Thursday, March 21, 2019

Buku Meletup di Pasaran Tahun 2019

KUALA LUMPUR: Novel dengan kisah jenayah dan thriller menguasai carta jualan terlaris di Britain dengan peningkatan sebanyak 19 peratus antara 2015 hingga 2017.

Agensi statistik, Nielsen Bookscan dalam laporannya merekodkan trend itu terus kekal meningkat apabila pada 2018 genre sama mencatat rekod apabila 18.7 juta novel jenayah terjual, sekali gus meningkat 19 peratus berbanding 2015.
Pengarang seperti Lee Child, Dan Brown, James Patterson dan Stephen King antara yang menguasai carta jualan terlaris bukan hanya di Britain tetapi di Amerika Syarikat (AS).
Child misalnya merekodkan jualan tertinggi mencecah RM4.8 juta pada 2017 di Britain sahaja.
Demam novel jenayah dan thriller ini juga terkena tempias di negara ini apabila ia meraih jualan hingga puluhan ribu ringgit.
Sasar golongan muda, urban
Pengasas Buku Fixi Sdn Bhd, Amir Muhamad, berkata berdasarkan pengalamannya mengendalikan Buku Fixi, genre yang paling laris ialah kisah seram dan thriller.
“Judul yang paling laku ialah Asrama yang mencecah 55,000 naskhah diikuti Gantung (52,000),” katanya.
Amir berkata, ini disebabkan Fixi berada pada landasan betul dengan sasaran pembaca yang kebanyakannya golongan muda dan urban.
Amir berkata, Gantung juga mencipta rekod sendiri apabila tahun lalu, sekuel karya itu, Gantung 2 adalah judul paling laris mungkin disebabkan novel terbabit diadaptasi kepada drama bersiri.
Hal yang sama dikongsikan Penolong Pengurus Perdagangan Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Azrina Azmi, apabila naskhah thriller tulisan Hadi Fayyad, Infinity War menarik perhatian ramai pembaca.
“Naskhah ini mendapat sambutan yang baik daripada pembaca hinggakan ia mampu mencapai jualan mencecah ribuan naskhah dalam sebulan,” katanya.
Bagaimanapun genre lain terutama komik turut mempunyai penggemar hinggakan sesebuah tajuk mampu dijual lebih 50,000 naskhah.
Satu hal yang menarik, komik mampu menarik pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun hinggalah orang dewasa berumur 35 tahun dengan judul yang paling laris ialah Lawak Kampus.
Sejak dimulakan pada 2003 hingga April 2018, Lawak Kampus sudah diterbitkan sebanyak 33 jilid dalam bahasa Melayu, selain diterjemah ke bahasa Inggeris, Cina dan Thailand.
Bagaimanapun, dalam kemeriahan sambutan terhadap genre thriller dan komik, drama adaptasi daripada novel masih mendapat tempat.
“Sehingga kini novel Dheos tulisan Anjell, antara yang menarik perhatian pembaca, selain naskhah adaptasi seperti Jangan Benci Cintaku,” katanya.
Ini menjelaskan novel cinta masih ada tempat dalam kalangan pembaca selain mempunyai penggemarnya tersendiri.
Jualan semua genre menurun.
Sementara itu, penulis dan Pengarah Urusan Interns Idea, Fauziah Ashari, berkata dalam ekonomi buku yang merudum ketika ini, semua genre mengalami penurunan jualan.
Namun, jika sesebuah tajuk itu masih mampu diulang cetak dalam tempoh yang singkat, ia petanda jelas genre berkenaan masih ada penggemar tersendiri.
Tegas Fauziah, dua novel terbitan syarikatnya, Tuan Muda Cik Hana sudah dicetak empat kali dalam tempoh lapan bulan, manakala Dia Perempuanku sudah dicetak enam kali dalam tempoh enam bulan.
“Meskipun genre thriller menarik minat pembaca ketika ini, novel cinta juga kekal menarik minat pembaca,” katanya.
Komen saya :
Sebagai orang yang terlibat dalam bisnes penerbitan buku, sudah tentu saya perlu mengambil tahu mengenai perkembangan semasa industri penerbitan buku ini. Daripada artikel di bharian ini, didapati bahawa novel Asrama dan Gantung merupakan novel yang laku keras buat masa sekarang iaitu masing-masing terjual 55,000 dan 52,000 naskah. Ini adalah novel fiksyen seram. Rupa-rupanya masyarakat Malaysia suka dihidangi dengan thriller seram.
Apabila disebut dengan Anjell, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada penulis tip top pada masa sekarang. Daripada pembacaan rambang saya dari sumber internet, lima buah buku hasil tulisan Anjell telah berada di pasaran dan ada novel-novelnya telah diadaptasikan menjadi drama.
Jika dahulu, penulis Ahadiat Akashah merupakan penulis tip top tanah air dan beliau berjaya menulis 86 buah novel (banyak tu) dan dinobatkan sebagai penulis novel terbanyak di Malaysia oleh Malaysian Book of Records. Sekarang ini, zaman sudah berlalu dan tempatnya sekarang sudah diambil oleh novelis-novelis yang baharu.
Akan tetapi, apa yang menggusarkan saya ialah daripada perbincangan artikel ini, bahan-bahan bacaan buku yang bersifat akademik ataupun ilmiah tidak mendapat sambutan yang menggalakkan seperti novel-novel thriller cinta ataupun seram bagi kategori buku-buku non-fiksyen seperti kewangan, sejarah, kekeluargaan, dan sebagainya.
Apakah kadar pembacaan rakyat Malaysia hanya bisa diukur dengan bacaan-bacaan ringan sahaja?
Wallhua’lam.

No comments: