Tuesday, September 29, 2015

Ada Baiknya Kita Ditadbir oleh British


Sesebuah syarikat kebiasaannya akan dihancurkan oleh cucu pendiri syarikat tersebut. Si datuk membina syarikat tersebut. Kemudian, apabila syarikat semakin stabil dan menempah nama di persada negara, maka si datuk tersebut kebiasaannya akan meninggal dunia dan mewariskan syarikat itu kepada si anak. Si bapa pula meneruskan urusan syarikat tersebut sepertimana si datuknya menguruskan syarikat. Apabila si bapa meninggal dunia, maka si cucu pula menjadi pewaris syarikat tersebut. Malangnya, si cucu tidak pandai menguruskan syarikat tersebut kerana biasa hidup senang. Apa yang si cucu tahu buat ialah menggulung duit syarikat itu untuk dibuat rokok.

Begitu juga dengan negara kita Malaysia pada hari ini. Pemimpin generasi awal-awal kemerdekaan bertungkus-lumus mendapat kemerdekaan daripada British. Apabila negara telah mencapai kemerdekaan, tanah air ini ditadbir sebaik mungkin. Lihat sahaja Tun Abdul Razak yang telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) langsung tidak mengambil wang negara walaupun satu sen. Malangnya, anaknya Mohd. Najib yang mentadbir negara seolah-olah menjadikan hasil mahsul negara ini sebagai mesin ATM peribadinya. Tidak kurang daripada itu, beliau telah kantoi dengan isu RM2.6 bilion masih menipu rakyat yang dianggapnya sebagai budak tadika dengan mendakwa wang tersebut sebagai wang derma.

Apa sudah jadi masyarakat kita pada hari ini? Fitnah-memfitnah juga sudah menjadi makanan pemimpin pada hari ini. Sesiapa yang pandai membuat cerita panas dialah juara. Ada baiknya kita ditadbir oleh British. Semasa Tanah Melayu di bawah pentadbiran British, kita mungkin atau langsung tidak pernah mendengar seseorang pemimpin politik memfitnah pemimpin lain sewaktu penjajahan British.

Benar kata-kata Sukarno yang mengatakan, “Perjuanganku adalah lebih senang kerana menentang bangsa asing manakala perjuanganmu adalah lebih sukar kerana menentang bangsamu sendiri.” Hakikatnya pada hari ini, persaingan sesama bangsa adalah lebih sukar untuk merebut takhta pemerintahan. Semua bercakap macam pejuang sebelum mendapat kuasa tetapi apabila sudah mendapat kuasa semua janji sukar untuk tunaikan. Umpamanya pembangkang ingin bergegar-gegar ingin memberi pendidikan universiti percuma tetapi janji memberi pendidikan tadika percuma pun masih belum disempurnakan.

Semasa pentadbiran British juga isu anak luar nikah mungkin atau hampir tiada kedengaran. Pada hari ini, isu anak luar nikah sudah menjadi perkara biasa. Anak yang ditangkap basah (Nauzubillah) boleh disiarkan secara langsung di dalam kotak televisyen. Adakah kita sekarang sedang menuju negara berpendapatan tinggi ciptaan Mohd. Najib atau menuju ke arah kehancuran? 

Wallahua’lam.

No comments: