Friday, October 26, 2018

Bos adalah Posmen

Pada kejadian yang lain, saya singgah solat di sebuah masjid di Selangor.

Pada kali ini, saya singgah untuk solat Zohor. Sekali lagi, peristiwa yang berlaku di masjid tersebut, seperti menjawab persoalan yang bersarang dalam hati saya semenjak pertemuan dengan jemaah dari India itu.
Saya perhatikan seorang lelaki yang duduk bersendirian beberapa saf di belakang saya. Wajahnya bersih dan kelihatan mudah mesra. Hati saya tertarik untuk mendekatiknya. Lalu saya menghampirinya.
“Assalamualaikum, abang datang dari mana?” tanya saya seraya memperkenalkan diri.
Daripada jawapannya, beliau datang dari utara semenanjung dan bekerja sebagai jurutera senior di Petronas. Jawatan yang disandangnya sebagai senior itu tentunya sibuk. Saya tertarik untuk bertanya lebih lanjut apabila dia memaklumkan bahawa dia bercuti selama empat bulan semata-mata untuk berdakwah.
“Empat bulan? Lamanya. Macam mana bos abang boleh luluskan?” tanya saya lagi.
“Saya hantar surat permohonan cuti selama empat bulan tanpa gaji, tetapi bos luluskan cuti empat bulan dengan bergaji.” jawabnya bersahaja.
“Wah hebatnya!”
“Semuanya milik Allah. Semuanya boleh kita mohon daripada Allah. Bos hanyalah posmen sahaja.” tambahnya.
Wallhua’lam.
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki 2.

Wednesday, October 24, 2018

Pandangan Tun Dr. Ismail ke atas Tanah Melayu Pasca Penjajahan


Kewarganegaraan

Di bawah pemerintahan penjajah, kaum pendatang semakin meningkat bilangannya, terutama keturunan Cina dan sedikit sebanyak India juga, yang didatangkan umumnya untuk bekerja di ladang getah milik Inggeris. Tiada usaha dilakukan supaya kalangan pendatang ini menjadi warga Tanah Melayu yang setia. Pihak Inggeris membiarkan sahaja mereka datang dan pergi sesuka hati, selagi mereka patuh undang-undang negara. Apabila semakin ramai bermastautin di Malaya, akibatnya semakin ramai pendatang di negara ini yang pada keseluruhannya lebih kaya dan lebih rajin daripada orang Melayu. Apabila orang Melayu merebut kuasa politik selepas Perang Dunia Kedua, cara mereka mempertahankan diri terhadap jiran tertangga yang lebih gagah dan berada itu ialah menafikan hak untuk mereka menjadi warga negara.

Soal Bahasa

Akibat pemerintahan penjajah, satu-satunya bahasa yang boleh menjamin kehidupan bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan ialah bahasa Inggeris. Selain itu, kaum-kaum di negara ini dibiarkan sahaja menguruskan pendidikan masing-masing. Pernah dicuba, tanpa bersungguh-sungguh, untuk memberi orang Melayu pendidikan dalam bahasa mereka sendiri, tetapi kerana pendidikan itu setakat sekolah rendah sahaja dan dilaksanakan dengan sikap acuh tidak acuh, tiada ada faedahnya untuk orang Melayu. Orang Cina pun dibiarkan sahaja, dibiarkan menguruskan sekolah sendiri, dengan dibiayai yuran yang mereka kenakan atas mereka sendiri, atas pengeluaran getah dan perniagaan mereka. Pendidikan mereka berkiblatkan negeri China. Akibatnya, mereka yang berpendidikan Inggeris sahaja yang ada bahasa penyatu, di seluruh Tanah Melayu yang berbilang kaum ini. Pucuk pimpinan Perikatan membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu merdeka harus ada satu bahasa penyatu, supaya pelbagai kaum menjadi satu bangsa. Pilihan yang jelas ialah Bahasa Melayu. Pada pokoknya, jika orang Cina – itu masalah politik sebenarnya, kerana kaum yang lain tidak dominan – hendak dipujuk agar menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mereka patut diberikan taraf warga negara sebagai balasan. Inilah asas sebenar kesepakatan antara tiga pihak ini, khususnya antara Melayu dan Cina.

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Masalah ini tidak sesukar yang dijangkakan, kerana pucuk pimpinan Perikatan menyedari perlunya dari segi praktikal orang Melayu diberikan kelebihan supaya dapat bersaing atas dasar sama rata dengan kaum lain. Satu-satunya soal yang menjadi perbalahan ialah berapa lama ‘kedudukan istimewa’ itu – patutkah dikenakan had masa atau dibiarkan kekal? Saya buat cadangan, yang diterima, iaitu persoalan itu biar orang Melayu sendiri menentukan, sebab saya rasa semakin ramai orang Melayu berpelajaran dan berkeyakinan diri, mereka sendiri nanti mahu menghapuskan ‘kedudukan istimewa’ ini, kerana ‘kedudukan istimewa’ ini sebenarnya menghina kebolehan orang Melayu dan patut diterima hanya kerana perlu sebagai langkah sementara demi memastikan kemajuan mereka dalam dunia moden yang penuh persaingan: dunia yang belum mereka ketahui kecuali mereka yang diam di bandar sahaja.

Wallhua’lam.

Wednesday, October 10, 2018

Realitinya, Ahli Politik Memang Tidak Mempunyai Pendirian yang Tetap

Dalam politik di tanah air kita, kita dapat perhatikan bahawa tiada ahli politik yang mempunyai pendirian yang tetap terhadap sesuatu perkara.

Sama ada pemimpin-pemimpin politik daripada Umno, Pas, Dap, dan parti-parti mana sekalipun sentiasa mempunyai pendirian yang berubah-ubah. Kita sebagai rakyat biasa kadang-kadang rasa diperbodohkan apabila menyokong pemimpin parti politik tertentu.
Lihat sahaja dengan Dr. Mahathir, sebelum PRU-13 beliau bermati-matian untuk mempertahankan Barisan Nasional daripada diruntuhkan oleh pihak pembangkang. Apabila hati sudah kecewa dengan Najib (Jibby) atau Rosmah (Kak Ros), Dr. Mahathir membuat kerjasama dengan musuh-musuh politiknya bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa Mohd. Najib di mahkamah. Dan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi PRU-14. Maka, tersenyum-senyumlah Mohd. Najib dan Rosmah berulang-alik dari rumah ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan. Dengan kata lain, Mohd. Najib dan isteri sedang dibuli oleh Dr. Mahathir.
Sewaktu Dr. Mahathir menjadi penyokong Barisan Nasional dan ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan untuk menghadapi PRU-13, beliau menyatakan bahawa BN tidak boleh menabur janji seperti pembangkang kerana pembangkang masih belum menjadi kerajaan. Apabila beliau memenangi PRU-14 di atas platform pembangkang, itulah yang terjadi kepada beliau kerana banyak manifesto atau janji yang banyak tidak dapat ditunaikan. Dengan kata lain, Dr. Mahathir telah menjilat ludahnya sendiri. 
Dalam sejarah tanah air sekalipun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pendirian ahli politik yang terkenal ketika itu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy mempunyai pendirian yang sentiasa berubah-ubah dalam perjuangan politiknya iaitu antara tahun 1945 hingga 1947 dan tahun 1947 hingga 1957.
Pada tahun 1945 sehingga 1947, beliau mempunyai satu pendekatan politik Melayu yang bersifat luas iaitu mewujudkan satu kebangsaan Melayu yang membentuk satu negara besar Melayu dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, berdasarkan empayar Melayu zaman silam yang agung iaitu Srivijaya, Majapahit, dan Melaka. Ini bermakna, kebangsaan Melayu meliputi Alam Kepulauan Melayu atau Nusantara. 
Akan tetapi, pada tahun 1957 pula apabila PKMM bergabung dengan AMCJA, ideologi politiknya berbeza. Kini, beliau menerima pembentukan rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa sebagai rakyat Tanah Melayu, tetapi kebangsaannya dikenali dengan nama MELAYU. Tidak ada soal gabungan bersama Indonesia; sebaliknya Tanah Melayu akan menuntut kerajaan sendiri dengan mengadakan pilihanraya umum. Namun, semasa memimpin PAS, beliau menjadi lebih sempit dalam ideologi Melayunya. Kini beliau melihat hanya bangsa Melayu yang berhak menjadi pemegang kuasa politik negeri ini. Tidak terdapat tolak ansur dengan orang bukan Melayu dan tidak juga bergabung dengan Indonesia.
Ini bermakna Dr. Burhanuddin seorang yang pragmatik dalam ideologi politiknya. Ideologi beliau sentiasa berubah mengikut keadaan. Beliau akan membuat sesuatu pegangan politik itu mengikut kepentingan politik yang ingin dicapainya. Sewaktu UMNO melihat penghidupan bangsa Melayu sangat genting kerana pengenalan Malayan Union, beliau melihat itu tidak penting; tetapi bergabung dengan Indonesia dan menolak feudalisme masyarakat Melayu.
Namun, apabila ini kurang berjaya, beliau dan partinya bekerjasama dengan bukan Melayu dan menolak jus soli bagi orang Melayu sahaja. Namun, apabila UMNO membuka pintu jus soli kepada orang bukan Melayu, Dr. Burhanuddin kembali semula kepada jus soli yang tertutup bagi orang Melayu sahaja. Beliau ternyata tidak tetap pendirian dan sangat pragmatik dalam dasar politiknya. 
Nah, jika kita melihat sejarah politik orang-orang Melayu pun sehingga kini pun, kadang-kadang prinsip perjuangan pun boleh berubah-ubah. Hari ini seseorang itu boleh menjadi kawan politik dan esok pula boleh menjadi seteru politik. Memang benar. Politik itu adalah seni sebarang kemungkinan.
Wallhua’lam.