Thursday, October 8, 2015

Di Sebalik Filem 3 Abdul P. Ramlee


Jika anda perasan dalam penulisan saya sebelum-sebelum ini, saya ada mengatakan bahawa filem-filem P. Ramlee sebenarnya mengambil idea daripada sastera-sastera lama arab. Pada kali ini, saya ingin berkongsikan dengan anda mengenai filem 3 Abdul arahan P. Ramlee.

Umum mengetahui bahawa filem 3 Abdul sebenarnya memaparkan sikap orang-orang melayu yang suka mengampu atau membodek bossnya. Umpamanya, penasihat bapa Saddeq Segaraga iaitu Kassim Patola yang sentiasa membodek bossnya kononnya bossnya boleh merampas harta pusaka anak-anak Ismet Ulam Raja dengan mengahwinkan anak-anak perempuannya.

Tahukah anda sebenarnya filem ini adalah berlatarbelakangkan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Istanbul. Tetapi dalam filem ini tempat ini tidak dipanggil sebagai Istanbul tetapi dipanggil sebagai Isketambola. Filem ini adalah cuba untuk mengetengahkan bahawa nilai-nilai Islam di Turki yang diamalkan dalam kehidupan sudah mula luntur dan digantikan dengan nilai-nilai Barat iaitu peralihan daripada Kerajaan Uthmaniyah yang mengamalkan nilai-nilai Islam kepada negara Turki sekular.

Ini dapat dilihat melalui pemakaian yang dipakai oleh watak-watak utama dalam cerita ini iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub serta Saddeq Segaraga dan Kassim Patola yang mengenakan pakaian berkot bertali leher serta memakai fez. Sebenarnya pakaian ini adalah berasal daripada Barat dan Mustafa Kamal Attaturk memaksa rakyat Turki memakai pakaian ini dalam usahanya untuk membaratkan Turki.  

Filem ini juga menggambarkan masyarakat Turki telah meninggalkan amalan pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid. Dua orang abang Abdul Wahub menindasnya dengan membahagikan harta pusaka tanpa mengikut sistem faraid. Agak janggal juga jalan cerita ini apabila pengakhirannya menyaksikan Abdul Wahub memperolehi semua harta dan separuh hartanya itu dibahagi-bahagikan antara dua orang abang dan bapa mentuanya.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam majlis keramaian dalam filem 3 Abdul ini juga menggambarkan bahawa di Turki majlis tari-menari antara lelaki dan perempuan sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat Turki. Sifat malu sudah tidak sebati lagi jiwa individu. Inilah gambaran sebenar apa yang berlaku di Turki apabila Mustafa Kamal secara terang-terangan menari bersama wanita di khayalak ramai yang cuba ditonjolkan dalam filem ini.

Sememangnya walau apapun genre sesuatu filem, ia sebenarnya tidak dapat lari daripada menyampaikan mesej moral atau akhlak kepada para penontonnya walaupun ingin mengejar keuntungan daripada filem yang diterbitkan. Filem 3 Abdul ini sarat dengan nilai-nilai seperti dalam kekeluargaan, sifat atau budaya amalan bangsa melayu yang sudah sebati turun-termurun yang perlu dibuang, dan lain-lain lagi. Apa yang penting latar belakang cerita ini adalah berpaksikan detik-detik peralihan masyarakat Turki Uthmaniyah yang mengamalkan Islam secara syumul masyarakat sekular yang cuba memisahkan agama Islam daripada nilai-nilai kehidupan.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogpot.my

No comments: