Showing posts with label Bisnes. Show all posts
Showing posts with label Bisnes. Show all posts

Sunday, May 31, 2026

Mengapa Orang Berdisiplin Tidak Semestinya Berprestasi?

 


Dalam dunia pekerjaan, kita sering melihat satu keadaan yang agak pelik. Ada pekerja yang sangat berdisiplin — datang awal, ikut SOP, kemas, rajin hadir mesyuarat, dan sentiasa mematuhi peraturan organisasi — tetapi pencapaiannya biasa-biasa sahaja. Dalam masa yang sama, ada pula individu yang nampak kurang disiplin dari sudut masa dan gaya kerja, tetapi berjaya mencapai sasaran organisasi dengan cemerlang.

Mengapa perkara ini boleh berlaku?

Sebenarnya, dalam bidang pengurusan, disiplin dan prestasi bukanlah perkara yang sama walaupun kedua-duanya penting. Disiplin lebih berkait dengan cara seseorang bekerja, manakala prestasi pula berkait dengan hasil yang mampu dicapai oleh seseorang pekerja.

Tokoh pengurusan terkenal Peter Drucker membezakan dua konsep penting iaitu efficiency dan effectiveness. Efficiency bermaksud melakukan kerja dengan betul seperti mematuhi prosedur, menjaga masa dan mengurangkan pembaziran. Sebaliknya, effectiveness bermaksud melakukan perkara yang betul untuk mencapai hasil yang besar kepada organisasi.

Ada pekerja yang sangat cekap dari sudut disiplin dan pengurusan kerja harian, tetapi mereka terlalu fokus kepada prosedur sehingga kurang memberi impak besar kepada organisasi. Mereka sibuk sepanjang hari tetapi tidak menghasilkan keputusan yang benar-benar penting.

Sebaliknya, ada pekerja yang gaya kerjanya lebih fleksibel. Kadang-kadang mereka tidak terlalu terikat dengan waktu pejabat atau cara kerja tradisional. Namun, mereka mempunyai kreativiti, kemahiran komunikasi, jaringan hubungan yang luas serta kebolehan menyelesaikan masalah dengan cepat. Akhirnya, mereka berjaya membawa jualan tinggi, mendapatkan pelanggan besar ataupun menyelesaikan masalah organisasi yang kritikal.

Dalam pengurusan moden, keadaan ini sering dikaitkan dengan konsep pekerja berasaskan pengetahuan (knowledge worker). Golongan ini tidak semestinya menghasilkan nilai melalui kerja rutin, tetapi melalui idea, strategi, kreativiti dan pengalaman mereka. Oleh sebab itu, gaya kerja mereka kadang-kadang kelihatan tidak begitu formal berbanding pekerja biasa.

Selain itu, Vilfredo Pareto memperkenalkan Prinsip 80/20 yang menyatakan bahawa sebahagian besar hasil biasanya datang daripada sebahagian kecil usaha yang benar-benar penting. Dalam organisasi, ada pekerja yang memahami perkara paling penting yang memberi kesan besar kepada organisasi. Walaupun mereka tidak nampak sibuk sepanjang masa, hasil kerja mereka sangat besar.

Konsep ini juga berkait dengan teori Douglas McGregor iaitu Theory X dan Theory Y. Theory X melihat pekerja perlu dikawal dan dipantau secara ketat untuk menghasilkan prestasi. Namun Theory Y pula melihat sesetengah pekerja mampu mengurus diri sendiri, kreatif dan bertanggungjawab tanpa pengawasan yang terlalu ketat.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud disiplin tidak penting. Disiplin tetap menjadi asas kestabilan organisasi. Jika organisasi hanya melihat hasil semata-mata tanpa menjaga disiplin, suasana kerja boleh menjadi tidak adil dan bercelaru. Pekerja yang rajin dan mematuhi peraturan mungkin akan rasa tidak dihargai.

Oleh sebab itu, organisasi yang baik biasanya akan cuba mencari keseimbangan antara disiplin dan pencapaian hasil kerja. Pekerja terbaik sebenarnya bukan sekadar rajin ataupun sekadar kreatif, tetapi individu yang mampu menggabungkan kedua-duanya sekali — mempunyai disiplin kerja yang baik serta mampu menghasilkan impak besar kepada organisasi.

Wallhua'lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Friday, April 24, 2026

Dari Pasar Tani ke Empayar Jenama: Membaca Falsafah Keusahawanan Dato’ Seri Aliff Syukri dalam Konteks Realiti Usahawan Melayu

 


Naratif keusahawanan di Malaysia sering dipenuhi dengan kisah kejayaan yang kelihatan dramatik, namun tidak semuanya mampu menyingkap dimensi sebenar yang membentuk seorang usahawan. Temubual bersama Dato’ Seri Aliff Syukri dalam podcast Buat Saja Podcast memberikan satu gambaran yang lebih mentah dan tidak ditapis tentang realiti dunia perniagaan, khususnya dalam kalangan usahawan Melayu. Apa yang menarik bukan sekadar kejayaan material yang dikecapi, tetapi bagaimana pengalaman sosial, tekanan ekonomi, dan pembentukan mentaliti sejak kecil telah mencorakkan keseluruhan falsafah perniagaannya.

Sejak usia kanak-kanak, Aliff Syukri telah didedahkan dengan kekangan ekonomi yang memaksanya berfikir secara praktikal. Dengan hanya berbekalkan 20 sen ke sekolah, beliau tidak mempunyai pilihan selain mencipta peluang sendiri melalui aktiviti jualan kecil-kecilan seperti jeruk dan kacang goreng. Pengalaman ini bukan sekadar usaha mencari wang tambahan, tetapi merupakan proses awal pembentukan apa yang boleh disebut sebagai entrepreneurial instinct — satu naluri keusahawanan yang lahir daripada keperluan, bukan pilihan . Dalam konteks ini, kemiskinan berfungsi sebagai pemangkin kepada kreativiti ekonomi, berbeza dengan keadaan selesa yang sering menghambat keberanian untuk mengambil risiko.

Perjalanan beliau yang bermula dari pasar tani dan pasar malam turut memperlihatkan satu dimensi penting dalam ekonomi tidak formal. Aktiviti perniagaan di ruang-ruang ini sering dianggap kecil dan tidak signifikan, namun sebenarnya ia merupakan tapak pembelajaran paling kritikal bagi usahawan baharu. Di sinilah berlaku interaksi langsung dengan pengguna, ujian terhadap daya tahan mental, serta pembinaan kemahiran pemasaran secara organik. Pengalaman dihalau dari tapak niaga, produk dibaling, dan penghinaan terbuka bukan sekadar episod kegagalan, tetapi merupakan proses sosialisasi keusahawanan yang membentuk ketahanan psikologi yang tinggi .

Apa yang membezakan Aliff Syukri dengan ramai usahawan lain ialah keupayaannya membaca peluang dalam konteks perubahan pasaran. Ketika industri kosmetik dikuasai oleh produk luar, khususnya dari Indonesia, beliau memilih untuk memasuki pasaran tersebut dengan pendekatan berbeza melalui penggunaan produk jamu tradisional sebelum mengembangkan jenama sendiri. Strategi ini menunjukkan pemahaman terhadap konsep market gap, di mana usahawan tidak hanya bersaing secara langsung, tetapi mencari ruang yang belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain sedia ada.

Namun demikian, kejayaan ini tidak terpisah daripada risiko yang besar. Keputusan untuk melabur sehingga RM500,000 dalam pengiklanan sehingga hampir membawa kepada kebankrapan memperlihatkan satu prinsip asas dalam keusahawanan — pulangan tinggi sering datang bersama risiko tinggi. Menariknya, dalam situasi kritikal tersebut, beliau tidak memilih untuk mengubah keseluruhan model perniagaan, tetapi kembali kepada akar kekuatan asalnya iaitu pendekatan jualan secara langsung ala pasar tani. Hasilnya, jualan mencecah jutaan ringgit dalam tempoh singkat . Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan krisis, keupayaan untuk kembali kepada asas yang telah terbukti berkesan adalah satu kelebihan strategik.

Dalam era digital, Aliff Syukri turut menekankan kepentingan transformasi strategi pemasaran. Peralihan daripada perniagaan berasaskan kedai fizikal kepada penguasaan media sosial mencerminkan perubahan struktur dalam ekonomi moden. Konsep bahawa produk yang hebat tetapi sukar ditemui adalah produk yang gagal menegaskan bahawa visibility kini menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan sesuatu perniagaan . Dalam hal ini, penghasilan kandungan secara konsisten bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan asas dalam memastikan kelangsungan jenama.

Salah satu aspek paling kontroversial dalam temubual ini ialah kritikan beliau terhadap mentaliti usahawan Melayu. Pandangan bahawa ramai peniaga Melayu mudah berasa selesa, kurang tahan terhadap kegagalan, dan cenderung mengelak risiko membuka ruang kepada perbahasan yang lebih luas mengenai budaya ekonomi dalam masyarakat. Berbeza dengan komuniti yang dibesarkan dalam kesusahan, tekanan hidup yang tinggi sering melahirkan daya tahan yang lebih kuat. Dalam kerangka ini, kegagalan bukan dilihat sebagai pengakhiran, tetapi sebagai proses pembelajaran yang wajib dilalui untuk mencapai kejayaan .

Selain itu, pendekatan beliau terhadap konsep pengalaman juga menarik untuk diperhatikan. Penegasan bahawa pengalaman merupakan “universiti kehidupan” mencabar dominasi pendidikan formal dalam menentukan kejayaan individu. Walaupun pendidikan akademik penting, dalam konteks keusahawanan, pengalaman praktikal yang melibatkan interaksi dengan pasaran, pelanggan, dan risiko sebenar memberikan nilai yang jauh lebih signifikan. Hal ini selari dengan realiti bahawa banyak keputusan perniagaan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan teori, tetapi memerlukan intuisi yang dibentuk melalui pengalaman berulang.

Akhirnya, naratif kejayaan Aliff Syukri tidak boleh difahami hanya melalui lensa kekayaan material semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai satu perjalanan pembentukan identiti keusahawanan yang dibina melalui pengalaman hidup yang kompleks, cabaran berterusan, dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, kejayaan tidak lagi ditentukan oleh siapa yang memulakan dengan kelebihan terbesar, tetapi oleh siapa yang paling cepat belajar, menyesuaikan strategi, dan bertahan dalam tekanan.

Kesimpulannya, kisah ini memberikan satu pengajaran penting bahawa keusahawanan bukan sekadar tentang menjana keuntungan, tetapi tentang membina ketahanan diri, memahami dinamika pasaran, dan berani keluar daripada zon selesa. Dalam konteks masyarakat Melayu khususnya, perubahan mentaliti mungkin menjadi faktor paling kritikal dalam menentukan sama ada lebih ramai usahawan mampu muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi masa hadapan.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, December 17, 2025

Memang Pembeli di eBay ada 600 Juta Orang tetapi Penjual di eBay pun ada Berjuta-Juta Orang!


Saya terpanggil untuk menulis mengenai eBay pada kali ini. Tidak dinafikan bahawa ekonomi yang sentiasa menekan saban dalam kehidupan kita membuatkan kita mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan kita. Dan salah satunya ialah berniaga di atas talian dengan menggunakan platform eBay.

Saya juga antara salah seorang yang pernah mengikut kelas eBay yang dibuat secara atas talian. Sewaktu belajar saya dan mungkin yang lain dimomokkan bahawa platform eBay ini mempunyai pembeli yang ramai dari seluruh pelosok dunia ini dengan jumlah pembeli ialah seramai 600 juta orang! Banyak tu! Jika diikutkan eBay ini berada di tangga kedua platform di atas talian yang mempunyai pembeli teramai dari seluruh dunia selepas platform Amazon.

Akan tetapi, berniaga di eBay ini tidak semudah yang disangkakan walaupun dalam kelas talian yang saya ikuti dia memberi eBay ini memberi pulangan multi-million Dollar kepada penjual. Hakikatnya, walaupun platform eBay menyediakan platform pembeli yang beratus-ratus juta dari seluruh dunia, platform eBay juga mempunyai berjuta-juta penjual juga dari seluruh dunia!

Untuk berniaga di eBay, kita perlu memasukkan barangan ataupun listing pada setiap hari. Ini untuk memastikan supaya algoritma eBay meletakkan barangan kita di atas sekali pada setiap hari dalam senarai listing jualannya. Sudah tentu ia akan memakan modal yang besar jika kita perlu beli barangan baru setiap hari! Dan ini sudah tentu memenatkan. Sampai bila kita perlu memasukkan barang jualan dalam listing pada setiap hari? Mahu tidak mahu ia akan memakan belanja yang besar. Rugi itu pasti. Untung itu rezeki. Itulah hakikat apabila kita terjun dalam bidang perniagaan.

Dalam pertanyaan saya dengan ChatGPT, sebenarnya terdapat 18.3 juta penjual di platform eBay bagi tahun 2025 sahaja. 18.3 juta orang penjual ini adalah meliputi sekurang-kurangnya satu barang sudah terjual dalam tempoh 12 bulan yang lepas. Jika penjual di eBay pun sudah ada 18.3 juta orang, di celah-celah mana anda boleh berada supaya barang jualan anda boleh dilihat dan terjual dengan mudah di platform ini?

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, February 27, 2024

Kesan Pemansuhan UPSR dan PT 3 – Industri Tuisyen Terkesan?

 

Tidak dinafikan sistem pendidikan kita di Malaysia pada hari ini memberi peluang kepada sesetengah golongan masyarakat untuk menjana pendapatan seperti membuka pusat tuisyen atau mengajar pelajar secara perseorangan (Home Tuition). Begitu juga syarikat-syarikat penerbitan buku rujukan mengutip keuntungan yang berlipat-kali ganda selagi mana di mana sistem pendidikan di Malaysia mengamalkan sistem peperiksaan di kalangan pelajar sama ada di peringkat rendah mahupun menengah.

Namun, zaman telah berubah. Jika dahulu terdapat 4 peperiksaan awam iaitu UPSR, PT 3, SPM dan STPM. Namun pada hari ini hanya peperiksaan SPM dan STPM sahaja yang tinggal. Pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT 3 secara tidak langsung memberi kesan kepada pengusaha-pengusaha pusat tuisyen yang mencari punca pendapatan daripada industri ini.

Tadi saya berkesempatan untuk menemui seorang pengusaha pusat tuisyen. Beliau menceritakan bahawa selepas pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT 3, ibu bapa kurang atau tidak lagi untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen selepas waktu persekolahan bagi peringkat darjah 6 ataupun tingkatan 3. Jika ada pun ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen, itu adalah disebabkan anak-anak ini langsung tiada progress sewaktu pembelajaran di kelas waktu persekolahan. Ternyata ibu bapa hanya sanggup menghantar anak mereka ke pusat tuisyen jika hanya ada peperiksaan awam sahaja. 

Oleh itu, beliau hanya memberi tumpuan untuk membuat tuisyen kepada kanak-kanak pra-sekolah bagi umur 4, 5, dan 6 untuk mengenal abjad dan membaca sebelum memasuki alam persekolah sekolah rendah. Untuk peringkat menengah rendah, beliau mengajar matematik dan Bahasa Inggeris.

Dapat kita fahami bahawa bisnes industri pendidikan ini sebenarnya amat bergantung kepada dasar semasa kerajaan. Sudah tentu sistem pendidikan akan berubah dari masa ke semasa mengikut peredaran zaman dan mengikut keperluan semasa.

Wallhua’lam.             

https://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, September 23, 2023

Segmen untuk Berniaga

Terdapat pelbagai jenis segmen untuk berniaga sama ada emas, hartanah, dan sebagainya.

Namun, segmen yang berlainan tidak boleh untuk membuat perbandingan yang serupa. 

Setiap segmen atau jenis perniagaan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Pilihlah segmen perniagaan yang terbaik untuk anda.

Wallahua'lam.

Monday, February 23, 2015

Bakat : Prasyarat Utama Kejayaan Sesuatu Bisnes

Mempunyai duit yang banyak belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Mempunyai minat yang mendalam belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Mempunyai kabel atau orang dalam yang besar belum menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Bakat adalah syarat paling penting dalam menjamin kejayaan sesuatu bisnes.

Jika anda mempunyai duit setinggi gunung sekalipun tetapi jika anda tidak mempunyai bakat ia tidak akan membawa anda ke mana-mana dalam kejayaan sesuatu bisnes.

Pada hari ini, banyak syarikat-syarikat Kerajaan yang kononnya disenaraikan di Bursa Malaysia tetapi tidak membawa syarikat-syarikat tersebut ke mana-mana. Malah apa yang lebih malang lagi ia membuatkan pelabur-pelabur semakin rugi apabila melabur dalam syarikat-syarikat tersebut.

Lihat sahaja Felda Global Ventures Berhad (FGV) yang pada mulanya bertujuan mengambil alih bahagian perdagangan Felda yang sekarang sudah retak menanti belah. Mana tidaknya, saham-saham ini pada awal penawarannya dibuka pada 28 Jun 2012 yang naik mencanak dalam masa sehari iaitu daripada harga penawaran awal (IPO) bernilai RM4.55 naik kepada RM5.39. Seterusnya, jatuh merudum secara berterusan sehingga RM2.82 pada minggu lepas.  

Ini bermakna pelabur-pelabur saham FGV akan mengalami kerugian RM1.73 bagi setiap unit yang dibeli. Bagaimana dengan nasib puluhan ribu golongan peneroka Felda yang melabur dalam saham FGV ini?

Saya tidak ingin mengulas dari sudut politik dalam isu ini. Cuba kita teliti semula latar belakang FGV ini.

Adakah ia tidak mempunyai kabel atau networking yang kuat untuk bergerak?

Adakah ia tidak mempunyai modal yang besar untuk bergerak?

Adakah pihak pengurusan FGV tidak berminat untuk melihat FGV ini berjaya?

Sudah tentu sama sekali tidak kerana ianya sendiri dipimpin oleh yang berpengaruh dan mempunyai modal yang besar untuk bergerak.

Kita lihat pula sewaktu Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ketika mula-mula ia ditubuhkan. Sebelum itu, urus niaga saham-saham di Malaysia adalah berpusat di Singapura. Apabila urus niaga saham di Singapura terjejas, maka ia secara tidak langsung memberi kesan kepada Malaysia. Mana mungkin sebuah negara merdeka harus bergantung kepada negara lain dalam urus niaga sahamnya.

Idea pemisahan BSKL ini sebenarnya dicetuskan dan dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Apa yang terjadi selepas pemisahan bursa tersebut? 

Jangan terkejut bahawa urus niaga saham BSKL menjadi lebih besar daripada pasaran saham New York selepas itu!

Bolehkah kita membandingkan antara urus niaga FGV dan BSKL ini? Sudah tentu orang yang betul-betul berbakat sahaja yang boleh membawa kejayaan sesebuah syarikat.

Kinibiz melaporkan bahawa Tun Daim Zainuddin mempunyai aset bersih bernilai RM853 juta ketika beliau mula-mula menjadi Menteri Kewangan! Oleh itu, tidak hairanlah beliau (Daim) berjaya membawa urus niaga pasaran saham BSKL lebih besar daripada New York selain berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada lembah kemelesetan.

Pokoknya, untuk berjaya dalam sesuatu bisnes apatah lagi untuk menjayakan syarikat-syarikat Kerajaan, seseorang itu perlulah mempunyai bakat. Bakat adalah pra-syarat utama dalam kejayaan sesuatu bisnes. 


http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, December 25, 2014

Perlukah Saya Menjadi Penulis Novel?



Kadang-kadang saya bertanyakan soalan ini kepada diri saya, “Perlukah saya menulis novel?” Saya sejak dulu lagi memang perasan jika kalau bab-bab novel ini sambutannya begitu panas dan amat menggalakkan di kalangan wanita khususnya remaja-remaja. Golongan inilah sebenarnya yang melariskan jualan novel-novel apatah lagi wanita sekarang membentuk komposisi yang lebih banyak daripada lelaki di Malaysia pada hari ini.

Sehinggalah saya pergi mengambil buku saya semalam di kilang pencetak. Boss kilang cetak itu menceritakan bahawa jualan novel ini memang laris. Ada sebuah novel terbitan syarikat penerbitan bumiputera sedang mencetak sebuah novel yang sekarang ini bilangan cetakan sudah mencecah 200,000 naskah! Fuhhh... Busuk-busuk pun jika komisen 10% bagi harga novel yang berharga RM25.00 maka penulis novel sudah mendapat royalti novel berjumlah RM2.50 x 200,000 = RM500,000! Sudah dapat setengah juta hasil daripada sebuah novel sahaja!

Ini jika terbit melalui syarikat penerbitan dan bukannya terbit sendiri (self-publsiher). Jika diterbit sendiri, maka royalti yang diterima makinlah berlipat kali ganda. Inilah kelebihan melibatkan diri dalam bisnes penulisan kerana anda boleh menjadi jutawan melalui bisnes ini.

Persoalannya, bolehkah saya menjadi penulis novel? Lebih-lebih lagi saya ini bukanlah lulusan sastera atau komunikasi yang banyak menggunakan otak kanan. Saya adalah orang matematik – banyak menggunakan otak kiri. Oleh itu, lebih sesuai menulis buku-buku berkenaan non-fiksyen. Tetapi, jualan buku-buku non-fiksyen apa kurang hebatnya.

Pendek kata, perancangan menulis novel ini merupakan pilihan terakhir saya dalam penulisan buku. Banyak lagi buku-buku yang ingin saya tulis dan sekarang ini saya sedang menulis buku yang kedua (Judulnya biarlah rahsia terlebih dahulu). Saya pun bercadang untuk menulis buku matematik tambahan pada masa hadapan. Bukan apa. Sekadar ingin beramal dengan ilmu yang berada di dalam dada. Apa gunanya ada ilmu tetapi tidak dicurahkan. Benar bukan?

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, December 16, 2014

Internet Marketer vs Pegawai Pemasaran : Adakah Pegawai Pemasaran Sudah Tidak Relevan pada Hari Ini?



Ledakan teknologi media sosial pada hari ini menyebabkan ramai orang boleh sahaja duduk di rumah untuk membuat wang. Mereka boleh publish sahaja produk-produk atau barangan mereka dalam blog, Facebook, Twitter, Instagram, dan sebagainya untuk dijual kepada orang ramai.

Malah, produk-produk yang disiarkan dalam blog atau laman sosial ini boleh bekerja 24 jam untuk para penjual barangan ini atau lebih tepatnya kepada internet marketer (IM) ini. Apabila pembeli bersetuju, mereka boleh sahaja membuat pembayaran secara online sahaja sebelum barangan yang dipesan dipos ke rumah mereka.

Apa yang lebih menarik ialah gambar produk-produk yang dijual ini didesign dengan lebih menarik untuk menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi untuk pakaian, peralatan, dan sebagainya.  

Wujudkan Pemasaran Aktif atau Pasif?

Jika dalam kewangan, ada dua jenis pendapatan iaitu pendapatan aktif dan pasif. Pendapatan pasif ialah kita perlu bekerja untuk mendapat wang manakala pendapatan pasif ialah wang ang bekerja untuk kita.

Begitu juga dengan pemasaran online dan offline. Di mana pemasaran online kita hanya bergantung 100 peratus kepada internet dalam memasarkan produk kita. Internet akan bekerja 24 jam untuk kita. Berlainan dengan pemasaran offline, di mana kita perlu mencari pelanggan. Jika kita tidak mencari pelanggan, alamatnya susahlah untuk mendapat income daripada jualan yang dibuat.

Namun, bagaimana pula dengan kewujudan pegawai pemasaran (pemasaran offline) khususnya kerjaya untuk memasarkan produk-produk syarikat sebelum pemasaran online diperkenalkan seperti hari ini?

Berbaloikah atau bolehkah sesebuah syarikat itu terus sustain dalam memasarkan produk barangan mereka jika hanya bergantung kepada pemasaran online sahaja tanpa ada kakitangan yang turun ke lapangan untuk mencari pelanggan atau prospek baru?

Ambil contoh sahaja bank, di mana pegawai pemasaran mereka perlu mengeluarkan pinjaman sebanyak RM2 juta sebulan. Adakah ini boleh dilakukan hanya melalui pemasaran laman-laman sosial sahaja? Sudah tentu tidak! Cara ini hanya mempercepatkan anda untuk bersara lebih awal daripada bank.

Ini juga menyebabkan sesebuah syarikat pun boleh bungkus! Pendek kata, sesebuah syarikat itu perlu ada pegawai pemasarannya sendiri untuk memasarkan produk-produknya.

Teringat saya sebuah kedai kain dan juga menyediakan perkhidmatan fotostat yang akhirnya ditutup walaupun kedainya agak besar? Kenapa ia boleh tutup? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana ianya tidak mobile atau tidak bergerak untuk memasarkan kain-kainnya di tempat-tempat lain seperti pasar malam dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai premis kedai, kita juga perlu mencari pelanggan untuk memasarkan barangan kita.

Kelebihan dengan membuat pemasaran offline ialah ianya dapat membina hubungan interpersonal antara pelanggan dan pembeli di mana mereka ini akan mengenali saling mengenali antara satu sama lain. Bahkan ia juga menjadi agen promosi barangan kita kepada orang lain setelah mereka menggunakan produk atau servis kita.

Sama dengan pendapatan aktif dan pasif di mana kita perlu mencari pendapat aktif dahulu sebelum menjana pendapatan pasif. Sebelum kita memasarkan secara online dahulu mengenai produk kita, kita perlu memasarkan dahulu produk kita melalui pemasaran offline dengan memperkenalkan produk-produk kita kepada kenalan-kenalan terdekat atau pelanggan-pelanggan yang baru dikenali. Kelak, mereka pula akan mencari kita.

Pendek kata, pegawai pemasaran atau pemasaran offline masih relevan pada hari ini walaupun teknologi sedang berkembang pesat dengan penggunaan laman-laman sosial pada ini.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, December 6, 2014

Bisnes : Jual Apa Orang Perlukan dan Bukan Apa yang Kita Perlukan?



Bisnes adalah seni untuk mendapatkan keuntungan wang. Jika anda belajar setinggi mana pun walaupun mempunyai segulung ijazah Phd, ia masih belum tentu dapat menjamin anda berjaya dalam bisnes. Hakikatnya, orang-orang berjaya di dalam dunia perniagaan adalah orang-orang yang tercicir dalam pelajaran bahkan langsung tidak mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda.

Bakat merupakan sesuatu yang penting bagi seseorang dalam menjalankan bisnes. Jika anda mempunyai modal yang banyak hatta mempunyai rangkaian atau network dalam bisnes, ini belum dapat memastikan anda berjaya dalam perniagaan. Contohnya dalam bisnes tuisyen. Ada orang yang mempunyai Ijazah Sarjana tetapi tidak mempunyai bakat untuk mengajar. Justeru, tiada orang yang ingin mengambil mereka untuk mengajar pelajar-pelajar.

Dalam bisnes, kita perlu jual barang apa orang yang perlukan dan bukan kita perlukan. Falsafah ini dipegang oleh Tuan Mydin dalam perniagaan runcitnya iaitu Mydin Mohamed Holdings Bhd sehingga berjaya menubuhkan rangkaian perniagaan Mydin di seluruh Malaysia.

Perniagaan beliau sebenarnya hanya bermula sebagai sebuah kedai runcit sahaja di Kota Bharu. Sehinggalah selepas 22 tahun, baru beliau membuka cawangan keduanya di Kuala Terengganu kerana beliau menggunakan duit simpanannya sendiri bagi membuka kedainya yang kedua.

Dalam perniagaan peruncitan, kita perlu menjual apa orang perlukan dan bukan kita perlukan. Contohnya musim banjir yang melanda Kota Bharu pada tahun 1966 memberi rahmat kepada perniagaan runcit Tuan Mydin. Ramai orang yang menutup kedai mereka ketika itu yakni musim banjir tetapi bukan bagi Tuan Mydin di mana beliau melihat musim banjir tersebut merupakan peluang membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Ketika itu, beliau terus membuka kedainya dengan menjual pelampung, payung, baju hujan, lampu suluh, bateri, lilin, dan mancis. Ya, menjual barang-barang yang diperlukan oleh orang ramai ketika musim hujan. Sudah tentu ini memberikan rezeki yang melimpah-luah kepada perniagaan runcit beliau.

Timbul juga masalah untuk membawa barang-barang keperluan ini dari Kuala Lumpur yang tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu ketika itu kerana seluruh kawasan ditenggelami air. Apa yang dilakukan oleh Tuan Mydin untuk membawa barangan ini ke kedainya? Tiada cara lain melainkan membawanya dengan menggunakan speed boat! Ketika ini orang ramai berebut-rebut untuk membeli barangan keperluan harian untuk tempoh beberapa hari. Apa yang lebih menarik kedai Tuan Mydin ini didatangi pelanggan selama 24 jam apatah lagi ketika menyambut musim perayaan.

Pengajaran dari kisah Mydin ini ialah kita perlu menjual apa orang perlukan.

Kadang-kadang saya juga terfikir mengenai perkara ini. Saya cuba untuk membuat bisnes tuisyen. Tetapi, kepakaran saya ialah bidang matematik tambahan. Namun begitu, pelajar-pelajar mahupun pusat-pusat tuisyen memerlukan guru-guru dalam subjek sains yakni kimia, fizik, dan biologi kerana subjek-subjek ini memerlukan permintaan tinggi pelajar-pelajar! Oleh itu, langkah terbaik untuk diri saya ialah jangan membuat bisnes tuisyen. Jika ingin teruskan juga, ada baiknya saya sendiri yang belajar dan mengulangkaji pelajaran bagi subjek-subjek ini.

Begitu juga dalam penulisan buku. Sebenarnya, kita perlu mengkaji pasaran apakah tema buku apakah orang minat membaca? Tidak lain dan tidak bukan ialah tema perhubungan (cinta ataupun suami isteri), agama, teori konspirasi-konspirasi yahudi atau akhir zaman, dan sebagainya. Sudah tentu kita perlu mengelak daripada menulis buku mengenai seni bina bangunan walaupun kita berlatar-belakangkan kelulusan seni bina. Jika ditulis 10 buah buku mengenai seni bina pun, tiada orang yang ingin membeli buku anda.

Ingat! Jual apa orang perlukan dan bukan apa yang kita perlukan dalam apa bisnes yang anda ceburi. Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com 

Sunday, November 30, 2014

Apa Perancangan Kita 5 Tahun Akan Datang?



Sedar tak sedar kita sudah melangkah masuk RMKe-11 bermula tahun depan (2015-2019). Mujurlah umur saya ini ganda lima di mana ia akan selari dengan setiap lima tahun Rancangan Malaysia yang baru.

Oleh kerana umur kita sudah bertambah maka kewangan kita sekarang sudah semakin kompleks. Jika anda mengikuti penulisan blog saya sejak tahun 2010, anda akan dapati saya banyak menulis asas-asas kewangan. Diharap anda dapat mengambil tip-tip dengan apa yang sampaikan di dalam blog ini.

Sekarang saya bercadang untuk memfokus kepada bisnes pula untuk rancangan lima tahun akan datang yakni tahun 2015-2019. Sekejap sahaja rasakan masa berlalu?

Apa rancangan bisnes anda semua? Sudah tentu kalau seseorang itu suka menulis, dia akan kekal sifatnya sebagai penulis. Hehehe... Benar bukan? Begitu juga dengan saya, asal-asalnya saya hanya menulis blog sekadar hobi sahaja. Sedar tak sedar dapat menulis sebuah buku.

Oleh itu, saya akan memfokuskan bisnes penulisan buku bagi rancangan lima tahun akan datang. Saya bercadang untuk menulis dan terbitkan buku sekurang-kurangnya sekali setahun. Ini bermakna saya akan menulis dan menerbitkan buku sekurang-kurangnya 5 buah buku antara tahun 2015-2019. Ini adalah minimum. Jika ada kelapangan rezeki dan masa yang lebih maka boleh menghasilkan 2 buah buku setahun atau 10 buah buku dalam masa 5 tahun akan datang.

Bagaimana pula dengan belajar? Pengajaran hidup saya ialah jangan belajar kalau hendak bekerja dan jangan bekerja kalau hendak belajar. Jika anda sibuk untuk mengejar duit, anda terpaksa kerahkan tenaga anda untuk mencari ilmu jika membuat dua kerja dalam satu-satu masa. Oleh itu, buat keputusan untuk memilih salah satu hala tuju hidup anda.

Bagaimana pula dengan hartanah? Adakah anda bercadang untuk membeli atau menambah aset hartanah anda dalam tempoh 5 tahun ini? Mungkin boleh juga kerana ekonomi Malaysia akan meleset sekitar tahun 2016/17 pula kerana kitaran ekonomi negara kita akan merudum setiap 5 tahun sekali.

Pendek kata, kita perlu membuat perancangan bagi membawa hala tuju hidup kita selepas ini. Jadikan kesilapan dan kesalahan yang lepas sebagai pengajaran hidup kita. Bak kata Dr. M, “Sejarah merupakan guru terbaik buat seseorang. Namun kita sebagai anak muridnya gagal menjadikannya sebagai pengajaran.”

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, November 21, 2014

Kaedah Menulis Buku dengan Cepat


Dalam bisnes menerbit dan menjual buku adalah penting bagi seseorang penulis menguasai rak-rak buku di kedai-kedai buku dengan memasarkan banyak karya buku tulisannya. Bayangkan bagi satu rak di sesebuah buku hanya terdapat buku-buku tulisan anda. Akan tetapi, untuk menulis buku dengan banyak dalam sesuatu tempoh masa adalah terbatas bagi seseorang penulis apatah lagi banyak komitmen lain yang perlu diberi perhatian.

Oleh itu, seseorang penulis akan menggunakan 'kaedah speed' untuk mempercepatkan penulisan sesebuah buku. Kaedah ini sebenarnya merupakan kaedah penulisan bersama di mana seseorang penulis akan berkongsi penulisan buku dengan penulis lain. Contohnya, terdapat 3 orang bagi menulis sesebuah buku yang mempunyai 15 bab maka setiap orang perlu menulis 5 bab bagi menghasilkan sesebuah buku. 

Sudah tentu ini mempercepatkan sesebuah karya buku disiapkan dalam tempoh masa yang singkat oleh seseorang penulis.

Akan tetapi, kelemahan kaedah ini ialah dalam isu pembayaran royalti apabila sesebuah buku tersebut terjual. Kelemahan lain ialah nama yang perlu ditulis pada kulit buku tersebut apabila terdapat 4-5 orang penulis bagi sesebuah buku. Biasanya bilangan maksimum nama yang boleh tertera pada kulit sesebuah ialah seramai 3 orang namun akan timbul masalah apabila terdapat lebih 3 orang penulis. Ini akan menjadi masalah kepada pensyarah apabila menerbitkan sesebuah buku apabila menulis secara bersama (co-author). 

Apa yang boleh disimpulkan ialah memang terdapat pro and con apabila kita menulis buku secara bersama. Jika anda semua bertanyakan kepada saya adakah saya memilih kaedah ini untuk menulis buku? Jawapan saya adalah tidak. Ini kerana saya ingin 'membolot' 100 peratus hasil penulisan saya. 

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, November 12, 2014

Cut Cost Air Asia

 
Seperti biasa, pada hujung tahun kompani saya akan membuat bengkel bajet tahunan untuk tahun 2015. Apa yang menarik ialah pembentangan yang dibuat megenai  Air Asia yang berjaya menjadi syarikat penerbangan terkenal di seantero dunia kerana kejayaan pengurusannya. Terdapat 2 sebab utama Air Asia berjaya iaitu berjaya membuat cut cost dan berjaya memberi perkhidmatan cemerlang.

Dalam mencapai keuntungan organisasi, terdapat 2 cara iaitu (1) Memaksimumkan keuntungan dan (2) kurangkan kos operasi. Jika langkah (1), sesebuah organisasi terpaksa mengerah kakitangan mereka untuk membuat jualan demi mencapai keuntungan yang besar untuk syarikat.
Namun, keupayaan manusia adalah terbatas untuk membuat sale yang banyak untuk menjana keuntungan berganda mengikut tempoh tertentu. Andaikan seseorang kakitangan hanya perlu membuat tambahan sale sebanyak 2 kali ganda daripada sale biasa iaitu RM2 juta sebulan . Oleh sebab syarikat ingin memaksimumkan keuntungan maka kakitangan tersebut perlu membuat jualan sebanyak RM4 juta sebulan. Sudah tentu ini tidak dapat dibuat kerana memaksa kakitangan tersebut membuat kerja di luar kemampuannya.
Justeru kaedah (2) merupakan kaedah paling berkesan untuk memaksimumkan keuntungan iaitu dengan memotong perbelanjaan tidak perlu. Strategi ini yang digunakan oleh tony Fernandez bagi mengangkat nama syarikat penerbangan udara Air Asia.
Air Asia pada mulanya merupakan sebuah syarikat DRB-HICOM yang mempunyai hutang di samping kerugian yang amat besar. Oleh itu, ia diambil oleh Tony Fernandez melalui syarikatnya iaitu Tune Air Sdn. Bhd.
Bagaimana Air Asia membuat cut cost utama dalam belanja operasinya?
Antaranya ialah membeli kapal terbang terpakai dan menawarkan skim gaji yang rendah kepada para juruterbang. Peristiwa 11 September 2001 memberi rahmat kepada Air Asia kerana ramai juruterbang dibuang kerja kerana ramai orang ketika itu kurang yakin dengan keselamatan menggunakan pengangkutan udara. Mahu tidak mahu juruterbang yang menganggur ini terpaksa bekerja dengan Air Asia untuk menampung kehidupan mereka dengan skim gaji perkhidmatan yang rendah.
Selain itu, Air Asia Cuma menggunakan kapal terbang second hand sahaja untuk menjimatkan kos. Ditambah pula dengan memotong kos operasi dan kos harian yang meliputi pekerja, tempat mendarat dan sebagainya. Setelah mereka mendapat dana yang cukup, barulah mereka menggantikan kapal terbang yang lama ini dengan yang baru.
Antara perubahan yang dibawa oleh Fernandez dalam Air Asia juga mewujudkan kakitangan yang multi-tasking iaitu kakitangan yang boleh membuat pelbagai kerja dalam satu-satu masa, memperkenalkan harga tempahan yang amat murah sehingga RM1, penjenamaan semula luar negara dengan rakan strategik Virgin, dan mewujudkan tempat penginapan seperti Tune Hotels dan lain-lain lagi.
Dengan memperkenalkan tempahan tiket awal iaitu 9 bulan sebelum berlepas menyebabkan Air Asia mempunyai dana untuk membayar hutang-hutangnya.
Apa yang lebih membanggakan lagi Air Asia berjaya membeli pasukan bola sepak England iaitu Queen Park Ranger (QPR) yang berjaya meletakkan nama Air Asia di persada antarabangsa.
Sememangnya Malaysian Airlines System (MAS) yang amat tenat sekarang memerlukan pengurusan seperti Air Asia. Sehingga 31 Disember 2013, MAS telah mengalami kerugian sebanyak RM1.2 bilion. Berlainan sekali dengan Air Asia di mana ia boleh membuat keuntungan sebanyak RM549 selepas cukai pada tahun 2009.
3 sebab yang akan mempercepatkan MAS akan jatuh bankrap sekiranya tidak berubah mulai sekarang iaitu kenaikan kos tidak terkawal, pengurusan yang lemah, dan rangkaian destinasi yang tidak strategik.
Mana-mana syarikat di dunia akan mencapai turning point dalam pergerakan bisnesnya yakni akan mencapai titik puncak keuntungan dalam operasinya dan seterusnya akan jatuh merudum. Contoh-contoh syarikat yang telah jatuh menyembah bumi yang pernah tersenarai dalam Fortune 500 ialah Kodak, General Motors, Enron, McDonell Douglas, dan Nokia.
Dalam mana-mana syarikat pengurusan operasi perniagaan sekalipun, perbelanjaan berhemat menentukan kejayaan sesebuah syarikat. Prinsip saya dalam pengurusan ialah, “Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.” Jika tidak, syarikat yang dipacu oleh kita tidak akan ke mana.

Thursday, August 7, 2014

Pertanyaan : Bisnes Membuka Stesen Minyak


Saya berminat hendak membuka stesen minyak. Lokasinya adalah terletak di jalan utama iaitu Jalan Alor Setar – Kangar di tepi masjid dan ianya amat strategik. Stesen minyak masih belum banyak di situ dan stesen minyak paling dekat sekalipun terletak lebih 3 km. Saya merupakan graduan dalam perakaunan dan mempunyai pengetahuan mengenai akaun dan bisnes. Mungkin saya boleh dapatkan pinjaman dari MARA ataupun TEKUN. Saya bercadang ingin membuka Caltex. Masalah sekarang ialah tanah lapang itu terletak di tepi rumah. Mungkin tapak rumah itu perlu dialihkan sedikit. Oleh itu, saya bertanyakan pendapat encik mengenai kes saya.

- Azuan

Jawapan :

Terima kasih kerana sudi melayari dan membaca blog ini. Semoga ia dapat memberi ilmu manfaat kepada Saudara Azuan. Mengenai pertanyaan saudara, saya hanya boleh memberi beberapa pendapat mengenai apa yang saya tahu seperti berikut :

1. Lokasi Tapak Stesen Minyak

Sebelum sesebuah stesen minyak dibuka, pihak stesen minyak akan terlebih dahulu melihat keadaan trafik di sesuatu tapak yang ingin dibina stesen minyak tersebut. Mungkin faktor yang dilihat ialah bagaimanakah keadaan jalan tersebut, berapakah purata kenderaan melalui jalan tersebut setiap hari, kedudukan di luar bandar atau di bandar dan sebagainya.

Ada seorang rakan saya yang mempunyai tanah pusaka yang telah bercadang untuk membuka stesen minyak di tanah tersebut. Apabila beliau berjumpa dengan pihak syarikat minyak, faktor utama yang dipertimbangkan ialah keadaan trafik di kawasan tersebut.

Bagi kes saudara, saya percaya peluang untuk membuka stesen minyak adalah cerah kerana terletak di jalan utama. Tambahan pula banyak lagi stesen minyak belum dibuka di kawasan tersebut.

2. Ijazah Tidak Dapat Menjamin Kejayaan Anda dalam Perniagaan

Mungkin dengan kelebihan Saudara yang merupakan graduan perakaunan memberi kelebihan saudara dalam menguruskan aliran tunai. Perniagaan merupakan entrepreneurship dan bukannya intrapreneurship. Entrepreneurship bermaksud saudara perlu membuka dan menjalankan perniagaan sendiri manakala intrapreneurship bermaksud saudara hanya bekerja dengan orang lain dan menjalankan perniagaan mereka. Contohnya ialah bekerja dengan syarikat swasta, GLC, dan sebagainya. Ini bukan racist. Orang-orang melayu kebiasaannya mempunyai daya intrapreneurship yang tinggi berbanding daya entrepreneurship.

Sebenarnya, perniagaan adalah lebih daripada itu. Saudara perlu bersedia dengan 1,001 risiko untuk berjaya dalam perniagaan. Contohnya, dalam perniagaan stesen minyak, saudara perlu mengawasi stok-stok simpanan barangan runcit khususnya rokok supaya ia tidak diambil oleh kakitangan. Kenalan saya pun yang hanya bekerja di 7-Eleven sekalipun bekerja sehingga tidak ‘kenal’ rumah dek kerana perlu menjaga operasi kedai tersebut selama 24 jam. Ini kerana masa banyak dihabiskan untuk mengawasi kedai tersebut seperti stok, kakitangan, kebersihan, dan sebagainya. Ini baru sahaja 7-Eleven dan bukannya stesen minyak yang memerlukan konsentrasi, komitmen, tenaga, dan kesungguhan untuk mengawasinya selama 24 jam apatah lagi dengan operasinya dengan lebih besar.

3. Pinjaman Untuk Membuka Stesen Minyak

Sebenarnya, pinjaman TEKUN adalah tidak mencukupi untuk membuka stesen minyak kerana pinjamannya adalah sehingga RM100,000 sahaja sedangkan modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

Pihak yang boleh memberikan pinjaman sehingga RM400,000 ialah Pemodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Ini adalah pengalaman saya bertemu dengan kakitangan PUNB dan saya ada bertanyakan modal untuk membuka stesen minyak. Beliau menyatakan bahawa modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM300,000 sehingga RM400,000.

4. Masalah Kedudukan Rumah Saudara

Saudara ingin membuka stesen minyak dan tapak tersebut terletak di tepi rumah saudara.  Saya tidak mendapat gambaran ukuran sebenar dan persekitaran tanah saudara. Begitu juga dengan rumah saudara. Mungkin rumah Saudara merupakan rumah papan kerana ia perlu dialihkan.

Jika betul-betul stesen minyak tersebut terletak di tepi rumah Saudara, adakah Saudara betul-betul bersedia untuk menghadapi keadaan trafik setelah stesen minyak akan beroperasi kelak? Adakah berbaloi sekiranya rumah tersebut dialih dan semasa dalam pembinaan stesen minyak ataupun selepas ianya beroperasi, ada masalah yang timbul dan keuntungan tidak dapat dibuat daripada stesen minyak tersebut? Bagaimana dengan pinjaman yang telah dibuat untuk membayarnya pada setiap bulan kelak?

Perkara-perkara ini perlulah dipertimbangkan dalam mengusahakan stesen minyak. Apa yang penting ialah Saudara memikirkan segala risiko bisnes saudara kelak jika Saudara betul-betul ingin membuka stesen minyak.

Ini sahaja mengenai pandangan saya. Terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, June 7, 2014

4 Jun 2014 - Cetusan Idea Publications Didaftarkan dengan SSM


Alhamdullilah, setelah 4 tahun berblog, timbul idea saya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri yang dikenali sebagai CETUSAN IDEA PUBLICATIONS (002334179-D) yang didaftarkan secara rasminya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 4 Jun 2014. Bagi sesiapa yang berminat untuk menerbitkan buku bersama CETUSAN IDEA PUBLICATIONS, sila e-mailkan manuskrip anda ke wan_kamarul@usa.com

Terima kasih. 

Friday, December 27, 2013

Tea'o RM1.00, Tea'o Ais RM1.50

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Tea'o biasa berharga RM1.00 dan tea'o ais berharga RM1.50. Saya pernah bertanyakan penjual makanan di pasar raya. Berapakah harga satu bag ais? Dia menjawab RM3.00 bagi satu bag. Bayangkan keuntungan yang diperolehi kedai-kedai makan melalui air sahaja.
 
Terima kasih. 

Friday, December 20, 2013

Bukan Semua Orang Boleh Berniaga.

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Bukan semua orang boleh berniaga kerana untuk menjalankan perniagaan bakat seseorang adalah menjadi point penting bagi menentukan seseorang boleh berniaga. Apa gunanya mempunyai modal yang besar, cable atau networking yang besar sekalipun sekiranya tiada bakat untuk berniaga. Sememangnya perniagaan mempunyai daya tarikan yang cukup hebat, namun tidak semua orang boleh berniaga.

Ia melibatkan risiko yang tinggi dan tidak semua orang akan berjaya. Lapan puluh peratus perniagaan lingkup dalam tahun pertama. Selepas lima tahun, hanya lima peratus yang masih bertahan. Peratusan kegagalan ini cukup tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan agar berhati-hati jika mahu berniaga. Cerminlah diri anda dan tanyakan pada diri sama ada anda sudah bersedia untuk menghadapinya. Sudahkah anda membuat persiapan mengenai produk yang hendak diniagakan, mengkaji saingan serta keadaan pasaran? Sudahkah anda berbincang dengan anggota keluarga? Bolehkah anda bertahan selama setahun tanpa mendapat satu sen pun? Jika soalan ini mempunyai jawapan-jawapan negatif, maka ada baiknya anda mengasah kemahiran dahulu. Jika tidak, peluang untuk gagal agak besar. Wang lesap, pening kepala, sakit badan dan sakit hati. Semua ini bukan idaman mana-mana individu. 

Malah, sesetengah orang sewajarnya tidak menceburi bidang perniagaan kerana mereka sememangnya tidak layak berbuat demikian. Mereka yang tidak seharusnya terlibat dalam perniagaan ialah orang yang tidak ingin menjadi kaya, hendak menjadi kaya secepak mungkin, tidak bersedia untuk berkorban, dan tidak mempunyai pengalaman yang berkaitan.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com


Diadaptasi dari : Azizi Ali, 2010, Jutawan Dari Planet Jupiter!

Tuesday, November 5, 2013

Bisnes : Membuka Stesen Minyak

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Adakah anda berminat membuka stesen minyak? Sudah tentu soalan ini kadang-kadang agak melucukan seolah-olah saya ini mempunyai wang tunai sebanyak RM1 juta di dalam bank. Pendek kata, sekiranya tiada wang jangan bercakap pasal bisnes. Akan tetapi, sekiranya bercakap mengenai ilmu bisnes apa salahnya bukan?

Stesen minyak merupakan perniagaan francais di Malaysia sama seperti makanan segera seperti KFC, McDonald’s, dan sebagainya. Orang kata margin keuntungan stesen minyak ini ialah 1 sen seliter. Betul ke? Saya baru mendapat tahu bahawa memang benar bahawa margin keuntungan stesen minyak ialah 1 sen seliter. Tetapi itu dahulu. Sekarang ini margin keuntungan stesen minyak ialah 12 sen seliter. Ini adalah kerana harga minyak dunia sekarang sudah semakin naik. Ini bermakna peratus kenaikan harga minyak ialah sudah menjadi 110%!

Secara kasarnya, keuntungan bersih bagi sesebuah stesen minyak ialah RM30,000 – RM60,000 sebulan. Hebat bukan? RM60,000 itu dikira tahap maksimum sekiranya stesen minyak terletak berdekatan dengan tol.

Stesen Minyak Idaman

Akan tetapi, berapa pula modal untuk membuka stesen minyak? Saya mendapat tahu bahawa modal untuk membuka stesen minyak ialah antara RM200,000 – RM500,000. Ini bermaknya anda sekurang-kurangnya mempunyai cash sebanyak RM200,000. Jika ingin mendapat pinjaman bank pun, tidak mengapa tetapi anda perlu mempunyai geran pinjaman daripada pihak bank.

Sekiranya di Malaysia, stesen-stesen minyak Petronas semuanya dimiliki oleh orang melayu. Sekiranya anda berminat membuka stesen minyak, anda boleh melihat iklan-iklan yang dibuka di dalam suratkhabar. Syaratnya ialah anda mempunyai modal dan lulus ujian yang ditetapkan. Mana tidaknya, syarikat-syarikat minyak sudah tentu ingin memilih kakitangan yang cekap untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

Cuma perniagaan stesen minyak memerlukan komitmen yang lebih. Anda perlu menjadi aliran tunai anda dan barangan lain khususnya rokok supaya ia tidak ‘diambil’ oleh kakitangan anda. Jika tidak, perniagaan anda rugi disebabkan oleh kakitangan anda yang tidak bertanggungjawab.

Saya pernah mengikuti kursus yang dijalankan oleh bekas pengurus cawangan bank. Beliau menyatakan bahawa ada seorang pelanggan beliau yang membuka stesen minyak. Namun begitu, keuntungan pelanggan beliau menyusut daripada RM80,000 sebulan kepada RM30,000 sebulan. Apabila ditanya beliau menyatakan keuntungan perniagaan menyusut kerana disebabkan ada pembahagi jalan dibuat. Oleh itu, kenderaan dari seberang jalan tidak dapat masuk ke stesen minyak beliau.

Inilah hakikat perniagaan stesen minyak. Boleh dikatakan bahawa perniagaan francais ini atau perniagaan francais yang lain tiada risiko. Cuma kita perlu mempunyai modal yang besar sahaja untuk menjalankan perniagaan ini.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com