Wednesday, October 24, 2018

Pandangan Tun Dr. Ismail ke atas Tanah Melayu Pasca Penjajahan


Kewarganegaraan

Di bawah pemerintahan penjajah, kaum pendatang semakin meningkat bilangannya, terutama keturunan Cina dan sedikit sebanyak India juga, yang didatangkan umumnya untuk bekerja di ladang getah milik Inggeris. Tiada usaha dilakukan supaya kalangan pendatang ini menjadi warga Tanah Melayu yang setia. Pihak Inggeris membiarkan sahaja mereka datang dan pergi sesuka hati, selagi mereka patuh undang-undang negara. Apabila semakin ramai bermastautin di Malaya, akibatnya semakin ramai pendatang di negara ini yang pada keseluruhannya lebih kaya dan lebih rajin daripada orang Melayu. Apabila orang Melayu merebut kuasa politik selepas Perang Dunia Kedua, cara mereka mempertahankan diri terhadap jiran tertangga yang lebih gagah dan berada itu ialah menafikan hak untuk mereka menjadi warga negara.

Soal Bahasa

Akibat pemerintahan penjajah, satu-satunya bahasa yang boleh menjamin kehidupan bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan ialah bahasa Inggeris. Selain itu, kaum-kaum di negara ini dibiarkan sahaja menguruskan pendidikan masing-masing. Pernah dicuba, tanpa bersungguh-sungguh, untuk memberi orang Melayu pendidikan dalam bahasa mereka sendiri, tetapi kerana pendidikan itu setakat sekolah rendah sahaja dan dilaksanakan dengan sikap acuh tidak acuh, tiada ada faedahnya untuk orang Melayu. Orang Cina pun dibiarkan sahaja, dibiarkan menguruskan sekolah sendiri, dengan dibiayai yuran yang mereka kenakan atas mereka sendiri, atas pengeluaran getah dan perniagaan mereka. Pendidikan mereka berkiblatkan negeri China. Akibatnya, mereka yang berpendidikan Inggeris sahaja yang ada bahasa penyatu, di seluruh Tanah Melayu yang berbilang kaum ini. Pucuk pimpinan Perikatan membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu merdeka harus ada satu bahasa penyatu, supaya pelbagai kaum menjadi satu bangsa. Pilihan yang jelas ialah Bahasa Melayu. Pada pokoknya, jika orang Cina – itu masalah politik sebenarnya, kerana kaum yang lain tidak dominan – hendak dipujuk agar menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mereka patut diberikan taraf warga negara sebagai balasan. Inilah asas sebenar kesepakatan antara tiga pihak ini, khususnya antara Melayu dan Cina.

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Masalah ini tidak sesukar yang dijangkakan, kerana pucuk pimpinan Perikatan menyedari perlunya dari segi praktikal orang Melayu diberikan kelebihan supaya dapat bersaing atas dasar sama rata dengan kaum lain. Satu-satunya soal yang menjadi perbalahan ialah berapa lama ‘kedudukan istimewa’ itu – patutkah dikenakan had masa atau dibiarkan kekal? Saya buat cadangan, yang diterima, iaitu persoalan itu biar orang Melayu sendiri menentukan, sebab saya rasa semakin ramai orang Melayu berpelajaran dan berkeyakinan diri, mereka sendiri nanti mahu menghapuskan ‘kedudukan istimewa’ ini, kerana ‘kedudukan istimewa’ ini sebenarnya menghina kebolehan orang Melayu dan patut diterima hanya kerana perlu sebagai langkah sementara demi memastikan kemajuan mereka dalam dunia moden yang penuh persaingan: dunia yang belum mereka ketahui kecuali mereka yang diam di bandar sahaja.

Wallhua’lam.

No comments: