Thursday, March 21, 2019

Buku Meletup di Pasaran Tahun 2019

KUALA LUMPUR: Novel dengan kisah jenayah dan thriller menguasai carta jualan terlaris di Britain dengan peningkatan sebanyak 19 peratus antara 2015 hingga 2017.

Agensi statistik, Nielsen Bookscan dalam laporannya merekodkan trend itu terus kekal meningkat apabila pada 2018 genre sama mencatat rekod apabila 18.7 juta novel jenayah terjual, sekali gus meningkat 19 peratus berbanding 2015.
Pengarang seperti Lee Child, Dan Brown, James Patterson dan Stephen King antara yang menguasai carta jualan terlaris bukan hanya di Britain tetapi di Amerika Syarikat (AS).
Child misalnya merekodkan jualan tertinggi mencecah RM4.8 juta pada 2017 di Britain sahaja.
Demam novel jenayah dan thriller ini juga terkena tempias di negara ini apabila ia meraih jualan hingga puluhan ribu ringgit.
Sasar golongan muda, urban
Pengasas Buku Fixi Sdn Bhd, Amir Muhamad, berkata berdasarkan pengalamannya mengendalikan Buku Fixi, genre yang paling laris ialah kisah seram dan thriller.
“Judul yang paling laku ialah Asrama yang mencecah 55,000 naskhah diikuti Gantung (52,000),” katanya.
Amir berkata, ini disebabkan Fixi berada pada landasan betul dengan sasaran pembaca yang kebanyakannya golongan muda dan urban.
Amir berkata, Gantung juga mencipta rekod sendiri apabila tahun lalu, sekuel karya itu, Gantung 2 adalah judul paling laris mungkin disebabkan novel terbabit diadaptasi kepada drama bersiri.
Hal yang sama dikongsikan Penolong Pengurus Perdagangan Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, apabila naskhah thriller tulisan Hadi Fayyad, Infinity War menarik perhatian ramai pembaca.
“Naskhah ini mendapat sambutan yang baik daripada pembaca hinggakan ia mampu mencapai jualan mencecah ribuan naskhah dalam sebulan,” katanya.
Bagaimanapun genre lain terutama komik turut mempunyai penggemar hinggakan sesebuah tajuk mampu dijual lebih 50,000 naskhah.
Satu hal yang menarik, komik mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun hinggalah orang dewasa berumur 35 tahun dengan judul yang paling laris ialah Lawak Kampus.
Sejak dimulakan pada 2003 hingga April 2018, Lawak Kampus sudah diterbitkan sebanyak 33 jilid dalam bahasa Melayu, selain diterjemah ke bahasa Inggeris, Cina dan Thailand.
Bagaimanapun, dalam kemeriahan sambutan terhadap genre thriller dan komik, drama adaptasi daripada novel masih mendapat tempat.
“Sehingga kini novel Dheos tulisan Anjell, antara yang menarik perhatian pembaca, selain naskhah adaptasi seperti Jangan Benci Cintaku,” katanya.
Ini menjelaskan novel cinta masih ada tempat dalam kalangan pembaca selain mempunyai penggemarnya tersendiri.
Jualan semua genre menurun.
Sementara itu, penulis dan Pengarah Urusan Interns Idea, Fauziah Ashari, berkata dalam ekonomi buku yang merudum ketika ini, semua genre mengalami penurunan jualan.
Namun, jika sesebuah tajuk itu masih mampu diulang cetak dalam tempoh yang singkat, ia petanda jelas genre berkenaan masih ada penggemar tersendiri.
Tegas Fauziah, dua novel terbitan syarikatnya, Tuan Muda Cik Hana sudah dicetak empat kali dalam tempoh lapan bulan, manakala Dia Perempuanku sudah dicetak enam kali dalam tempoh enam bulan.
“Meskipun genre thriller menarik minat pembaca ketika ini, novel cinta juga kekal menarik minat pembaca,” katanya.
Komen saya :
Sebagai orang yang terlibat dalam bisnes penerbitan buku, sudah tentu saya perlu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa industri penerbitan buku ini. Daripada artikel di bharian ini, didapati bahawa novel Asrama dan Gantung merupakan novel yang laku keras buat masa sekarang iaitu masing-masing terjual 55,000 dan 52,000 naskah. Ini adalah novel fiksyen seram. Rupa-rupanya masyarakat Malaysia suka dihidangi dengan thriller seram.
Apabila disebut dengan Anjell, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada penulis tip top pada masa sekarang. Daripada pembacaan rambang saya dari sumber internet, lima buah buku hasil tulisan Anjell telah berada di pasaran dan ada novel-novelnya telah diadaptasikan menjadi drama.
Jika dahulu, penulis Ahadiat Akashah merupakan penulis tip top tanah air dan beliau berjaya menulis 86 buah novel (banyak tu) dan dinobatkan sebagai penulis novel terbanyak di Malaysia oleh Malaysian Book of Records. Sekarang ini, zaman sudah berlalu dan tempatnya sekarang sudah diambil oleh novelis-novelis yang baharu.
Akan tetapi, apa yang menggusarkan saya ialah daripada perbincangan artikel ini, bahan-bahan bacaan buku yang bersifat akademik ataupun ilmiah tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti novel-novel thriller cinta ataupun seram bagi kategori buku-buku non-fiksyen seperti kewangan, sejarah, kekeluargaan, dan sebagainya.
Apakah kadar pembacaan rakyat Malaysia hanya bisa diukur dengan bacaan-bacaan ringan sahaja?
Wallhua’lam.

Friday, March 15, 2019

Tip Survival Penerbit Buku: Mengapa Mesti Menerbitkan Fiksyen Popular untuk Perempuan

Trend pasaran buku di seluruh dunia menunjukkan 80% buku bacaan umum (tradebooks) yang terjual adalah kategori fiksyen. Hanya 20% sahaja kategori bukan fiksyen. Fakta ini membawa implikasi serius kepada penerbit komersial yakni, demi survival, penerbit terpaksa menerbitkan buku-buku fiksyen.
 
Daripada semua kategori fiksyen yang terjual itu pula, 80% adalah dibeli oleh perempuan! Inilah sebabnya penerbit novel-novel perempuan dapat hidup kaya raya tanpa menerbitkan kategori lain.
Justeru, jika penerbit komersial seperti PTS yang menerbitkan pelbagai kategori buku mahu survive, kita terpaksa juga menerbitkan fiksyen-fiksyen yang ditargetkan khusus kepada pasaran perempuan. Kejayaan menerbitkan kategori fiksyen perempuan memerlukan pengetahuan berkenaan jenis-jenis fiksyen yang diminati oleh perempuan. Tidak semua kategori fiksyen dibeli oleh perempuan.
Fiksyen karya sastera yang berat-berat tidak dibeli oleh perempuan. Karya sastera berat hanya dibeli oleh peminat sastera berat, baik lelaki mahupun perempuan, manakala jumlah mereka amat kecil, tidak dapat menjamin survival penerbit.
Sektor fiksyen perempuan yang paling besar adalah sektor novel cinta. Sampai bila-bila pun novel cinta menjadi kegemaran perempuan. Pasaran novel cinta adalah ibarat telaga yang tidak ada dasarnya. Berapa banyak pun judul novel cinta yang sudah diterbitkan, mereka tetap mahukan lebih banyak judul baru diterbitkan....
Keuntungan yang diperoleh daripada jualan fiksyen perempuan itulah yang akan digunakan bagi membiayai penerbitan buku-buku kategori bukan fiksyen, yang jualannya kecil. Strategi ini disebut cross-publishing, yakni menggunakan keuntungan jualan daripada buku-buku lain bagi membiayai penerbitan buku-buku lain.
Penerbitan karya sastera berat terpaksa ditanggung oleh jualan novel-novel cinta popular. Realiti inilah yang menyebabkan setiap bulan PTS menerbitkan lebih banyak fiksyen perempuan daripada kategori lain. Hanya sahaja fiksyen popular terbitan PTS adalah syariah-compliant.
Sumber : universitipts.com
Komen saya :
Sememangnya pasaran novel adalah luas di Malaysia apatah lagi para pembaca majoritinya terdiri daripada kaum wanita. Kaum wanita suka berimiginasi dan fantasi sebab itu. Oleh itu, tidak hairanlah mereka suka membaca novel. Saya masih teringat pada tahun 2017 apabila pergi ke kilang pencetak dan waktu itu menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Saya dimaklumkan oleh kilang pencetak, sebuah syarikat penerbitan telah mencetak sebanyak 15,000 naskah novel bagi satu judul! Nah, ini membuktikan pasaran novel adalah luas dan jualannya pasti kencang! Rata-ratanya rakyat Malaysia suka membaca bacaan yang ringan dan tidak suka membaca yang terlalu ilmiah atau berat. Ini realiti semasa apabila kita ingin tenggelam dalam dunia penerbitan. Kita perlu menerbitkan apa yang orang minat dan bukannya yang kita minat!
Wallhua’lam.

Monday, March 11, 2019

Top 15 Universiti Terbaik Dunia


Berikut adalah 15 universiti terbaik dunia tahun 2019 berdasarkan kepada ranking yang diterbitkan oleh QS World University Rankings :
1. Massachusetts Institute of Technology (MIT) (USA)
2. Stanford University (USA)
3. Harvard University (USA)
4. California Institute of Technology (Caltech) (USA)
5. University of Oxford (UK)
6. University of Cambridge (UK)
7. ETH Zurich (Switzerland)
8. Imperial College London (UK)
9. University of Chicago (USA)
10. University College London (UK)
11. National University of Singapore (NUS) (Singapore)
12. Nanyang Technological University (NTU) (Singapore)
13. Princeton University (USA)
14. Cornell University (USA)
15. Yale University (USA)

Nah, sekali imbas top-top universiti ini semuanya dipegang oleh USA (8 buah), United Kingdom (4 buah), Singapura (2 buah), dan Switzerland (1 buah). 
Dan apa lebih membanggakan lagi dari ranking ini,Singapura mempunyai 2 buah universiti yang terletak ranking top 15 dunia! Hebat bukan? Singapura sahaja mewakili negara Asia untuk berada dalam ranking top 15 dunia ini dan berjaya mengalahkan ranking Tsinghua University (China) yang terletak ranking ke-17 dunia dan The University of Tokyo (Jepun) yang terletak ranking ke-23 dunia. 
Oleh kerana saya sekarang mengambil Master Sejarah, saya cuba jenguk-jenguk syarat kemasukan untuk bidang sejarah bagi peringkat Ph.D. di universiti-universiti yang terhebat ini. 
Untuk Harvard University, ia memerlukan calon yang fasih dua bahasa lain selain daripada Bahasa Inggeris. Yang pernah belajar 3rd language masa degree dahulu memang untung la. Contohnya, macam bahasa Perancis, Korea, Jepun, Arab, dan sebagainya. Nak kaji sejarah ini kena kaji sumber primer bukan?
Manakala untuk University of Oxford, ia memerlukan calon memperolehi pointer 3.75 peringkat master. Tetapi, untuk kemasukan Oxford bidang sejarah peringkat Ph.D. memang sukar kerana persaingan agak sengit. Manakan tidak. Untuk tahun 2018, tempat yang disediakan ialah sebanyak 54 orang sahaja manakala jumlah pemohon ialah sekitar 239 setahun. Tapi rata-ratanya semua yang terpilih adalah pointer 3.8 ke atas kerana persaingan nak masuk universiti ini memang ramai untuk peringkat Ph.D. Al-maklum sahajalah ini merupakan top universiti dunia.
Bagi Massachusetts Institute of Technology (MIT) pula, nama pun macam universiti sains kan? Bidang sejarah juga ditawarkan di universiti ini. Akan tetapi, bidang sejarah yang hendak dikaji adalah berkaitan dengan sains dan teknologi jika mengikut website universiti ini. 
Kalau sudah dapat tawaran masuk National University of Singapore (NUS) saya fikir sudah kira hebat kerana universiti ini terletak ranking ke-11 dunia! Kalau ada bajet lebih pun saya fikir tiada masalah untuk belajar di universiti ini. Nak ulang-alik dari semenanjung pun senang bukan?
Tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia hanya Tuhan sahaja yang tahu. Manala tau kot-kot ada antara kita ini dapat memasuki universiti bertaraf dunia ini bukan?
Wallhua’lam.