Wednesday, November 2, 2022

Eh..Eh..Eh..Raja Propaganda PKR Mula Takut Dengan Kedatangan KJ di Sungai Buloh???



PRU15 | PKR mengkaji semula pemilihan calonnya untuk kerusi parlimen Sungai Buloh selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin diumumkan sebagai calon BN di kawasan itu malam tadi.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan membincangkan perkara itu dengan presiden parti terbabit, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Rafizi menyatakan, langkah untuk PKR mengkaji semula kesesuaian calon bagi kerusi tersebut adalah berdasarkan "maklum balas daripada pengundi Sungai Buloh".

"Saya akan berbincang dengan Anwar mengenai maklum balas pengundi di Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.

"Saya hargai semua pandangan.

"Keputusan akhir adalah keputusan beliau (Anwar) sebagai presiden parti," ciap Rafizi pagi ini.

Pada 2018 PKR meletakkan R Sivarasa sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh dan dia mencapai kemenangan selesa apabila memperolehi 43,631 undi.

Sivarasa yang juga seorang peguam dibezakan sebanyak 26,634 undi daripada pencabar terdekatnya, Nuridah Mohd Salleh dari PAS.

Kali ini PKR menggantikan Sivarasa dengan timbalan ketua penerangan parti itu R Ramanan. Ia merupakan penyertaan kali pertama Ramanan dalam PRU.

Dia merupakan bekas bendahari agung MIC yang meninggalkan parti terbabit ada 2014 apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya memulangkan wang berjumlah RM5.5 juta yang diperolehi melalui penipuan.

Pada masa itu, dia dilaporkan berkata dia merayu keputusan itu dan bersedia membayar jumlah yang dinyatakan kepada plaintif.

Berdasarkan data pada 2018, Sungai Buloh merupakan kerusi campuran dengan 66 peratus daripada 90,707 pemilih adalah Melayu, 22 peratus Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus etnik lain.

Khairy pula merupakan bekas ketua Pemuda Umno Malaysia dan dia mendapat pujian ramai semasa mengendalikan ancaman wabak Covid-19 sebelum ini.

Pada 2018 dia bertanding di Rembau, namun dipindahkan partinya ke Sungai Buloh bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Khairy memenangi kerusi Rembau selama tiga penggal.

Sumber: Malaysiakini.

Ulasan:

Raja propaganda PKR iaitu Rafizi Ramli mulai ketakutan apabila KJ dinamakan sebagai calon Barisan Nasional di parlimen Sungai Buloh. Harus diakui saya tidak berminat dengan siri-siri ceramah politik beliau kerana saya anggap macam dia syok sendiri. Kini, dengan pengumuman KJ sebagai calon BN di Sungai Buloh beliau mulai bimbang dan mula ingin menukar calon PKR yang dinamakan sebelum ini di kerusi parlimen ini.

KJ sebenarnya dihukum oleh Zahid Hamidi kerana menerima jawatan kabinet sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yasin dahulu untuk bertanding di kawasan kuat PKR. Mujurlah KJ dinamakan semula berbanding 12 orang ahli parlimen BN yang lain di mana nama mereka digugurkan terus daripada senarai calon BN walaupun dianggap sebagai warlord Umno seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa, dan lain-lain lagi. 

Zahid Hamidi pada kali ini berani mengambil risiko dengan mempertaruhkan muka-muka baru Umno di Selangor pada kali ini iaitu Tengku Zafrul di parlimen Kuala Selangor. Gandingan KJ-Tengku Zafrul pada kali ini diharap mampu memulihkan sokongan Umno di Selangor yang dianggap sebagai ibu ekonomi Malaysia. 

Jika KJ boleh menang dalam PRU-15 pada kali ini di kerusi parlimen Sungai Buloh, maka perbatuan politik KJ masih panjang kerana boleh menang di kawasan kubu kuat PKR. Sebagai rekod, pengundi Melayu merupakan pengundi majoriti sebanyak 66 peratus pada PRU-2018 di kerusi parlimen ini. Jika tidak kerana pengundi Melayu sekalipun, saya yakin beliau boleh meraih sokongan undi bukan Melayu kerana beliau dilihat sebagai ikon orang muda ditambah lagi beliau berjaya mengemudi Kementerian Kesihatan dengan baik sekali sewaktu menangani wabak Covid-19 sewaktu negara dilanda pandemik ini. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: