Thursday, September 10, 2015

Apabila Tentera Penakluk Kota Konstantinople Menerima ‘Derma’ Daripada Tentera Byzantine.


Orang melayu kebiasaannya menggunakan perkataan yang halus dan tampak lemah-lembut walaupun sesuatu itu pada hakikatnya sesuatu perkara yang buruk dan berdosa serta dikeji oleh agama. Contohnya ialah rasuah. Rasuah itu tidak dipanggil dengan rasuah tetapi dipanggil dengan nama yang lebih enak didengar iaitu politik wang. Ia kelihatan seolah-olah masyarakat khususnya pemimpin politik menghalalkan rasuah supaya ianya tidak nampak berdosa dengan memanggilnya sebagai politik wang.

Begitu juga dengan riba yang sudah menjadi darah daging manusia tanpa kita menyedarinya hari ini. Apabila kita membuat pinjaman tidak islamik sudah tentu pinjaman tersebut dipanggil dengan nama riba. Tetapi, masyarakat hari ini pandai spin perkataan tersebut supaya ianya tidak nampak berdosa. Nama sinonim dengan riba ialah bunga, interest, ataupun kadar faedah. Ya, kadar faedah yang dikenakan berdasarkan tempoh pinjaman diambil – makin lama makin tinggi kadar faedah dikenakan. Supaya transaksi pinjaman riba ini nampak halal walaupun hakikatnya ianya haram sebenarnya.

Sekarang nama perkataan selain rasuah ialah derma. Orang yang dituduh menerima rasuah mendakwa dirinya menerima derma sebab hidung tak mancung dan pipi pun tersorong-sorong. Mengapa kita mendapat pemimpin yang pandai buat dak atau buat muka sardin sahaja apabila mendakwa RM2.6 bilion yang diterimanya adalah merupakan suatu derma? Teruk sangatkah akhlak kita pada hari ini? Saya bertanya sebegini kerana pemimpin merupakan cerminan masyarakat – maknanya masyarakat kita pandai buat-buat muka sardin sahaja apabila menipu atau rembat duit orang.

Sysss...Ini adalah rahsia. Jika anda ingin menulis buku, tulislah buku mengenai ‘derma’ kerana sekarang ini isu ‘derma’ merupakan isu panas. Ini adalah tip yang saya perolehi ketika menghadiri kursus penulisan pada minggu lepas.

Berbalik semula kepada tajuk perbincangan kita pada kali ini. Sebenarnya, rasuah atau derma merupakan penyakit keturunan yang berada dalam sesebuah kerajaan sejak zaman-berzaman. Isu ‘derma’ di Malaysia yang berlaku pada hari ini bukanlah penyakit baru yang berlaku pada hari ini malah isu derma sudah pun berlaku sejak zaman Uthmaniyah lagi yakni ketika ingin membuka Kota Konstantinople.

Apabila sabda Nabi membenarkan pembukaan tersebut, maka berlumba-lumbalah umat Islam untuk membuka kota tersebut dengan harapan merekalah mendapat gelaran yang disebut-sebut oleh Nabi. Namun, takdir menetapkan bahawa orang yang membuka kota tersebut ialah Sultan Muhammad al-Fateh daripada Dinasti Uthmaniyah yang membuka kota tersebut pada tahun 1453 yakni selepas 800 tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Sebenarnya, usaha untuk membuka kota tersebut sudah pun sejak zaman Sahabat lagi iaitu ketika pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. Ketika itu, armada laut mula ditubuhkan dengan bilangannya adalah sebanyak 1,600 buah kapal untuk menjaga Afrika Utara dan menawan Kota Konstantinople. Namun misi ini pulang dengan tangan kosong kerana terkejut melihat kekebalan benteng kota ini.

Cabaran yang lebih hebat lagi ialah semasa percubaan untuk membuka kota ini pada tahun 1393 pada musim panas di bawah pimpinan Sultan Bayazid. Banyak tentera Islam yang mati kehausan ketika ini. Di samping itu, seramai 120,000 tentera Islam perlu berdepan seramai 800,000 orang tentera Byzantine dengan bantuan daripada Eropah. Namun, usaha kali ini gagal.

Usaha ini berlanjutan sehingga kali ke-10 di mana barulah tentera Byzantine dapat dikalahkan di bawah pimpinan al-Fateh. Sebenarnya, tentera al-Fateh pun ada yang menjadi musuh dalam selimut. Tentera tersebut merupakan panglima perang yang bernama Khalil Pasha yang bekerjasama dengan tentera Byzantine dengan membocorkan rahsia pengepungan tentera Islam terhadap Kota Konstantinople. Akhirnya, panglima ini dijatuhkan hukuman bunuh atas fatwa yang dikeluarkan oleh majlis agama. Namun begitu, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa sebenarnya panglima ini dirasuah atau menerima ‘derma’ daripada pihak Byzantine.

Begitulah isu ‘derma’ yang berlaku sejak zaman-berzaman dan kurun demi kurun dari satu kerajaan kepada satu kerajaan yang lain. Alangkah malunya kita di seantero dunia apabila pemimpin kita mengaku menerima derma sebanyak RM2.6 bilion daripada seorang arab.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogpsot.com

No comments: