Wednesday, July 8, 2026
Saturday, May 23, 2026
Kita Perlu Belajar Apabila Cinta Kita Ini Ditolak
Zaman universiti memang penuh dengan pelbagai kenangan. Ada yang datang
untuk belajar, ada yang datang untuk mencari pengalaman hidup, dan ada juga
yang mula mengenali perasaan cinta. Kadang-kadang, hanya kerana seseorang itu
selalu tersenyum kepada kita di kampus, kita mula menyimpan harapan yang
tinggi. Namun, realitinya tidak semua perasaan akan dibalas seperti yang kita
impikan.
Ada ketika kita terlalu bersungguh
menghantar WhatsApp setiap hari, bertanya khabar, memberi perhatian dan cuba
mengambil hati seseorang. Namun, mesej hanya dibaca tanpa balasan atau dibalas
sekadar sepatah dua. Situasi ini memang boleh membuatkan hati terasa kecewa,
lebih-lebih lagi apabila kita benar-benar menaruh harapan. Tetapi kita perlu
belajar bahawa tidak semua orang mempunyai perasaan yang sama terhadap kita.
Kadang-kadang seseorang itu kelihatan
mesra apabila berjumpa. Dia senyum, tegur, dan bercakap dengan baik. Namun, itu
tidak semestinya tanda dia menyukai kita. Ada orang memang bersifat ramah
dengan semua orang. Kesilapan ramai lelaki atau perempuan di universiti ialah
terlalu cepat membuat andaian hanya kerana layanan yang baik.
Apabila cinta ditolak, jangan terus
merasakan diri tidak berguna. Penolakan bukan bermaksud kita ini buruk atau
tidak layak dicintai. Mungkin dia sudah mempunyai pilihan sendiri, mungkin dia
belum bersedia untuk bercinta, atau mungkin sekadar tiada keserasian. Dalam
kehidupan ini, kita tidak boleh memaksa hati orang lain untuk menerima kita.
Apa yang penting ialah belajar menjaga
maruah diri. Jika mesej tidak dibalas berkali-kali, jangan terlalu mengejar
sehingga hilang harga diri sendiri. Tidak perlu merayu-rayu cinta daripada
seseorang yang tidak menghargai kehadiran kita. Kadang-kadang langkah terbaik
ialah “cabut” secara perlahan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Jangan terlalu lama bersedih kerana bunga
bukan sekuntum. Dunia ini luas dan manusia juga ramai. Hari ini mungkin kita
kecewa dengan seseorang, tetapi siapa tahu pada masa akan datang kita akan
bertemu insan yang jauh lebih baik dan lebih menghargai diri kita. Hidup tidak
berhenti hanya kerana satu penolakan cinta.
Di universiti, fokus utama sebenarnya
ialah membina masa depan. Ramai yang akhirnya menyesal kerana terlalu hanyut
mengejar cinta sehingga pelajaran terganggu. Ada yang sanggup habiskan duit
belanja semata-mata mahu memikat seseorang, sedangkan keputusan peperiksaan
mula merosot sedikit demi sedikit. Jangan sampai emosi cinta merosakkan masa
depan sendiri.
Penolakan cinta juga sebenarnya boleh
mematangkan seseorang. Kita belajar mengawal emosi, belajar menerima kenyataan,
dan belajar bahawa hidup ini bukan semuanya mengikut kehendak hati kita.
Pengalaman kecewa ketika muda kadang-kadang menjadikan seseorang lebih kuat
menghadapi kehidupan selepas alam universiti.
Kadang-kadang selepas beberapa tahun
berlalu, kita sendiri akan ketawa mengenangkan kisah lama di universiti. Orang
yang dahulu kita terlalu kejar mungkin akhirnya hanya menjadi kenangan biasa.
Sebab itu jangan terlalu tenggelam dalam kesedihan hanya kerana cinta tidak
menjadi. Masa akan mengubah banyak perkara.
Akhir sekali, jika cinta ditolak, terimalah dengan tenang dan matang. Tidak
perlu membenci, tidak perlu memalukan orang lain, dan tidak perlu merendahkan
diri sendiri. Teruskan hidup, perbaiki diri, fokus kepada masa depan dan
percaya bahawa setiap manusia ada jodohnya masing-masing. Kadang-kadang, orang
yang tidak memilih kita sebenarnya sedang membuka jalan untuk kita bertemu
seseorang yang lebih baik.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com
Wednesday, May 6, 2026
Jangan Biarkan Usaha Menjadi Sia-Sia
Saya masih ingat satu
peristiwa sewaktu belajar di universiti dahulu. Pada hari itu, saya datang
menghadiri kuliah subjek Kenegaraan Malaysia seperti biasa. Saya duduk
mendengar pensyarah mengajar dari awal sehingga tamat kelas. Namun selepas
kuliah selesai, saya baru tersedar bahawa saya terlupa menandatangani
kehadiran. Ketika itulah seorang kawan berseloroh mengatakan, “Sia-sia sahaja
kau datang kelas hari ini.”
Pada waktu itu, kata-kata
tersebut benar-benar membuat saya termenung. Saya mula memikirkan adakah
kehadiran saya tadi benar-benar tidak bernilai hanya kerana tiada tandatangan
pada borang kehadiran. Sedangkan saya tetap hadir, mendengar kuliah, mencatat
nota, dan memperoleh ilmu. Saya sedar bahawa manusia sering menilai sesuatu
berdasarkan bukti luaran semata-mata. Kadang-kadang usaha yang tidak terlihat
dianggap tidak wujud.
Sejak hari itu, saya mula
memahami bahawa dalam kehidupan, banyak perkara yang kita lakukan mungkin tidak
dihargai oleh orang lain. Ada orang bekerja keras tetapi namanya tidak disebut.
Ada pelajar belajar bersungguh-sungguh tetapi tidak mendapat pujian. Ada juga
individu membantu orang lain secara diam tanpa sesiapa mengetahuinya. Namun
begitu, usaha tersebut tetap mempunyai nilai di sisi kehidupan dan pengalaman
diri sendiri.
Kuliah Kenegaraan Malaysia
pada hari itu sebenarnya tetap memberi manfaat kepada saya. Saya masih ingat
beberapa perkara yang dipelajari tentang sejarah negara, perpaduan masyarakat,
dan semangat cintakan tanah air. Walaupun tiada tandatangan kehadiran, ilmu
yang masuk ke dalam fikiran saya tidak pernah hilang. Saya sedar bahawa tujuan
utama datang ke kelas ialah mendapatkan ilmu, bukan semata-mata mengejar rekod
kehadiran. Kehadiran tanpa ilmu juga sebenarnya lebih sia-sia.
Dalam kehidupan ini, ramai
orang terlalu takut melakukan sesuatu kerana bimbang usaha mereka tidak
dihargai. Ada yang berhenti menulis kerana tiada pembaca. Ada yang berhenti
berniaga kerana jualan perlahan. Ada juga yang berhenti belajar kerana merasakan
diri lambat berjaya. Sedangkan kejayaan besar selalunya bermula daripada usaha
kecil yang tidak dipandang orang pada peringkat awal.
Saya juga belajar bahawa nilai
sesuatu usaha bukan sentiasa dapat dilihat serta-merta. Kadang-kadang hasilnya
muncul bertahun-tahun kemudian. Ilmu yang dipelajari di universiti dahulu
mungkin kelihatan biasa pada waktu itu, tetapi akhirnya berguna dalam kehidupan
dan kerjaya. Pengalaman hadir ke kelas mengajar saya tentang disiplin dan
tanggungjawab. Semua itu menjadi sebahagian daripada proses membentuk diri.
Kata-kata kawan saya itu
sebenarnya bukan sesuatu yang buruk. Ia menjadi satu pengajaran yang saya ingat
sampai hari ini. Daripada peristiwa kecil itu, saya belajar supaya tidak
melakukan sesuatu secara separuh jalan. Jika hadir kelas, pastikan lengkap dengan
kehadiran. Jika membuat kerja, pastikan diselesaikan dengan baik. Kesilapan
kecil kadang-kadang mengajar kita perkara besar tentang kehidupan.
Namun begitu, saya juga
percaya bahawa sesuatu usaha tidak pernah benar-benar sia-sia jika kita
memperoleh pengajaran daripadanya. Walaupun saya terlupa tandatangan kehadiran,
saya tetap mendapat pengalaman yang memberi makna. Pengalaman itulah yang akhirnya
menjadi kenangan berharga. Ada perkara kecil dalam hidup yang kelihatan remeh
tetapi meninggalkan kesan mendalam dalam fikiran seseorang.
Hari ini apabila saya
mengingati kembali zaman universiti, saya tersenyum sendiri mengenangkan
peristiwa tersebut. Kehidupan sebagai pelajar memang penuh dengan kenangan
lucu, kesilapan kecil, dan pengalaman yang mematangkan diri. Kadang-kadang
perkara yang paling sederhana itulah yang paling lama kita ingat. Ia mengajar
kita tentang nilai masa, usaha, dan tanggungjawab dalam kehidupan.
Akhirnya saya memahami bahawa
usaha yang sebenar bukan diukur semata-mata melalui pengiktirafan manusia. Yang
penting ialah apa yang kita pelajari, bagaimana kita berubah, dan apa manfaat
yang kita peroleh daripada pengalaman tersebut. Jangan sesekali menganggap
sesuatu usaha itu sia-sia hanya kerana orang lain tidak nampak nilainya. Dalam
hidup ini, setiap langkah kecil tetap membawa kita ke hadapan. Kadang-kadang,
pengalaman yang paling sederhana itulah yang menjadi pengajaran terbesar dalam
hidup seseorang.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com
Wednesday, March 4, 2026
Saturday, October 4, 2025
Tuesday, July 22, 2025
Friday, May 23, 2025
Cuit-Cuit: Harga Tiket Konsert Lady Gaga di Singapore
Tuesday, April 8, 2025
Central Market Suatu Ketika Dahulu...
Thursday, March 6, 2025
Kepada Siapakah Lagu 'Rindu PadaMu' Nyanyian Yasin Sulaiman Ditujukan?
Friday, August 2, 2024
Membeli XP Pen 15.6
Untuk anda yang masih belum mengetahui fungsi XP Pen, ianya merupakan sebuah gajet untuk anda melukis untuk disambungkan terus ke desktop ataupun laptop anda. Tetapi saya gunakannya untuk menulis simbol-simbol matematik kerana kita boleh menulisnya terus di atas skrin XP Pen ini dan disambungkan terus ke desktop ataupun laptop. Ianya amat menarik untuk digunakan. Anda boleh dapatkannya di pasaran.
Monday, May 20, 2024
Sunday, May 15, 2022
Saturday, April 2, 2022
Saya Bersimpati dengan Yasin Sulaiman
Telahan saya benar apabila media mula-mula melaporkan bahawa seorang penyanyi nasyid dan komposer ditahan polis kerana menanam dan mengedar pokok ganja di rumahnya pada 24 Mac 2022 adalah Yasin Sulaiman. Walaupun media pada mulanya hanya berteka-teki tidak menyebut namanya dengan mengatakan bahawa seorang penyanyi nasyid dan komposer yang pernah menganggotai kumpulan nasyid dan kemudian bergerak secara solo, pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL), dan kereta Toyota Wishnya disita oleh polis, saya fikir ia adalah Yasin Sulaiman.
Telahan saya ini tepat apabila Yasin Sulaiman didakwa di mahkamah pada 31 Mac 2022 atas kesalahan ini. Apatah lagi hanya 3 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Saya secara peribadi bersimpati dengan Yasin Sulaiman. Lagu-lagunya sememangnya dekat di hati saya seperti Aisyah, Dialah, Wahasytuni, Kuala Lumpur, Bismillah, dan lain-lain lagi. Sebagai netizen, kita usah cepat menghakimi Yasin ini. Kita tunggu sahajalah perbicaraan Yasin ini sehingga selesai. Kita doakan yang terbaik untuk beliau.
Wallahua'lam.
Tuesday, August 17, 2021
Tuesday, August 10, 2021
Final Keirin Olimpik 2020: Jangkaan Saya Tepat
![]() |
| Jason Kenny dari Great Britain yang Memenangi Pingat Emas Acara Keirin |
Apabila saya menonton televisyen mengenai harapan Azizul Hasni Awang, seolah-olah beliau menyatakan bahawa pingat emas acara keirin Olimpik 2020 akan menjadi milik Malaysia di samping membaca komen-komen netizen di Youtube bahawa Azizul atau Jijoe akan memenangi pingat emas acara ini hati saya berasa gusar.
Ini kerana pelumba keirin dari Great Britain Jason Kenny memasuki pusingan akhir acara ini dan saya menjangkakan beliau akan memenangi perlumbaan keirin ini kerana beliau telah memenangi pingat emas dalam acara ini dalam temasya olimpik yang lepas di Brazil dan telahan saya tepat apabila dia memecut awal selepas pacer meninggalkan trek perlumbaan meninggalkan pelumba-pelumba lain.
Ramai yang menyalahkan pelumba dari Australia iaitu Matthew Glaetzer yang menyebabkan Jijoe tertinggal atau gap terlalu jauh dari Jason Kenny. Mungkin itu strategi dari pelumba dari Australia ini tetapi taktik ini hanya makan diri sahaja kerana dia tidak memperolehi sebarang pingat.
Walau bagaiamanapun, peluang masih ada untuk memenangi emas dalam acara ini dalam temasya olimpik akan datang di Paris pada tahun 2024 nanti. Syabas kepada pasukan pelumba trek negara yang bermati-matian berjuang untuk memperolehi pingat untuk negara.




























