapi, kali ini saya rasa pelik kerana tidak dibenarkan (masuk),” katanya yang mendakwa ahli politik Umno dibenarkan masuk.

Seorang warga emas lelaki juga dilihat menjerit ke arah Maszlee dan bertanyakan bekas menteri itu apa yang beliau lakukan untuk membantu penduduk setempat.

Dua anggota polis kemudiannya menenangkan lelaki itu dan mengiringinya keluar dari sana.

Tidak lama kemudiannya, seorang lagi lelaki menghampiri Maszlee dan memberitahunya ahli politik tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Lelaki itu meminta Maszlee, yang juga calon Pakatan Harapan Simpang Renggam, meninggalkan kawasan itu dan beliau akur.

React:

Bertabahlah wahai Dr. Maszlee... Mungkin ada sinar di hujung terowong selepas PRU-15 nanti...

Wednesday, November 9, 2022

Ingin Menjadi Perdana Menteri – Adakah KJ Ingin Mencabar Kepimpinan Ortodoks Umno?

Pada kali ini KJ secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya menang di parlimen Sungai Buloh dalam PRU-15 nanti. 

Ini bukanlah kali pertama KJ menyatakan hasratnya secara terbuka untuk menjadi Perdana Menteri tetapi sejak Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri lagi ketika KJ dikenali sebagai budak-budak tingkat 4 Putrajaya di mana beliau menjadi menantu Perdana Menteri ketika ini.

Saya fikir bintang KJ dalam politik akan sirna (musnah) selepas Tun Abdullah meletak jawatan. Namun begitu, beliau berjaya membina karier politiknya selepas pengunduran bapa mentuanya sehinggalah berjaya mengemudi Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Sains & Teknologi, dan kementerian terakhir sekali sebelum pembubaran parlimen ialah Kementerian Kesihatan.

Umum mengetahui bahawa KJ bukanlah seorang yang memegang jawatan penting dalam Umno apatah lagi dalam Top 5 Umno. Jika difikir secara logik, sudah tentu KJ sudah tentu tidak mampu untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU-15 walaupun berjaya memenangi kerusi parlimen Sungai Buloh walaupun kerusi ini merupakan kubu kuat PKR sejak sekian lama dan dalam PRU-14 penyandang kerusi ini memenangi kerusi ini dengan majoriti lebih daripada 26,000 undi. 

Boleh difahami secara tersirat bahawasanya secara terbuka KJ ingin mencabar kepimpinan Zahid Hamidi yang semakin melemah sejak hari penamaan calon baru-baru ini apatah lagi dengan pengguguran penyandang-penyandang otai kerusi parlimen dalam Umno. 

Sebelum ini, KJ pun pernah bertanding bagi jawatan Presiden umno dalam saingan tiga penjuru dalam menentang Zahid Hamidi dan Ku Li tetapi gagal. Namun aura KJ dalam politik kian menyerlah saban hari setelah berjaya menerajui dan menjayakan kementerian yang diterajuinya sebelum ini.

Konflik dalam Umno yang menyebabkan pertembungan antara kluster menteri dan kluster mahkamah dalam Umno menyebabkan KJ cuba disembelih oleh Zahid Hamidi apabila dicalonkan di kerusi parlimen Sungai Buloh yang sudah tentu sukar buat beliau untuk menang. 

Sudah tentu, pertembungan kluster menteri dan kluster mahkamah akan terus wujud pasca PRU-15 nanti. Apa yang lebih penting apakah Umno-BN masih mampu untuk membentuk majoriti dalam kerajaan perpaduan yang akan dibentuk nanti memandangkan tiada pakatan politik sama ada PH, PN, dan BN yang mampu untuk membentuk majoriti bagi membentuk kerajaan. 

KJ harus bertindak sebagai panglima dalam Umno untuk menjalankan pembaharuan sama ada secara evolusi ataupun revolusi. Selepas Najib dipenjarakan, Umno tiada lagi poster boy yang mampu untuk meraih simpati dan sokongan kepada Umno. Zahid Hamidi yang menjadi Presiden Umno terus menambah episod hitam dalam parti ini apabila menggugurkan warlord-warlord lama dalam Umno seperti Shahidan Kassim, Noh Omar, Annuar Musa, dan lain-lain lagi. 

Yang berani menentang bertanding di atas tiket parti lawan seperti Shahidan Kassim. Yang takut menikus terus memberi sokongan kepada Umno. Mana tahu kot-kot boleh menjadi Timbalan Menteri ataupun Menteri melalui kerusi senator. 

Hasrat KJ yang menyatakan ingin menjadi Perdana Menteri sebenarnya isyarat halus kepada Zahid Hamidi di mana kepimpinannya tidak diterima ramai. KJ harus bertindak secara lebih bijak supaya perbatuan politiknya lebih selamat dan panjang memandangkan pemilihan Umno akan diadakan selepas PRU-15 nanti. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, November 2, 2022

Eh..Eh..Eh..Raja Propaganda PKR Mula Takut Dengan Kedatangan KJ di Sungai Buloh???



PRU15 | PKR mengkaji semula pemilihan calonnya untuk kerusi parlimen Sungai Buloh selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai calon BN di kawasan itu malam tadi.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan presiden parti terbabit, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Rafizi menyatakan, langkah untuk PKR mengkaji semula kesesuaian calon bagi kerusi tersebut adalah berdasarkan "maklum balas daripada pengundi Sungai Buloh".

"Saya akan berbincang dengan Anwar mengenai maklum balas pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.

"Saya hargai semua pandangan.

"Keputusan akhir adalah keputusan beliau (Anwar) sebagai presiden parti," ciap Rafizi pagi ini.

Pada 2018 PKR meletakkan R Sivarasa sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dan dia mencapai kemenangan selesa apabila memperolehi 43,631 undi.

Sivarasa yang juga seorang peguam dibezakan sebanyak 26,634 undi daripada pencabar terdekatnya, Nuridah Mohd Salleh dari PAS.

Kali ini PKR menggantikan Sivarasa dengan timbalan ketua penerangan parti itu R Ramanan. Ia merupakan penyertaan kali pertama Ramanan dalam PRU.

Dia merupakan bekas bendahari agung MIC yang meninggalkan parti terbabit ada 2014 apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya memulangkan wang berjumlah RM5.5 juta yang diperolehi melalui penipuan.

Pada masa itu, dia dilaporkan berkata dia merayu keputusan itu dan bersedia membayar jumlah yang dinyatakan kepada plaintif.

Berdasarkan data pada 2018, Sungai Buloh merupakan kerusi campuran dengan 66 peratus daripada 90,707 pemilih adalah Melayu, 22 peratus Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus etnik lain.

Khairy pula merupakan bekas ketua Pemuda Umno Malaysia dan dia mendapat pujian ramai semasa mengendalikan ancaman wabak Covid-19 sebelum ini.

Pada 2018 dia bertanding di Rembau, namun dipindahkan partinya ke Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Khairy memenangi kerusi Rembau selama tiga penggal.

Sumber: Malaysiakini.

Ulasan:

Raja propaganda PKR iaitu Rafizi Ramli mulai ketakutan apabila KJ dinamakan sebagai calon Barisan Nasional di parlimen Sungai Buloh. Harus diakui saya tidak berminat dengan siri-siri ceramah politik beliau kerana saya anggap macam dia syok sendiri. Kini, dengan pengumuman KJ sebagai calon BN di Sungai Buloh beliau mulai bimbang dan mula ingin menukar calon PKR yang dinamakan sebelum ini di kerusi parlimen ini.

KJ sebenarnya dihukum oleh Zahid Hamidi kerana menerima jawatan kabinet sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yasin dahulu untuk bertanding di kawasan kuat PKR. Mujurlah KJ dinamakan semula berbanding 12 orang ahli parlimen BN yang lain di mana nama mereka digugurkan terus daripada senarai calon BN walaupun dianggap sebagai warlord Umno seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa, dan lain-lain lagi. 

Zahid Hamidi pada kali ini berani mengambil risiko dengan mempertaruhkan muka-muka baru Umno di Selangor pada kali ini iaitu Tengku Zafrul di parlimen Kuala Selangor. Gandingan KJ-Tengku Zafrul pada kali ini diharap mampu memulihkan sokongan Umno di Selangor yang dianggap sebagai ibu ekonomi Malaysia. 

Jika KJ boleh menang dalam PRU-15 pada kali ini di kerusi parlimen Sungai Buloh, maka perbatuan politik KJ masih panjang kerana boleh menang di kawasan kubu kuat PKR. Sebagai rekod, pengundi Melayu merupakan pengundi majoriti sebanyak 66 peratus pada PRU-2018 di kerusi parlimen ini. Jika tidak kerana pengundi Melayu sekalipun, saya yakin beliau boleh meraih sokongan undi bukan Melayu kerana beliau dilihat sebagai ikon orang muda ditambah lagi beliau berjaya mengemudi Kementerian Kesihatan dengan baik sekali sewaktu menangani wabak Covid-19 sewaktu negara dilanda pandemik ini. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com