Sunday, February 28, 2021

Apa maksud keputusan mahkamah isu seks luar tabii?

 Apa sebenarnya yang berlaku di Mahkamah Persekutuan hari ini?

Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat (seks di luar tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Apa asal-usul kes ini?

 

Pemohon, Iki Putra bin Mubarrak telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.

 

Tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995 dengan mendakwa negeri/Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal/membicarakan jenayah liwat.

 Benarkah dakwaan negeri dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas jenayah liwat?

Kita perlu kembali kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Siapa yang ada bidang kuasa terhadap apa.

 Secara umumnya, undang-undang jenayah merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List). Di bawah Senarai Negeri (State List), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara spesifik satu senarai panjang (tetapi terhad) mengenai bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah dalam kesalahan jenayah, iaitu "...pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam senarai persekutuan..."

Kata kunci penting di sini ialah kesalahan penganut Islam terhadap perintah agama atau dalam bahasa Inggerisnya creation and punishment of offences by persons professing the religion of Islam against precepts of Islam.

Tun Abdul Hamid Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan satu formula mengenai bidang kuasa jenayah Syariah seperti berikut:

 (i) kesalahan itu mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;

 (ii) kesalahan itu mestilah bercanggah dengan perintah agama (against the precepts of Islam);

 (iii) kesalahan itu tidak termasuk di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan; dan

 (iv) kesalahan itu mengikut bidang kuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 (hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).

 Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini turut menggunapakai formula di atas dan memutuskan kesalahan jenayah liwat di bawah EJS 1995 memenuhi ciri-ciri butiran (i), (ii) dan (iv) tetapi tidak memenuhi syarat butiran (iii).

 Mahkamah Persekutuan bersetuju bahawa negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah liwat kerana kesalahan liwat telah termaktub di dalam Kanun Keseksaan, antaranya di bawah Seksyen 377A.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed turut memutuskan bahawa bidang kuasa jenayah Syariah yang dimiliki oleh negeri dan Mahkamah Syariah ialah bersifat 'residual', iaitu apa yang tidak diambil oleh kerajaan persekutuan/Mahkamah Sivil, bakinya akan diambil oleh negeri/Mahkamah Syariah.

Ini merupakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri seperti mana yang terkandung di dalam Senarai Negeri. Memandangkan kerajaan persekutuan telah mengambil jenayah liwat dan diletakkan di bawah Kanun Keseksaan, negeri/Mahkamah Syariah tidak ada kuasa lanjut untuk mendakwa/membicarakan jenayah liwat.

Hakim Besar Malaya juga bersetuju bahawa dengan adanya dua jenayah berbeza di dua mahkamah berbeza, ini akan membawa kepada ketidakadilan yang nyata kerana penganut Muslim yang meliwat boleh didakwa di Mahkamah Syariah yang memperuntukkan hukuman yang lebih ringan, sedangkan orang bukan Islam yang meliwat pula perlu didakwa di Mahkamah Sivil yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Ini bercanggah dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi disebabkan agama.

Adakah keputusan seumpama ini pernah berlaku sebelum ini?

Ada, tetapi terbalik. Pada tahun 1988 Mahkamah Agung di dalam kes Mamat Daud telah memutuskan bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana parlimen/kerajaan persekutuan telah melanggar bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang berkenaan dengan pelanggaran terhadap ajaran Islam yang jatuh di bawah bidang kuasa negeri.

Di dalam kes tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan insiden sembahyang dua imam yang menggugat keharmonian masyarakat.

Mahkamah Agung dengan majoriti 3:2 memutuskan bahawa kerajaan persekutuan melalui parlimen tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang yang melibatkan keharmonian agama Islam kerana itu merupakan bidang kuasa negeri.

Disebabkan itu Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak terpakai untuk negeri-negeri dan hanya sah digunapakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja sehingga ke hari ini.

Dah boleh meliwat ke lepas ni?

Kesalahan meliwat tetap merupakan satu jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan variasi seksyen-seksyen lain yang berkaitan dengannya.

Apa selepas ini?

Kesemua peruntukan kesalahan jenayah liwat di bawah enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak sah. Namun bukan semua negeri mempunyai peruntukan untuk kesalahan liwat di dalam enakmen jenayah Syariah.

Contohnya, enakmen jenayah Syariah negeri Perak dan Pahang tidak ada kesalahan liwat. Ini pun boleh dikira satu diskriminasi juga. Ada negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan, liwat ialah jenayah Syariah.

Tetapi di Perak dan Pahang, bukan jenayah Syariah. Bolehkah satu maksiat menjadi satu kesalahan di satu negeri tetapi tidak menjadi satu kesalahan di negeri lain?

Selama ini juga penulis belum pernah mendengar jenayah liwat yang didakwa di Mahkamah Syariah (mungkin ada, tetapi kita sendiri tidak pernah tahu melainkan kes terpencil dan tidak mendapat liputan media).

Tindakan Pendakwa Syarie Selangor yang memulakan pendakwaan kes ini di Mahkamah Syariah pun dikira ajak janggal kerana kes ini boleh diadukan terus ke pihak polis untuk siasatan jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Apakah sudah ada siasatan rasmi yang dilakukan oleh pihak polis? Kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam kes ini. Jika benar-benar siasatan pihak berkuasa mendapati terdapat asas di dalam perlakuan jenayah liwat, maka platform terbaik untuk menyelesaikan kes ini ialah pendakwaan di mahkamah Sesyen, seperti yang berlaku di dalam kes-kes lain sebelum ini.

Kerajaan negeri perlu menyemak semula satu-persatu peruntukan jenayah Syariah di dalam enakmen/ordinan jenayah Syariah masing-masing untuk memastikan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah ini memenuhi formula kes Sulaiman Takrib dan disahkan oleh kes Iki Putra hari ini.

Tetapi secara praktikalnya, tidak ada apa-apa pun perubahan yang berlaku kerana pendakwaan di Mahkamah Syariah untuk jenayah liwat pun tidak ada, kecuali kes Iki Putra ini.

Negeri-negeri yang terbabit pun tidak ada keperluan segera untuk meminda enakmen jenayah Syariah negeri bagi membuang peruntukan jenayah liwat.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana peruntukan kesalahan liwat ini boleh masuk ke dalam enakmen jenayah Syariah negeri-negeri sedari awal? Untuk berlaku adil, ini merupakan budi bicara negeri masing-masing yang merasakan mereka mungkin mempunyai bidang kuasa (dan tidak ada keputusan mahkamah yang menyatakan mereka tidak ada bidang kuasa).

Namun ada negeri yang memilih untuk tidak menjadikan kesalahan liwat sebagai satu jenayah di dalam enakmen jenayah Syariah memandangkan kesalahan itu telah ada di dalam Kanun Keseksaan, malahnya hukumannya juga lebih berat.

Polemik ini sering diulas sejak tahun 1998 lagi ekoran kes Sukma Darmawan namun memandangkan tidak ada pihak yang didakwa di Mahkamah Syariah kerana meliwat dan mencabar peruntukan tersebut di Mahkamah Persekutuan, maka peruntukan kesalahan liwat di dalam enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak dapat diuji.

Namun penantian selama lebih 20 tahun berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan telah memberikan kata putus.

Kesimpulan

Dengan majoriti 9 - 0 Mahkamah Persekutuan hari ini telah mengambil keputusan yang konsisten dengan kes Sulaiman Takrib berdasarkan empat formula yang ditentukan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad sebelum ini.

Tidak ada apa-apa yang telah 'tergadai' atau 'tergugat' di dalam isu ini. Sesetengah komen yang bersifat terlalu 'far-reaching' dan bersalut sentimen tidak perlulah diambil kira.

Sumber: Malaysiakini. MOHAMED HADI A H merupakan lulusan undang-undang sivil dan syariah dari universiti yang terletak di Sungai Pusu, Gombak merupakan pemegang PhD.

Ulasan:

Daripada artikel ini dapat difahami bahawa isu seks luar tabii adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ianya terletak di bawah Mahkamah Persekutuan. Hukuman yang paling tinggi yang boleh dikenakan oleh mahkmah syariah ialah 365 (Hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan) berbanding hukuman Mahkamah Persekutuan di mana hukumannya lebih berat.

Kes ini juga pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim apabila beliau ingin memulakan prosiding qazaf ke atas Tan Sri Muhammad Shafee kerana didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya pada tahun 2017 dan Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan prosiding beliau. Ini kerana tuduhan meliwat tidak terpakai dalam kes qazaf itu mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana peruntukan itu hanya terhad kepada kes pertuduhan zina.

Ini menunjukkan realiti pada hari ini bahawa kuasa Mahkamah Persekutuan adalah lebih tinggi daripada kuasa Mahkamah Syariah di mana Mahkamah Syariah hanya boleh mengambil tindakan kepada kes-kes yang tiada peruntukan dalam Mahkamah Persekutuan sahaja.

Saya pun masih tertanya-tanya apakah status perjuangan Parti PAS untuk meminda RUU Akta 355 iaitu untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah sedangkan PAS sekarang telah berada di dalam Kerajaan Persekutuan sekarang?

Wallahua’lam.

Saturday, February 13, 2021

Selesaikan Masalah Anda!

Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada masalah. Masalah akan datang jua yang akan menyerang kita dari segenap penjuru kehidupan kita sama ada dalam hubungan kekeluargaan, di tempat kerja, perniagaan, hubungan dengan rakan-rakan, dan sebagainya. 

Bak kata Tun Daim Zainuddin, “Masalah tidak dapat dielak. Jika anda cuba mengelak masalah, masalah akan datang jua. Oleh itu, cuba selesaikan masalah anda.”

Di dalam disiplin ilmu matematik, hukum matematik tidak akan bertentangan antara satu sama lain. Jika anda 2 persamaan di sebelah kira dan kanan dan apabila anda cuba membuktikan jawapan di sebelah kanan, hasilnya akan sama dengan jawapan di sebelah kiri dan begitulah sebaliknya.

Apabila kita kaitkan hubungan matematik dengan masalah kehidupan kita, sebenarnya ianya mempunyai kaitan yakni ianya tidak akan bertentangan antara satu sama lain dalam usaha kita untuk menyelesaikan masalah kehidupan kita.

Saya ingin menyebutnya secara praktikal sahaja mengenai cara penyelesaian masalah dalam kehidupan kita dan bukannya secara teknikal kerana semua orang mempunyai masalahnya tersendiri serta mempunyai penyelesaiannya sendiri.

Ingat, jangan lari daripada masalah kerana ia akan datang jua selagi anda tidak menyelesaikannya! Cuba selesaikan masalah anda!

Wallahua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (13/2/2021)

Tuesday, February 9, 2021

Rindu Untuk Solat Berjemaah di Masjid

1. “Sekiranya manusia itu mengetahui pahala menyahut seruan azan dan pahala pada saf pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkan keduanya, dan sekiranya mereka mengetahui pahala orang yang bersegera mendatangi solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk lebih awal, dan sekiranya mereka mengetahui pahala solat Isyak dan solat Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatangi keduanya meskipun dengan merangkak.” (Riwayat Al-Bukhari)

2. Mungkin kita terlupa atau mungkin juga terlepas pandang bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dan menekankan betapa besarnya darjat dan juga kelebihan solat secara berjemaah terutamanya pada waktu fardhu solat Isyak dan Subuh sehingga sesiapa yang mengetahuinya akan berusaha untuk pergi ke masjid walau dalam keadaan merangkak sekalipun kerana mengejar fadhilat yang amat besar.

3. Justeru, adakah fadhilat yang begitu hebat kelebihannya hanya ada pada waktu tertentu sahaja, iaitu semasa suasana menyenangkan, semasa di kala negara sedang aman, atau hanya apabila persekitaran berada dalam suasana tenteram sahaja?

4. Tentu sekali jawapannya; Tidak! Ia tidak terikat dengan suasana dan keadaan apa sekalipun, ganjaran yang ada pada fadhilat solat berjemaah ini terbuka seluas-luasnya setiap kali masuknya waktu solat berjemaah, dan Rasulullah SAW menyebut antaranya pada masa masuk waktu solat Isyak dan Subuh. Dan adakah ganjarannya hanya berupa pahala sahaja? Tentulah juga tidak, kerana ganjaran Allah SWT tidak hanya terhad pada memberi pahala kepada hamba-hamba-NYA, ia termasuk juga dalamnya terdapat ganjaran “rahsia rohani”, iaitu rahsia-rahsia perbendaharaan dunia kerohanian yang tiada siapa dapat menjangkau tahap batasannya, atau mungkin tidak ada sempadannya.

5. Maka dalam keadaan sekarang ini, apabila seluruh negara kita sedang berdepan wabak Covid-19 yang sedang mengganas, tidakkah ini adalah masa paling kritikal yang negara memerlukan pertolongan daripada Allah SWT dan tidak akan datang pertolongan Allah itu melainkan hamba-hamba-NYA berdoa kepada-NYA? Tidak dapat dinafikan akan bahayanya pandemik Covid-19 ini kepada negara sehingga kerajaan memutuskan _lockdown_ semula dengan tujuan untuk memutuskan rantaian penularannya daripada merebak meluas ke seluruh negara.

6. Dengan segala usaha penerangan dan penjelasan tentang bahaya wabak ini yang pantas merebak meluas, kita tertanya-tanya apakah peranan masjid juga patut dihentikan? Padahal dari sudut kerohanian peranan masjid itu amat besar dan statistik menunjukkan masjid adalah antara kluster terjangkit yang paling minima dan pada kebanyakan tempat tidak ada langsung masjid terlibat. Keadaan ini berlaku kerana pematuhan SOP pencegahan COVID-19 di kalangan jemaah masjid adalah yang paling berdisiplin dan terbaik, sebab jemaah tidak pernah berlaga bahu, mematuhi jarak satu meter, masuk ke masjid atau surau dengan penuh tertib dan selepas solat tidak duduk dekat-dekat bahkan tidak bersalaman seperti lazimnya.

7. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan yang kita lihat sering berlaku di pasar malam, pasaraya, restoran-restoran, kedai-kedai runcit yang mana bilangannya terlalu ramai, dan dalam keadaan tertentu bersesak-sesak semasa membeli-belah seperti tidak ada peraturan SOP. Dan pengunjung yang datang ke tempat-tempat awam itu datang dari pelbagai tempat yang kita tidak tahu status kesihatan mereka. Sedangkan ahli kariah dari kampung atau dari kawasan kejiranan perumahan ini adalah orang yang sama.

8. Sayugia kita sebagai umat Islam berasa yakin – semakin ramai ahli kariah yang hadir ke Rumah Allah, dengan sama-sama secara berjemaah berdoa, merayu dan merintih kepada-NYA dengan tujuan memohon agar wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT dan supaya umat dapat kembali memakmurkan masjid-masjid yang juga merupakan Rumah-rumah Allah SWT dan agar kita kembali meletakkan kebergantungan hanya pada Yang Satu bukannya bergantung pada sesama manusia. Maka tidak mustahil Allah Taala memakbulkan doa kita semua.

9. Selain itu, sebenarnya masjid-masjid adalah tempat yang paling disukai oleh Allah Taala di muka bumi ini, manakala pasar-pasar adalah tempat yang paling dibenci. Maka wajarlah kerajaan yang didominasi oleh pemimpin Melayu Islam hari ini mencari jalan bagaimana aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh diteruskan seperti biasa, walaupun dibuka seketika hanya pada waktu solat 5 waktu sahaja.

10. Sampai bilakah ekonomi dunia dibenarkan berjalan tetapi “ekonomi akhirat” tetap mahu dihentikan? Bagaimana negara dan kerajaan akan beroleh keberkatan jika masih takut-takut hendak membenarkan masjid dan surau dibuka semula? Jika sektor ekonomi boleh dibuka untuk “seimbangkan kehidupan dan mata pencarian”, mengapa pula “sektor kerohanian” seperti masjid dan surau tidak boleh dibuka? Bukankah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sendiri ada berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang dan Sabah sebelum ini tidak gagal kerana kadar jangkitan berjaya diturunkan daripada 2.2 kepada 1.0.

11. Maka, kenapa apabila meningkatnya Covid-19 di negara ini yang berpunca daripada ahli politik melalui PRN Sabah, sehingga mencetuskan Gelombang Ketiga, tetapi aktitivi utama mereka seperti ke Parlimen, bertemu bersama sendiri, berbincang hal politik serta mempengerusikan pelbagai mesyuarat tidak dihentikanpun sebelum ini? Jika kerajaan rasa tidak wajar ia dihentikan, seperti itulah tidak wajar masjid dan surau ditutup, kerana yang mencetuskan pelbagai kluster sebelum ini sehinggalah PKP 2.0 dan darurat pula dilaksanakan, ia bukan berpunca daripada ahli kariah masjid.

12. Justeru mungkin kerana itulah Allah Taala uji negara ini berterusan dengan ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik serta pemimpin-pemimpinnya asyik berebut kuasa – satu pihak bermati-matian tidak mahu kehilangan kuasa dan satu pihak lagi sedaya upaya mencari jalan ingin berkuasa. Ini kerana tempat yang paling disukai-NYA iaitu masjid-masjid menjadi antara tempat pertama difikirkan oleh kerajaan perlu ditutup kepada awam, bukannya dicari jalan bagaimana ia boleh diimarahkan dan dimakmurkan.

13. Malah penutupan masjid dan surau kepada umum sebelum ini turut menimbulkan persoalan, antaranya oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim yang mempersoal kewajaran ia dilaksanakan secara drastik serta kenapa masjid turut ditutup sedangkan tiada kluster berkaitan masjid direkodkan.

14. Sejak semua jemaah masjid patuh dengan SOP yang ketat, tiada langsung kluster berkaitan masjid berlaku tetapi masjid pula menjadi antara tempat pertama ditutup sebaik sahaja PKP dilaksanakan. Kenapakah apabila meningkat sahaja Covid-19, maka masjid dan suraulah menjadi _’target’_ utama untuk ditutup terlebih dahulu? Bukankah lain-lain tempat yang berkaitan dengan ekonomi hampir semuanya masih dibenarkan berfungsi seperti biasa?

Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Ulasan

Sememangnya masjid merupakan tempat asas taqwa kepada kita sebagai orang Islam untuk menunaikan solat secara berjemaah di sini. Kes Covid-19 yang naik mencanak ini disebabkan oleh pihak kerajaan sendiri yang bermain politik dan ingin berebut kuasa sehingga PRN di negari Sabah terpaksa diadakan. Sememangnya masjid adalah sebaik-baik tempat kepada kita untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar musibah ataupun pandemik Covid-19 berhenti dengan segera.

Wallahua’lam.

Monday, February 8, 2021

Keluhuran Budi Anwar Ibrahim Haruslah Disanjung Tinggi

Kita merancang dan Allah s.w.t. juga merancang dan Allah s.w.t. adalah sebaik-baik perancang.

Ayat-ayat ini sesuai ditujukan kepada Anwar Ibrahim yang bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri sejak tahun 1998 lagi iaitu sewaktu pemerintahan Dr. Mahathir. Walaupun telah dihumban ke dalam penjara selama 7 tahun oleh Dr. Mahathir sendiri, namun Anwar Ibrahim masih memaafkan musuh politiknya untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir bagi menjatuhkan Najib Abdul Razak dalam PRU-14 pada tahun 2018.

Dan sekali lagi Anwar Ibrahim seolah-olah dikencing oleh Dr. Mahathir apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatan yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (bukan Pakatan Hancing) jatuh serta-merta.

Pendedahan buku oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness yang menceritakan peranan Dr. Mahathir yang menyebabkan kerajaan PH jatuh diulas oleh ramai pihak walaupun dinafikan oleh Dr. Mahathir sendiri. Ada juga benarnya perkara yang menyebabkan Dr. Mahathir meletak jawatan adalah kerana kerajaan PH sendiri sudah terbubar kerana Parti Bersatu telah keluar daripada PH dan bukannya Dr. Mahathir meletak jawatan dahulu tanpa berbincang dengan pemimpin PH yang menyebabkan kerajaan PH jatuh.

Namun apa pun yang berlaku boleh dikatakan perkara yang menyebabkan jatuhnya kerajaan PH adalah kerana pengkhianatan Dr. Mahathir sendiri.

Saya berpendapat bahawa tujuan utama Dr. Mahathir ialah untuk menyelamatkan Umno yang sedang menuju kehancuran di bawah pimpinan Najib Abdul Razak. Dan bukannya Dr. Mahathir ingin menyelamatkan Parti DAP ataupun ingin mengangkat Anwar Ibrahim ingin menjadi Perdana Menteri.

Memang benar Dr. Mahathir menubuhkan Parti Bersatu dengan tujuannya untuk menjadi pengganti Parti Umno tetapi ini gagal. Apa yang lebih penting ialah Dr. Mahathir ini sangat licik menggunakan lawannya sendiri untuk menjatuhkan Najib Abdul Razak. Mungkin orang-orang yang bodoh atau tidak fikir panjang sahaja ingin bekerjasama dengan Dr. Mahathir.

Harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kian malap selepas ini kerana orang-orang Melayu khususnya sudah tahu niat sebenar tembelang pemimpin-pemimpin Parti DAP apabila mereka telah berkuasa di peringkat persekutuan. Agama dihina dengan mudah dalam media sosial oleh orang-orang bukan Islam sewaktu kerajaan PH sedang berkuasa.

Apakah harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri selepas ini selain daripada mengharapkan sokongan Parti DAP bagi memperolehi sokongan orang-orang Melayu?

Daripada perjalanan politik Anwar Ibrahim, dapat difahami bahawa liku-liku politiknya adalah amat panjang walaupun cita-citanya untuk Perdana Menteri masih tidak kesampaian. Beliau boleh masih boleh memaafkan musuh-musuh politiknya walaupun dia dihina sepanjang masa. Oleh itu, bagi saya keluhuran budi Anwar Ibrahim perlulah disanjung tinggi.

Wallahua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (8/2/2021)

Tip: Semua Nombor Dibahagi dengan Sifar adalah Tidak Tertakrif!

 


Kita jangan keliru antara dua perkara berikut iaitu;

1. Semua nombor dibahagi dengan sifar adalah tidak tertakrif.
2. Apabila nombor sifar dibahagi dengan semua nombor jawapannya adalah sifar.

Kita jangan tertukar mengenai 2 perkara ini dan jangan mengatakan semua nombor dibahagi dengan sifar jawapannya adalah sifar walhal jawapan sebenarnya adalah tidak tertakrif. Anda boleh menguji jawapan ini dengan kalkulator saintifik anda.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (8/2/2021).